SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

26 Jun 2009

ZON LARANGAN MEROKOK DIPERLUAS

Berita Harian
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
26/6/2009




PUTRAJAYA: Segenap kawasan di premis jabatan kerajaan kini adalah zon larangan merokok selepas ia dimasukkan dalam senarai lokasi dilarang berbuat demikian mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008. Peraturan itu sekali gus menghentikan amalan kononnya sesetengah kawasan atau ruang dalam pejabat atau pekarangan jabatan kerajaan ‘dikhaskan’ untuk merokok sebelum ini. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memasukkan semua kawasan pejabat kerajaan ke dalam senarai diwartakan oleh Kementerian Kesihatan mengikut peraturan itu yang diumumkan pada 16 Jun lalu bagi membanteras tabiat merokok di kalangan penjawat awam dan orang ramai yang berurusan dengan agensi kerajaan.
Mengikut kenyataan media JPA yang disiarkan dalam laman webnya, perkataan ‘di mana-mana premis kerajaan’ dimasukkan dalam senarai peraturan itu dan mereka yang melanggarnya boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun bagi kesalahan berkenaan oleh mahkamah manakala penjawat awam pula boleh dikenakan tindakan tatatertib bagi kesalahan berkenaan oleh mahkamah. Kompaun maksimum dikenakan mengikut peraturan itu ialah RM5,000. "Ketua-ketua jabatan bertanggungjawab untuk memperingatkan pegawai masing-masing mengenai larangan merokok di mana-mana premis kerajaan yang diwartakan," kata kenyataan itu.
Penambahan premis kerajaan dalam senarai itu menjadikan 20 kawasan disenaraikan sebagai lokasi larangan merokok mengikut peraturan berkenaan. Pada 1 Jun lalu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, dipetik berkata, pihaknya akan berbincang dengan JPA untuk mengeluarkan arahan melarang semua kakitangan awam merokok di tempat kerja masing-masing tidak kira di pejabat atau di perkarangan jabatan. Katanya, usaha itu bagi mendisiplinkan 1.2 juta kakitangan awam dan orang ramai supaya tidak merokok apabila berurusan dengan jabatan kerajaan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pada 24 April lalu berkata, zon larangan merokok akan diperluaskan bagi melindungi mereka yang tidak merokok daripada asap rokok yang berbahaya.
Antara zon larangan merokok lain ketika ini adalah semua kaki lima kompleks beli-belah, termasuk restoran dan kafe terbuka di luar premis berkenaan. Kawasan lain termasuk pekarangan bangunan kerajaan, dalam pejabat, hospital, hotel, sekolah, pusat beli-belah dan stesen bas.

Tiada ulasan: