SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Oktober 2010

LAKSANA SEGERA GAJI MINIMUM

Utusan Malaysia
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
31/10/2010




PETALING JAYA 30 Okt. – Kerajaan diminta segera melaksanakan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara bagi memastikan nasib golongan pekerja terbela menerusi tahap pelarasan gaji minimum.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman (gambar) berkata, penetapan gaji minimum terutama di kalangan para penjawat awam dalam skim rendah amat penting dalam memastikan mereka tidak terlibat dengan rasuah.

Jika golongan itu bebas daripada amalan rasuah jelasnya, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang kini berada di kedudukan ke-56 daripada 178 negara di dunia dapat diperbaiki pada masa depan.

“Bayangkan sekiranya penjawat awam yang bertugas di sempadan terlibat dengan rasuah, keadaan ini bukan sahaja memberi implikasi buruk terhadap kedudukan Malaysia dalam CPI malah membahayakan keselamatan negara.

“Rasuah mungkin senang berlaku di kalangan penjawat awam yang mempunyai kadar gaji rendah dan golongan itu selalunya mendapati perbelanjaan mereka sering melebihi pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung dwitahunan Kesatuan Pembantu Am Pejabat (KPAP) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Presiden KPAP Semenanjung Malaysia, M. Ramachandran.

Omar mengulas kedudukan Malaysia dalam CPI 2010 yang diumumkan Transparency International (TI) pada Selasa lalu.

Dalam rangking itu, kedudukan Malaysia kekal di tangga ke-56 seperti tahun sebelumnya, namun jumlah markah yang diperolehi merosot sebanyak 0.1 peratus berbanding yang dipungut pada 2009.

Sementara itu, Ramachandran ketika berucap menggesa kesemua pembantu am pejabat dalam sektor awam supaya segera mendaftarkan diri dengan pertubuhan berkenaan.

“Apabila kita mempunyai ahli yang ramai, barulah nasib dan perjuangan kita mendapat perhatian kerajaan,” ujarnya.

30 Oktober 2010

TRANFORMASI UNTUK KEPENTINGAN SEKTOR AWAM

Utusan Malaysia
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
30/10/2010




TARIKH 8 Oktober lalu mencatat satu lagi peristiwa penting dalam era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Apa yang berlaku mungkin bukanlah sesuatu yang bertaraf mega atau begitu bersejarah. Tetapi ia merupakan langkah awal yang cukup bermakna dalam transformasi modal insan dan kepimpinan yang mendahulukan kepentingan awam. Pada tarikh itu, Razak School of Government (RSOG) ditubuhkan secara rasmi.

Idea penubuhan RSOG sebenarnya diilhamkan lebih awal apabila Najib pertama kali menyebut mengenainya pada pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober tahun lalu. Gagasan tersebut disambut dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. RSOG kemudiannya diperbadankan dan didaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 30 Julai lalu dengan Sidek sendiri sebagai Pengerusi Pemegang Amanahnya.

Secara keseluruhannya, RSOG bergerak dalam kerangka idea untuk melahirkan golongan ikhtisas dalam bidang pembangunan kepimpinan yang memiliki reputasi global. Institusi ini juga dirangka sebagai pemangkin bagi membentuk pemimpin masa depan negara yang berwibawa, bijaksana, berintegriti dan berkarisma.

Program yang dirangka menerusi RSOG pula merangkumi Pendidikan Kepimpinan menerusi Program Lanjutan Kepimpinan, Praktikum Perkhidmatan Awam dan Seminar Kepimpinan. Program lain termasuk Seminar Kepimpinan dan Polisi Awam, antaranya Siri Syarahan Razak, Siri Seminar Dasar-Dasar Awam, Siri Seminar Brownbag dan Dialog Kementerian. Najib sendiri pada pelancaran RSOG pada 8 Oktober lalu menjadi peserta pertama menyampaikan Siri Syarahan Razak yang bertujuan mengetengahkan para negarawan terkemuka termasuk para pemimpin dunia yang masyhur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RSOG, Prof. Madya Dr. Hamidin Abdul Hamid, penubuhan RSOG yang diletakkan di luar kerangka kerangka dan struktur perkhidmatan awam penting bagi pusat itu berfungsi sebagai institusi penyelidikan dan latihan yang neutral serta kompetitif. Penubuhannya juga perlu dilihat sebagai satu anjakan paradigma bahawa kerajaan melalui perkhidmatan awam bersedia untuk berkonsultansi di luar ruang lingkup organisasi dan strukturnya bagi memajukan sektor perkhidmatan awam.

Malah, ia juga dilihat sebagai satu transformasi menyeluruh dalam memenuhi tuntutan rakyat dan hala tuju baru negara. RSOG juga tambah Hamidin, ditubuhkan dengan kesedaran bahawa negara akan mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, sekali gus tergolong dalam kelompok negara maju. Sedangkan baki sembilan tahun bukanlah satu tempoh yang lama.

Dalam hal ini, sektor awam perlu mengalami transformasi kepimpinan dalam memenuhi keperluan rakyat yang mahukan keterbukaan, ketelusan dan bentuk perkhidmatan yang efisien. Untuk itu, RSOG diberi mandat untuk mencapai dua agenda utama dalam sesuatu transformasi iaitu kepimpinan dan pengetahuan.

''Kedua-duanya perlu digerakkan seiring dengan komitmen kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berfikiran global tetapi berpaksikan lokal dan keadaan semasa," katanya. Menurut Hamidin, kepimpinan prihatin memberikan tempat kepada semua untuk menyumbang ke arah kebaikan sesebuah organisasi. Sumbangan seseorang ahli datang dari pelbagai sudut seperti memberikan kritikan yang membina dan dalam masa sama menerima teguran untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing yang tinggi.

Ini kerana perubahan transformasi perkhidmatan awam bukan sahaja datang dari pihak atasan atau luaran, tetapi dari dalam organisasi itu sendiri. Dari aspek pengetahuan pula kata Hamidin, RSOG ditubuhkan di luar kerangka kerajaan supaya ia mampu meneroka pengetahuan kelas pertama dengan lebih jauh.

Ke arah itu, RSOG bersedia menjalin rangkaian dengan pelbagai institusi penyelidikan dan pendidikan bertaraf dunia agar perkongsian pengetahuan dan kepakaran dapat digiatkan. Rangkaian pengetahuan serantau dan global itu mampu menyuntik elemen pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam, seterusnya melahirkan penjawat awam yang berintelek dan berasional tinggi.

Dari sisi berbeza pula, Hamidin menambah, perkhidmatan awam adalah perkhidmatan rakyat dan ia semestinya meletakkan kepuasan rakyat sebagai matlamat utama dalam setiap kayu ukur kecemerlangan. Misi perkhidmatan awam tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk berbakti kepada rakyat dan negara serta memastikan mereka menikmati kepuasan dalam menerima perkhidmatan. Pelanggan datang dari segenap lapisan individu dalam masyarakat dan perkhidmatan awam wujud kerana wujudnya masyarakat yang memerlukan mereka untuk berkhidmat.

''Justeru, idea, sumbangan dan maklum balas malah kritikan harus datang dari segenap sudut dalam masyarakat serta mesti dialu-alukan. Dalam masa yang sama, masyarakat harus menyedari bahawa mereka juga terlibat dalam proses membangunkan negara dan harus menjadi sayap kanan untuk membantu perkhidmatan awam dalam proses transformasi kerajaan," katanya.

Dalam konteks ini tambah Hamidin, RSOG berperanan sebagai platform menghubungkan kedua-dua entiti tersebut. RSOG juga bertanggungjawab meningkatkan jaringan rakyat dan perkhidmatan awam dalam menilai prestasi perkhidmatan awam.

Ini kerana RSOG percaya betapa pentingnya penglibatan orang awam dalam bersama-sama menjayakan agenda pembangunan negara. Sektor perkhidmatan awam juga jelas Hamidin tidak boleh lagi dilihat sebagai bureakratik dan berhierarki.

Suatu pembaharuan menuntut agar kepimpinan tidak lagi didasari oleh seorang pemimpin senior yang dikelilingi oleh para pengikut. Kepimpinan kini bukan lagi didasari oleh pangkat dan kuasa tetapi lebih daripada itu. Kejayaan mutlak sesebuah kepimpinan bergantung kepada kebolehan seseorang menggerakkan organisasi secara efektif, bersama-sama membawa perubahan dan mencapai matlamat.

Berbekalkan kepercayaan sesama ahli dan pemimpin, semua pihak harus diberi tanggungjawab untuk membawa sesebuah organisasi ke tahap yang lebih baik. Kepimpinan alaf baru kini memfokus ke arah melakukan perubahan dan membawa ahli ke arah perubahan. .

Justeru, perubahan positif tidak akan berlaku sekiranya hanya wujud seorang pemimpin yang berkaliber di dalam sebuah organisasi dan bukannya kepimpinan menyeluruh yang melibatkan setiap ahlinya. Kedua-duanya, pemimpin dan ahli, harus bergerak sejajar dan saling memerlukan antara satu sama lain.

RSOG ditubuhkan atas kesedaran pentingnya sebuah institusi baru sebagai mekanisme dalam menghubungkan semua peringkat dalam perkhidmatan awam. Ia bertujuan mengenal pasti kelemahan dan membina kekuatan perkhidmatan awam terutamanya dari segi kepimpinan.

Pada masa yang sama, RSOG juga akan memainkan peranan penting menghubungkan Perkhidmatan Awam dengan dunia luar terutamanya dalam pembentukan kepimpinan, pemimpin, serta penerokaan ilmu. ''Sewajarnya kita bukan sahaja perlu bersedia untuk berubah tetapi bertransformasi dengan perubahan. Ini bagi memastikan negara kekal berada di landasan yang betul dalam memenuhi impian dan hasrat rakyat menjelang tahun 2020," kata Hamidin.

29 Oktober 2010

BONUS KAKITANGAN AWAM PUNCA DEFISIT

Utusan Malaysia
29/10/2010




Penganalisis kewangan Yeo Ming Wan dalam halaman sembilan akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 19 Oktober 2010 mengulas mengenai isu pemberian bonus kepada penjawat awam. Katanya, jika kerajaan beri bonus kepada kakitangan awam seluruh badan akan terasa bisa. Apa yang terjejas ialah wang operasi kerajaan, yang sepatutnya RM162.8 bilion akan meningkat kepada RM165.9 bilion.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 langsung tidak menyentuh tentang isu bonus kakitangan kerajaan. Penulis itu menekankan bahawa bilangan kakitangan kerajaan terlalu ramai dan disebabkan itu, Najib menyatakan kepayahan kerajaan untuk membayar bonus. Penjawat awam adalah seramai 1.2 juta.
''Perdana Menteri menyatakan jika semua kakitangan awam diberi bonus, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM3.1 bilion. Sumber pendapatan kerajaan terhad dan tidak dapat menanggung semua itu.

''Dan beliau berkata sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab beliau perlu pastikan pengeluaran tidak melebihi pendapatan,'' tambah Ming Wan.
Jelas penulis berkenaan, sebenarnya dalam Kerajaan Persekutuan sudah lama berlaku pengeluaran melebihi pendapatan. ''Yang paling menonjol ialah pada kemelesetan ekonomi tahun 2008. Kerajaan lancarkan dua pakej pada tahun 2009. Defisit kerajaan sebanyak RM 47.4 bilion dengan nilai tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jika bonus mahu diberi juga maka sebanyak RM3.1 bilion duit kerajaan terpaks
a dibelanjakan dan ia akan membuatkan kerajaan sesak nafas. Katanya, pemberian satu bulan bonus kepada kakitangan kerajaan umpama satu suntikan pada tempat yang paling lemah di badan.

''Jika kerajaan luluskan peruntukan berkenaan, defisit kerajaan akan meningkat daripada RM45.56 bilion kepada RM48.66 bilion,'' tambah beliau. Kata Ming Wan, dalam kos operasi kerajaan perkara yang perlu dikurangkan ialah pembayaran elaun. ''Elaun pada tahun 2010 sebanyak 22 peratus iaitu RM24.9 bilion. Pengurangan untuk tahun depan akan dilakukan sebanyak 4.9 peratus iaitu kepada RM23.7 bilion. Tetapi kerajaan belum halusi keperluan sebenar untuk mengurangkan elaun tersebut, cuma berdasarkan pengalaman yang lalu,'' katanya.
Dalam pada itu, penulis itu menegaskan sepatutnya kakitangan kerajaan meningkatkan produktiviti. Dalam jangka masa panjang, jika kerajaan mahu perubahan, perhatian perlu diberikan kepada peningkatan produktiviti kakitangan kerajaan yang ramai itu.
Relevan Sejarah sebagai subjek wajib lulus

Timbalan Editor Sin Chew Daily, Tay Ting Hian menulis sebuah artikel yang mempersoalkan mengenai kewajaran subjek Sejarah sebagai wajib lulus seperti yang disiarkan akhbar itu pada 26 Oktober lalu. Tulis Ding Xian orang ramai tertanya-tanya kenapa perlunya Sejarah menjadi subjek lulus dan bukannya bahasa Inggeris, Matematik atau bahasa ibunda?
Subjek Sejarah diakui penting kerana dalam mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi, ia adalah perjalanan penting dan boleh menjadi penambah nilai yang sebenar. Tetapi subjek sejarah itu diperlukan untuk politik. Contohnya seperti sejarah pemerintahan kerajaan Melaka, UMNO menerajui negara ini sehingga mencapai kemerdekaan, adanya kontrak sosial dalam masyarakat yang tidak boleh diganggu gugat dan Barisan Nasional telah membawa negara ini menjadi aman dan makmur.

Sejarah ini mungkin mahu diturunkan kepada generasi anak cucu. Di negara-negara maju, bahan sejarah bukanlah pendidikan ideologi mereka. Sebaliknya sejarah itu menjadi bahan inspirasi pemikiran awal rakyat. Mereka tidak menjadikan subjek Sejarah sebagai alat untuk berkhidmat kepada politik. Ia semata-mata untuk pendidikan naluri kemanusiaan dan sebab kewujudan subjek itu semata-mata untuk kemajuan dalam masyarakat mereka.

Sebagai contoh dalam mata pelajaran Sejarah di Amerika Syarikat (AS), diterangkan mengenai orang Eropah yang berhijrah ke tanah besar Amerika. Pelajar-pelajar kemudiannya akan mengkaji bahan sejarah itu dan mencari bahan serta buku rujukan, membuat tesis mengenainya. Inilah baru benar-benar cara mendidik mata pelajaran Sejarah.
Tetapi kita tidak berani memikirkannya. Adakah dalam kaedah mengajar subjek Sejarah itu guru-guru membenarkan perdebatan mengenai sejarah Semenanjung Melayu ini? Tamadun Hindu wujud sebelum tahun 1400 sebelum Masihi atau sejarah selepas tahun 1400 iaitu ketika zaman Parameswara datang ke Melaka?

Sama juga sejarah UMNO, MCA dan MIC. Selain parti ini, adakah sejarah parti-parti lain dimuatkan ke dalam subjek Sejarah. Antaranya pertubuhan dan gerakan sayap kiri serta sejarah sebenar perjuangan untuk kemerdekaan.
Berkenaan kontrak sosial dalam masyarakat pula, pakar sejarah sekali pun tidak faham dan merungkaikan mengenai hakikat ini. Bukankah mewajibkan syarat lulus subjek Sejarah itu akan hanya menggerunkan pelajar? Sedangkan keputusan itu dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO. Bukan diserahkan kepada pakar sejarah untuk dikaji dan dibincangkan. Keputusan dibuat seperti tidak dipolitikkan tetapi orang ramai berasa janggal.

Baju Melayu dan politik Baju Melayu yang menjadi pakaian rasmi semasa Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu mendapat perhatian luar biasa daripada Timbalan Editor Sin Chew Daily, Tay Ting Hian yang menulis mengenainya di ruangan pendapat akhbar itu pada 27 Oktober lalu. Ting Hian menerusi artikel berjudul 'Politik dan pakaian' itu melihat pemakaian baju Melayu termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa mesej tersendiri.
Di sebalik slogan UMNO iaitu 'untuk bangsa, agama dan bahasa' iaitu kata-kata yang 100 peratus tidak lekang daripada perkauman, pasti akan rasa janggal dan diragui keikhlasannya jika ia dilaungkan dengan memakai kot atau batik. Sebab itu tidak pernah kelihatan pemimpin UMNO pada perhimpunan itu tidak memakai baju Melayu.

Jika pada mesyuarat Agung MCA pula, apa yang dapat dilihat ialah pakaian berwarna putih iaitu pakaian seragam parti. Tidak kelihatan baju Cheong Sam atau pakaian Tongshan. Komunis di China yang meniupkan suara perkauman juga semuanya mengenakan kot yang begitu segak semasa perhimpuan agung mereka.

Semasa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan perhimpunan itu, ucapannya berketerampilan. Beliau mahu UMNO bersikap terbuka dan menerima serta menjaga kepentingan kaum lain. Tetapi dalam dua hari berikutnya, walaupun perwakilan berhujah mengenai jasa dan kehebatan yang dilakukan UMNO, apa yang disarankan Najib itu langsung tidak kelihatan.

Walaupun suara dalam perhimpunan itu agak lebih terbuka berbanding sebelum ini, tetapi pada dasarnya ia hanya berpaksikan kaum. Sedangkan Najib semasa ucapan penutup juga, mula menampakkan nilai kaum yang susut. Beliau terpaksa kembali kepada perjuangan asal UMNO. Dua hari selepas Perhimpunan Agung UMNO, Najib kembali ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai Perdana Menteri untuk melancarkan konsep perubahan ekonomi negara.
Kali ini beliau hadir dengan mengenakan baju kot Barat, bertali leher kegemaran beliau iaitu berwarna merah. Ucapannya dalam bahasa Inggeris. Ucapan Najib dari sudut isinya memang bertaraf antarabangsa dan cukup global. Kebanyakannya berkisar mengenai peluang komersial dan perdagangan, pembangunan serta daya saing ekonomi untuk masa depan. Hadirin yang ada pada hari itu semuanya sudah semestinya mengenakan pakaian kot ala Barat.
Jika mereka bukan ahli perniagaan sekali pun mereka ini sudah tentu kumpulan profesional. Tidak mungkin dalam majlis seperti itu, ada yang mengenakan baju Melayu dan menggunakan bahasa Melayu untuk berbincang mengenai isu dan masalah kaum.

''Baju kot ala Barat atau baju Melayu sebenarnya keperluan dalam politik. Mengenakan pakaian dan menggunakan bahasa itu semuanya perlu mengikut tempat dan situasi yang sesuai. Jika tidak jelas, ia boleh mencelarukan fikiran kita," tulis Ting Yian.

KSN GESA PENJAWAT AWAM BUDAYAKAN KREATIF, INOVASI DALAM CARA BERFIKIR DAN BERTINDAK

Bernama
29/10/2010




PUTRAJAYA, 27 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan Rabu meminta penjawat awam supaya membudayakan kreativiti dan inovasi dalam cara mereka berfikir serta bertindak, bagi mempercepatkan perubahan dan transformasi sosioekonomi negara.Beliau berkata pembangunan minda yang kreatif serta minat yang tinggi terhadap inovasi, perlu disemarakkan bagi menerokai kaedah terbaik untuk memenuhi kehendak pelanggan, di samping mengoptimumkan prinsip "berbaloi dengan nilai wang".

"Dalam era globalisasi yang begitu kompetitif, perhatian dan tumpuan perlu diberikan kepada kreativiti dan inovasi, bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya pada majlis Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Ke-27 Tahun 2010 di sini Rabu malam.Teks ucapan beliau dibacakan ketua pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Datuk Mohamad Zabidi Zainal.Mohd Sidek berkata ilmu pengetahuan adalah penting bagi mencapai hasrat tersebut, justeru, penjawat awam perlu sentiasa menambahkan pengetahuan bukan sahaja dalam bidang tugas masing-masing, malah di luar bidang tugas mereka.

Katanya, penjawat awam juga seharusnya menanamkan sifat suka membaca bagi menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.Semua penjawat awam, terutamanya di peringkat pegawai, turut digalakkan menghasilkan penulisan yang berbentuk atau bertemakan kreativiti dan inovasi untuk diterbitkan dalam buletin atau jurnal, dan seterusnya dapat dijadikan rujukan dan panduan, kata beliau.-- BERNAMA

JANGAN PISAHKAN PASANGAN PENJAWAT AWAM

Bernama
29/10/2010
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan diminta agar tidak memisahkan tempat bekerja mana-mana penjawat awam yang sudah berkeluarga bagi memastikan ia tidak memberi sebarang tekanan kepada mereka.Beberapa anggota Parlimen penyokong kerajaan Rabu sependapat bahawa tindakan memisahkan pasangan yang sudah berkahwin, walaupun disebabkan kenaikan pangkat, bukan sahaja menyebabkan kenaikan kos sara hidup mereka, malah mungkin menimbulkan masalah sosial lain.Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) yang membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang-Perbekalan 2011 (Bajet 2011), di Dewan Rakyat berpendapat penjawat awam yang sudah berkeluarga sepatutnya diberi keutamaan memilih lokasi di mana mereka mahu tinggal dan bekerja.

"Kita tidak boleh pisahkan mereka...ini akan sukarkan soal kasih sayang, penjagaan anak dan keselamatan mereka," katanya.Beliau menggesa kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan penjawat awam yang sudah berkeluarga, dan bertugas jauh daripada keluarga, untuk berpindah bagi membolehkan mereka bersama keluarga.Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang mencelah perbahasan Mohd Jidin itu berpendapat, faktor berjauhan daripada keluarga boleh menyumbang kepada kekurangan produktiviti penjawat awam, selain perlu menampung kos hidup yang lebih tinggi.

"Kalau suaminya di Sabah, si isteri di Johor Bharu, perbelanjaan mereka akan tinggi kerana terpaksa menanggung dua rumah dan sebagainya."Jadi, kalau ditempatkan berhampiran, mereka boleh duduk di sebuah rumah dan dengan itu, saya percaya produktiviti mereka akan meningkat," katanya.Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) pula bertanya sama ada penempatan yang berbeza itu menyumbang kepada masalah sosial, khususnya penceraian yang semakin meningkat pada masa ini.Mohd Jidin berkata faktor kejauhan mampu menjadi masalah besar kepada pasangan yang sudah berkahwin dan boleh menggugat keharmonian rumah tangga.Beliau berkata adalah wajar kerajaan mempertimbangkan perkara itu bagi memastikan penjawat awam lebih berdaya maju.Persidangan dewan bersambung esok.-- BERNAMA

28 Oktober 2010

BONUS HANYA UNTUK PEKERJA CEMERLANG

Berita Harian
2010/10/28



BARU-BARU ini kerajaan meluluskan peruntukan RM500 sebagai Bantuan Kewangan Khas kepada penjawat awam bagi meringankan beban mereka terutama bagi menampung perbelanjaan persiapan sekolah. Bantuan kewangan itu diberikan kepada penjawat awam Gred 54 ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan. Langkah ini dalam suasana ekonomi global yang belum stabil, menunjukkan keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan pegawai dan kakitangannya.

Harapan CUEPACS bagi mendapatkan bonus untuk ahlinya tidak dapat ditunaikan, jika berbuat demikian kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM3 bilion. Walaupun ekonomi semakin stabil, ia turut bergantung kepada ekonomi dunia.
Tuntutan CUEPACS dan langkah kerajaan berhubung tuntutan itu masing-masing mempunyai alasan. Suara CUEPACS mewakili ahlinya, manakala kerajaan pula perlu mengimbangi kepentingan negara dan pegawainya. Dalam hal ini, saya berpendapat kita harus mencari langkah terbaik untuk mengelak keluh kesah yang setiap tahun kedengaran. Pada pendapat saya, bonus hanya boleh diberi kepada mereka yang layak kerana menunjukkan prestasi cemerlang. Prestasi diukur dari pelbagai aspek yang boleh dikira dan tidak membabitkan kecenderungan manusia dalam membuat keputusan.

Prestasi ini berasaskan statistik, bukan penilaian pegawai dalaman. Juri rawak di kalangan rakyat yang dipilih wakil rakyat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kerajaan negeri juga boleh menilai tahap perkhidmatan diberikan pegawai kerajaan. Dengan penilaian prestasi seperti ini, penjawat awam dapat dinilai secara saksama. Adil kepada rakyat, kerajaan, kakitangan dan pegawai kerajaan terbabit. Pegawai kerajaan yang bertungkus-lumus, rajin, bekerja keras diberi penghargaan sewajarnya dan sebaliknya. Hanya mereka yang cemerlang, dedikasi, dihargai dan mereka inilah sepatutnya diberi bonus berganda. Bukan mereka yang sebilangan malas, tetapi dapat bonus juga. Sudah masanya, polisi perkhidmatan kerajaan diselaraskan antara negeri, bonus diberikan kepada mereka yang layak dan perkhidmatan dinilai melalui prestasi berasaskan statistik. Dengan ini, kita tahu di mana kita berada dan ke mana tujuannya.


LAYAK DIHARGAI,
Kuala Lumpur.

27 Oktober 2010

PELAN TAKAFUL KASIH 1 CUEPACS SASAR PREMIUM RM2J

Berita Harian
27/10/2010




HONG Leong Tokio Marine Takaful Bhd (HLTM Takaful) menyasarkan premium sehingga RM2 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS yang diuruskannya di bawah inisiatif konsortium pengendali takaful Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Ketua Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar, berkata Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu adalah produk pertama daripada siri produk takaful yang akan diperkenalkan konsortium pengendali takaful CUEPACS.

Beliau berkata, konsortium itu merancang melancarkan sekurang-kurangnya lima lagi pelan takaful untuk ahli CUEPACS yang berjumlah 1.2 juta, sebelum akhir tahun ini.
“Bagi HLTM Takaful yang menjadi sebahagian konsortium pengendali takaful CUEPACS, kami menyasarkan melancarkan satu lagi produk sebelum akhir tahun,” katanya pada pelancaran Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Presiden CUEPACS, Omar Osman.

Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS menawarkan dua pelan takaful komprehensif iaitu simpanan dan perlindungan kemalangan diri akibat daripada kematian atau keilatan kekal menyeluruh (TPD). Untuk menyertainya, peserta perlu membeli sekurang-kurangnya satu unit bermula serendah RM10 sebulan untuk simpanan dan RM2 sebulan untuk perlindungan kemalangan diri. Penyertaan lebih daripada satu unit juga dibenarkan, tetapi sehingga maksimum 10 unit. Ab Latiff berkata, menerusi Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu, peserta Islam diberi pilihan memilih perkhidmatan ‘Badal Haji’ atau upah Haji bagi membantu mereka memenuhi sebahagian daripada lima Rukun Islam dalam keadaan peserta mengalami kematian atau TPD. Bagaimanapun katanya, pilihan itu harus dinyatakan ketika peserta mengisi borang permohonan Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS.

“Apabila berlaku kematian atau TPD, sebahagian manfaat peserta yang belum dibayar kepada peserta atau penama akan ditolak untuk pembayaran Badal Haji kepada TH Travel & Services Sdn Bhd,” katanya. Sementara itu, Omar berkata, pengenalan Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu selaras matlamat CUEPACS bagi membela kesejahteraan ahlinya dalam situasi membabitkan kemalangan, TPD atau kematian. “Matlamat kami ialah supaya sekurang-kurangnya setiap ahli CUEPACS mempunyai pelan perlindungan insurans bagi membantu mereka dan keluarga dalam menghadapi situasi kecemasan akibat kemalangan, TPD atau kematian,” katanya.

24 Oktober 2010

PERKHIDMATAN AWAM TULANG BELAKANG PEMBANGUNAN NEGARA

Utusan Malaysia
24/10/2010



KUALA LUMPUR 22 Okt. - Rakyat perlu menghargai peranan sektor perkhidmatan awam kerana ia merupakan tulang belakang pembangunan negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihak yang suka menghentam sektor awam sebenarnya merupakan golongan yang hanya suka mencari kesalahan orang lain.

"Pihak berkenaan harus sedar akan kepentingan sektor awam. Mereka inilah yang membantu menjadi jentera kepada dasar negara agar mencapai segala pembangunan yang dikecapi sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi peringatan kepada pihak yang sesuka hati menuduh perkhidmatan awam tidak cekap.

Pihak tersebut katanya, kadangkala suka memperbesarkan benda-benda yang kecil dalam usaha menunjukkan perkhidmatan awam tidak cekap.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Datuk Mohd. Ali Baharom pula meminta pihak berkenaan berhenti daripada terus mencemuh perkhidmatan awam.

"Saya harap pihak berkenaan tidak menjadi pengkhianat negara sehingga mengadakan tuduhan mengenai aset ketenteraan negara.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan dan tindakan tegas mesti diambil kepada mereka ini. Janganlah mensia-siakan perjuangan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara ini," ujarnya.

Kata beliau, ini tidak bermakna perkhidmatan awam tidak boleh dikritik tetapi ia harus dilakukan sekiranya ia betul-betul berlaku dan bukannya berunsur fitnah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas-bekas Polis, Shafie Bakri berkata, sektor perkhidmatan awam telah terbukti memainkan peranan penting dalam membangunkan negara.

"Sekiranya kakitangan awam yang menjadi kumpulan pelaksana tidak cekap, sudah tentu kita tidak menikmati kemajuan seperti sekarang.

"Kita akui terdapat segelintir penjawat awam yang tersasar daripada objektif dan ia telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk memburukkan perkhidmatan awam. Janganlah hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," tegasnya.

21 Oktober 2010

CELOTEH WAKIL WANITA PAHANG CUIT HATI PERWAKILAN

Bernama
20/10/2010



KUALA LUMPUR: Celoteh dan gelagat lucu wakil Pahang di samping menggunakan dialek negeri yang pekat menghiburkan 799 perwakilan Wanita pada Perhimpunan Agung pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Ketika perwakilan kelihatan mengantuk pada sesi petang perhimpunan, kemunculan Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Temerloh, Hamiah Khatib Awang, di rostrum untuk menyokong usul ekonomi yang dibentangkan oleh Bendahari Wanita UMNO Perlis, Dr Soraya Azmi, kembali menyegarkan suasana.
"Kenapalah bagi saya usul ekonomi, bagilah saya topik politik tetapi tidak mengapalah, saya akan berucap dan bawakan masalah-masalah yang dihadapi orang kampung," katanya berseloroh diikuti dengan ketawa perwakilan. Beliau juga berseloroh dengan mengatakan bahawa orang kampung tidak hirau mengenai Model Baru Ekonomi (MBE) dan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar yang dirancang kerajaan kerana mereka lebih mementingkan kebajikan dan faedah yang bakal dinikmati mereka. Sambil menyatakan kekaguman dengan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu, Hamiah sempat "menyelitkan" permintaan dengan mengatakan keperluan untuk lebih banyak insentif dan bantuan diberikan kepada penduduk luar bandar. "Ini penting sebab orang luar bandarlah yang banyak memenangkan kita (dalam pilihan raya)," katanya sambil disambut tepukan dan sorakan gemuruh perwakilan. Beliau juga mempersoalkan pemberian kenaikan elaun kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), tetapi tiada kenaikan elaun untuk setiausaha, bendahari dan anggota jawatankuasa.
"Pengerusi dapat RM800, pengerusi pergi haji percuma, beli tanah dapat subsidi, (tetapi) setiausaha? bendahari? ahli jawatankuasa apa hal? Tak ada pun. "Apa salahnya setiausaha dapat setengah daripada elaun pengerusi kerana setiausahalah tulang belakang JKKK, setiausaha dibayar RM80 untuk buat fotostat dan bancuh air kopi je, dahlah dalam UMNO tiada gaji," katanya yang mengundang gelak ketawa perwakilan. Perkara yang sama juga turut dipersoalkan mengenai imam yang menerima kenaikan elaun bulanan tetapi tidak pula bagi bilal dan siak. "Kalau macam tu bila bilal sakit tekak, suruh saja imam yang azankan, sebab bilal tiada kenaikan elaun, memanglah itu (amalan) hal akhirat, tetapi dunia juga kena pentingkan juga, kita mohonlah elaun itu diubah," katanya. Walaupun masa dihadkan selama 15 minit sahaja untuk pencadang, sambil ditegur oleh Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed, kerana melebihi masa, Hamiah tetap meneruskan ucapannya sambil disokong oleh perwakilan yang mahukan beliau terus berucap. "Banyak lagi masalah orang kampung ni, Pahang negeri besar, tetapi masa diberi 15 minit, mana cukup," katanya disambut gelak tawa perwakilan.
Hamiah turut meminta ahli Wanita supaya tidak melayan cadangan CUEPACS yang mahukan penjawat awam bersara pada umur 60 tahun. "Jangan layan CUEPACS nak kerja sampai 60 tahun, saya tak lama lagi dah nak pencen, saya sendiri tak ada mood nak kerja sampai 60 tahun, ramai lagi orang-orang baru yang cari kerja," katanya. - BERNAMA

CUEPACS MAHU PEMBERIAN BONUS

Berita harian
20/10/2010

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam menghantar telegram kepada Datuk Seri Najib Razak, untuk menyatakan rasa tidak puas hati kesatuan itu kerana tiada peruntukkan untuk bonus dalam Bajet 2011. Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya juga mahu mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri berhubung isu itu.
“Permintaan Cuepacs agar kerajaan membayar bonus kepada kakitangan awam bukan sesuatu yang keterlaluan kerana ia mengambil kira pengorbanan dan sumbangan mereka dalam membangunkan negara,” katanya.

Omar berharap permintaan CUEPACS akan dihalusi oleh Najib selaras dengan prinsipnya untuk mendahulukan rakyat dalam semua perkara. “Pada 2009, apabila kita meminta kerajaan memberi bonus kepada pekerja awam, Perdana Menteri memanggil kita (CUEPACS) dan menerangkan bahawa kerajaan tidak mampu untuk membayar bonus kerana berdepan dengan kemelut ekonomi. “Kita akur dengan penjelasan beliau dan menerimanya dengan hati terbuka kerana kerajaan berjanji akan menimbangkan semula permintaan itu apabila ekonomi pulih.
“Tapi sekarang ekonomi negara kembali mantap, dan apabila kakitangan awam menerima sumbangan Aidilfitri sebanyak RM500, kita menunggu-nunggu pengumuman bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji tetapi malangnya tidak ada. “Hari ini kita bermesyuarat dan memutuskan untuk mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri dan kita hantar telegram petang ini juga,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Omar berharap permintaan CUEPACS akan dihalusi oleh Najib selaras dengan prinsipnya untuk mendahulukan rakyat dalam semua perkara.

MTUC TOLAK DANA PENCEN

Bernama
20/10/2010




PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa 10 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya tidak menyertai cadangan penubuhan Dana Pencen Swasta tahun depan kerana mendakwa pulangan terhadap pelaburan mereka itu kelak tidak dapat dijamin. "Hasil pulangannya bergantung kepada kuasa pasaran dan ini adalah sangat berisiko untuk pencarum kerana mungkin mereka kehilangan semua simpanan mereka," kata Setiausaha Agung MTUC, G Rajasegaran.

Beliau berkata, syarikat insurans telah melobi penubuhan dana tersebut sejak sekian lama dan MTUC telah menolaknya dengan disokong oleh Lembaga KWSP.
"Namun kini ia muncul kembali dengan pelobi insurans telah berjaya, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan bahawa kerajaan bersetuju untuk melantik syarikat insurans mengurus dana berkenaan," katanya. Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, telah mengeluarkan kenyataan bahawa dividen KWSP akan dikurangkan secara beransur-ansur bagi menggalakkan pencarum melabur di dalam Dana Pencen Swasta. Dalam Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta tahun depan bagi memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Beliau turut mengumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada dana itu termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri. Rajasegaran berkata, berikutan perkembangan terbaru berkenaan, MTUC akan melancarkan kempen secara agresif tidak lama lagi bagi menggalakkan pekerja supaya menolak dana pencen tersebut. Sementara itu, MTUC akan meminta untuk bertemu dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan soal dana tersebut dan kesan jangka panjangnya terhadap pekerja terutama tentang kebajikan masa tua mereka, katanya. - BERNAMA

19 Oktober 2010

CUEPACS TETAP MAHU KERAJAAN PERTIMBANG PEMBERIAN BONUS DUA BULAN

Bernama
19/10/2010


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama)-- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi memohon supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini.
Presidennya, Omar Osman berkata berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus tahun ini, beliau yakin kerajaan mampu berbuat demikian.

"Pertumbuhan KDNK negara kita telah melonjak kepada 10.5 peratus dan keadaan ekonomi negara sedang mantap, jadi tidak mustahil perkara itu (bonus) dapat dilaksanakan.
"Kita turut menghantar satu telegram kepada Perdana Menteri petang ini bagi menyatakan hasrat kita (supaya) dapat berjumpa beliau dengan harapan kerajaan dapat mempertimbangkan semula pemberian bonus itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs kali ke-11 di Wisma Cuepacs hari Selasa.
Seramai 135 perwakilan kongres, termasuk dari Sabah dan Sarawak, menghadiri mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, tidak mengumumkan bonus kepada kakitangan awam, sebaliknya memberi bantuan kewangan khas sebanyak RM500 bagi Gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan, bagi menampung perbelanjaan persiapan sekolah.
Omar berkata tuntutan pemberian bonus telah dibuat sejak beberapa tahun lepas, namun ditolak kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika itu.

Beliau yang berterima kasih di atas pemberian bantuan kewangan khas itu, masih berharap kerajaan dapat memberikan sekurang-kurangnya sebulan bonus.
Ditanya mengenai pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan digantikan dengan sistem penilaian baru, Omar berkata, Cuepacs menyambut baik pengumuman itu, namun berharap mereka akan dipanggil berbincang mengenai penggubalan sistem baru tersebut.
"Kita berharap pada Julai 2011 nanti, sistem penilaian baru yang baik dapat diwujudkan, dan wakil dalam Cuepacs turut dipanggil bagi berbincang apakah sistem yang terbaik bagi penambahbaikan dalam perkhidmatan awam pada masa kini," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa PTK yang bakal diadakan bulan ini, tetap diteruskan sehingga satu sistem penilaian baru diwujudkan pada Julai tahun depan.
-- BERNAMA

___________________________________________________________________
Foto Media Cuepacs

KERAJAAN TAK MAHU PINJAM BERI BONUS

Berita Harian
18/10/2010



KEPUTUSAN pemberian bonus harus mengambil kira kedudukan kewangan negara dan bukan sekadar menggembirakan kakitangan awam atau bertujuan memancing undi, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, kerajaan pada dasarnya mahu memberikan bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta penjawat awam tetapi membatalkan hasrat itu kerana ia akan menyebabkan negara meminjam dan menambah hutang sekali gus menyebabkan defisit tinggi Bajet 2011.

“Kalau buat macam ini, negara akan hadapi defisit yang tinggi dalam kos operasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pusat Khidmat Bergerak Barisan Nasional (BN) di Padang Taman Klebang Jaya, Chemor, Perak semalam.

Beliau mengulas penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di ibu negara kelmarin, bahawa kerajaan mahu memberikan bonus sebulan gaji kepada penjawat awam tetapi ini akan mengakibatkan perbelanjaan besar RM3.1 bilion, justeru menggantikannya dengan Bantuan Kewangan Khas RM500 kepada kakitangan awam gred 54 dan ke bawah.

18 Oktober 2010

CUEPACS TO PETITION FOR AT LEAST A HAFT-MONTH'S BONUS

The Star
By LESTER KONG
lester@thestar.com.my
18/10/2010




PETALING JAYA: Cuepacs will convene a special meeting here tomorrow to seek for a half-month bonus for the 1.2 million civil servants in the country.
The union will issue a memorandum to the Prime Minister’s Department to state its disappointment of not receiving their annual bonus this year.
“We have received many calls by our members to petition the Government for a bonus,” said Cuepacs president Omar Osman in an interview here yesterday.
He said the union body had petitioned for a two-month bonus in 2009 but was convinced by Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak then that it could not be done because of the economic slowdown.
“But, now that the economy is recovering, we believe the Government has the means to grant civil servants the bonus they need.
“Giving the bonus will not put a big dent in the Government’s finances,” he said.
The Government had announced that in lieu of the bonus, a special financial assistance of RM500 each would be given in December to civil servants in Grade 54 and below as well as to contract officers and retirees.
A month’s bonus would incur an expenditure of RM3bil for the Government.
Omar said the RM500 was merely “a token” for the public service employees.
In Ipoh, Finance Minister II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah said bonus payments to civil servants will depend on the country’s economic situation, reiterating they were not included in the 2011 Budget due to financial constraints.
“We don’t want a deficit in the operational cost.”

BESAR MANA RM3.1 BILION ITU?

Utusan Malaysia
18/10/2010




Ia boleh digunakan untuk membina enam buah hospital, atau membina 15 batang jambatan merentangi sungai yang lebar, atau membina 1,200km jalan raya luar bandar selebar 8 meter, atau lebuh raya bertingkat sepanjang 30km, atau 150 buah sekolah, atau enam buah lapangan terbang baru.
Walaupun nilai ini kecil berbanding nilai RM4 bilion yang kononnya disumbangkan untuk kerajaan Kelantan oleh sebuah syarikat, tetapi nilai RM3.1 bilion ini amat besar ke atas pembangunan infrastruktur negara.
Justeru, para penjawat awam wajarlah menyedari bahawa pemberian bonus sebulan ke atas kakitangan awam ini merupakan satu pembaziran buat perbendaharaan negara dan tuntutan sedemikian oleh CUEPACS menafikan pula hak orang lain yang menunggu kedatangan arus pembangunan infrastruktur yang sempurna.
Bayangkan nilai tersebut dan manfaat jangka panjang yang diberikan sekiranya dicurahkan untuk pembangunan infrastruktur, dengan manfaat jangka pendek yang sangat-sangat pendek bila dibelanjakan oleh kakitangan awam.
Matlamat merancakkan ekonomi negara bukanlah keperluan lagi seperti saat-saat negara menghadapi krisis dahulu. Malah kecairan melalui perbelanjaan kakitangan awam hanya menggalakkan perbelanjaan yang tidak berhemah di kalangan penjawat awam.
Seharusnya perkhidmatan awam itu sendiri yang perlukan rombakan drastik luar kebiasaan bagi melipatgandakan produktiviti.
Sebaliknya, idea-idea peningkatan produktiviti seperti mewujudkan waktu anjal yang memberi signifikan ketara contohnya memperkenalkan dua waktu bekerja 7 pagi - 4 petang dan 11 pagi - 8 malam bagi membolehkan pejabat kerajaan dibuka sekurang-kurangnya 12 jam sehari dan urusan rakyat akan dapat dipermudahkan, perlu diambil kira.

SYAMSYUL FADZLI MAT
Putrajaya

CUEPACS BINCANG ISU TIADA BONUS

Utusan Malaysia
18/10/2010




KUALA LUMPUR 17 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membentangkan isu tiada bonus sebulan gaji kepada kakitangan awam dalam Bajet 2011 pada mesyuarat khas kongres itu Selasa ini.
Presidennya, Omar Osman berkata, pada mesyuarat itu beliau dijangka menerima maklum balas daripada semua peringkat ahli kongres di seluruh negara.
Beliau berkata, menerusi maklum balas itu, pihaknya akan berbincang dan membuat analisis mengenai apakah kesan ke atas penjawat awam ekoran ketiadaan bonus tersebut.
"Setakat ini, kita menerima beberapa maklum balas awal daripada penjawat awam dan rata-ratanya menunjukkan reaksi kecewa.
"Kongres bimbang, kekecewaan itu akan menyebabkan penjawat awam tidak lagi komited dengan kerja mereka dan sekali gus boleh mengakibatkan ekonomi merudum semula,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas penjelasan Perdana Menteri berhubung kerajaan tidak boleh memberi bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta kakitangan awam dalam Bajet 2011 kerana ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM3.1 bilion.
Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan penjawat awam akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 bagi meringan beban dan menampung perbelanjaan persiapan sekolah untuk anak-anak.
Omar berkata, pihaknya akur jika RM3.1 bilion untuk 1.2 juta kakitangan awam akan membebankan kerajaan, namun sekurang-kurangnya kerajaan wajar memberi setengah bulan gaji iaitu ia hanya melibatkan RM1.5 bilion sahaja.
Beliau memberitahu, wang bantuan khas sebanyak RM500 yang diperuntukkan itu tidak mencukupi untuk kakitangan awam khususnya yang mempunyai lebih daripada seorang anak tetapi untuk pesara ia sudah memadai.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, pengumuman tiada bonus untuk kakitangan awam pada tahun ini tidak menepati hasrat penjawat awam.
Menurut beliau, berdasarkan keadaan ekonomi negara pada tahun 2010 yang semakin pulih sepatutnya kerajaan mampu memberikan bonus kepada penjawat awam sebagai tanda penghargaan.
''Sekurang-kurangnya sebahagian besar wang bonus itu dapat digunakan oleh penjawat awam pada akhir tahun untuk menyelesaikan pembiayaan anak-anak yang kini semakin membebankan.
''Kita tidak memperlekehkan wang bantuan khas itu tetapi ia masih tidak mencukupi khususnya penjawat awam yang mempunyai anak lebih daripada dua orang,'' jelasnya.

BERI BONUS KEPADA PENJAWAT AWAM PRODUKTIF - WAKIL RAKYAT

Bernama
18/10/2010 7:30pm



KUALA LUMPUR 18 Okt. - Beberapa anggota Parlimen hari ini percaya kerajaan akan mempertimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada masa depan jika mereka sentiasa cemerlang dan produktif dalam melaksanakan tugas.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, ini kerana kerajaan memberi jaminan akan melihat kepentingan penjawat awam apabila mereka melipatgandakan usaha masing-masing.
"Semua penjawat awam perlu melaksanakan tugas dengan amanah dan bertanggung jawab. Dengan adanya timbal balas, saya yakin bahawa orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa,” katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat di sini.
Sabtu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa kerajaan tidak dapat memberi bonus sebulan gaji kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam dalam Bajet 2011 kerana ia melibatkan perbelanjaan besar iaitu RM3.1 bilion.
Najib berkata, pemberian bantuan khas kewangan RM500 setiap seorang adalah wajar. - Bernama

17 Oktober 2010

BONUS: PENJELASAN PM

Utusan Malaysia
Oleh NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my
18/10/2010




KIRA-KIRA 14,000 warga pendidik dari seluruh negara menghadiri Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama pada majlis yang pertama kali diadakan itu ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.




KUALA LUMPUR 16 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak boleh memberi bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta kakitangan awam dalam Bajet 2011 kerana ia membabitkan perbelanjaan besar sebanyak RM3.1 bilion.
Beliau berkata, pembayaran sebanyak itu jika dilaksanakan akan menyebabkan perbelanjaan negara melebihi pendapatan.
‘‘Saya tahu banyak yang lobi saya supaya mengisytihar bonus satu bulan, tetapi saya nak kongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan bahawa bonus satu bulan ini menelan belanja sebanyak RM3.1 bilion.
‘‘Kalau ikut hati memang saya hendak bagi bonus, tetapi sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab, saya tidak boleh belanja lebih daripada pendapatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri yang dihadiri 14,000 guru dari seluruh negara di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Najib mengumumkan penjawat awam akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 bagi meringan beban dan menampung perbelanjaan persiapan sekolah untuk anak-anak.
Bantuan kewangan itu yang dibayar pada Disember ini akan diberikan kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pemberian RM500 itu adalah langkah sehabis baik yang boleh beliau lakukan bagi meringankan beban penjawat awam.
‘‘Sekurang-kurangnya akhir tahun kita bagilah sedikit sumbangan hendak beli baju, kasut serta beg sekolah dan ini sangat-sangat berguna sekali.
‘‘Kerajaan juga bermurah hati untuk panjangkan sumbangan ini kepada pesara kerajaan walaupun barangkali mereka tidak ada anak-anak lagi (yang bersekolah),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau sedang meneliti beberapa memorandum yang disampaikan oleh wakil guru yang mencadangkan supaya dilakukan penambahbaikan kepada skim perguruan.
‘‘Saya pohon masa sedikit untuk meneliti implikasi kewangannya sebab guru ini bilangannya 400,000 orang. Kalau kita darab apa-apa pun dengan bilangan ini, ia akan menjadi jumlah yang amat besar sekali.
‘‘Sebab itulah saya perlu meneliti bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan. Sekiranya kerajaan mampu, Tan Sri Muhyiddin boleh buat pengumuman bila sampai masanya,” jelasnya

CUEPACS HARAP KERAJAAN TIMBANG SEMULA BONUS 2 BULAN

Bernama
16/19/2010


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berterima kasih atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam, namun berharap kerajaan akan mempertimbang semula pemberian bonus kepada 1.2 juta penjawat awam tahun ini. Presidennya, Omar Osman, berkata pemberian bonus sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua penjawat awam setiap kali pembentangan bajet kerana ia dapat meringankan beban mereka.

"Kalau tidak dua bulan sepatutnya dapat menikmati sekurang-kurangnya sebulan atau setengah bulan bonus atau RM1,000 hingga RM1,200," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Omar berkata, beliau akan membuat permohonan rasmi kepada kerajaan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Isnin ini bagi memohon pemberian bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam. Secara keseluruhannya, Omar menyifatkan Bajet 2011 sebagai komprehensif kerana memberikan beberapa insentif lain kepada penjawat awam termasuk menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Mengenai pemansuhan PTK, beliau berkata: "Pemansuhan PTK amat diharapkan, ia menjadi "ubat hati" kepada ketiadaan pemberian bonus kepada penjawat awam tahun ini". Beliau turut mencadangkan dengan pemansuhan itu, kerajaan dapat menggunakan kos yang diperuntukkan untuk pengurusan peperiksaan PTK kepada pelbagai perkara lain. "Apabila tiada peperiksaan PTK, kita harap tidak berlaku banyak birokrasi dalam urusan kenaikan pangkat. Kenaikan pangkat dapat dinilai berdasarkan penilaian prestasi serta kecekapan, menghadiri kursus, melihat sumbangan seseorang penjawat awam dan mengikut kekananan," katanya. Peperiksaan PTK diperkenalkan pada November 2002 yang bertujuan menghapuskan budaya mengampu ketua jabatan dan memastikan hanya mereka yang layak menerima pengiktirafan. Mengenai perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini disambung untuk tempoh setahun lagi, Omar berkata agensi yang terlibat perlu mematuhinya dan mengharapkan pegawai berkenaaan diserap sebagai penjawat awam tetap.
Omar turut menyambut baik kemudahan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat membuat pinjaman perumahan dengan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Januari 2011. "Ini dikira baik, cuma perlu memastikan pelaksanaan berlaku dengan betul dalam kemudahan pinjaman perumahan termasuk kepada keluarga penjawat awam dan tiada pilih kasih termasuk Skim Rumah Pertamaku dapat dinikmati oleh golongan muda yang baru bekerja," katanya. Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata kerajaan sentiasa prihatin kepada golongan pesara yang pernah berbakti kepada negara. Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani, pula berkata bantuan RM500 itu adalah pemberian istimewa terutama kepada bekas tentera. - BERNAMA

BERI IKUT MAMPU

Berita Harian
Oleh Azman
Zakariaazmanz@bharian.com.my
2010/10/17





NAJIB melayan pendidik sambil diperhatikan Muhyiddin pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Kerajaan tak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan Najib









KUALA LUMPUR: "Jika ikutkan hati, memang saya mahu berikan bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta penjawat awam pada pembentangan Bajet 2011 tetapi sebagai Menteri Kewangan bertanggungjawab, saya tak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan," kata Datuk Seri Najib Razak. perbelanjaan besar iaitu RM3.1 bilion. “Sebab itu, sehabis-habis baik ialah dapat memberi Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah.

“Kerajaan bermurah hati, kita panjangkan pemberian berkenaan kepada pesara kerajaan, walaupun mereka barangkali tidak ada anak di sekolah,” katanya pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam, yang dihadiri kira-kira 14,000 guru. Presiden CUEPACS, Omar Osman kelmarin berkata, CUEPACS gembira dengan Bajet 2011 yang memenuhi sebahagian besar tuntutan 1.24 juta penjawat awam selama ini, tetapi masih berharap kerajaan akan dapat memberikan bonus dua bulan gaji kepada mereka tahun ini.

Najib berkata, walaupun tiada pemberian bonus, kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari. Sementara itu, Najib mahu empat perkara diberi perhatian dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara, termasuk melahirkan masyarakat yang fasih dan mahir dalam dwibahasa, kerana setiap rakyat wajib dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik dan juga perlu fasih dan mahir dalam bahasa Inggeris. “Jika boleh, mahir dalam tiga bahasa kerana ia dapat meningkatkan daya saing rakyat dan negara,” katanya. Najib berkata, sistem pendidikan juga perlu mampu membangunkan keintelektualan generasi muda, iaitu tahu berfikir secara kreatif serta inovatif dan bukan menghafal serta memberi jawapan dalam peperiksaan
.

16 Oktober 2010

SISTEM PENILAIAN KAKITANGAN AWAM PTK DIMANSUHKAN

Malaysiakini
Okt 15, 10 5:55pm



Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecepatan (PTK) untuk kakitangan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Katanya, PTK akan digantikan dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.
Beliau menegaskan demikian ketika membentangkan bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini.Perdana menteri itu, keputusan itu dibuat dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas para penjawat awam.Katanya, penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan."Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik, wawasan negara akan hanya tinggal sekadar matlamat murni", tegas perdana menteri.
Rasa tidak puas hati berkaitan PTK tidak sahaja bangkit dari kakitangan bawahan, malah sehingga peringkat pegawai kanan kerajaan.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu PTK dikaji semula termasuk dari segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.Sebaliknya, Presidennya, Omar Osman dilaporkan berkata penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.Katanya, ini kerana sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda.Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.Ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat.

PM: TIADA BONUS KERANA IMPLIKASI KEWANGAN BESAR

Malaysiakini
Okt 16, 10 2:29pm



Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak boleh memberi bonus satu bulan gaji kepada kakitangan awam kerana tindakan itu akan memberi implikasi kewangan besar iaitu sebanyak RM3.1 bilion.Katanya, selaku menteri kewangan yang bertanggungjawab, beliau tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan.
Najib berkata memang banyak pihak yang melobi supaya kerajaan dapat mengisytiharkan bonus sebulan kepada 1.2 juta penjawat awam."Tapi saya nak kongsi dengan tuan-tuan dan puan. Bonus satu bulan telah belanja RM3.1 bilion pada kerajaan...kalau ikut hati memang saya nak beri bonus tapi sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab saya tidak boleh belanja lebih daripada pendapatan negara."Sebab itu yang saya dapat lakukan ialah beri RM500 sebagai bayaran khas kepada penjawat awam," katanya padaPerhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, pagi ini.
RM500 wajar
Oleh itu, katanya pemberian bantuan khas kewangan RM500 setiap seorang adalah wajar.Najib berkata bantuan khas kewangan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa dalam persiapan untuk persekolahan anak-anak pada hujung tahun."RM500 ini sangat-sangat berguna sekali dan kerajaan akan bayar bantuan khas itu pada Disember ini," katanya.Beliau berkata kerajaan bermurah hati turut memanjangkan bantuan ini kepada pesara-pesara kerajaan walaupun mungkin ada yang tiada lagi perlu menanggung anak-anak bersekolah.Menurutnya walaupun tiada pemberian bonus, kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari.Ini turut memberi faedah kepada guru wanita yang merupakan hampir 70 peratus daripada 400,000 guru di seluruh negara, katanya.
"Cuti bersalin ini satu hadiah untuk kaum wanita. Tapi kalau tak nak ambil 90 hari pun boleh juga...itu terpulang kepada mereka," katanya.Perdana Menteri berkata kerajaan turut memberi faedah tambahan dari segi pinjaman perumahan di mana had maksimum pinjaman perumahan dinaikkan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, agar penjawat awam lebih mampu membeli rumah lebih berharga.Mengenai pelbagai memorandum yang disampaikan kepada beliau untuk melakukan penambahbaikan skim perkhidmatan perguruan, Najib berkata beliau perlu sedikit masa menelitinya kerana melibatkan implikasi kewangan dan kumpulan guru yang besar."Sebab itu saya perlu teliti bersama JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Kewangan. Banyak cadangan dikemukakan...sekiranya kerajaan mampu, saya akan bincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran)...boleh buat pengumuman bila sampai pada masanya," katanya.

BAGET 2011 TOLAK TUNTUTAN KESATUAN

Harakah
Hazayani Zakaria
16/10/2010




KUALA LUMPUR, 16 Okt: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam tidak memenuhi permintaan kesatuan sekerja iaitu pelaksanaan gaji minimum.
"Bajet kali ini tetap tidak menunaikan tuntutan kesatuan sekerja iaitu bonus dua bulan gaji dan RM900 sebulan bagi tuntutan gaji minimum," katanya.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena juga dengan sinis berkata, bajet itu merupakan bajet 'seluar dalam' kerana duti import hanya dimansuhkan terhadap barangan yang remeh temeh.
"Ini Bajet 'seluar dalam dan selimut' kerana 'seluar dalam' memainkan peranan penting dalam pemacuan ekonomi berprestasi tinggi, tidak nampak apa-apa perancangan terperinci untuk mencapai ETP (Program Tranformasi Ekonomi).
Berhubung tiada kenaikan kadar tol untuk tempoh lima tahun, beliau berkata, kerajaan tidak memberi jaminan bahawa ia tidak akan dinaikkan selepas tempoh lima tahun.
"Najib hanya memberi jaminan bahawa kadar tol tidak naik selama lima tahun, tetapi tidak ada jaminan berapa peratus kenaikkan selepas itu walaupun kadar peredaran kenderaan kian bertambah setiap tahun," katanya.
Beliau turut mengulas mengenai pengurangan subsidi yang diumumkan Najib.
"Sepatutnya dalam tempoh lima tahun, tidak akan berlakunya pengurangan subsidi atau cadangan melaksanakan GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” ujarnya.
Justeru, beliau menyifatkan Bajet 2011 sebagai bajet untuk persiapan menghadapi pilihan raya.
"Tidak ada penstrukturan gaji, pemberian bantuan RM500 bantuan dan beberapa elaun untuk imam dan lain-lain sekadar suatu bajet sebelum pilihan raya," katanya.
Beliau turut berkata, kerajaan gagal mengenalan beberapa masalah pokok yang menghalang persaing ekonomi di kalangan pelabur.

KELANTAN SAMBUT BAIK CUTI BERSALIN 90 HARI

Utusan Malaysia
16/10/2010



KOTA BHARU 15 Okt. – Kerajaan negeri menyambut baik langkah memberikan penjawat awam cuti bersalin selama 90 hari seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2011 hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Wan Omar berkata, keputusan tersebut akan turut diguna pakai di negeri ini.
Jelasnya, cuti bersalin yang lebih panjang itu memberi peluang kepada kaum ibu untuk meluangkan masa lebih lama dengan bayi mereka yang baru dilahirkan.
“Kita ucapkan terima kasih di atas pengumuman tersebut. Maka ada lebih masa untuk wanita baru bersalin memberi tumpuan terhadap anak dan lebih menjamin kesihatan mereka.
“Saya berharap kaum ibu mengambil peluang ini untuk memberi susu badan kepada anak mereka kerana masa cuti yang panjang itu sangat cukup untuk pembesaran awal bayi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pemberian cuti 90 hari dengan gaji penuh seperti yang diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Ubaidah berkata, cadangan pemberian cuti bersalin 90 hari telah diumumkan kerajaan negeri sebelum ini, bagaimanapun masih belum dapat dilaksanakan kerana memerlukan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dahulu.

PENJAWAT AWAM HARAP BONUS 2 BULAN

Utusan Malaysia
15/10/2010




KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pemberian bonus kepada kakitangan awam dan usaha meningkatkan kualiti pengangkutan awam adalah antara harapan rakyat dalam Bajet 2011 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat esok.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota hari ini mendapati, orang ramai mahu bajet itu memberi faedah menyeluruh kepada rakyat manakala kakitangan awam berharap mengharapkan bonus sekurang-kurangnya dua bulan.
Kakitangan awam, Normazmin Che Ad, 30, berharap Perdana Menteri akan mengumumkan pemberian bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam pada pembentangan bajet esok kerana ia dapat membantu meringankan kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Bonus merupakan imbuhan tambahan yang bakal menyuntik semangat kami untuk terus bekerja dengan lebih baik," katanya di sini hari ini.
Seorang lagi penjawat awam, Ruslinda Yahya, 42, juga mahu kerajaan pertimbangkan pemberian bonus khas kepada kakitangan kumpulan sokongan.
"Dengan pemberian bonus akan dapat meringankan beban golongan tersebut kerana bergaji rendah lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja di bandar-bandar besar," katanya.
Seorang pemandu, Gunalan Athimoolan, 31, berpendapat, kerajaan harus meluaskan jaringan pengangkutan awam terutama kereta api antara bandar bagi membantu mengurangkan kos pengangkutan.
Sementara itu, eksekutif teknologi maklumat, David Cheah, 32, pula berharap kerajaan akan terus memberi inisiatif yang dapat menarik pelaburan langsung asing (FDI).
"FDI yang kukuh akan menjadi pemacu utama ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan oleh kerajaan," katanya.

MAJLIS KONSULTASI GAJI NEGARA DITUBUH

Utusan Malaysia
16/10/2010



KUALA LUMPUR 15 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang menjadi platform utama dalam penetapan gaji minimum.
Beliau berkata, majlis tersebut akan dianggotai oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi kerajaan, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu manakala Kementerian Sumber Manusia akan bertindak sebagai sekretariat.
“Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara. Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding RM610 (sebelumnya).
“Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285 termasuk elaun tetap,” katanya sewaktu membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menguatkuasakan gaji pokok minimum pengawal keselamatan antara RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini.
“Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011,” katanya.
Turut diumumkan Perdana Menteri ialah pelancaran Dana Pencen Swasta pada tahun 2011 untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.
Katanya, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.
“Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia akan dilaksanakan bermula Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.
Beliau berkata, program latihan itu mempunyai tiga komponen dengan yang pertama membabitkan kos RM200 juta untuk latihan sambilan pada sebelah malam dan hujung minggu di pusat latihan terpilih.
Katanya, ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat GiatMara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan kemudahan sedia ada.
“Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik.
“Pada hujung minggu pula, kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan RM200 juta daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.
Selain itu katanya, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal.

KAKITANGAN AWAM BOLEH PILIH CUTI BERSALIN 90 HARI

Berita Harian
2010/10/16




PROGRAM PERMATA mendapat peruntukan sebanyak RM111 juta bagi memastikan pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak.Dana RM30j tingkat penyertaan wanita dalam keusahawanan








KUALA LUMPUR: Penjawat awam wanita kini boleh memilih untuk cuti bersalin sehingga 90 hari dan menerima gaji penuh berbanding 60 hari sebelum ini.

Mengumumkan perkara itu menerusi pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan memberi fleksibiliti kepada penjawat awam wanita untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin, tertakluk pada kelayakan keseluruhan bilangan cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Kerajaan mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutama anak yang baru dilahirkan,” katanya. Mengiktiraf sumbangan wanita dalam kemajuan negara, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan.
Katanya, antara langkah diambil adalah memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan serta Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita. Najib juga meminta sektor swasta mengambil pekerja separuh masa wanita, terutama mereka yang sudah berumah tangga sejajar langkah kerajaan menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, termasuk menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober lalu. Beliau turut meminta pihak swasta memberi lebih banyak peluang untuk wanita memegang jawatan pada peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif. Sementara itu, peruntukan RM111 juta diberi untuk program PERMATA bagi memastikan pendidikan awal berkualiti untuk kanak-kanak di negara ini. Ia merangkumi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja. “Pendidikan anak adalah sesuatu yang dekat di hati saya.
Justeru, kerajaan tidak berdikit dalam soal pendidikan mereka dan kita tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka mesti disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing menghadapi zaman penuh mencabar,” katanya. Selain itu, bagi terus membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 yang sedia ada, diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian yang lain seperti lampin pakai buang. Ketika ini, pelepasan cukai itu terhad pada perubatan di klinik dan hospital, termasuk rawatan di nursing home serta rawatan pergigian.

PENJAWAT AWAM DAPAT PELBAGAI INSENTIF MENARIK

Berita Harian
16/10/2010









PENJAWAT awam dan kakitangan swasta di Seremban bersorak mendengar pembentangan Bajet 2010 yang dibentangkan Najib di Parlimen, semalam.Sumbangan dihargai terutama komitmen jaya inisiatif kerajaan




KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak semalam memberi pelbagai insentif menarik kepada penjawat awam, pegawai kontrak dan pesara kerajaan di seluruh negara, antaranya pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan kadar bantuan mengurus jenazah.
Perdana Menteri berkata, ia sebagai menghargai sumbangan semua pihak termasuk penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif kerajaan dan dengan harapan supaya penjawat awam terus berusaha.
Katanya, bantuan khas kewangan diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan pada Disember ini bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak. “Kerajaan juga bersetuju memansuhkan PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun 2011.

“Ia adalah usaha berterusan dalam menyedia kerangka penilaian lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam,” katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada masa ini terhadap penjawat awam dan pesara kerajaan selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah. Beliau berkata, perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat (PKS) yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini juga akan disambung untuk tempoh setahun lagi dengan kementerian dan agensi tidak dibenar untuk menambah bilangan PKS baru. Bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat membuat pinjaman perumahan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Januari 2011.

“Kerajaan juga akan membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik, selain menggandakan kadar pinjaman untuk kerja tambahan rumah kos rendah kepada RM20,000 berbanding RM10,000 bagi Kumpulan Sokongan Dua dan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000. “Semua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011,” katanya

PERUNTUKAN BARU HANYA HADKAN BILANGAN ANAK

Berita harian
2010/10/16



PEMBERIAN cuti bersalin sebanyak 90 hari berbanding 60 hari sebelum ini kepada penjawat awam wanita menimbulkan dua reaksi berbeza. Ketika Presiden Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (MAMANEH), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj bersetuju dengan fleksibiliti menentukan sendiri tempoh cuti bersalin, Perunding Rakan Sebaya Penyusuan Ibu Malaysia, Nor Kamariah Mohd Alwi pula berpendapat ia hanya mengehadkan bilangan anak buat wanita bekerjaya.

Mengulas lanjut, Nor Kamariah berkata, mengikut peruntukan itu, cuti 90 hari daripada 300 hari perkhidmatan itu sama dengan cuti bersalin 90 hari untuk anak pertama hingga tiga saja.
“Sebelum ini, kerajaan memberikan cuti dua bulan dengan peruntukan 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan dan bilangan itu bersamaan dengan tempoh cuti bersalin hingga anak kelima. Sekarang, bilangan cuti bertambah, tetapi dengan peruntukan sama 300 hari. “Ini bermakna cuti hanya untuk sehingga anak ketiga, jika wanita terbabit mahu mengambil cuti sehingga 90 hari setiap kali bersalin,” katanya. Bajet 2011 antara lain memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutama anak yang baru dilahirkan.

Bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, kerajaan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini. Kemudahan itu tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan cuti bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. Sementara itu Dr Harlina yang juga Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) juga berharap sepanjang tempoh itu, ibu mengamalkan penyusuan ibu sepenuhnya. Beliau yang juga berharap kelonggaran juga diberi kepada ibu untuk bercuti beberapa minggu sebelum bersalin berpendapat memberikan penyusuan penuh dalam tempoh tiga bulan pertama dapat membentuk hubungan baik ibu dan anak. “Bayi pada usia berkenaan lebih kondusif menerima rangsangan, justeru ‘lebih kuat’ untuk ditinggalkan ibu ketika keluar bekerja selepas tempoh cuti bersalin berakhir.

“Majikan tidak seharusnya melihat cuti panjang diberi menjejaskan produktiviti organisasi kerana banyak bukti menunjukkan wanita berjawatan penting hari ini, mempunyai anak ramai, tetapi tetap fokus terhadap tugas,” katanya.

CUEPACS PUAS HATI BANYAK TUNTUTAN DILAYAN

Berita Harian
16/10/2010



CUEPACS gembira dengan Bajet 2011 yang memenuhi sebahagian besar tuntutan 1.24 juta penjawat awam selama ini, tetapi masih berharap kerajaan dapat memberikan bonus dua bulan gaji kepada mereka pada tahun ini. Presidennya, Omar Osman berkata, CUEPACS juga menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dianggap bermasalah sejak diperkenalkan lapan tahun lalu, penambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari, peningkatan kadar bantuan mengurus jenazah, kemudahan memiliki rumah, penyambungan perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat (PKS), menaikkan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.

“Kami melihat bajet ini menunjukkan ekonomi sudah pulih dan mantap. Bajet yang komprehensif membabitkan semua sektor dan terima kasih kerana banyak tuntutan kami dilayan. Cuma terkilan dan sedih kerana tidak dapat bonus selain tuntutan lain tidak diambil kira seperti elaun kos sara hidup (COLA), elaun wilayah dan imbuhan tetap perumahan.
Fokus ahli pada setiap kali bajet adalah bonus kerana ia satu langkah meningkatkan produktiviti dan semangat baru pekerja awam, namun bila diumumkan hanya dapat elaun, kami agak kecewa kerana hasrat mendapat bonus tidak kesampaian,” katanya. “Bagaimana pun, kami berharap ahli bersabar dan terus meningkatkan produktiviti.

CUEPACS akan terus memperjuangkan tuntutan yang tidak dipenuhi termasuk bonus dua bulan gaji dengan menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan semula, Isnin ini,” katanya