SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

21 Februari 2021

Percayalah penjawat awam

 Sinar Harian
21 Februari 2021


Pertukaran kepimpinan kerajaan pusat pertama kali berlaku pada tahun 2018 apabila Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah berkuasa selama 60 tahun.

Bagaimanapun, timbul tohmahan jahat kononnya penjawat awam melakukan sabotaj sehingga menyebabkan kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan memerintah dan Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran negara.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat menafikan perkara tersebut.

"Sebenarnya tiada istilah sabotaj sama ada di peringkat pegawai tertinggi hinggalah kakitangan bawahan. Malah, semua penjawat awam ketika ini semakin fokus dalam membantu rakyat menangani cabaran Covid-19," kata beliau.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Adnan yang dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apakah kejayaan yang dicapai sejak tuan menyandang jawatan Presiden Ceupacs pada Disember 2019?

ADNAN: Jika kita soroti sejarah perjuangan Ceupacs sejak 1957, banyak kejayaan yang kita capai berkaitan kebajikan, kemudahan kesihatan sehinggalah insentif serta gaji yang dinikmati oleh penjawat awam sekarang.

Dahulu tidak ramai anak muda menjadikan perkhidmatan awam sebagai pilihan kerjaya kerana gajinya tidak lumayan, kerja yang berat bahkan perlu bertugas jauh dari kampung halaman masing-masing. Ramai yang memilih untuk bekerja di sektor swasta seperti industri perkilangan dan pembuatan kerana gajinya lebih lumayan dengan pelbagai insentif.

Bagaimanapun suara perjuangan Cuepacs yang tidak putus-putus, didengari oleh kerajaan sehingga usaha pemerkasaan sistem perkhidmatan awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Kita telah berjaya mengangkat sektor perkhidmatan awam ke tahap yang sangat dihormati sehingga ia menjadi pilihan ramai siswazah muda.

Apabila diberi amanah untuk mengemudi kepimpinan Ceupacs pada 19 Disember 2019, sudah tentu ia suatu tugas yang amat berat perlu saya pikul bersama pegawai tertinggi Ceupacs yang lain apatah lagi Ceupacs membawa aspirasi keseluruhan 1.6 juta penjawat awam.

Permulaan tahun 2020 amat mencabar kepada penjawat awam kerana kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 hingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun PKP dilaksanakan, penjawat awam tetap bertugas seperti biasa bahkan ada yang dikerahkan bertugas lebih daripada kebiasaan terutama di sektor kesihatan, keselamatan dan penguatkuasaan.

Sesuai dengan mantera 'Berkhidmat Untuk Negara', perkara itu tidak menjadi masalah kepada penjawat awam namun Ceupacs sentiasa menekankan hal-hal kebajikan perlu sentiasa diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.


Kerajaan telah mempertimbangkan permintaan Ceupacs agar semua petugas barisan hadapan diberikan bantuan secara one-off sebanyak RM500 dan RM300, elaun Covid-19, bantuan khas kewangan serta moratorium pinjaman bank.

Kerajaan juga telah memberi jaminan kepada Ceupacs segala kemudahan yang dinikmati penjawat awam ketika ini tidak akan diusik malah usaha pemerkasaan sistem perkhidmatan awam akan terus dilaksanakan.

Apakah cabaran yang paling getir sepanjang menjadi Presiden Cuepacs?

Sepanjang tempoh kurang lima tahun ini kita menyaksikan beberapa peristiwa yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkhidmatan awam. Pada 2018, berlaku perubahan dalam kerajaan yang memerintah melalui pilihan raya umum. Perkara itu berlaku sekali lagi pada Mac 2020 apabila kerajaan bertukar kepimpinan baru. Dalam masa yang sama pada tahun lalu, kita diduga dengan penularan wabak Covid-19.

Kedua-dua peristiwa ini sangat memberi kesan kepada perkhidmatan awam apabila timbulnya persepsi ada pegawai kerajaan yang masih menyokong kerajaan terdahulu dan melakukan sabotaj. Sepanjang tempoh PKP juga penjawat awam diserang pelbagai pihak terutama membabitkan isu gaji dan amalan bekerja dari rumah.

Sebenarnya tiada istilah sabotaj sama ada di peringkat pegawai tertinggi hinggalah kakitangan bawahan. Malah, semua penjawat awam ketika ini semakin fokus dalam membantu rakyat menangani cabaran Covid-19.

Apakah isu-isu penting yang sering disuarakan oleh penjawat awam ketika ini?

Sebagai agensi yang memberi perkhidmatan dan pemudah cara kepada rakyat, perkhidmatan awam tidak dapat lari daripada serangan persepsi. Walaupun sistem perkhidmatan awam telah melalui fasa-fasa penambahbaikan dan pemerkasaan, persepsi negatif terhadap penjawat awam masih lagi dibicarakan oleh masyarakat walaupun ia tidak lagi berlaku.

Sudah tentu ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh penjawat awam ketika ini untuk menangkis serangan persepsi tidak benar daripada masyarakat. Walaupun hanya segelintir penjawat awam yang melakukan kesalahan, kesannya akan dirasakan oleh semua penjawat awam hingga segala kebaikan dan kejayaan tidak lagi dipandang serta dikenang.

Persepsi negatif ini perlu dibuang jauh daripada pemikiran masyarakat kerana kesilapan yang sedikit ini tidak mewajarkan keseluruhan perkhidmatan awam dihukum.

Sejak negara dilanda Covid-19, penjawat awam memainkan peranan besar dalam memastikan negara terus kukuh. Apa komen tuan?


Memang benar sejak pandemik Covid-19 melanda negara hingga memaksa PKP, penjawat awam tidak pernah berhenti bertugas dengan penuh dedikasi. Buktinya amat jelas apabila rakyat masih mendapat akses kepada barang keperluan, harga barang tidak melonjak naik bahkan rakyat yang terjejas mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Petugas barisan hadapan kita pula perlu berdepan dengan tugas yang mencabar bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin selain berusaha mencegah penularan virus berbahaya ini. Dalam masa yang sama, semua warga perkhidmatan awam perlu memastikan setiap program pemulihan ekonomi yang dirancan

Apakah kebajikan petugas sektor perkhidmatan kesihatan dan keselamatan mendapat perhatian yang sewajarnya?

Sepanjang tempoh PKP ini, Ceupacs amat memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam dalam sektor kesihatan dan keselamatan kerana mereka ini wira negara dalam melawan penularan Covid-19. Mereka ini siang malam bertugas bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat. Sebab itu Ceupacs begitu lantang sekiranya ada perkara yang melibatkan kebajikan petugas ini terlepas pandang.

Kita tidak mahu motivasi kerja petugas barisan hadapan kita ini terjejas hanya disebabkan ada perkara yang kita abaikan terutama dari segi kebajikan dan keselamatan mereka.

Alhamdulillah kerajaan mendengar pandangan Ceupacs apabila pelbagai inisiatif dan insentif diberikan kepada petugas barisan hadapan kita seperti elaun Covid-19, bantuan kewangan one-off melalui Belanjawan 2021 serta tambahan petugas kesihatan lebih 8,000 kakitangan.

Cuepacs sendiri bersama FWD Takaful telah melaksanakan inisiatif korporat apabila memperuntukkan sejumlah dana berjumlah RM10 juta untuk diberikan kepada petugas di Kementerian Kesihatan (KKM) yang dijangkiti Covid-19 sewaktu bertugas.

Jumlah tersebut tidaklah besar tetapi setakat ini ia telah memberi manfaat kepada hampir 2,000 petugas KKM dan ahli keluarga dengan jumlah bayaran mencecah RM5 juta.

Bagaimana pula dengan kakitangan awam yang terpaksa bekerja dari rumah. Adakah masih terdapat sebarang masalah?

Pada awalnya semua pihak menghadapi masalah untuk melaksanakan konsep bekerja dari rumah (BDR) kerana ia adalah amalan yang jarang sekali dipraktikkan di Malaysia. Baik majikan atau pekerja itu sendiri, mereka lebih suka bekerja di pejabat berbanding BDR kerana ia lebih praktikal dan produktif.

Bagaimanapun, mahu atau tidak kita perlu mengadaptasi amalan BDR ini kerana ia adalah langkah terbaik pada musim Covid-19. Akhirnya kita berjaya mengatasi isu-isu terutama mengenai skop kerja yang tidak sesuai untuk BDR, arahan mengelirukan daripada ketua jabatan serta kekangan-kekangan lain.

Akhir-akhir ini, isu integriti kakitangan kerajaan mendapat perhatian pelbagai pihak. Bagaimana tuan melihat isu ini?

Apabila menyentuh isu integriti, ia tidak akan pernah selesai kerana setiap penambahbaikan yang dibuat dalam perkhidmatan awam tidak diberi perhatian oleh masyarakat. Masyarakat lebih gemar disajikan dengan berita-berita yang negatif sahaja sedangkan perkara itu bukanlah begitu kritikal dalam perkhidmatan awam.

Jika kita lihat kepada statistik, sejak 2016 hingga September 2020, hanya 2,287 kertas siasatan dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Jumlah itu kurang daripada 0.15 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam tetapi ia digambarkan seolah-olah sudah menjadi barah yang tidak boleh lagi dirawat.

Kita sememangnya menolak budaya yang tidak baik ini dalam perkhidmatan awam tetapi janganlah kesalahan itu dimomokkan sehingga menimbulkan persepsi buruk kepada penjawat awam.

Apakah yang Cuepacs boleh lakukan untuk membantu kerajaan dalam memastikan kakitangan awam berintegriti tinggi?

Dalam hal berkaitan pelanggaran integriti ini kita seolah-seolah terlepas pandang kepada mereka yang menjadi faktor kepada kelakuan jenayah ini. Contohnya dalam kes rasuah, hanya penerima yang diberi perhatian tetapi pemberi rasuah tidak disentuh sehingga ada pihak yang merasakan pemberi ini mangsa yang teraniaya.

Pemberi rasuah ini sudah tentunya adalah penjenayah yang mahukan setiap aktiviti jenayah mereka dapat dihalalkan. Dalam hal ini mereka mencari mangsa yang boleh menghalalkan kegiatan jenayah tersebut. Jika mangsa ini tidak memberikan kerjasama, penjenayah ini akan bertindak di luar kawalan hingga membahayakan keselamatan penjawat awam atau ahli keluarga mereka.


Perkara ini pernah terjadi kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang maut ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 2013. Penjenayah tersebut masih bebas manakala penjawat awam yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka dihantui oleh peristiwa pembunuhan yang tidak boleh diterima itu.

Justeru itu, sudah tiba masanya kerajaan, pihak berkuasa dan masyarakat memberi tumpuan kepada pemberi rasuah atau mereka yang menjadi dalang kepada kegiatan jenayah. Jangan kita menuding satu jari kepada penerima rasuah sahaja sedangkan empat jari lagi kita sembunyikan untuk melindungi pemberi rasuah ini.

Pada pandangan tuan apakah sebab dan punca utama masalah ini berlaku?

Seperti yang saya sebutkan tadi punca utama berlaku masalah integriti ini disebabkan wujudnya penjenayah yang mencari mangsa dalam kalangan penjawat awam untuk menghalalkan kegiatan mereka. Sekiranya penjawat awam ini tidak bekerjasama dengan penjenayah ini mereka akan menerima ancaman dari segi keselamatan.

Ada yang berpandangan mengapa tidak dilaporkan saja kepada pihak berkuasa supaya penjenayah tersebut ditahan, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana prosesnya akan menjadi lebih panjang. Dalam hal ini sudah tentu penjawat awam mahukan satu jaminan keselamatan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa kerana ia melibatkan ancaman keselamatan.

Banteras perkara ini di peringkat akarnya iaitu pelaku jenayah tersebut dan bukan menyasarkan kepada penjawat awam sahaja.

ANEKDOT

Pengalaman ditahan di sekatan jalan raya

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, saya baru beberapa bulan menjawat jawatan Presiden Cuepacs. Sudah tentu pelbagai perancangan tergendala ekoran perintah untuk duduk di rumah itu bagi mengekang wabak Covid-19.

Namun, Cuepacs tidak duduk diam sahaja. Sepanjang tempoh PKP tersebut, saya telah mengadakan banyak pertemuan dengan ketua-ketua jabatan serta menteri di pelbagai kementerian bertujuan memperkasa perkhidmatan awam.

Semasa melalui sekatan jalan raya, saya begitu terkesan mendengar keluhan dan luahan hati petugas barisan hadapan yang sedang bertugas terutama dalam hal melibatkan kerjasama serta pandangan masyarakat terhadap penjawat awam.

Ada petugas yang tahan kenderaan saya ketika melalui sekatan jalan raya. Apabila mereka melihat saya ialah Presiden Cuepacs terus mereka bercerita dengan mesra mengucapkan terima kasih kerana sering membetulkan pandangan masyarakat terhadap penjawat awam.

Saya cukup gembira dengan reaksi positif yang ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan ini kerana sentiasa positif dan menyokong perjuangan Cuepacs.

Waktu itu saya sedar tanggungjawab sebagai Presiden adalah besar. Perjuangan Cuepacs tidak akan pernah ada penghujung kerana kami membawa suara dan aspirasi lebih 1.6 juta warga perkhidmatan awam.

Harapan terhadap masa depan perkhidmatan awam

Perkhidmatan awam adalah tunjang atau nadi kepada sistem pentadbiran negara selain penyumbang utama kepada kemajuan dan kesejahteraan yang dinikmati rakyat. Sebagai individu atau organisasi yang diamanahkan untuk menjadi pemudah cara kepada rakyat penjawat awam perlu memiliki 'mindset' untuk menyelesaikan masalah rakyat

Dalam masa yang sama kerajaan juga perlu bersungguh-sungguh dalam agenda untuk memperkasakan sistem perkhidmatan awam supaya ia selari dengan aspirasi yang dibawa oleh penjawat awam. Hal-hal kebajikan dan kemudahan lain juga perlu diperkasakan dalam usaha kita mahu mengangkat sistem perkhidmatan awam ini ke tahap yang lebih baik.

Profil

Adnan Mat

Jawatan: Presiden Cuepacs (Disember 2019-sekarang)

Umur: 56 tahun

Kelulusan: Diploma Royal Society for The Promotion of Health

Pengalaman

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

16 Februari 2021

Cuepacs sokong PdPR 2.0 ditangguh

 SinarHarian
16 Februari 2021


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong penuh kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkenaan permohonan penangguhan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 2.0.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, pelbagai masalah dalam PdPR 1.0 perlu diperbaiki secara menyeluruh sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan.

Menurutnya, NUTP telah melakukan kajian dan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon penangguhan PdPR 2.0 berdasarkan kepada realiti pembelajaran rakyat Malaysia sepanjang tempoh Covid-19.

“Pelbagai pendapat serta pandangan bagi pihak yang terlibat termasuk ibu bapa dan guru telah diambil kira dalam kajian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya merasakan sudah tiba masanya ia ditangguhkan disebabkan pelbagai faktor seperti capaian internet, gajet untuk pembelajaran serta keadaan ruang belajar yang selesa.

“Ini dapat dilihat di kawasan pedalaman yang mempunyai masalah capaian internet dan guru-guru terpaksa mencari alternatif lain seperti terpaksa meredah sungai atau hutan untuk memberi tugasan kepada murid.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, ramai penjawat awam tidak mampu menyediakan gajet untuk lima anak dan harga gajet sekarang mahal kerana permintaan yang tinggi pada waktu ini.

"Kemudahan jalur lebar dan telefon pintar serta komputer riba sangat penting bagi memastikan proses PdPR berjalan secara lancar sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.

Pada Selasa, NUTP menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengekalkan cara PdPR 1.0 yang lebih fleksibel berbanding PdPR 2.0 yang diguna pakai hari ini.

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf