SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Disember 2009

CUEPACS MAHU PERKHIDMATAN KONTRAK DITAMATKAN

Utusan Malaysia
10/12/2009




KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kerajaan diminta menamatkan skim perkhidmatan kontrak di kalangan penjawat awam mulai tahun 2011 sebaliknya mereka perlu diserapkan ke jawatan tetap.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, penamatan itu perlu dibuat secara berperingkat-peringkat memandangkan terdapat 60,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam ketika ini.
"Kita mahu semua pekerja kontrak untuk tahun 2010 diberi jawatan tetap walaupun mereka masih baru, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada orang yang telah lama berkhidmat.
"CUEPACS memang memandang serius perkara ini kerana banyak generasi muda, kebanyakannya masih berumur bawah 30 tahun sudah seronok bekerja tetapi perkhidmatan mereka tidak disambung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Perwakilan Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia Sesi 2009/2011 di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan sesetengah ketua jabatan yang terlalu mudah memberhentikan pekerja dengan menggunakan alasan tidak cukup peruntukan.
"Memang mereka ini kontrak, tetapi kalau sudah berkhidmat sehingga 10 tahun, tak kan senang-senang hendak berhenti.
"Sebagai ketua, janganlah jadi diktator. Pendatang asing pun kita tidak boleh memberhentikan mereka, inikan pula rakyat kita sendiri," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Omar berkata, pihaknya akan memohon penambahan lima tangga gaji bagi setiap gred perkhidmatan yang telah mencapai tangga gaji mati.
Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan secara terperinci dalam mesyuarat CUEPACS bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya minggu pertama bulan Januari tahun hadapan.
"Sebanyak 45 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam di negara ini sudah mencapai gaji maksimum.
"Sekiranya tiada kenaikan gaji, kita bimbang ia akan menjejaskan prestasi dan produktiviti," katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya akan mengutarakan pembelaan penjawat awam yang telah dikenakan tindakan tata tertib melibatkan pemberhentian kerja, untuk mendapatkan bayaran pampasan perkhidmatan dan gantian cuti rehat yang telah dikumpul.
Katanya, kesalahan yang dilakukan itu tidak ada kena-mengena dengan bayaran pampasan yang dituntut.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju sangat dengan cadangan cuepas agar perjawatan kontrak dihapuskan dan diberi perjawatan tetap bagi penjawat awam yang berstatus kontrak. Saya sangat setuju cadangan cuepas untuk mohon tambahan 5 tanggagaji bagi setiap gred gaji yang sudah sampai tanggagaji mati.Saya sendiri sudah 5 tahun tiada kenaikan gaji disebabkan tanggaji saya dah sampai cecah dinding.