SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

25 Ogos 2017

JKKP SABAH TERUS KOMITED LAKSANA AUDIT DI SEKTOR AWAM

Bernama
Tarikh kemaskini: 24/08/2017


KOTA KINABALU, 24 Ogos (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sabah komited melaksanakan audit pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) di sektor awam bagi memastikan keselamatan pekerja di tempat kerja sentiasa terjamin.

Pengarah JKKP Sabah Mohd Zahari Hitam berkata pada tahun ini, audit pematuhan AKKP 1994 akan memfokuskan kepada hospital awam, jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia serta agensi berisiko tinggi.

"Sebagai penggubal, pelaksana dasar dan perundangan, kerajaan merupakan pemacu utama bagi memastikan peningkatan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) negara menerusi pelbagai kaedah dan pendekatan sebagai insiatif dalam menerapkan budaya pencegahan di tempat kerja," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam (HIRARC) peringkat negeri Sabah, Khamis.

Zahari berkata pada tahun lepas, JKKP telah melakukan audit di 35 agensi kerajaan di Sabah dan mendapati banyak agensi masih kurang peka mengenai tahap pematuhan AKKP 1994, pengurusan dokumen KKP serta kesedaran pihak pengurusan dan kumpulan sokongan penjawat awam kurang memuaskan.

Menurutnya, ketua agensi, jabatan dan penjawat awam perlu memberikan komitmen baik dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja di samping mengamalkan pengurusan KKP berkesan agar keselamatan dan kesihatan penjawat awam terjamin," katanya.

Mengenai majlis itu, seramai 50 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan menyertai bengkel berkenaan untuk memberi pendedahan kepada penjawat awam berkaitan perundangan KKP, sistem pengurusan dan amalan KKP bagi menjadikan tempat kerja di sektor awam sentiasa kondusif.

Beliau berkata, bengkel sehari itu memfokuskan kepada HIRARC iaitu 'Hazard Identification, Risk Assesment and Risk Control' selaras dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2020 (OSHMP2020) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas.

"OSHMP2020 merupakan agenda negara yang berupaya menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan dan kesihatan pekerja selain meningkatkan kualiti hidup masyarakat khususnya penjawat awam," katanya.

Bengkel anjuran JKKP itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) serta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS).

-- BERNAMA

22 Ogos 2017

CUEPACS SOKONG DANA UNIVERSITI AWAM TIDAK DIPOTONG

Berita Harian


KUALA LUMPUR: CUEPACS menyokong penuh kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh supaya dana untuk universiti awam (UA) tidak dipotong dalam Bajet 2018.
Timbalan Presiden I CUEPACS, Mohd Shaman Jaes, berkata pengurangan dikhuatiri memberi kesan langsung kepada kira-kira 50,000 ahli kesatuan itu yang bernaung di bawah Gabungan Kesatuan-Kesatuan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) dan sektor pendidikan tinggi sendiri.

Katanya, selain keselamatan dan kesihatan, sektor pendidikan perlu diberi keutamaan kerana ia melahirkan modal insan yang bakal memimpin negara pada masa depan. "Kami berharap dana yang diperuntukkan untuk UA dalam Bajet 2018 sama dengan tahun ini atau ditingkatkan lagi. Selain untuk penggajian, banyak kos yang memerlukan peyelenggaraan turut meningkat. 

"Kami juga tidak mahu kakitangan kontrak terus menjadi sasaran sekiranya pengurangan bajet berlaku akibat penjimatan kos oleh UA," katanya pada sidang media di Wisma CUEPACS, di sini, hari ini.Yang turut hadir, Presiden GAKUM, Zulkifli Mohamed; Timbalan Setiausaha Agung I CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin dan Timbalan Setiausaha Kewangan CUEPACS, Mohd Razali Singah. 

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, tidak semua UA mempunyai keupayaan untuk bergantung kepada kewangan sendiri, malah separuh daripada 20 UA bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.Mengulas lanjut, Mohd Shaman berkata, banyak kesan yang sudah berlaku akibat pengurangan dana untuk UA kepada kakitangan akademik dan bukan akademik serta turut membabitkan pengajian pelajar. 

Katanya, hal itu berlaku apabila banyak proses penyelenggaraan tidak mampu dibuat seterusnya mengakibatkan suasana kurang kondusif untuk pelajar."Syukur kerana yuran masih dikawal kerajaan kerana jika tidak UA terpaksa menaikkannya bagi menghadapi penambahan kos," katanya.

Mohd Shaman berkata, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri pada hujung September ini untuk melihat keperluan perkhidmatan dalam sektor awam.

18 Ogos 2017

126,000 UNIT RUMAH PPA1M KINI DALAM PELBAGAI PERINGKAT PELAKSANAAN -KSN

Bernama
Tarikh kemaskini: 17/08/2017



KSN Dr Ali Hamsa merasmi dan menyampaikan kunci kepada penerima projek PPA1M Aspen, Taman Kuantan Jaya, Kuantan
KUANTAN, 17 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 126,007 daripada 200,000 unit rumah projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) yang disasar akan dibina menjelang tahun 2020, kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata 126,000 unit rumah itu melibatkan 332 projek PPA1M dengan 21 daripadanya itu telahpun berjaya disiapkan, membabitkan 3,379 unit rumah.

"Kebanyakan projek telah dan hampir siap adalah di Putrajaya serta Lembah Klang kerana ramai kakitangan awam di kawasan itu dan usaha giat sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan lagi pembinaan projek PPA1M yang lain termasuk di negeri-negeri.

Di Pahang sendiri, kerajaan telah meluluskan 4,629 unit PPA1M termasuk 197 unit rumah PPA1M Aspen, Taman Kuantan yang diserahkan kunci kepada penerima pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci PPA1M Aspen, Taman Kuantan Jaya, di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.....

11 Ogos 2017

PARLIMEN: KEMENTERIAN KAJI INSENTIF KEPADA GOLONGAN PROFESION TEKNIKAL

Bernama
Tarikh kemaskini: 10/08/2017



KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji cadangan untuk memberi insentif kepada golongan profesion teknikal bagi mengiktiraf sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur negara.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan itu bagaimamana pun perlu mengambil kira persetujuan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain.

"Kami pernah mengangkat cadangan itu kepada JPA pada tahun 2012 namun ia tidak mendapat kelulusan. Usaha ini akan kami teruskan supaya insentif profesion teknikal akan dapat diberikan seperti profesion perubatan.

"Namun demikian, sebelum dapat melaksanakannya, kami perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak berkepentingan yang mempunyai golongan profesion seperti jurutera, arkitek dan juru ukur, " katanya ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mastura mencadangkan kerajaan mengiktiraf golongan profesion teknikal dengan mengadakan Hari Profesion Teknikal Negara dan pemberian insentif tertentu atas sumbangan mereka terhadap pembangunan negara.....

03 Ogos 2017

TAMBAH BAIK SKIM PERKHIDMATAN GRED 19 -CUEPACS

Bernama
Tarikh kemaskini: 02/08/2017

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menambahbaik skim perkhidmatan gred 19, melibatkan lebih 100,000 pembantu tadbir dalam sektor kerajaan termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Timbalan Presiden I Ceupacs Mohd Shaman Jaes berkata walaupun kakitangan gred 19 baharu menikmati kenaikan gred daripada gred 17 pada tahun lalu, namun kenaikan itu tidak banyak membantu terutamanya untuk mereka yang menetap di bandar besar.
"Penambahbaikan juga perlu dilakukan mengambil kira beban kerja mereka yang saban tahun makin bertambah. Peranan yang dimainkan pembantu tadbir dalam apa juga sektor adalah penting.
"Semakan ini boleh dilakukan kerana terdapat gred 20 dan 26 yang boleh dipertimbangkan. Jika mereka mempunyai diploma, berilah mengikut taraf diploma dan jika tiada, boleh membuat perkiraan menerusi pengalaman kerja," katanya.
Mohd Shaman berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Dwi-Tahunan Ke-13 Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia (KEPTAKES) di Kuantan semalam.

Mohd Shaman berkata berdasarkan skim sekarang, kakitangan gred 19 memperoleh gaji termasuk elaun antara RM1,700 ke RM1,900, yang masih dianggap sukar untuk membantu mereka yang bekerja di bandar utama negara.
"Selain kos sara hidup yang semakin meningkat, wang itu juga perlu dibelanjakan untuk membayar hutang rumah, kenderaan, pendidikan jika ada dan juga hutang peribadi yang sudah pasti tidak mencukupi terutama kepada mereka yang berkeluarga," katanya.

Mohd Shaman menambah isu penambahbaikan gred 19 pernah disuarakan sebelum ini, dan berharap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini bersama-sama dengan cadangan mewujudkan gred 28, yang telah lebih setahun dirancang.
Selain itu, Mohd Shaman juga memohon kerajaan mempertimbangkan cadangan supaya saguhati persaraan dibenarkan untuk dipindahkan ke Tabung Haji pada usia 40 tahun bagi membantu kakitangan kerajaan menunaikan haji.
"Bagaimanapun, wang itu hendaklah disyaratkan hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan haji kerana kita tidak mahu ada yang menggunakan wang itu untuk tujuan lain," katanya.
Mohd Shaman menambah cadangan itu juga membolehkan kakitangan kerajaan menggunakan faedah cuti bergaji selama 40 hari bagi menunaikan haji yang diperuntukkan kepada mereka, selain berpeluang beribadat dalam usia muda.
- Bernama