SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2021 : PEKERJA TERAS, ,MENDEPANI CABARAN

17 Oktober 2021

JPA perlu buat tapisan pelalian syarat mohon jawatan awam - CUEPACS

 Berita Harian
17 oktober 2021


PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melakukan saringan kesihatan, termasuk menerima dos lengkap vaksin sebagai syarat baharu pengambilan calon sebelum diserap ke mana-mana jabatan dalam kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat, berkata apa yang dilakukan itu bukanlah satu bentuk diskriminasi, sebaliknya untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang awam untuk menggunakan perkhidmatan dalam kerajaan.

Katanya, tapisan awal itu juga sebagai satu langkah memilih individu yang benar-benar layak serta menerima dasar dilaksanakan kerajaan, sebelum menjadi seorang penjawat awam.


"Sekiranya sebelum kerja sudah menolak dasar dilakukan oleh kerajaan, mereka ini sudah tentu akan menjadi kumpulan yang tidak akan bersama perkara (dasar) yang dilakukan kerajaan.

"Lebih mudah, dasar ini diperkenalkan awal untuk mendapatkan calon yang sentiasa bersama dengan tunjang perkhidmatan awam. Jika berdegil pada mulanya mereka ini tidak akan membawa sifat atau pemikiran positif dalam kerajaan.

"Belum berkhidmat sudah ingkar dengan arahan, bagaimana majikan iaitu kerajaan boleh percaya dengan golongan ini untuk memasuki perkhidmatan awam," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Semalam, kerajaan Sabah menetapkan pelalian lengkap terhadap COVID-19 sebagai syarat wajib pengambilan baharu kakitangan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, dilaporkan berkata calon kakitangan awam juga akan diwajibkan melepasi penilaian kesihatan yang ditetapkan.

Adnan berkata, secara dasarnya penjawat awam adalah kumpulan pelaksana kepada segala dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat.

"Sudah tentu mereka yang berada dalam perkhidmatan awam serta individu yang mahu menyertainya perlu selari dengan aspirasi kerajaan, terutama dalam hal membabitkan pengambilan vaksin COVID-19.

"CUEPACS melihat tiada masalah langkah diambil kerajaan Sabah untuk mewajibkan setiap individu yang mahu memasuki perkhidmatan awam menerima dos vaksin yang lengkap.

"Mereka ini perlu terlebih dulu memahami dan melaksanakan aspirasi kerajaan, sebelum betul-betul menyertai perkhidmatan awam kerana pada masa akan datang merekalah yang akan menjadi pelaksana segala dasar kerajaan," katanya.

3 ulasan:

Mat berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
akmal berkata...

harga barang naik,hampa penjawat awam 1kgt pn xmampu nak bagi..

Adi Wijaya bin Iskandar berkata...

cadangan melengkapan vaksinasi sebelum memohon penjawat awam adalah positif sebagai usaha mencari kalangan rakyat yang taat setia menjunjung titah serta memberi kepercayaan masyarakat pada perkhidmatan awam di Malaysia. Agensi kerajaan adalah kumpulan pelaksana kepada segala dasar yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat, sudah pastinya terlebih dahulu melengkapkan diri sebagai individu yang berminat dan mematuhi dasar kerajaan.