SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Oktober 2021

CUEPACS hargai komitmen kerajaan

 Berita Harian
29 Oktober 2021


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan komitmen untuk terus mendukung penyampaian perkhidmatan awam.

Presidennya, Adnan Mat, berkata komitmen itu jelas menunjukkan kerajaan tetap komited untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.


Beliau berkata, CUEPACS menghargai setiap inisiatif yang menyentuh secara terus penjawat awam seperti bantuan khas kewangan sebanyak RM700 serta gantian cuti rehat yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

"CUEPACS percaya penjawat awam juga tetap menerima manfaat lain melalui pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam Bajet 2022.

"CUEPACS berharap kerajaan akan melaksanakan segala inisiatif kepada penjawat awam serta rakyat yang diumumkan dalam belanjawan kali ini," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Adnan berkata, CUEPACS berharap kerajaan bersifat terbuka berunding dengan kesatuan sekerja bagi penambahbaikan perkhidmatan awam dan manfaat 1.6 juta warga penjawat awam, seperti semakan semula Sistem Saraan Malaysia yang digunakan sejak November 2002.

Katanya, semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam dan gaji minimum itu selari dengan hasrat kerajaan mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat kepada RM10,000 sebulan pada tahun 2025.

24 Oktober 2021

Cuepacs mahu isu parkir di Putrajaya, selesai secara menyeluruh

 Berita Harian 
24 Oktober 2021


PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mahu isu masalah parkir di Putrajaya diselesaikan secara menyeluruh dan berharap pihak berkuasa tidak mengambil tindakan drastik.

Ia susulan insiden lebih 10 buah kereta yang diletakkan di kawasan yang tidak dibenarkan parkir dilanggar seorang pemandu lori di Kompleks E, Putrajaya baru-baru ini.


Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya berharap agar polis dan pihak berkuasa tempatan tidak mengambil tindakan drastik seperti mengeluarkan saman atau menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan selepas insiden tersebut berlaku.

“Cuepacs difahamkan pihak berkuasa akan menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan insiden dan ia mungkin akan diperluaskan ke kawasan lain di Putrajaya.

“Bukan berniat untuk mencampuri urusan pihak berkuasa tetapi adalah lebih mesra jika pendekatan seperti memberi peringatan atau nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan saman atau apa jua langkah perundangan lain diambil. Berikan tempoh masa yang mencukupi supaya kakitangan kerajaan disitu serta pelawat yang hadir faham mengenai larangan meletakkan kenderaan di bahu jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, isu parkir awam di Putrajaya bukan perkara baharu malah telah dibangkitkan sejak perpindahan kumpulan pertama penjawat awam ke situ pada tahun 1999 lagi.

“Walaupun pihak berkuasa sudah memperbanyakkan kawasan tempat letak kereta namun, pertambahan jumlah kakitangan kerajaan serta kehadiran orang awam yang lebih ramai menjadikan tempat tersebut padat.

“Justeru itu pendekatan atau penyelesaian yang bersifat menyeluruh perlu diberikan perhatian supaya masalah kekurangan parkir ini tidak berlarutan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, orang ramai berpendapat, kakitangan kerajaan serta pelawat yang mahu berurusan di Putrajaya menggunakan kemudahan ‘Park & Ride’ yang disediakan di Putrajaya Sentral bagi menangani masalah tersebut.

“Kemudahan itu merupakan satu inisiatif yang bagus tetapi berharap kerajaan mengkaji mengapa ia tidak menjadi pilihan penjawat awam serta pengunjung yang hadir serta perlu diperkasakan supaya ia mampu menarik pengguna untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Jika ia mesra pengguna, sudah pasti ia akan menyelesaikan sedikit masalah kekurangan parkir di Putrajaya memandangkan kemudahan ‘Park & Ride’ yang mampu memuatkan lebih 2,000 buah kenderaan,” katanya. – K! ONLINE

21 Oktober 2021

CUEPACS syor sistem gaji selesa, adil

 Berita harian
21 Oktober 2021


PUTRAJAYA: Kajian bagi menentukan struktur baharu saraan perkhidmatan awam bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) perlu mengambil kira elemen gaji minimum yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, berkata pihaknya berharap kajian itu juga mengambil kira terma gaji yang selesa dan perbelanjaan yang adil.

"Ia bagi membolehkan apabila gaji penjawat awam dinaikkan, kita memiliki lebih kuasa untuk berbelanja, namun harga barangan juga perlu dikawal supaya tidak naik dengan lebih tinggi.

"Menteri juga perlu melihat pendapatan pada garis kemiskinan. Ketika ini, gaji minimum untuk penjawat awam adalah RM1,200 dan selepas dicampur segala elaun tetap, ia boleh mencecah RM1,900.

"Namun, ia masih rendah berbanding garis kemiskinan yang pada paras RM2,280," katanya kepada BH, hari ini.

Adnan juga berkata, bagi memastikan gaji penjawat awam tidak berada di bawah paras garis kemiskinan, pihaknya mencadangkan supaya gaji minimum itu dinaikkan hingga ke RM1,800.

Selain itu, katanya, CUEPACS ada mencadangkan supaya kenaikan gaji tahunan diubah daripada serendah RM80 setahun kepada serendah RM120, bergantung kepada gred penjawat awam terbabit.

Beliau berkata, struktur baharu saraan perkhidmatan awam penting dalam mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap pendapatan isi rumah di negara ini sebanyak RM10,000 sebulan menjelang 2025.

"Sekiranya pendapatan bulanan untuk setiap empat ahli keluarga serumah pada purata RM2,500, sudah tentu struktur ini munasabah untuk memacu ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

"Namun, ketika ini kenaikan gaji tahunan sangat rendah iaitu RM80 dan ini tidak setara dengan perbelanjaan bulanan atau harga barangan di pasaran. Kita dapati harga barangan naik lebih pantas berbanding dengan kenaikan gaji tahunan penjawat awam," katanya.

17 Oktober 2021

JPA perlu buat tapisan pelalian syarat mohon jawatan awam - CUEPACS

 Berita Harian
17 oktober 2021


PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan saringan kesihatan, termasuk menerima dos lengkap vaksin sebagai syarat baharu pengambilan calon sebelum diserap ke mana-mana jabatan dalam kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat, berkata apa yang dilakukan itu bukanlah satu bentuk diskriminasi, sebaliknya untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang awam untuk menggunakan perkhidmatan dalam kerajaan.

Katanya, tapisan awal itu juga sebagai satu langkah memilih individu yang benar-benar layak serta menerima dasar dilaksanakan kerajaan, sebelum menjadi seorang penjawat awam.


"Sekiranya sebelum kerja sudah menolak dasar dilakukan oleh kerajaan, mereka ini sudah tentu akan menjadi kumpulan yang tidak akan bersama perkara (dasar) yang dilakukan kerajaan.

"Lebih mudah, dasar ini diperkenalkan awal untuk mendapatkan calon yang sentiasa bersama dengan tunjang perkhidmatan awam. Jika berdegil pada mulanya mereka ini tidak akan membawa sifat atau pemikiran positif dalam kerajaan.

"Belum berkhidmat sudah ingkar dengan arahan, bagaimana majikan iaitu kerajaan boleh percaya dengan golongan ini untuk memasuki perkhidmatan awam," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Semalam, kerajaan Sabah menetapkan pelalian lengkap terhadap COVID-19 sebagai syarat wajib pengambilan baharu kakitangan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, dilaporkan berkata calon kakitangan awam juga akan diwajibkan melepasi penilaian kesihatan yang ditetapkan.

Adnan berkata, secara dasarnya penjawat awam adalah kumpulan pelaksana kepada segala dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat.

"Sudah tentu mereka yang berada dalam perkhidmatan awam serta individu yang mahu menyertainya perlu selari dengan aspirasi kerajaan, terutama dalam hal membabitkan pengambilan vaksin COVID-19.

"CUEPACS melihat tiada masalah langkah diambil kerajaan Sabah untuk mewajibkan setiap individu yang mahu memasuki perkhidmatan awam menerima dos vaksin yang lengkap.

"Mereka ini perlu terlebih dulu memahami dan melaksanakan aspirasi kerajaan, sebelum betul-betul menyertai perkhidmatan awam kerana pada masa akan datang merekalah yang akan menjadi pelaksana segala dasar kerajaan," katanya.

09 Oktober 2021

Cuepacs sambut baik penubuhan jawatankuasa khas siasat kes arwah Adib

 Kosmo
9 Oktober 2021


PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik keputusan kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.

Presidennya, Adnan Mat berkata, keputusan tersebut adalah sejajar dengan hasrat Cuepacs dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian arwah Adib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.

“Sudah tentu harapan kami semua tidak pernah padam dalam memastikan usaha mencari keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah yang terlibat menerima hukuman setimpal.

“Kes yang melibatkan arwah Muhammad Adib ini tidak boleh dipandang remeh dan pesalah yang terlibat harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, tempoh enam bulan yang diberikan kepada anggota jawatankuasa itu nanti perlu digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan segala persoalan yang timbul disebalik kematian mangsa.

“Pihak Cuepacs menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk arwah Muhammad Adib dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutama melibatkan penjawat awam yang bertugas,” ujarnya.

Selain itu, katanya, beliau berharap agar isu ini tidak dijadikan modal politik serta isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak.

“Fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah bagi mencari pesalah yang terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang,” jelasnya. – K! ONLINE