SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Disember 2021

Tekanan kerja antara faktor penjawat awam terjebak dadah

 Berita Harian
31 Disember 2021


    KUALA LUMPUR: Tekanan kerja yang melampau antara faktor mendorong penjawat awam terbabit     dalam pengambilan bahan terlarang termasuk dadah.\Setiausaha Agung Kongres Kesatuan             Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin         menyifatkan perkara itu amat membimbangkan.

"Polis mendedahkan lebih 800 penjawat awam ditahan kerana kesalahan dadah sepanjang tahun ini dan angka itu menunjukkan betapa serius masalah berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh CUEPACS, kebanyakan penjawat awam yang terbabit dalam gejala dadah disebabkan masalah tekanan kerja dan ini perlu ditangani segera," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, yang mendedahkan seramai 346 pegawai dan anggota polis antara 804 penjawat awam ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah, sepanjang tahun ini.

Secara keseluruhan, 340 kakitangan awam, 104 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 14 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dikesan atas kesalahan sama.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, ketua jabatan perlu memainkan peranan bagi menangani masalah berkenaan bagi mengelaknya bertambah buruk.

Jelasnya, masalah terbabit bukan sahaja amat membimbangkan malah jika tidak ditangani segera, boleh memberi kesan buruk kepada imej penjawat awam.

"Bagi saya, ketua jabatan perlu memainkan peranan serta semua pihak termasuk media untuk menangani masalah ini.

"Pengambilan dadah ini tetap satu kesalahan besar dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka," katanya.


17 Disember 2021

Penjawat awam berniaga, perlu patuh peraturan - Cuepacs

 My Metro
17 Disember 2021


Kuala Lumpur: Penjawat awam yang ingin menjalankan perniagaan atau pekerjaan tambahan dinasihat sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.


Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu perlu dimaklumkan melalui permohonan secara bertulis kepada ketua jabatan selain memastikan kerja hakiki tidak terjejas dan terganggu berikutan pembabitan dalam perniagaan atau pekerjaan kedua.

"Keutamaan haruslah diberi kepada perkhidmatan masing-masing agar tiada perkara berbangkit berlaku. Cuepacs juga berharap ketua jabatan sentiasa mengingatkan mengenai perkara ini kepada kakitangan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes seorang penjawat awam yang didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam selepas mengaku bersalah terbabit dalam perniagaan membekalkan sarung kaki bernilai RM44,500 tanpa kebenaran.

Adnan juga menasihati sekiranya berlaku permasalahan, ketua jabatan haruslah bertindak mengikut pertimbangan yang baik dan adil kerana setiap masalah yang berlaku boleh diselesaikan di peringkat jabatan tanpa perlu dipanjangkan ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, beliau mencadangkan kerajaan menyemak semula skim gaji yang diterima pekerja di sektor awam dan swasta berikutan pekerja melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk meningkatkan taraf hidup disebabkan skim gaji yang rendah.

"Ketika ini situasi seorang pekerja yang terpaksa melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarga sudah menjadi norma biasa. Di sektor awam permulaan gaji adalah RM1,200 sebulan manakala gaji minimum di sektor swasta juga bermula RM1,200 sebulan," katanya.

14 Disember 2021

CUEPACS akan jumpa ANGKASA

 Berita Harian
14 Disember 2021


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan membantu memberi penerangan kepada penjawat awam bagi menyokong usaha Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) yang ingin menubuhkan konsortium bagi membolehkan barang keperluan asas dijual dengan pada harga lebih rendah.

Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata penjawat awam memang ternyata banyak menyumbang kepada hasil ekonomi negara terutama ketika pandemik COVID-19 dalam tempoh dua tahun ini.


"Bagaimanapun, setakat ini belum ada perbincangan dengan ANGKASA tetapi ia akan dilakukan dalam masa terdekat untuk masing-masing berkongsi input untuk menjayakan matlamat konsortium.

"Saya yakin dengan seluruh masyarakat terutama penjawat awam untuk memboikot orang tengah akan berhasil untuk kembali menurunkan harga barangan keperluan di pasaran," katanya kepada BH, hari ini.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, dilaporkan berkata pihaknya akan menubuhkan konsortium yang menggabungkan lebih 3,000 outlet runcit melalui gerakan koperasi negara dalam usaha menurunkan harga keperluan asas.

Melalui pendekatan itu katanya, ANGKASA akan bertindak sebagai penyelaras untuk membekalkan barang keperluan harian pada harga berpatutan dalam sistem rantaian pembekalan yang kini dimanipulasi orang tengah hingga menyebabkan harga barangan meningkat.

"Saya mahu orang ramai menolak orang tengah kerana kebanyakan punca kenaikan barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan beras kerana ia disebabkan orang tengah.

"Jadi apabila ada konsortium yang mempunyai ribuan produk runcit ini akan berhasil menurunkan harga kepada konsortium terus memperoleh bekalan tanpa campur tangan orang tengah," katanya.

13 Disember 2021

Cuepacs gesa kerajaan kaji semula elaun anggota bomba

 Sinar harian
13 Dusember 2021


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk mengkaji semula elaun Bayaran Insentif Bomba (BIB) sebanyak RM110 sebulan yang disifatkan tidak setimpal dengan bebanan dan risiko yang dihadapi anggota bomba.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan bagi tugasan lebih masa.

Menurutnya, jumlah RM110 itu bersamaan dengan RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan hanya sekitar 80 sen setiap jam jika bertugas untuk syif 24 jam.

“Mengikut rekod sebelum, elaun BIB yang diterima oleh anggota JBPM adalah sebanyak RM27.50 pada tahun 90-an sebelum dinaikkan kepada RM90 pada tahun 2000 dan RM110 pada tahun 2007.

“Sebelum ini, JBPM juga telah memohon untuk menaikkan elaun BIB kepada anggota mereka, namun sehingga kini ia masih belum diputuskan oleh kerajaan.

“Kadar elaun semasa yang diterima ini sangat kecil jika dikira pada masa ini dan perlukan pengkajian semula selepas 14 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Bandar Baru Segamat, Mohd Firdaus Sulaiman, 32, yang cedera parah terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat pada Sabtu lalu.

Mohd Firdaus bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Segamat pada jam 4.15 pagi, Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, tugas anggota bomba yang turut berada sebagai barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar.

Jelasnya, walaupun nilai pengorbanan tersebut tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, ia perlulah setimpal dengan khidmat terutama mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat.

“Peningkatan elaun perkhidmatan merupakan salah satu inisiatif yang boleh diberikan kerajaan bagi menghargai anggota JBPM selain memastikan segala peralatan yang diterima mematuhi piawaian keselamatan dan diselenggara dengan baik.


“Dari segi justifikasinya, memang wajar apa yang diminta ini jika dibandingkan dengan risiko yang dihadapi.


“Cuepacs berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan segera tanpa perlu melakukan kajian yang mungkin memakan masa,” ujarnya.


11 Disember 2021

1.48 peratus penjawat awam masih belum divaksin

 Utusan Malaysia
11 Disember 2021


PORT DICKSON: Kira-kira 1.48 peratus atau 23,680 daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam di negara ini masih belum divaksin.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pada masa ini, ketua-ketua perkhidmatan sedang giat membuat perjumpaan dengan penjawat awam yang masih belum membuat keputusan untuk menerima vaksin.


Menurut beliau, daripada tinjauan yang diperoleh susulan perjumpaan berkenaan, kebanyakan daripada golongan berkenaan bukanlah merupakan antivaksin.

Ads by Kiosked

“Mereka ini mungkin memerlukan sedikit kaunseling, mungkin disebabkan perasaan takut ataupun melihat pengalaman rakan mereka sendiri.

“Sebelum ini, tidak dapat berjumpa dan kini ketua jabatan boleh berjumpa mereka dan berikan sesi kaunseling,” katanya kepada pemberita pada Program Karnival Sukan Port Dickson 2021 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa.

Adnan dalam pada itu menambah, pihaknya percaya kesemua penjawat awam terbabit akan membuat keputusan untuk menerima vaksin setelah sesi kaunseling diberikan dan selepas perjumpaan tersebut diadakan.

Bagi penjawat awam kontrak pula, sekiranya mereka masih lagi tidak menerima vaksin, ia akan menjejaskan tempoh perkhidmatan mereka bergantung kepada tempoh lantikan sedia ada.

“Mungkin ia boleh menyebabkan perkhidmatan tidak bersambung. Jadi saya menasihatkan terima sahajalah vaksin, mudah sahaja dan tidak sakit pun,” katanya.

Ads by Kiosked

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adnan memohon agar pihak Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan dahulu bayaran balik pembiayaan perumahan dalam tempoh tiga ke enam bulan.

Menurutnya, buat masa ini terdapat 900,000 akaun pinjaman di bawah LPPSA yang dibuat penjawat awam di mana ada peminjam yang telah dibuat potongan gaji penuh walaupun rumah masih belum diduduki.

“Penjawat awam ini terpaksa membuat dua bayaran iaitu pinjaman berkenaan dan juga sewa rumah masing-masing sedangkan rumah masih tidak siap.

“Jadi kami minta jasa baik dan pertimbangan khas seperti penangguhan bayaran bagi membolehkan golongan penjawat awam yang terlibat dapat menyusun semula ekonomi keluarga mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE