SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Disember 2009

CUEPACS GALAK PETUGAS RENDAH KERJA SAMPINGAN

Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
31/12/2009




KUALA LUMPUR: Cuepacs meminta kakitangan awam yang dikategorikan berpendapatan rendah melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan terutama bagi menampung perbelanjaan kelengkapan persekolahan anak mereka.
Presidennya, Omar Osman bagaimanapun, berkata kesatuan itu yakin kerajaan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 kepada anggota sektor awam bagi menggantikan bonus sebelum hujung bulan depan.

Beliau mendakwa, pihaknya menerima banyak aduan daripada hampir 860,000 ahli seluruh negara berhubung segelintir peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi untuk pakaian seragam sekolah dan peralatan persekolahan.
“Setiap kali Cuepacs mengadakan pertemuan bersama ahli diseluruh negara, soalan pertama yang mereka tanya kita ialah bilakah peruntukan tambahan RM500 itu akan diberikan kerajaan.
“Tujuan Cuepacs meminta kakitangan awam itu untuk bekerja sampingan kerana segelintirnya adalah golongan berpendapatan rendah. Kami faham menjelang pembukaan sekolah ini mereka perlu berbelanja lebih membeli barangan persekolahan untuk anak-anak mereka.
“Cuepacs menyarankan antara kerja sampingan yang boleh dilakukan ialah memandu teksi dan berniaga secara kecil-kecilan di pasar pagi atau pasar malam.

“Kami bukannya mendesak kerajaan tetapi amat berharap demi kakitangan awam berpendapatan rendah kerajaan akan meluluskan peruntukan tambahan RM500 untuk meringan beban kewangan mereka,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sementara itu, Omar berkata, pihaknya juga amat berharap kakitangan awam berstatus kontrak di bawah kerajaan negeri tidak akan ditamatkan perkhidmatan mereka akhir tahun ini.

“Boleh dikatakan setiap hari Cuepacs menerima panggilan daripada pekerja kontrak ini memohon kami merayu kepada Datuk Seri Najib Razak supaya membantu mereka. Ada yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun dan berpendapatan purata sekitar RM1,500 sebulan,” katanya.

28 Disember 2009

GURU KEMAS TERUS TERSISIH

e-mel anda:
Metro
28/12/2009




SAYA terlebih dulu mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) atas keprihatinannya membela kakitangan awam dan pada masa sama tetap setia berada di belakang kerajaan. Saya menulis surat ini semata-mata hendak semua pihak membuka mata mengenai satu kelompok kakitangan awam yang kerap disisihkan dan dilupakan iaitu guru Kemas. Pada setiap pilihan raya sama ada umum atau kecil, kelibat guru Kemas dalam melakukan kempen serta jentera penggerak Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat dinafikan lagi, malah mereka menjadi antara penyumbang terbesar dalam meraih undi dan memujuk sokongan pengundi. Mereka bersengkang mata dan memerah keringat dalam memenangkan calon Umno atau BN dengan ganjaran tidak seberapa. Tugas mereka selain daripada pengajaran dan pembelajaran di tadika, adalah sebagai mata dan telinga kerajaan yang paling hadapan dan penghubung dengan rakyat. Besar dan berat sungguh tanggungjawab mereka. Sukar dibayangkan untuk bergerak ketika pilihan raya tanpa pengorbanan golongan ini.
Tetapi, di sebalik kerelaan dan kesanggupan guru Kemas berkenaan, rupa-rupanya sudah puluhan tahun mereka masih lagi sebagai kakitangan kontrak yang diperbaharui setiap beberapa tahun. Hak mereka untuk menjadi penjawat awam sentiasa dihampakan dengan pelbagai alasan.
Selepas puluhan tahun mencurahkan bakti mendidik kanak-kanak prasekolah dan gigih berjuang untuk parti dan negara, hak mereka untuk mendapat pencen ketika mencapai usia persaraan masih dinafikan. Pelbagai kemudahan untuk kakitangan tetap juga tidak dinikmati. Malah, gaji mereka juga tidak setaraf dengan rakan sejawatan lain di sekolah dengan hanya mendapat gred S11, gred untuk lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau dulu Sijil Rendah Pelajaran (SRP).Apabila dihantar ke institusi perguruan untuk menyambung pelajaran peringkat diploma, mereka masih dikekalkan sebagai kakitangan kontrak dengan gred baru S27. Rungutan yang dicurahkan mereka selama ini bagaikan menyiram air di daun keladi. Lebih memeritkan, kakitangan di pejabat termasuk pegawai semuanya mendapat jawatan tetap dan berpencen, padahal guru Kemas bertungkus-lumus bekerja di barisan hadapan pada bila-bila masa tidak disambung perkhidmatannya. Memang menghairankan apabila nasib dan hak mereka untuk menjadi kakitangan tetap seolah-olah dipandang sepi. Lebih mengecewakan tiada langsung kedengaran pembelaan daripada pihak yang begitu mendambakan mereka pada pilihan raya. Jangan sehingga hal ini dipolitikkan pembangkang barulah pihak tertentu terhegeh-hegeh menjanjikan itu dan ini kepada guru Kemas seperti yang pernah berlaku pada tahun lalu. Habis isu, semua senyap kembali dan dilupakan semula. Apakah nilai kesetiaan dan keikhlasan mereka dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan? Seolah-olah bak kata pepatah ‘habis madu sepah dibuang’. Jaminan untuk tidak diberhentikan hanyalah ‘menanam tebu di bibir’ kerana dengan status kakitangan kontrak, apa saja kemungkinan boleh berlaku. Akhir kata, saya meminta Cuepacs menggesa kementerian bertanggungjawab dan Jabatan Perkhidmatan Awam dapat berusaha segera menyerapkan mereka ke skim jawatan tetap tanpa banyak berdalih dan alasan lagi. Saya berharap pihak terbabit memberi penghargaan kepada mereka supaya lebih gigih dan tekun bekerja untuk agama, bangsa dan negara, bersesuaian dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. PRO KEMAS,Guar Chempedak, Kedah.

CUEPACS RAYU SELESAI MASALAH STATUS KONTRAK

Berita Harian
28/12/2009




KUALA LUMPUR: Seramai 30,000 kakitangan awam berstatus kontrak di bawah kerajaan negeri mungkin hilang pekerjaan menjelang tahun depan apabila kontrak perkhidmatan mereka tidak disambung ekoran tiada peruntukan. Sehubungan itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan campur tangan dan mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan. “Boleh dikatakan setiap hari Cuepacs menerima panggilan daripada pekerja kontrak ini memohon kami merayu kepada Datuk Seri Najib Razak supaya membantu mereka. Ada yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun dan berpendapatan purata sekitar RM1,500 sebulan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Omar berkata, secara keseluruhannya ada lebih 60,000 kakitangan awam secara kontrak di negara ini dan sebahagian besar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau berkata, ketiadaan peruntukan disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu adalah punca perkhidmatan mereka tidak dapat disambung.

KETUA JABATAN SENGAJA WUJUDKAN SYARAT TAMBAHAN - ALOR SETAR

Berita Harian
28/12/2009





Beberapa jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri dikesan mengenakan syarat tambahan yang tidak termaktub dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kenaikan pangkat pegawai sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun sehingga menyebabkan kira-kira 70 peratus daripadanya ketika ini dinafikan hak untuk menikmati kemudahan itu. Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, syarat tambahan yang dikenakan itu menyebabkan kakitangan perlu melalui pelbagai birokrasi termasuk melalui temuduga serta mengisi terlalu banyak borang bagi membolehkan mereka menikmati skim baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 14 Mei dan berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Beliau berkata, langkah itu ternyata melanggar syarat ditetapkan JPA menerusi surat pekeliling perkhidmatan yang hanya menetapkan kakitangan berkaitan perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dalam laporan prestasi bagi tempoh tiga tahun lalu. "Selain itu, kakitangan berkenaan juga dikehendaki lulus tahap tiga Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan tidak disabitkan dengan kesalahan tata tertib iaitu dengan mendapat pelepasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengisytiharkan harta, memberikan bukti mereka tidak pernah dikenakan tindakan disiplin dan dicadangkan ketua jabatan masing-masing. "Tindakan ini jelas tidak bertanggung jawab dan menyekat peluang pegawai sokongan menikmati kenaikan pangkat Khas Untuk Penyandang (KUP) berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan JPA," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Pekerja-Pekerja Kerajaan Negeri Kedah kali ke 34 di sini.
Skim KUP yang diumumkan Najib pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam Mei lalu itu, bakal memberi manfaat kepada 176,066 pegawai kumpulan sokongan dalam perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dengan membabitkan kos sebanyak RM170.4 juta. Sehubungan itu Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau mahu kakitangan awam menumpukan usaha meningkatkan produktiviti berasaskan inovasi dan pengetahuan. Omar berkata, Cuepacs akan menghantar surat rasmi kepada semua Setiausaha Kerajaan Negeri mulai hari ini selain turut memaklumkannya kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. "Setakat ini, saya tidak mahu sebut secara terperinci mengenai jabatan atau agensi kerajaan di negeri yang terbabit kerana wujud kebimbangan di kalangan ahli kita berikutan peluang mereka mungkin terjejas jika hal ini dilaporkan media.
"Namun, perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia jelas melanggar ketetapan JPA dan menafikan hak kakitangan," katanya
.

21 Disember 2009

LANTIKAN WAKIL CUEPACS DALAM ANGKASA - OMAR

Utusan Malaysia
21/12/2009





KUALA LUMPUR 20 Dis. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diminta mempertimbangkan pelantikan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggotai Jawatankuasa Tadbir pertubuhan itu secara automatik.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, langkah itu sebagai menghargai sumbangan kakitangan awam yang majoritinya juga adalah ahli Angkasa.
Beliau berkata, 80 peratus daripada 7 juta ahli Angkasa ialah anggota perkhidmatan awam yang masih berkhidmat atau bersara.
''Oleh itu, Angkasa perlu mempertimbangkan pelantikan wakil CUEPACS dalam pertubuhan itu secara automatik.
''Wakil CUEPACS itu hendaklah terdiri daripada Presiden atau sesiapa sahaja yang menjadi presiden kesatuan ini pada masa depan. Wakil CUEPACS tidak perlu bertanding ,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Yang Dipertua Angkasa pada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke- 26 hari ini bagaimanapun menarik diri di saat akhir.
Beliau memberi alasan untuk memberi tumpuan penuh bagi memantapkan lagi kesatuan berkenaan.
Menurut Omar, dengan kehadiran wakil CUEPACS dalam kepimpinan Angkasa kerjasama dua hala boleh dipertingkat demi kebaikan ahli.

PENDAPATAN BIDANG KEJURURAWATAN DI MALAYSIA MASIH RENDAH

Berita Harian
21/12/2009





KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula kadar gaji dan menawarkan insentif menarik dalam bidang kejururawatan bagi memastikan profesion lebih berdaya saing. Presidennya, Omar Osman, berpendapat gaji ditawarkan di negara kita masih ketinggalan jauh lebih rendah berbanding negara lain khususnya Arab Saudi. Walaupun sudah ada kajian berkaitannya dibuat pada 2005, ia masih belum mencapai tahap memuaskan. Oleh itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan gaji kepada jururawat di seluruh negara kerana masih berada pada tahap rendah sedangkan mereka berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Skim gaji baru serta insentif itu juga perlu untuk mengelak jururawat berkenaan berhijrah ke negara lain kerana kecewa dengan pendapatan yang diperoleh sekarang. Omar berkata, walaupun skim baru U29 hingga U42 diwujudkan dalam perkhidmatan itu, ia belum memuaskan dan dianggap masih rendah. "Kerajaan juga sepatutnya sediakan insentif tertentu untuk menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah menyertai kerjaya ini. Apa yang mengecewakan kita, jururawat yang sudah mengambil sijil asas, tidak mendapat elaun RM100 sekiranya tidak terbabit dalam kerja. Apa gunanya mereka menghabiskan masa selama setahun bagi mendapatkan sijil itu tetapi tidak dapat apa-apa insentif," katanya. Omar berkata, pihaknya juga sedang dalam tindakan untuk menghantar memorandum kepada kerajaan bagi mengkaji bidang kejururawatan serta kerjaya lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut berdepan isu sama.
"Kita juga menerima aduan ada jururawat yang berkhidmat di pulau seperti Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi tidak menerima sebarang elaun. Kita anggap kawasan itu perlu diberi insentif. Jika guru pedalaman ada elaun, maka jururawat yang bertugas di pulau juga perlu dapat insentif sama. "Saya percaya jika penambahbaikkan dilakukan dalam kerjaya ini dari segi insentif, gaji dan kemudahan kenaikan pangkat, ia akan menjadi lebih menarik. Malangnya apa yang saya lihat kerjaya ini agak statik. Contohnya, kenaikan gaji bagi gred P1T1 (RM827.94) ke P3T24 (RM2,423.63) memerlukan tempoh 30 tahun berkhidmat. "Jadi, tidak mustahil mengapa, ramai jururawat yang sudah tamat kontrak mencari peluang bekerja di negara lain seperti Arab Saudi yang menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk gaji yang tinggi," katanya Secara keseluruhan bidang kejururawatan dibahagikan kepada empat bidang asas, iaitu mencakupi jururawat kesihatan, jururawat perubatan, jururawat masyarakat dan jururawat akademik.
Sebagai perbandingan, jururawat yang mempunyai pengalaman dan berkelayakan boleh dinaikkan pangkat ke jawatan ketua jururawat dan penyelia jururawat atau ke bahagian pengurusan. Sebagai contoh, gaji permulaan bagi jururawat ialah pada Gred, iaitu:P1T1 RM827.94 – P1T24 RM2,177.15P2T1 RM880.88 – P2T24 RM2,298.18 P3T1 RM935.33 – P3T24 RM2,423.63.

20 Disember 2009

Dr. MOHD. ALI KEKAL YANG DIPERTUA ANGKASA

Utusan Malaysia
20/12/2009




KUALA LUMPUR 19 Dis. - Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Mohd. Baharum mengekalkan jawatan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam pertandingan sengit empat penjuru di sini hari ini.
Beliau memperolehi 1,216 undi mengatasi pencabar terdekatnya, Mustapa Kamal Maulut dengan kelebihan 47 undi.
Mustapa Kamal yang sebelum ini Naib Yang Dipertua Angkasa meraih sebanyak 1,169 undi.
Turut merebut jawatan yang sama ialah Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad, Datuk Muhammad Feisol Hassan (90 undi) dan Pengerusi Koperasi Pegawai Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Malaysia, Datuk Yidris Abdullah yang mendapat 40 undi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding, menarik diri dengan alasan mahu menumpukan perhatian terhadap tugas dalam pertubuhan itu.
Seramai 2,900 perwakilan daripada 1,700 koperasi memilih barisan kepimpinan baru Angkasa hari ini sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26 yang berlangsung dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, ia tidak dipertandingkan kali ini, sebaliknya pertandingan akan diadakan tahun depan selaras dengan Perkara 30.2 (Undang-Undang Kecil Angkasa).
Penyandang bagi jawatan itu sekarang ialah Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Bagi jawatan Naib Yang Dipertua, dimenangi Jamal Abdullah yang memperolehi 824 undi mengatasi lapan pencabarnya.
Jamal ialah anggota Lembaga Pengarah Koperasi Polis Diraja Malaysia yang kini bertugas sebagai Ketua Balai Polis Desa Jaya, Gombak, Selangor.
Jawatan Pengerusi Tetap Persidangan pula dimenangi Pengerusi Koperasi Serbaguna Kawasan Paya Besar Berhad, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan undi 1,478 .
Dua Timbalan Pengerusi Tetap yang dipilih ialah Pengerusi Koperasi Siswazah Intan Usaha Bersatu Berhad (KIUB), Dr. Abdul Rahman Abdul Shaik dan bekas Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bahri Abdul Rahman.
Turut bertanding bagi jawatan tersebut ialah Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Berhad, Datuk Mat Rejab Kassim dan Pengerusi Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Lenga Muar Berhad, Abu Bakar Mohamad.
Calon lain ialah Anggota Jawatankuasa Perhubungan Angkasa, Datuk Abu Bakar Shaari; Naib Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak, Jamaluddin Mohd. Isa; Pengurus Koperasi Ukhwah Cawangan Perak, Abdul Satar Hashim; Ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan Angkasa, Bahar Siran; Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Melaka, Datuk Jaafar Lajis.
Pemilihan kesemua jawatan itu menggunakan sistem pengundian elektronik (e-voting).
Keputusan pertandingan diumumkan hampir pukul enam petang berikutan kiraan semula undi yang dilakukan sebanyak dua kali.

19 Disember 2009

JPA TIMBANG PERMOHONAN

Harian Metro
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
19/12/2009





PUTRAJAYA: Khabar gembira bakal diterima 137 kakitangan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) yang sebelum ini dilaporkan bakal kehilangan kerja mulai 1 Januari depan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk ditempatkan di agensi atau kementerian berkaitan.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata jaminan itu diberikan Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi JPA, Datuk Farida Ali dalam mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat JPA, semalam.

“Dalam mesyuarat kira-kira dua jam tadi (semalam), JPA memberi jaminan untuk mempertimbangkan permohonan mereka. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan pelbagai agensi lain termasuk Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kewangan.

“Insya-Allah, kita harap akan menerima berita gembira daripada JPA dan semua kakitangan MTPN akan mendapat pekerjaan selepas 31 Disember ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil JPA di sini, semalam.

LIMA CALON REBUT JAWATAN YANG DIPERTUA ANGKASA HARI INI

Utusan Malaysia
19/12/2009





KUALA LUMPUR 18 Dis. - Pemilihan bagi jawatan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dijangka sengit apabila lima orang menawarkan diri termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.
Empat lagi calon ialah penyandang jawatan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum; Naib Yang Dipertua Angkasa, Mustafa Kamal Maulud; pemimpin Koperasi Shamelin, Datuk Muhammad Feisol Hassan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Wilayah, Datuk Idris Abdullah.
Pertandingan lima penjuru itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini esok sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-26.
Seramai 2,900 perwakilan daripada 1,700 koperasi akan memilih barisan kepimpinan baru Angkasa.
Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, ia tidak dipertandingkan kali ini, sebaliknya akan diadakan tahun depan sejajar dengan Perkara 30.2 (Undang-Undang Kecil Angkasa).
Penyandang bagi jawatan itu sekarang ialah Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Berdasarkan peruntukan Perkara 30.2, terdapat tiga jawatan sahaja yang dipertandingkan pada tahun ini iaitu Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Pengerusi Persidangan.
Kesemua jawatan yang dipertandingkan itu hanya menawarkan satu tempat sahaja.
Bagi jawatan Naib Yang Dipertua, seramai tujuh orang menawarkan diri antaranya Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Polis, Jamal Abdullah; Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan dan bekas juruaudit dalaman Angkasa, Ismail Bakar.
Untuk jawatan Pengerusi Persidangan, 10 orang menawarkan diri termasuk penyandangnya, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga bekas Menteri Besar Pahang.
Turut menawarkan diri ialah Pengerusi Koperasi Siswazah Intan Usaha Bersatu Berhad (KIUB), Dr. Abdul Rahman Shaik Abdul Razak Shaik dan bekas Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bahri Abdul Rahman.
Abdul Fattah ketika dihubungi lewat petang ini berkata, pemilihan kesemua jawatan itu menggunakan sistem pengundian elektronik (e-voting).
Beliau menjangkakan keputusan bakal diketahui kira-kira pukul 2 petang.

17 Disember 2009

CUEPACS MINTA KETUA JABATAN BERSIKAP ADIL TERHADAP PEKERJA

Bernama
16/12/2009




KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memastikan ketua-ketua jabatan bersikap adil serta menjaga hubungan baik dengan kakitangan bawahan.Presidennya, Omar Osman mendakwa kongres itu banyak menerima laporan daripada kakitangan bawahan mengenai ketua jabatan yang "menghina dan menggugut" mereka.Contohnya, seorang kakitangan Jabatan Imigresen mendakwa ketuanya memanggil beliau gemuk dan mendakwa beliau tidak layak menjawat jawatan itu dan diarah berhenti awal, katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Pemantapan dan Integriti Kesatuan Dalam Perkhidmatan Awam di sini pada hari Rabu.Beliau berkata apabila kesatuan pekerja Imigresen membangkitkan isu itu dengan pihak pentadbiran, kakitangan tersebut telah dipindahkan ke tempat lain, yang sepatutnya tidak berlaku."Kita nasihatkan supaya jangan ada yang membuat penghinaan kepada pekerja, jangan memberi ucapan kepada para pekerja dengan ayat-ayat yang kurang disenangi, pekerja juga merupakan manusia, kita sama-sama bekerja untuk memajukan organisasi."Walaupun mereka merupakan ketua jabatan tetapi tidak bermakna mereka memiliki organisasi tersebut," katanya.Omar juga menasihatkan kakitangan awam yang diugut, dihina dan diminta untuk berhenti oleh sesiapa sahaja di jabatan mereka supaya melaporkan perkara tersebut kepada Cuepacs."Laporkan kepada kita jika perkara ini berlaku supaya kita boleh membawanya kepada peringkat atasan, tidak ada siapa yang boleh memberhentikan pekerja sektor awam ini (tanpa mengikut peraturan)," katanya.Sementara itu, beliau berkata Cuepacs masih berharap agar kerajaan dapat memberikan imbuhan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini."Kami masih berharap agar imuhan itu dapat diberikan dalam masa terdekat ini untuk meringankan beban terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah, tambahan pula kini cuti sekolah sudah hampir tamat," katanya.-- BERNAMA

TIMBANG NASIB PEKERJA KONTRAK



DALAM keadaan politik dan ekonomi yang stabil, sektor awam merupakan cabang pekerjaan yang menjadi rebutan. Ia ditambah dengan pelbagai kelebihan lain yang dalam kebanyakan sudut jauh lebih baik berbanding sektor swasta.

Ketika ini dianggarkan terdapat seramai 1.2 juta orang pekerja yang berkhidmat di sektor awam. Jumlah itu tidak termasuk kira-kira 60,000 lagi pekerja yang berkhidmat secara kontrak. Bagi sebuah pentadbiran negara yang kukuh, jumlah pekerja kontrak itu boleh dianggap tinggi.

Kerana itu, timbul desakan supaya kerajaan mengkaji semula kedudukan pekerja kontrak itu dan menyerap mereka ke jawatan tetap. Antara yang lantang bersuara sudah semestinya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Kebimbangan CUEPACS itu sebenarnya lebih kepada kedudukan ekonomi pekerja. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang suram ketika ini. Persaingan untuk mendapatkan kerja baru sudah semestinya sangat sukar apatah lagi dianggarkan sekurang-kurang 500,000 orang memasuki dunia pekerjaan saban tahun.

Lebih malang, ada pekerja kontrak itu yang sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen kewangan yang besar. Hilang pekerjaan dalam tempoh-tempoh yang sukar seperti ini pastinya lebih menyulitkan kehidupan mereka.

Bagi CUEPACS penyerapan pekerja kontrak ke jawatan tetap perlu diutamakan demi menjamin manfaat yang sewajarnya kepada kumpulan pekerja tersebut. Ia terutamanya kemudahan pencen apabila bersara yang diperlukan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

CUEPACS juga bimbang dengan nasib pekerja kontrak yang boleh diberhentikan kerana gagal dalam penilaian prestasi meskipun selepas lama berkhidmat. Apatah lagi apabila terdapat ketua yang bertindak secara tidak profesional dan menggunakan jawatan kontrak itu untuk mengugut pekerja.

Diskriminasi lain terhadap pekerja kontrak yang dilaporkan juga termasuk bayaran yang tidak sama dan tidak memberikan bonus seperti yang dinikmati oleh pekerja tetap. Selain itu mereka juga tidak diberikan latihan secara formal dan penafian lain terhadap hak-hak pekerja.

Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk menimbangkan tuntutan CUEPACS itu dengan menyerap pekerja kontrak supaya nasib mereka dibela seadilnya. Lebih daripada itu, penyerapan tersebut juga memberi manfaat kepada kerajaan kerana kebanyakan daripada mereka adalah pekerja terlatih dan berpengalaman.

Cadangan menghapuskan sistem pekerjaan kontrak dalam sektor awam dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan. Seperti yang dikongsi oleh pemerhati sosial, Mohd Na'eim Ajis, kumpulan pekerja itu juga sudah mahir dengan struktur organisasi kerajaan.

Kerajaan juga katanya, dapat berjimat dalam soal kos latihan dan pembangunan staf di sesebuah agensi.

"Jangan disebabkan pelaksanaan yang dilakukan oleh sesetengah pihak tidak betul, sistem kontrak ini hendak dihapuskan," ujar pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Bagaimanapun di pihak kerajaan juga ada alasan yang munasabah. Sistem kontrak baik di sektor awam mahupun swasta dapat mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti. Majikan mempunyai liabiliti yang tinggi jika mengambil pekerja tetap terutamanya dari sudut faedah pekerjaan yang perlu disediakan berbanding pekerja kontrak.

Ini sudah tentu akan meningkatkan kos operasi sesebuah organisasi atau syarikat. Faktor bajet ini jugalah yang menjadi punca kepada ketidaktentuan nasib sebilangan pekerja kontrak di agensi kerajaan yang dilaporkan akan ditamatkan perkhidmatan mereka awal bulan depan.

Malah, dalam hal ini juga kerajaan sudah memainkan peranan sewajarnya apabila terdapat pekerja kontrak itu merupakan pekerja yang terjejas sewaktu krisis ekonomi awal tahun lalu. Justeru perkara ini menuntut kepada persefahaman yang tinggi dan adil, baik di pihak pekerja mahu pun kerajaan.

Bagaimanapun untuk jangka masa panjang, sistem perkhidmatan kontrak wajar diperhalusi supaya hak pekerja dapat dilindungi dan produktiviti sektor awam juga dapat dipertingkatkan. Bagi Naem, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan kerajaan dalam mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Pertamanya kata beliau, kerajaan boleh mewujudkan unit mengambil, mengurus, memantau dan mengkoordinasi sistem pekerjaan kontrak. Ini bertujuan menguruskan sektor itu secara telus dan adil.

Kuasa mutlak kepada ketua jabatan juga ujar beliau, wajar dipertimbangkan. Ini termasuk dalam soal menentukan dan mempertimbangkan seseorang pekerja diserap ke jawatan tetap, dilanjutkan kontrak atau sebaliknya.

"Pengurangan kuasa ini akan memberi ruang kepada pekerja untuk bersaing secara sihat dan ketua jabatan juga tidak dipersalahkan jika sistem ini mempunyai masalah," katanya.

Kedua, tempoh kontrak yang ditawarkan juga tidak boleh kurang dari tiga tahun. Ini bagi mengelakkan pekerja kontrak tidak diperkotak-katikkan oleh ketua jabatan terutama dalam aspek kenaikkan gaji. Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan jika pekerja kontrak disambung perkhidmatannya, gaji yang dalam kontrak sebelumnya diambil kira.

Ketiga, perkhidmatan seseorang pekerja berstatus kontrak perlu mempunyai tempoh matang tertentu supaya dapat diserap ke jawatan tetap jika menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Sebagai contoh, kerajaan boleh menetapkan lima tahun bagi tempoh matang pekerja kontrak dan selepas itu ia perlu dipertimbangkan untuk diserapkan ke jawatan tetap. Dengan syarat ia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut.

"Tempoh matang ini perlu supaya seseorang pekerja kontrak itu tidak terus dianiaya oleh ketua jabatannya yang tidak mahu mengesahkan jawatannya sampai bila-bila," ujar Naem.

Keempat, setiap perjanjian kontrak yang melibatkan pekerjaan sama ada di sektor swasta atau kerajaan perlu ada badan yang pemantau. Jika di sektor awam pihak yang lebih berhak ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disektor swasta pula Kementerian Sumber Manusia.

Pemantauan dan penilaian terhadap dokumen kontrak pekerjaan itu jelas Naem, bagi memastikan majikan tidak sewenang-wenangnya menganiaya pekerja yang diambil dengan meletakkan syarat-syarat yang boleh menyusahkan pekerja.

Kerajaan juga perlu memastikan tidak berlaku diskriminasi terhadap pekerja-pekerja sektor awam yang bekerja di organisasi yang telah diswastakan.

"Ini kerana ada antara mereka mendapat layanan tidak adil dan faedah dikurangkan oleh majikan baru," katanya. Justeru dalam hal ini, pendekatan terbaik ialah satu resolusi mengenai layanan yang adil perlu ditandatangani di antara pihak majikan dan pekerja sebelum pertukaran hak milik dilakukan.

Ini bagi membolehkan ia menjadi bukti komitmen kedua-kedua belah pihak terutama dalam menangani isu-isu pekerjaan yang timbul.

14 Disember 2009

PEKERJA KONTRAK DITAMATKAN 31 DISEMBER

Utusan Malaysia
14/12/2009




SHAH ALAM 13 Dis. - CUEPACS sudah menerima aduan daripada kakitangan kontrak yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini, antaranya Kementerian Pelajaran, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dan Jabatan Pertanian.
Presidennya, Omar Osman berkata, CUEPACS menerima aduan hampir setiap hari berhubung kebimbangan kakitangan kontrak yang tidak disambung perkhidmatan itu dan kebanyakan mereka kini semakin tertekan dan terhimpit dengan keadaan tidak pasti berkenaan.
"Setakat ini sahaja, kami terima aduan daripada kira-kira 200 pekerja kontrak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri... atas alasan bajet tidak mencukupi, dan kami anggarkan jumlah itu akan meningkat.
"CUEPACS merayu supaya kerajaan mempertimbangkan semula rancangan untuk menamatkan perkhidmatan kakitangan terbabit demi masa depan mereka," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Kursus Bola Tampar Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.
Omar berkata, kebanyakan pekerja kontrak terlibat merangkumi golongan muda berusia antara 25 hingga 30 tahun dan sudah berumah tangga.
"Pekerja kontrak yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tidak menghadapi masalah kontrak mereka dilanjutkan," katanya yang menambah terdapat kira-kira 60,000 kakitangan awam kontrak di negara ini. - BERNAMA

13 Disember 2009

CUEPACS NAFI KHABAR ANGIN PENARIKAN BALIK COLA,ITP

Berita Harian
13/12/2009





PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menafikan khabar angin kerajaan akan menarik balik pembayaran Elaun Sara Hidup (Cola) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada kakitangan awam mulai tahun depan. Presidennya, Omar Osman, berkata ini kerana sebarang penarikan elaun perlu dimaklumkan kepada Cuepacs. "Cuepacs tidak menerima sebarang maklumat mengenai penarikan balik elaun itu.
"Malah dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada bulan lalu pun, perkara berkenaan tidak dibincangkan langsung. "Mengikut kebiasaan, Cuepacs akan dimaklumkan terlebih dulu jika kerajaan ingin membuat sebarang perubahan dalam pembayaran elaun," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah laman web bahawa pembayaran Cola dan ITP yang dinikmati kakitangan awam ketika ini akan dihapuskan, dalam usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang masih belum pulih sepenuhnya ekoran daripada krisis kewangan dunia.
Cola diberi bagi membantu kakitangan awam berikutan peningkatan kos sara hidup dan kadarnya bergantung kepada lokasi selepas mengambil kira pelbagai kos seperti makanan, perumahan, pengangkutan, bayaran tol dan minyak. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Omar berkata, penarikan balik elaun berkenaan juga tidak wajar kerana ia akan membebankan semua kakitangan awam khususnya kakitangan sokongan. "Tindakan menarik balik kedua-dua elaun itu akan memberi impak kepada semua kakitangan kerajaan bagi jangka masa yang panjang kerana jumlah elaun yang diterima itu agak besar. "Jika dilaksanakan juga, sebahagian besar kakitangan awam khususnya kumpulan sokongan akan berada di bawah Paras Garis Kemiskinan dan sekali gus boleh menjejaskan semua urusan seharian mereka," katanya.
Mengenai permohonan Cuepacs bagi mendapatkan tambahan bantuan khas RM500, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya.

11 Disember 2009

TAMBAH PELUANG NAIK PANGKAT PEMBANTU MAKMAL- CUEPACS

Bernama
11/12/2009




LANGKAWI, 11 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar kerajaan memperbanyakkan peluang kenaikan pangkat kepada kira-kira 8,000 pembantu makmal sekolah di seluruh negara.Presidennya, Omar Osman berkata pada masa ini kenaikan pangkat pembantu makmal sekolah gred C17 kepada gred C22 (kanan) dan gred C26 (tertinggi) adalah sangat terhad dan perlu memenuhi syarat-syarat yang agak ketat."Jadi, Cuepacs minta Kementerian Pelajaran menambah peluang kenaikan pangkat bagi pembantu makmal yang telah lama berkhidmat dan berpengalaman," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal Semenanjung Malaysia, di sini Jumaat.Lebih 150 perwakilan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menghadiri persidangan berkenaan.Beliau berkata, mereka perlu diberi pertimbangan sewajarnya selaras dengan tugas yang dipertanggungjawabkan, apatah lagi setelah mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.Selain itu, Omar berkata Cuepacs turut berharap agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula pemberian insentif kepada pembantu makmal sebagai galakan kepada mereka."Mereka bukan sahaja bertugas untuk kerja-kerja rasmi, sebaliknya ada yang disuruh melaksanakan kerja-kerja lain," katanya.Katanya, kementerian berkenaan mengadakan pelbagai anugerah seperti anugerah guru cemerlang, tapi pembantu makmal tidak diberi perhatian walaupun peranan mereka juga penting di sekolah-sekolah.-- BERNAMA


-----------------------------------------
Media Cuepacs

10 Disember 2009

CUEPACS SEEKS PROMOTION FOR ASSISTANT HEALTH OFFICERS

The Star
10/12/2009





KUALA LUMPUR: Cuepacs is pushing for environmental health assistant officers, who are degree holders, but have remained stagnant at non-executive levels to be upgraded.

“Currently, there are 175 environmental health assistant officers who are degree holders, rightfully eligible for job promotions and salary increments but they have remained stagnant in non-executive grades.

“The Government should understand that the expertise and skills of these assistant officers are an asset to the Health Ministry,” said Cuepacs president Omar Osman.

He said this at a Health Inspectors’ Union representatives seminar here yesterday where three resolutions were passed to be presented to the Health Ministry soon.

Omar said currently, the assistant officers are in the U29, U32 and U36 grades and at non-executive levels.

“There should be a review of these grades for degree holders to U41 and U42, which are considered executive levels,” he said.

The promotion from non-executive to executive for degree holders, he said, would have a positive impact on their allowances and basic salaries.

“This will in turn encourage them to accept a posting to other states, helping to increase the number of district health officers.

“Just imagine, for a country that is rapidly developing, we only have 136 district health officers,” said Omar.

The second resolution called for a stop in employing civil servants on contractual basis by 2011 to strengthen employer-employee loyalty and spur work productivity.

Omar said there were about 30,000 contract workers in the civil service and many of them were worried about job security.

The third resolution called for the formation of a Legal Inspectorate Unit to provide comprehensive job descriptions and job scopes for health officers.

CUEPACS USUL NAIK TANGGA GAJI MATI PENJAWAT AWAM

Bernama
10/12/2009

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengusulkan kertas kerja untuk menaikkan tangga gaji mati penjawat awam sebanyak lima mata tangga gaji kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.Presidennya Omar Osman berkata Cuepacs menjangkakan perkara itu dapat dibincangkan dengan JPA pada Januari ini setelah ditunda bulan lepas kerana Ketua Pengarahnya Tan Sri Ismail Adam menunaikan ibadah haji."Kita akan bincang hal ini...sebab 45 peratus anggota perkhidmatan awam sekarang sudah (mencapai) gaji maksimum. Jika tidak ada pergerakan gaji atau kenaikan gaji, kita bimbang ia menjejaskan kualiti dan produktiviti (penjawat awam)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penolong Pegawai Kesihatan dan Persidangan Perwakilan DwiTahunan (Luar Biasa) Kesatuan Inspektor Kesihatan di sini.Omar berkata Cuepacs juga akan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membela kebajikan pekerja kontrak kerajaan supaya tidak ada lagi yang diberhentikan tahun hadapan.Menurutnya kongres itu kecewa kerana banyak agensi kerajaan tidak menyambung perkhidmatan kakitangan kontrak terutama yang sudah berkhidmat antara 5 hingga 15 tahun.-- BERNAMA

CUEPACS MAHU PERKHIDMATAN KONTRAK DITAMATKAN

Utusan Malaysia
10/12/2009




KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kerajaan diminta menamatkan skim perkhidmatan kontrak di kalangan penjawat awam mulai tahun 2011 sebaliknya mereka perlu diserapkan ke jawatan tetap.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, penamatan itu perlu dibuat secara berperingkat-peringkat memandangkan terdapat 60,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam ketika ini.
"Kita mahu semua pekerja kontrak untuk tahun 2010 diberi jawatan tetap walaupun mereka masih baru, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada orang yang telah lama berkhidmat.
"CUEPACS memang memandang serius perkara ini kerana banyak generasi muda, kebanyakannya masih berumur bawah 30 tahun sudah seronok bekerja tetapi perkhidmatan mereka tidak disambung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Perwakilan Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia Sesi 2009/2011 di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan sesetengah ketua jabatan yang terlalu mudah memberhentikan pekerja dengan menggunakan alasan tidak cukup peruntukan.
"Memang mereka ini kontrak, tetapi kalau sudah berkhidmat sehingga 10 tahun, tak kan senang-senang hendak berhenti.
"Sebagai ketua, janganlah jadi diktator. Pendatang asing pun kita tidak boleh memberhentikan mereka, inikan pula rakyat kita sendiri," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Omar berkata, pihaknya akan memohon penambahan lima tangga gaji bagi setiap gred perkhidmatan yang telah mencapai tangga gaji mati.
Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan secara terperinci dalam mesyuarat CUEPACS bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya minggu pertama bulan Januari tahun hadapan.
"Sebanyak 45 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam di negara ini sudah mencapai gaji maksimum.
"Sekiranya tiada kenaikan gaji, kita bimbang ia akan menjejaskan prestasi dan produktiviti," katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya akan mengutarakan pembelaan penjawat awam yang telah dikenakan tindakan tata tertib melibatkan pemberhentian kerja, untuk mendapatkan bayaran pampasan perkhidmatan dan gantian cuti rehat yang telah dikumpul.
Katanya, kesalahan yang dilakukan itu tidak ada kena-mengena dengan bayaran pampasan yang dituntut.

CUEPACS POSITIF KERAJAAN BERI BANTUAN KHAS RM500

Berita Harian
Oleh Nazura Ngah, Mohd Anwar Patho Rohman dan Haspaizi Mohd Zin
bhnews@bharian.com.my
9/12/2009



Peruntukan tambahan ganti bonus sebelum akhir tahun KUALA LUMPUR: Cuepacs positif kerajaan akan memberi peruntukkan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan bonus sebelum akhir tahun ini. Presidennya, Omar Osman, berkata melalui beberapa siri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ia mendapat reaksi meyakinkan.
"Baru-baru ini saya sempat menyambut ketibaan Perdana Menteri di Langkawi, apabila ditanya mengenai tuntutan itu beliau memberi reaksi yang positif. "Cuma kita minta, sekiranya perkara ini diluluskan, ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum persekolahan bermula tahun depan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam. Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan tiada bonus untuk kakitangan awam tahun ini disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Bagaimanapun bantuan khas sebanyak RM500 diberikan kepada kakitangan awam dan pesara.
Sementara itu Omar berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga diminta menilai semula Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) selepas dilakukan penambahbaikkan. Selepas berlaku penambahbaikkan terhadap sistem penilaian itu, ramai kakitangan awam yang menduduki peperiksaan terbabit tidak lulus. "Oleh itu, Cuepacs mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu, sehingga semakan semula dilakukan. "Memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikan gaji, apakah elemen yang diguna pakai dalam peperiksaan ini. Apakah kakitangan awam itu di nilai melalui produktiviti dan prestasi ataupun peperiksaan semata-mata," katanya.
Selain itu, Omar berkata pihaknya juga akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, bagi memastikan pekerja kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan pada akhir bulan ini mendapat pembelaan sewajarnya.

---------------------------------------------------------
Suasana Semasa Mesyuarat Kongres Di Cenang Langkawi



Media Cuepacs

09 Disember 2009

CUEPACS ADAKAN MESYUARAT TERGEMPAR BINCANG PINJAMAN PERUMAHAN

Bernama
09/12/2009 4:57pm




KUALA LUMPUR 9 Dis. - Cuepacs akan memanggil mesyuarat tergempar majlis bagi membincangkan penolakan kerajaan terhadap tuntutannya menghapuskan kira pinjaman perumahan yang diluluskan sebelum 1 Ogos 1995 bagi mereka yang ditamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan, kata setiausaha agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, di sini hari ini.
Mereka yang pinjamannya diluluskan selepas 1 Ogos 1995 diberikan keistiwewaan ini oleh kerana pinjaman mereka dilindungi insurans hilang upaya total kekal.
Ahmad Shah mengulas kenyataan Perbendaharaan semalam, bahawa kerajaan tidak dapat mengecualikan petugas yang tamat perkhidmatan atas sebab kesihatan yang telah mengambil pinjaman sebelum tarikh itu oleh kerana insurans mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran.
Beliau berkata, langkah itu menjejas kira-kira 50,000 petugas awam dan majlis akan memutuskan bentuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, ketaksamaan itu disebabkan oleh 'perbendaraan terlepas pandang kerana petugas awam tidak mempunyai suara dalam memilih insuran bila mengambil pinjaman perumahan'. - Bernama

08 Disember 2009

CUEPACS YAKIN KERAJAAN LULUS IMBUHAN TAMBAHAN RM500

Bernama
8/12/2009



KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan meluluskan imbuhan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini bagi menggantikan bonus.

Presidennya, Omar Osman, berkata melalui beberapa siri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu, ia mendapat reaksi positif.

"Baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi...apabila ditanya mengenai tuntutan itu beliau memberi reaksi yang meyakinkan.

"Cuma kita minta, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan, ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum musim persekolahan tahun depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan bayaran imbuhan RM500 kepada kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk tahun ini.

Sementara itu, Omar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga diminta menilai semula penambahbaikan yang dilakukan terhadap peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Katanya, ini kerana ramai penjawat awam yang menduduki peperiksaan PTK tidak lulus selepas berlaku penambahbaikan terhadap sistem penilaian itu.

"Oleh itu, Cuepacs mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu sehingga semakan semula dilakukan memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikan gaji," katanya. - Bernama

CADANGAN KECUALIKAN PINJAMAN RUMAH KAKITANGAN SAKIT DITOLAK

Bernama
8/12/2009




KUALA LUMPUR: Perbendaharaan Malaysia tidak dapat memenuhi tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya kerajaan mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang mengalami keilatan kekal semasa dalam perkhidmatan.

Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia, dalam kenyataan hari ini, menjelaskan tuntutan bagi penjawat awam yang membuat pinjaman sebelum 1 Ogos 1995 itu tidak dapat dipenuhi syarikat insurans kerana polisi insurans pada masa itu tidak meliputi keilatan kekal.

"Polisi keilatan kekal hanya mula ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful mulai 1 Ogos 1995 dan pinjaman perumahan selepas tarikh berkenaan sahaja layak mendapat perlindungan keilatan," menurut kenyataan itu.

Pada 22 November lalu, Cuepacs mengemukakan cadangan supaya kerajaan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan bagi kes pinjaman perumahan sebelum 1995.

Ini kerana berdasarkan perjanjian asal, petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insuran mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.

Pekeliling Perbendaharaan Bil 6/95 mewajibkan setiap peminjam mengambil insurans kebakaran dan gadai janji bagi menjamin kepentingan kerajaan daripada segi mendapat bayaran balik pinjaman sekiranya berlaku kematian atau kebakaran.

Perlindungan Hilang Keupayaan Kekal adalah produk tambahan yang ditawarkan oleh syarikat insurans kepada peminjam atas initiatif syarikat sendiri berikutan wujudnya persaingan di kalangan syarikat insuran.

"Oleh yang demikian, cadangan untuk meminda pekeliling itu tidak berkaitan," menurut kenyataan itu. - Bernama

CUEPACS OPTIMIS DAPAT BAYARAN KHAS RM500 KEDUA

Utusan Malaysia
8/12/2009



KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) optimis kerajaan akan memenuhi permintaan mereka untuk memberikan bayaran khas RM500 yang kedua bagi menggantikan bonus yang dituntut sebelum ini.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, daripada beberapa pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau cukup positif lebih satu juta kakitangan awam di negara ini bakal menerima khabar gembira tersebut tidak lama lagi.
Kata beliau, ini berikutan reaksi meyakinkan yang ditunjukkan Perdana Menteri apabila menyentuh tentang permintaan CUEPACS itu setelah kerajaan memutuskan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam.
''Misalnya, baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi, apabila ditanya mengenai tuntutan itu, beliau memberi reaksi positif.
''Cuma kita pohon, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum bermulanya musim persekolahan tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan yang kerajaan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam tahun ini memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu.
Bagaimanapun kerajaan memutuskan untuk membayar bantuan khas sebanyak RM500 diberikan kepada kakitangan awam dan pesara.
Pada perkembangan berasingan, Omar meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menilai semula Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) selepas penambahbaikan dilakukan ke atas sistem itu baru-baru ini.
Menurutnya, ini perlu kerana selepas penambahbaikan dilakukan, ramai kakitangan awam yang menduduki peperiksaan terbabit tidak lulus.
''Oleh itu, CUEPACS mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu, sehingga semakan semula dilakukan.
''Memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikkan gaji, apakah elemen yang diguna pakai dalam peperiksaan ini.
''Apakah kakitangan awam itu di nilai melalui produktiviti dan prestasi ataupun peperiksaan semata-mata," jelasnya.
Selain itu, Omar berkata, pihaknya juga akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, bagi memastikan pekerja kontrak yang akan ditamatkan tempoh perkhidmatannya pada akhir bulan ini mendapat pembelaan sewajarnya.

PERBENDAHARAAN TOLAK CADANGAN KECUALIKAN PINJAMAN PERUMAHAN PETUGAS

Bernama
8/12/2009


KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Perbendaharaan Malaysia tidak dapat memenuhi tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kerajaan mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang mengalami keilatan kekal semasa dalam perkhidmatan.Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia di dalam kenyataannya menjelaskan tuntutan bagi penjawat awam yang membuat pinjaman sebelum 1 Ogos 1995 itu tidak dapat dipenuhi syarikat insurans kerana polisi insurans pada masa itu tidak meliputi keilatan kekal."Polisi keilatan kekal hanya mula ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful mulai 1 Ogos 1995 dan pinjaman perumahan selepas tarikh berkenaan sahaja layak mendapat perlindungan keilatan," demikian menurut kenyataan itu.Pada 22 Nov lepas, CUEPACS mengemukakan cadangan supaya kerajaan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan bagi kes pinjaman perumahan sebelum 1995.Ini kerana berdasarkan perjanjian asal, para petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insuran mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.Pekeliling Perbendaharaan Bil 6/95 mewajibkan setiap peminjam mengambil insurans kebakaran dan gadai janji bagi menjamin kepentingan kerajaan daripada segi mendapat bayaran balik pinjaman sekiranya berlaku kematian atau kebakaran.Perlindungan Hilang Keupayaan Kekal merupakan produk tambahan yang ditawarkan oleh syarikat insurans kepada peminjam atas initiatif syarikat sendiri berikutan wujudnya persaingan di kalangan syarikat insuran."Oleh yang demikian, cadangan untuk meminda pekeliling itu tidak berkaitan," menurut kenyataan itu.

06 Disember 2009

PRESTASI KWSP BERITA BAIK UNTUK SEMUA PENCARUM

Utusan Malaysia
5/12/2009




KUALA LUMPUR 4 Dis. - Prestasi memberangsangkan yang dicatat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi suku ketiga tahun ini adalah berita yang sangat ditunggu-tunggu oleh kira-kira 12 juta pencarum dana persaraan itu.
Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam berkata, ia diyakini akan memberikan semangat yang lebih tinggi kepada semua pencarum untuk terus mengharungi keadaan ekonomi yang lembap sepanjang tahun ini.
"Ini satu berita baik dan MTUC mengalu-alukan apa yang telah dicapai KWSP bagi tempoh itu. Ia juga satu keputusan yang positif dalam negara berhadapan dengan situasi ekonomi sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman KWSP semalam mengenai pendapatan pelaburannya dalam suku ketiga tahun ini yang melonjak 52.71 peratus kepada RM5.5 bilion daripada hanya RM3.6 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Kira-kira 12 juta pencarum KWSP dijangka menerima bayaran dividen lebih tinggi bagi tahun ini susulan prestasi memberangsangkan itu.
Dalam pada itu, kira-kira 300,000 pencarum KWSP yang berkhidmat di sektor awam menyifatkan prestasi memberangsangkan agensi pengurus dana persaraan itu pada tahun ini sebagai satu petanda baik kepada golongan pekerja.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan bahawa walaupun di dalam keadaan ekonomi yang lembap pada masa sekarang, KWSP masih mampu mencatatkan pendapatan pelaburan yang meyakinkan.

04 Disember 2009

SEJAUH MANA KPI AZAM 2009?

Utusan Malaysia
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my
4/12/2009





MENERIMA diari 2010 pada hari pertama Disember mengingatkan saya tentang azam 2009 yang tinggal sebulan saja lagi untuk dicapai.
Jika sehingga penghujung bulan ini, apa yang dihasratkan tidak tercapai bermakna azam itu gagal. Lebih daripada itu, azam itu sebenarnya telah dimulakan sejak enam tahun lalu.
Gabungan cita-cita, harapan yang kadangkala disulami impian selama enam tahun hanya tinggal sebulan untuk dicapai - mungkin mustahil kecuali ada keajaiban membantu menjadikannya kenyataan.
Hakikatnya bulan terakhir ini adalah pengukur terakhir kepada semua orang sejauh mana pencapaian masing-masing sepanjang tahun ini.
Berjaya atau gagal - indeksnya telah boleh dibaca, jawapannya juga telah boleh dirangka - malah ada yang telah membuat rumusan mengenai prestasi sendiri.
Contoh paling mudah, sebagai pekerja adakah kita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan majikan. Atau sepanjang tahun ini, tanggungjawab yang diamanahkan di bahu kita sebagai pekerja hanya dipikul setengah hati. Manakala separuh lagi terbengkalai kerana kegagalan pekerja melaksanakan peranan masing-masing.
Begitu juga dengan peranan kita sebagai individu. Adakah prestasi atau pencapaian kita sebagai manusia yang sarat dengan tanggungjawab berjaya dilaksanakan.
Kita sebagai individu yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk sebagai ibu, bapa atau anak tidak boleh dinafikan mempunyai peranan besar yang menuntut komitmen selagi hayat dikandung badan.
Komitmen itu bukan hanya terpakai sepanjang 2009. Bagaimanapun kejayaan melaksanakan peranan tersebut pada tahun ini menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) setiap individu tidak kira apa peranan atau fungsi yang dipikul.
Sebab itu apabila ada yang berkata masih awal untuk memperkatakan perihal berjaya atau gagal azam 2009, ia sebenarnya tidak begitu.
Ini kerana pencapaian boleh diukur sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Tiga bulan pertama, adakah azam itu bermula dengan baik, mencecah enam bulan?
Adakah perkembangannya memberangsangkan, dan tiga bulan terakhir sekurang-kurang 70 peratus azam itu telah berjaya dicapai?
Jika tinggal hanya sebulan dan azam itu tidak berganjak dari atas kertas atau cuma terpahat di fikiran maka sejauh mana pencapaiannya boleh dijawab atau diberi ukuran.
Di peringkat menteri atau kementerian misalnya, jika Disember sarat dengan pelbagai kursus dan program maka ia tidak semestinya bermakna KPInya cemerlang.
Lantaran menjadi trend kementerian atau jabatan mahu menghabiskan bajet tahunan di saat-saat akhir. Itu pun selepas menyedari masih banyak peruntukan tidak dibelanjakan.
Apabila peruntukan tidak dibelanjakan bermakna kalangan penjawat awam di kementerian atau jabatan yang berkenaan tidak buat kerja.
Maka jawapannya, lahirlah idea kreatif penganjuran kursus-kursus sepanjang Disember dengan matlamat untuk menghabiskan bajet dan mengelak daripada dipersoalkan.
Hasilnya, program yang dianjurkan umpama melepaskan batuk di tangga. Pengisian 2009 yang telah dirangka sejak awal tidak mencapai matlamatnya.
Begitu juga azam kita, yang sebenarnya bergantung kepada diri sendiri sama ada untuk menjadikannya kenyataan atau sebaliknya. Itu perlu diakui.

MAKLUM BALAS: " SYOR JPA PERBETULKAN GRED SPM, STPM, DIPLOMA"

Berita Harian
26/11/2009




Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Merujuk Kepada Surat Pembaca Bertajuk “Syor JPA Perbetulkan Gred SPM, STPM, Diploma” Oleh Pekerja Jelapang, Ipoh, Perak Yang Disiarkan Dalam Akhbar Utusan Malaysia Pada 27 Oktober 2009.
Penentuan gred gaji sesuatu skim perkhidmatan adalah berdasarkan prinsip kadar upah untuk kerja dan syarat lantikan yang diperlukan. Bagi perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) skop fungsi tugas umumnya ialah mengambil trengkas, menaip, pengurusan fail, pengurusan temu janji, mengatur mesyuarat/perbincangan dan mengurus/mengatur program kerja harian ketua jabatan atau penyelianya. Oleh yang demikian, ia diletakkan pada Gred N17 dengan syarat minimum di peringkat SPM dengan kemahiran mengambil trengkas atau nota rintas (Gaji permulaan N17:P1T2). Skim perkhidmatan ini juga diperuntuk kelayakan masuk Diploma Sains Kesetiausahaan daripada politeknik-politeknik tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan dengan diberi gaji permulaan yang lebih tinggi iaitu Gred N17:P1T9 (RM1,219.66 sebulan).
Cadangan untuk melihat semula syarat kelayakan masuk dan melaraskan gred bagi skim-skim perkhidmatan yang dibangkitkan oleh pembaca adalah dalam pertimbangan JPA di mana ia perlu diperhalusi dari aspek relativiti dan pariti bagi perkhidmatan-perkhidmatan ini secara keseluruhan yang melibatkan skim-skim perkhidmatan lain yang menetapkan syarat kelayakan masuk di peringkat sijil, STPM dan Diploma.
Unit Komunikasi KorporatJabatan Perkhidmatan Awam Malaysia26 November 2009

GAJI DIPLOMA TIDAK SETARAF

Berita Harian
1/12/2009




SAYA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan lulusan diploma untuk mengisi kekosongan jawatan di perkhidmatan awam. Walaupun jawatan gred 17 yang kami terima itu tak setaraf kelulusan, kami terima dengan hati terbuka. Cuma apa yang terkilan ialah dari segi gred gaji dibayar JPA. Kami lulusan diploma dan ijazah dibayar dengan gred P1T1 (RM824.00) iaitu setaraf gred lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala bagi yang memiliki sijil politeknik pula dibayar dengan gred P1T9.
Jika semua masyarakat terdedah dengan hal ini, saya yakin lebih baik lepasan SPM memohon melanjutkan pelajaran pada peringkat sijil di politeknik. Ia jelas menunjukkan tiadanya keadilan dan JPA seolah-olah menafikan kelulusan dan tidak mengiktiraf lulusan diploma IPTA. Kami berharap sekurang kurangnya berilah gaji kami sama dengan kelulusan sijil politeknik atau lebih tinggi. Kami menghabiskan masa belajar peringkat diploma selama tiga tahun dan dalam tiga tahun, pihak JPA jangan lupa kami meminjam berpuluh ribu ringgit daripada PTPTN untuk menghabiskan pengajian. Dengan gaji RM824, mana mungkin kami membayar hutang PTPTN serta tunggakannya seperti dijadualkan. Gaji habis semata-mata untuk bayar hutang, tambang pergi balik kerja, perbelanjaan makan dan minum.
Jadi terpaksalah kami menggunakan pakaian sama bertahun-tahun sehingga menunggu gaji naik.

KAKITANGAN AWAM,
Pahang.

GURU BERMASALAH ELOK KE PEJABAT PENDIDIKAN

Berita Harian
3/12/2009





TIMBALAN Menteri Pelajaran menyatakan guru semberono akan ditangani secara serius untuk memastikan pelajaran murid tidak terjejas. Guru semberono bermaksud guru yang mengajar sambil lewa dan tidak komited dalam menjalankan tugas di sekolah. Sebenarnya bukanlah susah sangat mengenali guru jenis ini. Secara umum sebahagian besar tenaga pengajar sekarang adalah guru yang bertanggungjawab, berdisiplin dan sentiasa memberikan kerjasama. Bukan mudah untuk mengambil tindakan disiplin terhadap penjawat awam, khususnya tindakan gantung kerja atau buang kerja. Tugas ini memakan masa panjang kerana melalui peringkat tertentu dan perlu disertai maklumat dan bukti lengkap.
Oleh itu elok guru berprestasi rendah ini ditempatkan di pejabat pendidikan. Malah, pegawai kanan atau pegawai atasan di pejabat pelajaran dapat 'mengawasi' dan membimbing guru bermasalah ini.
ZIN MARKAM,
Pontian, Johor.

03 Disember 2009

NUTP BERI JAMINAN AHLI SOKONG SEPENUH SGM

Berita Harian
3/12/2009





KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), pertubuhan guru terbesar di negara ini dengan 120,000 ahli memberi jaminan akan memastikan Standard Guru Malaysia (SGM) yang dilancarkan kelmarin, mencapai matlamatnya. Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata SGM amat ditunggu-tunggu oleh kesatuan itu kerana ia sejajar dengan dasar kesatuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar melalui guru yang berkelayakan dan berdedikasi. “Ahli kami sudah pasti akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, sekolah, kolej dan institut latihan perguruan untuk mengekalkan dan memperbaiki standard yang ditetapkan,” katanya ketika mengulas SGM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di Sabah, kelmarin.

Dokumen itu akan dijadikan penanda aras kepada 300,000 guru yang mengajar, secara lebih efektif dalam kelas dan mereka juga perlu memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi. Lok berkata, sebaik standard ditetapkan dan garis panduan jelas diperkenalkan adalah mudah kepada guru mengikuti dan melaksanakannya. Pada masa ini, ada kekurangan dan kadang-kadang sukar untuk guru memberi perkhidmatan terbaik seperti mana yang diharapkan kerajaan dan masyarakat.
Beliau berharap garis panduan itu akan menggalakkan warga pendidik agar lebih inovatif dan berusaha meningkatkan kemahiran pengajaran dan pengetahuan mereka. Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata dengan pelancaran dokumen itu, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempunyai SGM. “Ia perlu dipuji kerana mampu menjadi penanda aras selain menjamin mutu dan kualiti guru sebagai penentu masa hadapan anak bangsa. SGM memberi gambaran jelas mengenai tugas guru,” katanya.

02 Disember 2009

TIADA JAMINAN, IMBUHAN KEPADA PEKERJA AGENSI NUKLEAR

Bernama


KUALA LUMPUR: Kakitangan Agensi Nuklear Malaysia tidak diberikan sebarang bentuk jaminan dan imbuhan khas selain daripada jaminan dan imbuhan yang lazimnya diberikan kepada penjawat awam, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof. Beliau berkata bagaimanapun, sebahagian daripada kakitangan itu yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran layak mendapat cuti tambahan sebanyak 14 hari setahun. "Bagi kakitangan yang menjalankan tugas sebagai pengendali reaktor penyelidikan nuklear yang terdapat di agensi, elaun kelayakan khas RM150 sebulan diberikan.
"Ini kerana semua pengendali reaktor itu perlu menjalani latihan khas tambahan yang dikendalikan oleh agensi itu sendiri sebelum dibenarkan mengendali reaktor penyelidikan berkenaan," katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) yang ingin tahu bentuk jaminan serta imbuhan yang diberikan kepada kakitangan di pusat tenaga nuklear pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Fadillah berkata bagi memastikan tiada kesan negatif terhadap kesihatan pekerja di agensi itu, semua kakitangan yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran dimestikan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. "Pemeriksaan perubatan ini tertumpu kepada aspek yang khusus kepada mengenal pasti sebarang kesan sinaran dalam sel darah dalam tubuh kakitangan berkenaan dan setakat ini, tiada kesan negatif didapati," katanya.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam serta alam sekitar, semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia sentiasa dipantau oleh sistem audit dalaman agensi tersebut dan agensi kawalseliaan kebangsaan seperti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). "Audit atau "Peer Review" terhadap operasi agensi itu oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga dilaksanakan dari semasa ke semasa. "Peer review''" oleh pakar dari negara serantau juga telah dilaksanakan di bawah rangka kerja Forum Kerjasama Nuklear Asia (FNCA). "Semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia juga perlu bagi memenuhi obligasi negara di bawah pelbagai triti, konvensyen dan perjanjian nuklear serantau dan antarabangsa termasuk Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang turut meliputi aspek keselamatan aktiviti nuklear bagi mengelakkan kesan negatif kepada negara jiran," katanya. Fadillah turut menegaskan bahawa aktiviti di Agensi Nuklear Malaysia tidak memberikan sebarang kesan negatif sama ada kepada kesihatan penduduk sekeliling dan alam sekitar.
Katanya, pemantauan yang merangkumi analisis kandungan bahan radioaktif di dalam sampel udara, air, tanah dan tumbuh-tumbuhan dalam kawasan sekitar membuktikan ketiadaan peningkatan kandungan bahan radioaktif di kawasan persekitaran berbanding keadaan sebelum agensi itu mula beroperasi. - Bernama

SENTRAL: BANTAHAN SISTEM LETAK KERETA PUTRAJAYA

Berita Harian
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my




Gempur dakwa kemudahan dijanjikan belum dilaksana PUTRAJAYA: Pelaksanaan Sistem Parkir Berbayar (SPB) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang bermula, hari ini mendapat bantahan Gerakan Bertindak Warga Muda Prihatin Putrajaya (Gempur) yang berpendapat sistem itu tidak akan berjaya selagi masalah kekurangan tempat letak kereta tidak diselesaikan. Pengerusinya, Mohd Hisamudin Yahaya, berkata penyediaan kawasan parkir bertingkat dan mencukupi perlu dilaksanakan terlebih dulu menggunakan peruntukan Bajet 2010 dan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebelum SPB dilaksanakan di situ.
"Kami kesal dan mahu SPB ini ditangguhkan kerana sistem monorel yang dirancang untuk Putrajaya belum dilaksanakan. Perkhidmatan awam terutama bas di sini juga tidak mencukupi yang menghalang kelancaran perjalanan. "Kami juga kecewa sebab tidak ada kempen menyeluruh dijalankan untuk menerangkan mengenai SPB ini. Bagi yang berpangkat besar mungkin tidak ada masalah sebab mereka mempunyai pemandu sendiri tetapi bagaimana dengan kumpulan sokongan?" katanya. Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum menuntut penangguhan SPB Dalam Kejiranan Putrajaya kepada Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini, kelmarin. Memorandum berkenaan diterima Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, M Sazali Kamilan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Abdul Ghani Ahmad dilaporkan berkata, bermula hari ini tiada lagi tempat letak kereta percuma di kompleks A, B, C, D dan E di sini dalam usaha PPj mengatasi isu kekurangan tempat letak kereta yang semakin meruncing di kompleks kerajaan itu. Bagi tujuan itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya juga akan menambah lebih 500 kawasan meletakkan kenderaan bagi kegunaan orang ramai khususnya pelawat dan pengunjung Putrajaya yang ingin berurusan dengan kementerian serta jabatan kerajaan di beberapa kawasan berhampiran kompleks bangunan kerajaan. Bagi menyelesaikan kemelut itu, Mohd Hisamudin menggesa perbincangan antara persatuan penduduk di Putrajaya, Persatuan Kebajikan Kakitangan Awam dan badan bukan kerajaan (NGO) diadakan dengan segera. "Kementerian terbabit perlu melaksanakan segera kajian penambahbaikan sistem parkir dengan mengambil kira populasi semasa, unjuran populasi dalam tempoh lima tahun dan unjuran pelawat yang berurusan dengan pejabat kerajaan," katanya.

01 Disember 2009

PBT PERLU BANTU PENDUDUK

Utusan Malaysia
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
30/11/2009







MUHYIDDIN Yassin bersalam dengan wakil pihak berkuasa tempatan yang menghadiri Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Anulae Ke-23 di Kuala Lumpur, semalam.







KUALA LUMPUR 30 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar dipinda atau diubah suai jika ia sudah usang atau tidak sesuai dengan perkembangan semasa.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting ke arah memperkenalkan cara-cara terbaru untuk melaksanakan tanggungjawab PBT secara lebih berkesan lagi.
"Mengenai kajian undang-undang kecil yang sudah lama dipakai, ia satu perkara yang harus diberi perhatian," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Ke-23 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas ucapan aluan oleh Presiden Anulae Semenanjung Malaysia, Azih Muda bahawa undang-undang kecil dilaksanakan PBT di negara ini perlu dikaji serta diseragamkan.
Muhyiddin berkata, sebahagian besar undang-undang kecil PBT berada di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri, dan menurutnya beliau menyerahkan kepada pihak ini untuk mengkajinya dan jika ada yang berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan, ia boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata, PBT perlu membantu penduduk di kawasan masing-masing untuk mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan.
Katanya, PBT boleh berbuat demikian dengan mengeluarkan lebih banyak lesen perniagaan sekali gus menambah pendapatan.
"Memang kerajaan telah pun meminta PBT mengeluarkan lebih banyak lesen perniagaan terutama kepada penjaja kecil sebelum ini.
"Tetapi kita minta ia terus dipertingkatkan oleh kerana semakin ramai rakyat kita yang berminat berniaga," katanya.
Muhyiddin menjelaskan, lebih 120,000 lesen perniagaan terutama bagi peniaga kecil dan penjaja telah dikeluarkan PBT diseluruh negara pada tahun lalu.
"Kita minta ia terus dipertingkatkan dengan syarat permohonan memenuhi syarat dan kawasan yang disediakan bersesuaian. Ini bukan untuk pegawai PBT tetapi untuk penduduk tempatan," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Muyhiddin berkata, peranan PBT secara langsung atau tidak langsung amat diperlukan dalam usaha kerajaan untuk menaik taraf kehidupan rakyat.
Katanya, petugas PBT dianggap seperti barisan hadapan kepada kerajaan dalam membantu rakyat secara keseluruhannya selain memacu pembangunan negara.
"PBT adalah ejen utama kerajaan dalam melaksanakan semua matlamat yang digariskan. Ia akan menjadikan setiap agenda kerajaan sentiasa di hati rakyat," katanya.
Beliau berkata, segala usaha kerajaan tidak akan berhasil sekiranya seluruh warga PBT tidak mempunyai kesedaran mendalam dan tidak menghayati sepenuhnya matlamat yang digariskan kerajaan.

26 November 2009

PENETAPAN GAJI BERDASARKAN PERATURAN PEGAWAI AWAM 2005

Utusan Malaysia
26/11/2009




JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat daripada Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia dalam ruangan ini bertarikh 16 November 2009 bertajuk Guru Lama Sentiasa Terlepas Peluang.
Berdasarkan Peraturan 23 dalam peraturan-peraturan pegawai awam (pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan) 2005 (P.U (A) 176), gaji permulaan bagi seseorang pegawai sedang berkhidmat yang dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain hendaklah ditetapkan pada suatu mata gaji yang lebih tinggi.
Berikutan itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 tidak akan mengalami kerugian gaji memandangkan prinsip penetapan gaji permulaan sebagaimana yang ditetapkan dalam Peraturan 23 P.U (A) 176 adalah terpakai kepada pegawai.
Di samping itu, melalui pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 tahun 2007, PPPLD yang dilantik sebagai PPPS mulai 1 Julai 2007 adalah juga layak diberi Hadiah Kenaikan Gaji (HKG) yang bersamaan dengan satu Pergerakan Gaji Biasa di Gred DG41.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

CUEPACS BIMBANG SIASATAN SPRM TERJEJAS

Berita Harian
26/11/2009




PUTRAJAYA: Produktiviti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari segi siasatan kes akan terjejas berikutan had masa ditetapkan untuk menyiasat di antara jam 8.30 pagi hingga jam 5 petang. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata ia kerana suruhanjaya berkenaan kini berdepan dengan masalah kekurangan kakitangan terutama pegawai penyiasat dan had masa itu menyebabkan kes tertangguh. “Dengan had masa itu, agak sukar siasatan diselesaikan cepat kerana kes rasuah tidak sama seperti jenayah lain, kadangkala berlaku kes surat layang menyebabkan setiap dakwaan perlu diselidik mendalam dan menemubual banyak saksi.
“Had masa yang ditetapkan akan menyebabkan siasatan kes lembab dan akhirnya SPRM yang akan menerima kecaman orang ramai,” katanya kepada Berita Harian, semalam. Di MELAKA, Bahagian Siasatan SPRM sudah menyusun semula jadual waktu tugasan anggotanya yang terbabit dalam sesi menyoal siasat saksi kes rasuah di seluruh negara. Pengarahnya, Datuk Shukri Abdull berkata, sesi berkenaan dilakukan pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan dijangka memberi kesan dalam tempoh dua hingga empat bulan akan datang.

25 November 2009

"GURU LAMA SENTIASA TERLEPAS PELUANG"

Maklum Balas JPA
24/11/2009

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada artikel daripada Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 November 2009 bertajuk “Guru Lama Sentiasa Terlepas Peluang”.
Berdasarkan Peraturan 23 dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U. (A) 176], gaji permulaan bagi seseorang pegawai sedang berkhidmat yang dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain hendaklah ditetapkan pada suatu mata gaji yang lebih tinggi.
Berikutan itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 tidak akan mengalami kerugian gaji memandangkan prinsip penetapan gaji permulaan sebagaimana yang ditetapkan dalam Peraturan 23 P.U. (A) 176 adalah terpakai kepada pegawai. Di samping itu, melalui pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2007, PPPLD yang dilantik sebagai PPPS mulai dari 1 Julai 2007 adalah juga layak diberi Hadiah Kenaikan Gaji (HKG) yang bersamaan dengan satu Pergerakan Gaji Biasa di Gred DG41.


Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
24 November 2009

WUJUDKAN SKIM PERKHIDMATAN UNIVERSITI (MAKLUM BALAS JPA)

Maklum JPA
23/11/2009



Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Merujuk Kepada Cadangan Oleh Pengerusi Gabungan Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum), Encik Omar Osman Dalam Artikel Bertajuk “Wujudkan Skim Perkhidmatan Universiti” Yang Disiarkan Dalam Akhbar Utusan Malaysia Bertarikh 27 Oktober 2009.
Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang terikat dengan syarat-syarat skim perkhidmatan seperti mana yang terpakai bagi sektor awam. Sehubungan itu, cadangan supaya diwujudkan skim perkhidmatan universiti yang berbeza dengan kakitangan kementerian dan agensi lain adalah tidak berbangkit kecuali status IPTA diputuskan menjadi sebuah agensi yang diasingkan saraannya sama sekali yang terpakai bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Berhubung cadangan untuk memberi peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik terutamanya dari segi tempoh kenaikan pangkat kakitangan Kumpulan Sokongan, kerajaan turut memanjangkan keputusan pelaksanaan kenaikan pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan lebih secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang masih berada dalam gred lantikan mulai 1 Julai 2009 kepada Badan-Badan Berkanun Persekutuan termasuk IPTA.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
23 November 2009

23 November 2009

KECUALI PINJAMAN PERUMAHAN BAGI PETUGAS SAKIT: CUEPACS

Bernama
23/11/2009


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata pada masa ini hanya mereka yang membuat pinjaman selepas 1 Ogos, 1995 tidak perlu membayar baki pinjaman sekiranya mereka tidak dapat berkhidmat kerana sakit. Tetapi bagi petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insuran mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.
"Ini bermakna penjawat awam tidak perlu menjelaskan baki pinjaman sekiranya mereka meninggal dunia atau rumah mereka terbakar tetapi bukan sekiranya mereka hilang upaya untuk bekerja kerana sakit," katanya. Faktor itu menyebabkan kira-kira 50,000 petugas awam dipercayai kini menghadapi keadaan sukar. Cuepacs berharap Pekeliling Perbendaharaan 6/95 dipinda bagi membolehkan semua penjawat awam yang mengambil pinjaman perumahan dilindungi sekiranya mereka hilang upaya kekal tanpa tempoh matang, kata Ahmad Shah.
Sumber daripada industri insuran berkata adalah mudah bagi kerajaan untuk mengatasi masalah itu dengan hanya memeterai kontrak tambahan dengan syarikat insuran bagi memasukkan peruntukan liputan tambahan. Namun persoalannya siapakah yang harus menanggung kos premium tambahan, kerajaan atau penjawat awam. - Bernama

18 November 2009

JPA KAJI SKIM PERKHIDMATAN JURUTEKNIK

JPA
18/11/2009

JABATAN Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) merujuk kepada surat oleh Mahu Jawapan Positif bertajuk Juruteknik gred J17/22/26 hantar petisyen yang disiarkan dalam ruangan ini pada 16 November 2009.
Berikutan perubahan skop fungsi tugas, Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah Gred NT17, NT22, NT31/32, NT36 telah ditambah baik kepada NT27, NT32, NT36 dengan kelayakan masuk sijil dari politeknik/diploma.
Penambahbaikan skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah ini adalah dengan memansuhkan gred jawatan NT17, NT22 tetapi mengekalkan gred jawatan NT32, NT36 dengan diperuntukkan Gred NT27 bagi maksud lantikan di peringkat Kumpulan Sokongan berkelayakan sijil daripada politeknik/diploma. Kenaikan taraf ini menepati prinsip kadar upah untuk kerja dan kelayakan yang diperlukan.
Skim perkhidmatan Juruteknik Gred J17, J22, J26 juga sedang dikaji oleh JPA bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Kajian tersebut turut melibatkan penelitian kepada implikasi struktur Perkhidmatan Teknikal dan implikasi kepada skim-skim perkhidmatan yang setara (memperuntukkan syarat lantikan di peringkat sijil dalam bidang kejuruteraan atau perancang bandar dan wilayah dari politeknik tempatan atau universiti pengajian tinggi) seperti berikut:
Struktur Perkhidmatan Teknikal / Kelayakan Gred
l Jurutera / Ijazah J41
l Penolong Jurutera / Diploma J29
l Penolong Pegawai Seni Bina / Diploma J29
l Penolong Juruukur Bahan / Diploma J29
l Juruteknik / Sijil Politeknik J17
Skim Perkhidmatan Setara / Kelayakan Gred
l Juruteknik Perancang Bandar dan Desa / Sijil Politeknik J17
l Juruteknik Ukur / Sijil Politeknik J17
l Juruteknik Landskap / SIP / Sijil Politeknik J17
l Pembantu Pemeriksa Kilang / SPM / Sijil Politeknik J17
l Penguasa Bekalan Air / SPM /Sijil Politeknik J17
l Merinyu Tali Air / SPM / SIP / Sijil Politeknik J17
JPA secara berterusan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang berkuat kuasa sama ada dari segi keperluan perubahan syarat lantikan atau kenaikan taraf skim perkhidmatan berikutan perubahan skop fungsi tugas.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perkhidmatan Awam

17 November 2009

CUEPACS,SPRM BEKERJASAMA TINGKAT INTERGRITI PENJAWAT AWAM

Berita Harian
17/11/2009





SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan lebih banyak program bersama untuk meningkatkan tahap integriti dan menjauhi perbuatan rasuah di kalangan ahli penjawat awam. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata tahap kesedaran anggota penjawat awam mengenai bahayanya rasuah harus dipertingkatkan dari masa ke semasa sehingga akhirnya melahirkan anggota perkhidmatan awam yang membenci rasuah. "Justeru itu, kita wajar meneruskan apa juga usaha yang telah dan bakal kita laksanakan semoga suatu hari nanti tahap kesedaran ini akan mewujudkan anggota perkhidmatan awam dan masyarakat Malaysia yang benar-benar bebas dari jenayah rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas seminar pencegahan rasuah dan pemantapan integriti perkhidmatan awam anjuran bersama SPRM dan Cuepacs Cawangan Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini. Katanya, Cuepacs bukan saja memperjuangkan kenaikan gaji atau bonus dan kebajikan penjawat awam semata-mata tetapi juga memperjuangkan integriti dan masa depan mereka. - Bernama

SPRM TAHAN 605 ORANG DISYAKI RASUAH TAHUN LALU

Berita Harian
17/11/2009

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 605 orang kerana disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah rasuah sepanjang tahun lalu. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata daripada jumlah itu, seramai 323 orang atau 54 peratus adalah orang awam dan kakitangan swasta manakala 282 orang atau 46 peratus terdiri daripada pegawai kerajaan. "Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat perubahan yang amat besar dari segi pengukuran tahap kesedaran penjawat awam berhubung kesalahan jenayah rasuah ini," katanya dalam ucapan pada seminar pencegahan rasuah dan pemantapan integriti perkhidmatan awam anjuran bersama SPRM dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Cawangan Negeri Sembilan.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah SPRM (Bahagian Keselamatan), Datuk Ahmad Khusairi Yahaya. Majlis dirasmikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan, yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Presiden Cuepacs, Omar Osman; Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh; Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Muhammad; dan Pengarah SPRM negeri, Zainul Darus.
Dalam erti kata lain, Ahmad Said berkata SPRM telah banyak menerima pelbagai aduan dan menjalankan siasatan ke atas orang awam dan pihak swasta yang terbabit rasuah khususnya kesalahan cubaan menyogok penjawat awam. Ahmad Said berkata, usaha kerajaan dan SPRM melaksanakan pelbagai program pendidikan pencegahan jenayah rasuah dan pengukuhan integriti sudah menampakkan kesan yang amat positif. Katanya, semakin ramai penjawat awam yang berani tampil melaporkan perbuatan penyogok mereka. "Usaha memerangi jenayah rasuah memerlukan perancangan dan pelaksanaan pelbagai dasar dan program secara sistematik dan berterusan. Tahap kesedaran masyarakat mengenai bahaya jenayah rasuah ini harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
"Kita perlu menangani persoalan integriti ini secara menyeluruh dengan menyuburkan semula nilai-nilai murni dalam segala tingkah dan tindakan kita," katanya. Seminar itu antara lain bertujuan memberikan pendedahan di kalangan anggota perkhidmatan awam Negeri Sembilan berhubung aspek perundangan dan peraturan yang berkaitan dengan kesalahan jenayah rasuah. - Bernama