SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Julai 2020

CUEPACS kemuka cadangan sistem saraan baharu penjawat awam

BeritaHarian
Oleh Abdul Rahemang Taiming
TAWAU: CUEPACS dalam peringkat akhir mengemukakan cadangan sistem saraan baharu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Presidennya, Adnan Mat, berkata ketika ini kerajaan masih mengekalkan SSM yang telah ditambah baik selepas melalui beberapa siri pemansuhan antaranya Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 dan Jawatankuasa Gaji Kabinet pada tahun 1976.
Antara cadangan yang dikemukakan menerusi sistem saraan baharu itu adalah berkaitan penetapan gaji minimum penjawat awam yang ketika ini masih berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Ketika ini gaji permulaan penjawat awam adalah sebanyak RM1,200 tidak termasuk Bantuan Sara Hidup (COLA), elaun wilayah dan lain-lain namun masih berada di bawah PGK negara yang ditetapkan pada kadar RM2,208.
"Sehubungan itu, kongres baru-baru ini telah memutuskan supaya dibentuk satu sistem saraan baharu selain cadangan gaji minimum penjawat awam yang melangkaui PGK.
"Rundingan telahpun dibuat kepada kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah memberikan maklum balas termasuk penambah baikan dan cadangan yang akan dikemukakan semula," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan CUEPACS kepada petugas barisan hadapan COVID-19, peringkat daerah Tawau, Anjuran Sabah Medical Service Union (SMSU) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi CUEPACS Sabah, Adamin Mokh dan Presiden SMSU, Ajulahin Japin.
Dalam pada itu, Adnan turut mengulangi gesaan supaya kerajaan menunaikan janji dengan melaksanakan lima tuntutan yang dibuat pihaknya sebelum ini.
Antaranya ialah kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018, pemendekan kenaikan pangkat 'time based' kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun yang berkuat kuasa 1 Januari 2018.
Selain itu, pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56 serta penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun juga belum dilaksanakan.

18 Julai 2020

Elaun Utiliti untuk penjawat awam bekerja dari rumah: CUEPACS

Utusan Borneo
 Abdul Rahman ketika bercakap kepada pemberita semasa sidang media di Miri, hari ini, sambil disaksikan oleh (dari kiri), Omar, Bong, Dr Jack, Roslan dan Rowland.
Abdul Rahman ketika bercakap kepada pemberita semasa sidang media di Miri, hari ini, sambil disaksikan oleh (dari kiri), Omar, Bong, Dr Jack, Roslan dan Rowland.
MIRI: Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), hari ini meminta kerajaan menyemak cadangan pemberian eluan utiliti kepada penjawat awam di negara ini yang bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, 18 Mac lalu. 
Setiausaha agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohamad Nordin berkata elaun tersebut bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang terus melaksanakan tanggungjawab mereka dari rumah dan pada masa yang sama membantu menangani wabak COVID-19 dalam negara, dengan mematuhi arahan-arahan kerajaan sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).  
"Elaun utiliti untuk penjawat awam bagi penggunaan internet, elektrik dan sebagainya semasa mereka bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP dan PKPB yang lalu. 
"Kita mahu kerajaan menyemak balik cadangan tersebut yang ketika ini dalam pertimbangan," katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini, selepas merasmikan mesyuarat agung dwi tahunan Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak (SMSU) bahagian Miri, hari ini. 
Abdul Rahman dalam sidang media itu juga turut menekankan agar kerajaan membayar penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. 
"Penebusan ini sepatutnya sudah boleh kita perolehi pada Januari 2020, namun pertukaran kerajaan telah menyebabkan ia tertangguh dan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pengumuman bahawa kerajaan baru ini mahu mengkaji semula perkara itu. 
"Sebaliknya, CUEPACS mahu kerajaan melaksanakan penebusan GCR dan diberi balik kepada penjawat awam sebab mereka juga memerlukan kewangan, khususnya kakitangan awam yang bergaji rendah. Mereka boleh menggunakannya untuk memperbaiki rumah, menanggung perbelanjaaan persekolahan anak-anak dan sebagainya," ujar beliau. 
Mengenai kontrak dua tahun untuk pegawai perubatan termasuk doktor, CUEPACS mahu tempoh tersebut dipanjangkan demi kebaikan jabatan kesihatan dan juga negara. 
"Selepas kontrak dua tahun, mereka tidak boleh diserap ke mana-mana dan tempoh dua tahun ini terlalu pendek sangat, sedangkan doktor ini, semakin lama dia bertugas maka semakin banyak kepakarannya dan ini yang kita perlukan, terutama dalam meningkatkan produktiviti," jelas beliau. 
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan beberapa perkara dan tuntutan CUEPACS yang tertangguh sebelum ini terutama sejak 2018, supaya dilaksanakan sebagaimana sepatutnya. 
Antaranya ialah pemendekan kenaikan pangkat Time Based kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun dan kuota Haji Khas kepada pesara. 
Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana, yang hanya memberi manfaat kepada penjawat awam di Semenanjung Malaysia sahaja tetapi tiada kenaikan tambahan tersebut bagi Sabah dan Sarawak. 
"CUEPACS mahu kerajaan memberi sedikit insentif untuk penjawat awam di Sarawak dan Sabah," tambahnya. 
Beliau berkata CUEPACS juga mahu kerajaan mengkaji balik gaji penjawat awam dari RM1,200, berikutan paras kemiskinan yang dikeluarkan baru-baru yang menunjukkan ramai penjawat awam berada pada paras kemiskinan. 
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong, Presiden SMSU, Bong Kuek Siong, Setiausaha Kewangan CUEPACS, Roslan Nordin, Timbalan Pengerusi CUEPACS Sarawak dan Timbalan Presiden SMSU, Omar Bahrein Unin serta Ketua Penyelaras Penolong Pegawai Perubatan Bahagian Miri, Rowland Mitop, mewakili Pegawai Kesihatan Bahagian Miri. 

17 Julai 2020

Cuepacs gesa kerajaan kekal penebusan ganti cuti rehat

Sinar Harian

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
14/7/2020



 - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) menggesa keputusan asal mengenai penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) bagi kakitangan awam berkhidmat selama 15 tahun dapat dikekalkan.


Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya membantah cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahu mengkaji semula pelaksanaan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang telah berkhidmat selama 15 tahun.


Beliau berkata, alasan diberikan kerajaan bahawa penebusan awal GCR semasa dalam perkhidmatan tidak menguntungkan penjawat awam adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima oleh semua penjawat awam termasuk Cuepacs.

Menurutnya, soal menguntungkan atau tidak adalah perkara subjektif yang ditentukan sendiri oleh penjawat awam yang menerima manfaat tersebut.

"Penebusan GCR kepada wang tunai bukan wajib dan ia adalah pilihan kepada penjawat awam itu sendiri sama ada mahu menebusnya atau pun tidak.

"Pengeluaran GCR ini berbentuk sukarela dan bukan paksaan, sesiapa yang berasa rugi boleh menunggu pengeluaran semasa pencen.

"Komitmen kewangan sesetengah penjawat awam juga tidak sama kerana kebanyakan mereka yang telah berkhidmat lebih 15 tahun berada di fasa pembangunan keluarga yang mana anak-anak masih bersekolah di peringkat menengah dan tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan semasa sidang Dewan Rakyat hari ini berkata, kajian semula itu adalah wajar kerana penebusan awal GCR ketika dalam perkhidmatan tidak menguntungkan kepada penjawat awam.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan kaji semula dasar penebusan GCR

Adnan menegaskan, Cuepacs tidak mahu apa jua cadangan untuk penjawat awam yang telah diumumkan sebelum ini dikitar semula bagi dibentangkan dalam mana-mana perancangan atau belanjawan pada masa akan datang.

"Cadangan ini juga telah dibentangkan oleh kerajaan terdahulu semasa pembentangan Belanjawan 2020 tahun lalu.

"Jadi, alasan Takiyuddin untuk melaksanakan kajian semula terhadap mana-mana perancangan termasuk GCR tidak boleh diterima oleh penjawat awam dan tidak signifikan dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin untuk memastikan ekonomi dalam negeri dirangsang oleh rakyat di dalam negara sendiri," katanya.

Menurutnya, jika kerajaan tetap memutuskan untuk mengkaji, ia akan memberi gambaran negatif kepada kerajaan yang dilihat sebagai 'flip flop' dalam setiap polisi yang mahu dilaksanakan.

Katanya, Cuepacs bimbang keyakinan penjawat awam akan terhakis sekiranya banyak perkara berkaitan penjawat awam sering diabaikan walaupun ia boleh dilaksanakan.

Justeru itu, katanya, Cuepacs berharap Muhyiddin dapat mengekalkan keputusan asal mengenai penebusan GCR.

"Apatah lagi Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini dalam kenyataannya pada Februari lalu memaklumkan fasa pelaksanaan penebusan GBR telah berada di peringkat pindaan sedikit undang-undang bagi membolehkan ia dilaksanakan.

"Perkara ini sepatutnya tidak perlu ditangguh kerana ia telah membuang banyak masa untuk mengkaji semula pelaksanaannya," katanya.

12 Julai 2020

CUEPACS cadang kerajaan beri elaun khas

Berita Harian
12/7/2020

KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan memberi elaun khas kepada penjawat awam bagi menanggung sebahagian daripada kos utiliti kediaman mereka jika pelaksanaan mod bekerja dari rumah diteruskan.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pelaksanaan konsep bekerja dari rumah membolehkan kerajaan menjimatkan kos utiliti kerana kehadiran penjawat awam di pejabat berkurangan.


"CUEPACS menyokong penuh jika kerajaan berhasrat meneruskan pelaksanaan bekerja dari rumah kerana ia satu perkembangan yang baik dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Malaysia.
"Dalam hal ini, perkhidmatan awam di Malaysia bertuah kerana berjaya mengaplikasikan konsep ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu," katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Beliau berkata, walaupun ada kelemahan dalam pelaksanaan konsep berkenaan, ia boleh ditambah baik pada masa akan datang.
"Bekerja dari rumah adalah normal baharu yang boleh diamalkan dalam sektor pekerjaan termasuk swasta. Bukan sahaja dari sudut keselamatan dan kebajikan pekerja, malah memberi kebaikan kepada majikan sendiri," katanya.
Adnan bagaimanapun menegaskan, pelaksanaan bekerja dari rumah tidak boleh dilakukan tergesa-gesa bagi mengelakkannya memberi impak dan persepsi negatif kepada penjawat awam serta perkhidmatan kerajaan.
Kerajaan, katanya, perlu menentukan atau mengkaji terlebih dahulu kesesuaian sektor yang boleh melaksanakan konsep bekerja seperti itu sebelum diperluaskan ke sektor lain dalam perkhidmatan awam.
"Sebagai contoh, kerja yang sesuai dilaksanakan dari rumah mestilah perkhidmatan yang tidak memerlukan kakitangan berhadapan dengan pelanggan. Jika jabatan terbabit memerlukan kakitangan berurusan dengan pelanggan secara langsung, maka konsep ini tidak sesuai.
"Implikasi lain yang perlu diberi perhatian adalah integriti penjawat awam. Jika tugas itu membabitkan maklumat rahsia kerajaan atau perolehan kewangan, sudah tentu ia berisiko untuk dilaksanakan jika bekerja dari rumah," katanya.
Adnan turut mengingatkan ketua jabatan supaya akur dan memainkan peranan dalam menguruskan sumber manusia jika pelaksanaan konsep bekerja dari rumah diteruskan selepas ini.
"Sekiranya konsep bekerja dari rumah dilaksanakan kelak, ketua jabatan perlu bersedia untuk menerimanya dengan sebaik mungkin.
"Jika kakitangan bekerja dari rumah, jangan pula ada ketua jabatan mengeluarkan arahan meminta kakitangan terbabit hadir ke pejabat hanya untuk mereka menunjukkan kehadiran semata-mata," katanya.

04 Julai 2020

Perkasa agenda kebajikan penjawat awam – CUEPACS


HarakahDaily
4/7/2020



KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneliti kembali perkara yang telah diumumkan dan dirancang oleh kerajaan terdahulu berhubung agenda pemerkasaan serta peningkatan kebajikan penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Adnan Mat, berkata kongres itu mendengar keluhan dan kekecewaan penjawat awam kerana perkara yang dirancang melibatkan agenda pemerkasaan dan kebajikan pekerja sektor awam tidak dapat dilaksanakan ekoran perubahan landskap politik dan kerajaan memerintah.
“Antara perkara yang telah diumumkan tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini ialah Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bersamaan satu KGT secara khas kepada semua penjawat awam, di samping KGT biasa setiap tahun berkuatkuasa 1 Julai 2018.
“Kedua, pemendekan kenaikan pangkat secara ‘time based’ kali kedua daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2018.
“Penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dan permohonan penyamarataan tambahan Elaun Sara Hidup (COLA) di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebanyak RM50 yang diletakkan dalam Elaun Wilayah,” katanya.
 
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Bagi Petugas Barisan Hadapan dan Majlis Bersama Ketua-ketua Jabatan di Pejabat CUEPACS Sarawak di sini, semalam, beliau berkata kesatuan itu sehingga kini masih tidak menerima sebarang jawapan kukuh mengapa perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan. 

Adnan berkata perkara tersebut tidak melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan sekiranya dilaksanakan, memandangkan kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa kedudukan kewangan negara sekarang masih kukuh walaupun berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Kami merayu dan memohon pertimbangan kerajaan untuk melaksanakan segera semua perkara yang telah diumum dan dirancangkan untuk penjawat awam sebelum ini,”  katanya.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 25 agensi kerajaan dan persatuan yang memainkan peranan sebagai petugas barisan hadapan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan wabak COVID-19. – BERNAMA