KOSMO
10/7/2017
MASYARAKAT perlu berbelanja secara berhemah dengan bijak membezakan antara keperluan dan kehendak. – Gambar hiasan
Perancangan kewangan sememangnya penting untuk menyambut Aidilfitri.
Segalanya perlu diambil kira. Daripada pakaian baharu, pemberian duit
raya, kos perjalanan untuk melakukan ziarah hinggalah juadah untuk
menjamu tetamu yang datang ke rumah.
Perkara-perkara ini sebenarnya satu kelaziman pada lebaran dan tidak
akan menimbulkan masalah kewangan yang berat sekiranya seseorang itu
berbelanja dengan berhemah berdasarkan kemampuan.
Sepanjang musim perayaan ini, orang ramai terutama mereka yang
berpendapatan rendah perlu beringat semasa berbelanja agar tidak
tertekan atau dibebani hutang selepas perayaan berakhir.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, fenomena berhutang setiap kali
perayaan menjadi trend kalangan penjawat awam dan ia sekali gus
membebankan mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah.
“CUEPACS merayu kepada orang ramai khususnya penjawat awam supaya
merancang perbelanjaan dan berbelanja secara berhemah. Kami tidak mahu
ada yang sehingga terpaksa menanggung hutang selepas musim perayaan.
Masalah ini sentiasa berulang setiap tahun,” katanya ketika dihubungi
Kosmo! baru-baru ini.
Tambah beliau, seorang penjawat awam akan terus dibelenggu dengan
masalah hutang jika sikap meminjam sama ada dengan individu atau
syarikat setiap kali musim perayaan, tidak diubah.
“Paling membimbangkan, apabila terdapatnya trend untuk berhutang
dengan ah long disebabkan kad kredit habis digunakan untuk berbelanja.
Perkembangan ini adalah satu senario tidak sihat dan harus dielakkan
oleh penjawat awam.
“Selain itu, kewangan yang tidak mencukupi untuk menampung
perbelanjaan harian keluarga juga antara punca mereka terpaksa meminjam
dan akhirnya berdepan masalah hutang yang serius selepas hari raya,”
ujarnya.
Bajet
Justeru, CUEPACS berharap trend berhutang setiap kali musim perayaan
akan dapat diubah dengan perancangan perbelanjaan yang lebih baik pada
masa hadapan.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Azlan Shah Zaidi
berkata, tabiat berbelanja masyarakat juga perlu diubah mengikut situasi
ekonomi semasa dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, membuat persiapan dan perbelanjaan untuk musim perayaan
adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun yang menimbulkan
masalah jika gagal membuat perancangan kewangan walaupun sedia maklum ia
adalah sesuatu langkah yang baik.
Selain itu, Mohd. Azlan berkata, ramai orang mempunyai pengetahuan
tentang kepentingan menyediakan bajet namun amalannya masih lagi rendah
berikutan tanggapan masyarakat bahawa raya hanya setahun sekali.
“Saya berpendapat, aktiviti menyediakan bajet ini patut menjadi
amalan dan tabiat semua orang tidak kira latar belakang dan sosioekonomi
serta bukan hanya tertumpu pada musim perayaan.
“Sebagai pengguna, kuasa beli dan pilihan adalah di tangan kita
sendiri maka hanya kita yang perlu merencanakan persiapan dan
perbelanjaan untuk menyambut Syawal,” katanya.
Jelasnya lagi, masyarakat perlu menyediakan bajet raya yang realistik
dan mengikut kemampuan kewangan masing-masing dan sebaiknya
mengutamakan kesederhanaan.
Sebagai panduan untuk Aidilfitri tahun-tahun mendatang, Mohd. Azlan
menyarankan supaya individu dan keluarga mula membuat persiapan
Aidilfitri lebih awal iaitu beberapa bulan sebelum Ramadan.
“Orang ramai mungkin boleh memperuntukkan antara satu hingga tiga
bulan sebelum Ramadan untuk melakukan pembelian yang kecil manakala
tempoh yang lebih lama, kira-kira enam bulan sebelum Ramadan untuk
pembelian jumlah yang besar.
“Ini bertujuan memberikan masa yang cukup kepada pengguna membuat
simpanan dan melakukan perbandingan dari segi kualiti, kuantiti dan
harga,” ujarnya.