SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Disember 2009

CUEPACS MAHU PERKHIDMATAN KONTRAK DITAMATKAN

Utusan Malaysia
10/12/2009




KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kerajaan diminta menamatkan skim perkhidmatan kontrak di kalangan penjawat awam mulai tahun 2011 sebaliknya mereka perlu diserapkan ke jawatan tetap.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, penamatan itu perlu dibuat secara berperingkat-peringkat memandangkan terdapat 60,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam ketika ini.
"Kita mahu semua pekerja kontrak untuk tahun 2010 diberi jawatan tetap walaupun mereka masih baru, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada orang yang telah lama berkhidmat.
"CUEPACS memang memandang serius perkara ini kerana banyak generasi muda, kebanyakannya masih berumur bawah 30 tahun sudah seronok bekerja tetapi perkhidmatan mereka tidak disambung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Perwakilan Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia Sesi 2009/2011 di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan sesetengah ketua jabatan yang terlalu mudah memberhentikan pekerja dengan menggunakan alasan tidak cukup peruntukan.
"Memang mereka ini kontrak, tetapi kalau sudah berkhidmat sehingga 10 tahun, tak kan senang-senang hendak berhenti.
"Sebagai ketua, janganlah jadi diktator. Pendatang asing pun kita tidak boleh memberhentikan mereka, inikan pula rakyat kita sendiri," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Omar berkata, pihaknya akan memohon penambahan lima tangga gaji bagi setiap gred perkhidmatan yang telah mencapai tangga gaji mati.
Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan secara terperinci dalam mesyuarat CUEPACS bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya minggu pertama bulan Januari tahun hadapan.
"Sebanyak 45 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam di negara ini sudah mencapai gaji maksimum.
"Sekiranya tiada kenaikan gaji, kita bimbang ia akan menjejaskan prestasi dan produktiviti," katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya akan mengutarakan pembelaan penjawat awam yang telah dikenakan tindakan tata tertib melibatkan pemberhentian kerja, untuk mendapatkan bayaran pampasan perkhidmatan dan gantian cuti rehat yang telah dikumpul.
Katanya, kesalahan yang dilakukan itu tidak ada kena-mengena dengan bayaran pampasan yang dituntut.

CUEPACS POSITIF KERAJAAN BERI BANTUAN KHAS RM500

Berita Harian
Oleh Nazura Ngah, Mohd Anwar Patho Rohman dan Haspaizi Mohd Zin
bhnews@bharian.com.my
9/12/2009



Peruntukan tambahan ganti bonus sebelum akhir tahun KUALA LUMPUR: Cuepacs positif kerajaan akan memberi peruntukkan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan bonus sebelum akhir tahun ini. Presidennya, Omar Osman, berkata melalui beberapa siri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ia mendapat reaksi meyakinkan.
"Baru-baru ini saya sempat menyambut ketibaan Perdana Menteri di Langkawi, apabila ditanya mengenai tuntutan itu beliau memberi reaksi yang positif. "Cuma kita minta, sekiranya perkara ini diluluskan, ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum persekolahan bermula tahun depan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam. Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan tiada bonus untuk kakitangan awam tahun ini disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Bagaimanapun bantuan khas sebanyak RM500 diberikan kepada kakitangan awam dan pesara.
Sementara itu Omar berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga diminta menilai semula Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) selepas dilakukan penambahbaikkan. Selepas berlaku penambahbaikkan terhadap sistem penilaian itu, ramai kakitangan awam yang menduduki peperiksaan terbabit tidak lulus. "Oleh itu, Cuepacs mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu, sehingga semakan semula dilakukan. "Memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikan gaji, apakah elemen yang diguna pakai dalam peperiksaan ini. Apakah kakitangan awam itu di nilai melalui produktiviti dan prestasi ataupun peperiksaan semata-mata," katanya.
Selain itu, Omar berkata pihaknya juga akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, bagi memastikan pekerja kontrak yang akan ditamatkan perkhidmatan pada akhir bulan ini mendapat pembelaan sewajarnya.

---------------------------------------------------------
Suasana Semasa Mesyuarat Kongres Di Cenang Langkawi



Media Cuepacs

09 Disember 2009

CUEPACS ADAKAN MESYUARAT TERGEMPAR BINCANG PINJAMAN PERUMAHAN

Bernama
09/12/2009 4:57pm




KUALA LUMPUR 9 Dis. - Cuepacs akan memanggil mesyuarat tergempar majlis bagi membincangkan penolakan kerajaan terhadap tuntutannya menghapuskan kira pinjaman perumahan yang diluluskan sebelum 1 Ogos 1995 bagi mereka yang ditamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan, kata setiausaha agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, di sini hari ini.
Mereka yang pinjamannya diluluskan selepas 1 Ogos 1995 diberikan keistiwewaan ini oleh kerana pinjaman mereka dilindungi insurans hilang upaya total kekal.
Ahmad Shah mengulas kenyataan Perbendaharaan semalam, bahawa kerajaan tidak dapat mengecualikan petugas yang tamat perkhidmatan atas sebab kesihatan yang telah mengambil pinjaman sebelum tarikh itu oleh kerana insurans mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran.
Beliau berkata, langkah itu menjejas kira-kira 50,000 petugas awam dan majlis akan memutuskan bentuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, ketaksamaan itu disebabkan oleh 'perbendaraan terlepas pandang kerana petugas awam tidak mempunyai suara dalam memilih insuran bila mengambil pinjaman perumahan'. - Bernama

08 Disember 2009

CUEPACS YAKIN KERAJAAN LULUS IMBUHAN TAMBAHAN RM500

Bernama
8/12/2009



KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan meluluskan imbuhan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini bagi menggantikan bonus.

Presidennya, Omar Osman, berkata melalui beberapa siri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu, ia mendapat reaksi positif.

"Baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi...apabila ditanya mengenai tuntutan itu beliau memberi reaksi yang meyakinkan.

"Cuma kita minta, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan, ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum musim persekolahan tahun depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan bayaran imbuhan RM500 kepada kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk tahun ini.

Sementara itu, Omar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga diminta menilai semula penambahbaikan yang dilakukan terhadap peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Katanya, ini kerana ramai penjawat awam yang menduduki peperiksaan PTK tidak lulus selepas berlaku penambahbaikan terhadap sistem penilaian itu.

"Oleh itu, Cuepacs mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu sehingga semakan semula dilakukan memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikan gaji," katanya. - Bernama

CADANGAN KECUALIKAN PINJAMAN RUMAH KAKITANGAN SAKIT DITOLAK

Bernama
8/12/2009




KUALA LUMPUR: Perbendaharaan Malaysia tidak dapat memenuhi tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya kerajaan mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang mengalami keilatan kekal semasa dalam perkhidmatan.

Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia, dalam kenyataan hari ini, menjelaskan tuntutan bagi penjawat awam yang membuat pinjaman sebelum 1 Ogos 1995 itu tidak dapat dipenuhi syarikat insurans kerana polisi insurans pada masa itu tidak meliputi keilatan kekal.

"Polisi keilatan kekal hanya mula ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful mulai 1 Ogos 1995 dan pinjaman perumahan selepas tarikh berkenaan sahaja layak mendapat perlindungan keilatan," menurut kenyataan itu.

Pada 22 November lalu, Cuepacs mengemukakan cadangan supaya kerajaan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan bagi kes pinjaman perumahan sebelum 1995.

Ini kerana berdasarkan perjanjian asal, petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insuran mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.

Pekeliling Perbendaharaan Bil 6/95 mewajibkan setiap peminjam mengambil insurans kebakaran dan gadai janji bagi menjamin kepentingan kerajaan daripada segi mendapat bayaran balik pinjaman sekiranya berlaku kematian atau kebakaran.

Perlindungan Hilang Keupayaan Kekal adalah produk tambahan yang ditawarkan oleh syarikat insurans kepada peminjam atas initiatif syarikat sendiri berikutan wujudnya persaingan di kalangan syarikat insuran.

"Oleh yang demikian, cadangan untuk meminda pekeliling itu tidak berkaitan," menurut kenyataan itu. - Bernama

CUEPACS OPTIMIS DAPAT BAYARAN KHAS RM500 KEDUA

Utusan Malaysia
8/12/2009



KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) optimis kerajaan akan memenuhi permintaan mereka untuk memberikan bayaran khas RM500 yang kedua bagi menggantikan bonus yang dituntut sebelum ini.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, daripada beberapa pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau cukup positif lebih satu juta kakitangan awam di negara ini bakal menerima khabar gembira tersebut tidak lama lagi.
Kata beliau, ini berikutan reaksi meyakinkan yang ditunjukkan Perdana Menteri apabila menyentuh tentang permintaan CUEPACS itu setelah kerajaan memutuskan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam.
''Misalnya, baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi, apabila ditanya mengenai tuntutan itu, beliau memberi reaksi positif.
''Cuma kita pohon, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum bermulanya musim persekolahan tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan yang kerajaan tidak akan membayar bonus kepada kakitangan awam tahun ini memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu.
Bagaimanapun kerajaan memutuskan untuk membayar bantuan khas sebanyak RM500 diberikan kepada kakitangan awam dan pesara.
Pada perkembangan berasingan, Omar meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menilai semula Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) selepas penambahbaikan dilakukan ke atas sistem itu baru-baru ini.
Menurutnya, ini perlu kerana selepas penambahbaikan dilakukan, ramai kakitangan awam yang menduduki peperiksaan terbabit tidak lulus.
''Oleh itu, CUEPACS mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu, sehingga semakan semula dilakukan.
''Memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikkan gaji, apakah elemen yang diguna pakai dalam peperiksaan ini.
''Apakah kakitangan awam itu di nilai melalui produktiviti dan prestasi ataupun peperiksaan semata-mata," jelasnya.
Selain itu, Omar berkata, pihaknya juga akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, bagi memastikan pekerja kontrak yang akan ditamatkan tempoh perkhidmatannya pada akhir bulan ini mendapat pembelaan sewajarnya.

PERBENDAHARAAN TOLAK CADANGAN KECUALIKAN PINJAMAN PERUMAHAN PETUGAS

Bernama
8/12/2009


KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Perbendaharaan Malaysia tidak dapat memenuhi tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kerajaan mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang mengalami keilatan kekal semasa dalam perkhidmatan.Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia di dalam kenyataannya menjelaskan tuntutan bagi penjawat awam yang membuat pinjaman sebelum 1 Ogos 1995 itu tidak dapat dipenuhi syarikat insurans kerana polisi insurans pada masa itu tidak meliputi keilatan kekal."Polisi keilatan kekal hanya mula ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful mulai 1 Ogos 1995 dan pinjaman perumahan selepas tarikh berkenaan sahaja layak mendapat perlindungan keilatan," demikian menurut kenyataan itu.Pada 22 Nov lepas, CUEPACS mengemukakan cadangan supaya kerajaan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan bagi kes pinjaman perumahan sebelum 1995.Ini kerana berdasarkan perjanjian asal, para petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insuran mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.Pekeliling Perbendaharaan Bil 6/95 mewajibkan setiap peminjam mengambil insurans kebakaran dan gadai janji bagi menjamin kepentingan kerajaan daripada segi mendapat bayaran balik pinjaman sekiranya berlaku kematian atau kebakaran.Perlindungan Hilang Keupayaan Kekal merupakan produk tambahan yang ditawarkan oleh syarikat insurans kepada peminjam atas initiatif syarikat sendiri berikutan wujudnya persaingan di kalangan syarikat insuran."Oleh yang demikian, cadangan untuk meminda pekeliling itu tidak berkaitan," menurut kenyataan itu.

06 Disember 2009

PRESTASI KWSP BERITA BAIK UNTUK SEMUA PENCARUM

Utusan Malaysia
5/12/2009




KUALA LUMPUR 4 Dis. - Prestasi memberangsangkan yang dicatat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi suku ketiga tahun ini adalah berita yang sangat ditunggu-tunggu oleh kira-kira 12 juta pencarum dana persaraan itu.
Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam berkata, ia diyakini akan memberikan semangat yang lebih tinggi kepada semua pencarum untuk terus mengharungi keadaan ekonomi yang lembap sepanjang tahun ini.
"Ini satu berita baik dan MTUC mengalu-alukan apa yang telah dicapai KWSP bagi tempoh itu. Ia juga satu keputusan yang positif dalam negara berhadapan dengan situasi ekonomi sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman KWSP semalam mengenai pendapatan pelaburannya dalam suku ketiga tahun ini yang melonjak 52.71 peratus kepada RM5.5 bilion daripada hanya RM3.6 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Kira-kira 12 juta pencarum KWSP dijangka menerima bayaran dividen lebih tinggi bagi tahun ini susulan prestasi memberangsangkan itu.
Dalam pada itu, kira-kira 300,000 pencarum KWSP yang berkhidmat di sektor awam menyifatkan prestasi memberangsangkan agensi pengurus dana persaraan itu pada tahun ini sebagai satu petanda baik kepada golongan pekerja.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan bahawa walaupun di dalam keadaan ekonomi yang lembap pada masa sekarang, KWSP masih mampu mencatatkan pendapatan pelaburan yang meyakinkan.

04 Disember 2009

SEJAUH MANA KPI AZAM 2009?

Utusan Malaysia
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my
4/12/2009





MENERIMA diari 2010 pada hari pertama Disember mengingatkan saya tentang azam 2009 yang tinggal sebulan saja lagi untuk dicapai.
Jika sehingga penghujung bulan ini, apa yang dihasratkan tidak tercapai bermakna azam itu gagal. Lebih daripada itu, azam itu sebenarnya telah dimulakan sejak enam tahun lalu.
Gabungan cita-cita, harapan yang kadangkala disulami impian selama enam tahun hanya tinggal sebulan untuk dicapai - mungkin mustahil kecuali ada keajaiban membantu menjadikannya kenyataan.
Hakikatnya bulan terakhir ini adalah pengukur terakhir kepada semua orang sejauh mana pencapaian masing-masing sepanjang tahun ini.
Berjaya atau gagal - indeksnya telah boleh dibaca, jawapannya juga telah boleh dirangka - malah ada yang telah membuat rumusan mengenai prestasi sendiri.
Contoh paling mudah, sebagai pekerja adakah kita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan majikan. Atau sepanjang tahun ini, tanggungjawab yang diamanahkan di bahu kita sebagai pekerja hanya dipikul setengah hati. Manakala separuh lagi terbengkalai kerana kegagalan pekerja melaksanakan peranan masing-masing.
Begitu juga dengan peranan kita sebagai individu. Adakah prestasi atau pencapaian kita sebagai manusia yang sarat dengan tanggungjawab berjaya dilaksanakan.
Kita sebagai individu yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk sebagai ibu, bapa atau anak tidak boleh dinafikan mempunyai peranan besar yang menuntut komitmen selagi hayat dikandung badan.
Komitmen itu bukan hanya terpakai sepanjang 2009. Bagaimanapun kejayaan melaksanakan peranan tersebut pada tahun ini menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) setiap individu tidak kira apa peranan atau fungsi yang dipikul.
Sebab itu apabila ada yang berkata masih awal untuk memperkatakan perihal berjaya atau gagal azam 2009, ia sebenarnya tidak begitu.
Ini kerana pencapaian boleh diukur sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Tiga bulan pertama, adakah azam itu bermula dengan baik, mencecah enam bulan?
Adakah perkembangannya memberangsangkan, dan tiga bulan terakhir sekurang-kurang 70 peratus azam itu telah berjaya dicapai?
Jika tinggal hanya sebulan dan azam itu tidak berganjak dari atas kertas atau cuma terpahat di fikiran maka sejauh mana pencapaiannya boleh dijawab atau diberi ukuran.
Di peringkat menteri atau kementerian misalnya, jika Disember sarat dengan pelbagai kursus dan program maka ia tidak semestinya bermakna KPInya cemerlang.
Lantaran menjadi trend kementerian atau jabatan mahu menghabiskan bajet tahunan di saat-saat akhir. Itu pun selepas menyedari masih banyak peruntukan tidak dibelanjakan.
Apabila peruntukan tidak dibelanjakan bermakna kalangan penjawat awam di kementerian atau jabatan yang berkenaan tidak buat kerja.
Maka jawapannya, lahirlah idea kreatif penganjuran kursus-kursus sepanjang Disember dengan matlamat untuk menghabiskan bajet dan mengelak daripada dipersoalkan.
Hasilnya, program yang dianjurkan umpama melepaskan batuk di tangga. Pengisian 2009 yang telah dirangka sejak awal tidak mencapai matlamatnya.
Begitu juga azam kita, yang sebenarnya bergantung kepada diri sendiri sama ada untuk menjadikannya kenyataan atau sebaliknya. Itu perlu diakui.

MAKLUM BALAS: " SYOR JPA PERBETULKAN GRED SPM, STPM, DIPLOMA"

Berita Harian
26/11/2009




Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Merujuk Kepada Surat Pembaca Bertajuk “Syor JPA Perbetulkan Gred SPM, STPM, Diploma” Oleh Pekerja Jelapang, Ipoh, Perak Yang Disiarkan Dalam Akhbar Utusan Malaysia Pada 27 Oktober 2009.
Penentuan gred gaji sesuatu skim perkhidmatan adalah berdasarkan prinsip kadar upah untuk kerja dan syarat lantikan yang diperlukan. Bagi perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan) skop fungsi tugas umumnya ialah mengambil trengkas, menaip, pengurusan fail, pengurusan temu janji, mengatur mesyuarat/perbincangan dan mengurus/mengatur program kerja harian ketua jabatan atau penyelianya. Oleh yang demikian, ia diletakkan pada Gred N17 dengan syarat minimum di peringkat SPM dengan kemahiran mengambil trengkas atau nota rintas (Gaji permulaan N17:P1T2). Skim perkhidmatan ini juga diperuntuk kelayakan masuk Diploma Sains Kesetiausahaan daripada politeknik-politeknik tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan dengan diberi gaji permulaan yang lebih tinggi iaitu Gred N17:P1T9 (RM1,219.66 sebulan).
Cadangan untuk melihat semula syarat kelayakan masuk dan melaraskan gred bagi skim-skim perkhidmatan yang dibangkitkan oleh pembaca adalah dalam pertimbangan JPA di mana ia perlu diperhalusi dari aspek relativiti dan pariti bagi perkhidmatan-perkhidmatan ini secara keseluruhan yang melibatkan skim-skim perkhidmatan lain yang menetapkan syarat kelayakan masuk di peringkat sijil, STPM dan Diploma.
Unit Komunikasi KorporatJabatan Perkhidmatan Awam Malaysia26 November 2009

GAJI DIPLOMA TIDAK SETARAF

Berita Harian
1/12/2009




SAYA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan lulusan diploma untuk mengisi kekosongan jawatan di perkhidmatan awam. Walaupun jawatan gred 17 yang kami terima itu tak setaraf kelulusan, kami terima dengan hati terbuka. Cuma apa yang terkilan ialah dari segi gred gaji dibayar JPA. Kami lulusan diploma dan ijazah dibayar dengan gred P1T1 (RM824.00) iaitu setaraf gred lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala bagi yang memiliki sijil politeknik pula dibayar dengan gred P1T9.
Jika semua masyarakat terdedah dengan hal ini, saya yakin lebih baik lepasan SPM memohon melanjutkan pelajaran pada peringkat sijil di politeknik. Ia jelas menunjukkan tiadanya keadilan dan JPA seolah-olah menafikan kelulusan dan tidak mengiktiraf lulusan diploma IPTA. Kami berharap sekurang kurangnya berilah gaji kami sama dengan kelulusan sijil politeknik atau lebih tinggi. Kami menghabiskan masa belajar peringkat diploma selama tiga tahun dan dalam tiga tahun, pihak JPA jangan lupa kami meminjam berpuluh ribu ringgit daripada PTPTN untuk menghabiskan pengajian. Dengan gaji RM824, mana mungkin kami membayar hutang PTPTN serta tunggakannya seperti dijadualkan. Gaji habis semata-mata untuk bayar hutang, tambang pergi balik kerja, perbelanjaan makan dan minum.
Jadi terpaksalah kami menggunakan pakaian sama bertahun-tahun sehingga menunggu gaji naik.

KAKITANGAN AWAM,
Pahang.

GURU BERMASALAH ELOK KE PEJABAT PENDIDIKAN

Berita Harian
3/12/2009





TIMBALAN Menteri Pelajaran menyatakan guru semberono akan ditangani secara serius untuk memastikan pelajaran murid tidak terjejas. Guru semberono bermaksud guru yang mengajar sambil lewa dan tidak komited dalam menjalankan tugas di sekolah. Sebenarnya bukanlah susah sangat mengenali guru jenis ini. Secara umum sebahagian besar tenaga pengajar sekarang adalah guru yang bertanggungjawab, berdisiplin dan sentiasa memberikan kerjasama. Bukan mudah untuk mengambil tindakan disiplin terhadap penjawat awam, khususnya tindakan gantung kerja atau buang kerja. Tugas ini memakan masa panjang kerana melalui peringkat tertentu dan perlu disertai maklumat dan bukti lengkap.
Oleh itu elok guru berprestasi rendah ini ditempatkan di pejabat pendidikan. Malah, pegawai kanan atau pegawai atasan di pejabat pelajaran dapat 'mengawasi' dan membimbing guru bermasalah ini.
ZIN MARKAM,
Pontian, Johor.

03 Disember 2009

NUTP BERI JAMINAN AHLI SOKONG SEPENUH SGM

Berita Harian
3/12/2009





KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), pertubuhan guru terbesar di negara ini dengan 120,000 ahli memberi jaminan akan memastikan Standard Guru Malaysia (SGM) yang dilancarkan kelmarin, mencapai matlamatnya. Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata SGM amat ditunggu-tunggu oleh kesatuan itu kerana ia sejajar dengan dasar kesatuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar melalui guru yang berkelayakan dan berdedikasi. “Ahli kami sudah pasti akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, sekolah, kolej dan institut latihan perguruan untuk mengekalkan dan memperbaiki standard yang ditetapkan,” katanya ketika mengulas SGM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di Sabah, kelmarin.

Dokumen itu akan dijadikan penanda aras kepada 300,000 guru yang mengajar, secara lebih efektif dalam kelas dan mereka juga perlu memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi. Lok berkata, sebaik standard ditetapkan dan garis panduan jelas diperkenalkan adalah mudah kepada guru mengikuti dan melaksanakannya. Pada masa ini, ada kekurangan dan kadang-kadang sukar untuk guru memberi perkhidmatan terbaik seperti mana yang diharapkan kerajaan dan masyarakat.
Beliau berharap garis panduan itu akan menggalakkan warga pendidik agar lebih inovatif dan berusaha meningkatkan kemahiran pengajaran dan pengetahuan mereka. Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata dengan pelancaran dokumen itu, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempunyai SGM. “Ia perlu dipuji kerana mampu menjadi penanda aras selain menjamin mutu dan kualiti guru sebagai penentu masa hadapan anak bangsa. SGM memberi gambaran jelas mengenai tugas guru,” katanya.

02 Disember 2009

TIADA JAMINAN, IMBUHAN KEPADA PEKERJA AGENSI NUKLEAR

Bernama


KUALA LUMPUR: Kakitangan Agensi Nuklear Malaysia tidak diberikan sebarang bentuk jaminan dan imbuhan khas selain daripada jaminan dan imbuhan yang lazimnya diberikan kepada penjawat awam, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof. Beliau berkata bagaimanapun, sebahagian daripada kakitangan itu yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran layak mendapat cuti tambahan sebanyak 14 hari setahun. "Bagi kakitangan yang menjalankan tugas sebagai pengendali reaktor penyelidikan nuklear yang terdapat di agensi, elaun kelayakan khas RM150 sebulan diberikan.
"Ini kerana semua pengendali reaktor itu perlu menjalani latihan khas tambahan yang dikendalikan oleh agensi itu sendiri sebelum dibenarkan mengendali reaktor penyelidikan berkenaan," katanya menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) yang ingin tahu bentuk jaminan serta imbuhan yang diberikan kepada kakitangan di pusat tenaga nuklear pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Fadillah berkata bagi memastikan tiada kesan negatif terhadap kesihatan pekerja di agensi itu, semua kakitangan yang ditakrifkan sebagai pekerja sinaran dimestikan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. "Pemeriksaan perubatan ini tertumpu kepada aspek yang khusus kepada mengenal pasti sebarang kesan sinaran dalam sel darah dalam tubuh kakitangan berkenaan dan setakat ini, tiada kesan negatif didapati," katanya.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam serta alam sekitar, semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia sentiasa dipantau oleh sistem audit dalaman agensi tersebut dan agensi kawalseliaan kebangsaan seperti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). "Audit atau "Peer Review" terhadap operasi agensi itu oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga dilaksanakan dari semasa ke semasa. "Peer review''" oleh pakar dari negara serantau juga telah dilaksanakan di bawah rangka kerja Forum Kerjasama Nuklear Asia (FNCA). "Semua langkah keselamatan di Agensi Nuklear Malaysia juga perlu bagi memenuhi obligasi negara di bawah pelbagai triti, konvensyen dan perjanjian nuklear serantau dan antarabangsa termasuk Triti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) yang turut meliputi aspek keselamatan aktiviti nuklear bagi mengelakkan kesan negatif kepada negara jiran," katanya. Fadillah turut menegaskan bahawa aktiviti di Agensi Nuklear Malaysia tidak memberikan sebarang kesan negatif sama ada kepada kesihatan penduduk sekeliling dan alam sekitar.
Katanya, pemantauan yang merangkumi analisis kandungan bahan radioaktif di dalam sampel udara, air, tanah dan tumbuh-tumbuhan dalam kawasan sekitar membuktikan ketiadaan peningkatan kandungan bahan radioaktif di kawasan persekitaran berbanding keadaan sebelum agensi itu mula beroperasi. - Bernama

SENTRAL: BANTAHAN SISTEM LETAK KERETA PUTRAJAYA

Berita Harian
Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my




Gempur dakwa kemudahan dijanjikan belum dilaksana PUTRAJAYA: Pelaksanaan Sistem Parkir Berbayar (SPB) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang bermula, hari ini mendapat bantahan Gerakan Bertindak Warga Muda Prihatin Putrajaya (Gempur) yang berpendapat sistem itu tidak akan berjaya selagi masalah kekurangan tempat letak kereta tidak diselesaikan. Pengerusinya, Mohd Hisamudin Yahaya, berkata penyediaan kawasan parkir bertingkat dan mencukupi perlu dilaksanakan terlebih dulu menggunakan peruntukan Bajet 2010 dan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebelum SPB dilaksanakan di situ.
"Kami kesal dan mahu SPB ini ditangguhkan kerana sistem monorel yang dirancang untuk Putrajaya belum dilaksanakan. Perkhidmatan awam terutama bas di sini juga tidak mencukupi yang menghalang kelancaran perjalanan. "Kami juga kecewa sebab tidak ada kempen menyeluruh dijalankan untuk menerangkan mengenai SPB ini. Bagi yang berpangkat besar mungkin tidak ada masalah sebab mereka mempunyai pemandu sendiri tetapi bagaimana dengan kumpulan sokongan?" katanya. Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum menuntut penangguhan SPB Dalam Kejiranan Putrajaya kepada Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini, kelmarin. Memorandum berkenaan diterima Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, M Sazali Kamilan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Abdul Ghani Ahmad dilaporkan berkata, bermula hari ini tiada lagi tempat letak kereta percuma di kompleks A, B, C, D dan E di sini dalam usaha PPj mengatasi isu kekurangan tempat letak kereta yang semakin meruncing di kompleks kerajaan itu. Bagi tujuan itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya juga akan menambah lebih 500 kawasan meletakkan kenderaan bagi kegunaan orang ramai khususnya pelawat dan pengunjung Putrajaya yang ingin berurusan dengan kementerian serta jabatan kerajaan di beberapa kawasan berhampiran kompleks bangunan kerajaan. Bagi menyelesaikan kemelut itu, Mohd Hisamudin menggesa perbincangan antara persatuan penduduk di Putrajaya, Persatuan Kebajikan Kakitangan Awam dan badan bukan kerajaan (NGO) diadakan dengan segera. "Kementerian terbabit perlu melaksanakan segera kajian penambahbaikan sistem parkir dengan mengambil kira populasi semasa, unjuran populasi dalam tempoh lima tahun dan unjuran pelawat yang berurusan dengan pejabat kerajaan," katanya.

01 Disember 2009

PBT PERLU BANTU PENDUDUK

Utusan Malaysia
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
30/11/2009







MUHYIDDIN Yassin bersalam dengan wakil pihak berkuasa tempatan yang menghadiri Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Anulae Ke-23 di Kuala Lumpur, semalam.







KUALA LUMPUR 30 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar dipinda atau diubah suai jika ia sudah usang atau tidak sesuai dengan perkembangan semasa.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting ke arah memperkenalkan cara-cara terbaru untuk melaksanakan tanggungjawab PBT secara lebih berkesan lagi.
"Mengenai kajian undang-undang kecil yang sudah lama dipakai, ia satu perkara yang harus diberi perhatian," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Ke-23 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas ucapan aluan oleh Presiden Anulae Semenanjung Malaysia, Azih Muda bahawa undang-undang kecil dilaksanakan PBT di negara ini perlu dikaji serta diseragamkan.
Muhyiddin berkata, sebahagian besar undang-undang kecil PBT berada di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri, dan menurutnya beliau menyerahkan kepada pihak ini untuk mengkajinya dan jika ada yang berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan, ia boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin berkata, PBT perlu membantu penduduk di kawasan masing-masing untuk mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan.
Katanya, PBT boleh berbuat demikian dengan mengeluarkan lebih banyak lesen perniagaan sekali gus menambah pendapatan.
"Memang kerajaan telah pun meminta PBT mengeluarkan lebih banyak lesen perniagaan terutama kepada penjaja kecil sebelum ini.
"Tetapi kita minta ia terus dipertingkatkan oleh kerana semakin ramai rakyat kita yang berminat berniaga," katanya.
Muhyiddin menjelaskan, lebih 120,000 lesen perniagaan terutama bagi peniaga kecil dan penjaja telah dikeluarkan PBT diseluruh negara pada tahun lalu.
"Kita minta ia terus dipertingkatkan dengan syarat permohonan memenuhi syarat dan kawasan yang disediakan bersesuaian. Ini bukan untuk pegawai PBT tetapi untuk penduduk tempatan," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Muyhiddin berkata, peranan PBT secara langsung atau tidak langsung amat diperlukan dalam usaha kerajaan untuk menaik taraf kehidupan rakyat.
Katanya, petugas PBT dianggap seperti barisan hadapan kepada kerajaan dalam membantu rakyat secara keseluruhannya selain memacu pembangunan negara.
"PBT adalah ejen utama kerajaan dalam melaksanakan semua matlamat yang digariskan. Ia akan menjadikan setiap agenda kerajaan sentiasa di hati rakyat," katanya.
Beliau berkata, segala usaha kerajaan tidak akan berhasil sekiranya seluruh warga PBT tidak mempunyai kesedaran mendalam dan tidak menghayati sepenuhnya matlamat yang digariskan kerajaan.

26 November 2009

PENETAPAN GAJI BERDASARKAN PERATURAN PEGAWAI AWAM 2005

Utusan Malaysia
26/11/2009




JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat daripada Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia dalam ruangan ini bertarikh 16 November 2009 bertajuk Guru Lama Sentiasa Terlepas Peluang.
Berdasarkan Peraturan 23 dalam peraturan-peraturan pegawai awam (pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan) 2005 (P.U (A) 176), gaji permulaan bagi seseorang pegawai sedang berkhidmat yang dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain hendaklah ditetapkan pada suatu mata gaji yang lebih tinggi.
Berikutan itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 tidak akan mengalami kerugian gaji memandangkan prinsip penetapan gaji permulaan sebagaimana yang ditetapkan dalam Peraturan 23 P.U (A) 176 adalah terpakai kepada pegawai.
Di samping itu, melalui pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 tahun 2007, PPPLD yang dilantik sebagai PPPS mulai 1 Julai 2007 adalah juga layak diberi Hadiah Kenaikan Gaji (HKG) yang bersamaan dengan satu Pergerakan Gaji Biasa di Gred DG41.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

CUEPACS BIMBANG SIASATAN SPRM TERJEJAS

Berita Harian
26/11/2009




PUTRAJAYA: Produktiviti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari segi siasatan kes akan terjejas berikutan had masa ditetapkan untuk menyiasat di antara jam 8.30 pagi hingga jam 5 petang. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata ia kerana suruhanjaya berkenaan kini berdepan dengan masalah kekurangan kakitangan terutama pegawai penyiasat dan had masa itu menyebabkan kes tertangguh. “Dengan had masa itu, agak sukar siasatan diselesaikan cepat kerana kes rasuah tidak sama seperti jenayah lain, kadangkala berlaku kes surat layang menyebabkan setiap dakwaan perlu diselidik mendalam dan menemubual banyak saksi.
“Had masa yang ditetapkan akan menyebabkan siasatan kes lembab dan akhirnya SPRM yang akan menerima kecaman orang ramai,” katanya kepada Berita Harian, semalam. Di MELAKA, Bahagian Siasatan SPRM sudah menyusun semula jadual waktu tugasan anggotanya yang terbabit dalam sesi menyoal siasat saksi kes rasuah di seluruh negara. Pengarahnya, Datuk Shukri Abdull berkata, sesi berkenaan dilakukan pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan dijangka memberi kesan dalam tempoh dua hingga empat bulan akan datang.

25 November 2009

"GURU LAMA SENTIASA TERLEPAS PELUANG"

Maklum Balas JPA
24/11/2009

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada artikel daripada Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 November 2009 bertajuk “Guru Lama Sentiasa Terlepas Peluang”.
Berdasarkan Peraturan 23 dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U. (A) 176], gaji permulaan bagi seseorang pegawai sedang berkhidmat yang dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain hendaklah ditetapkan pada suatu mata gaji yang lebih tinggi.
Berikutan itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 tidak akan mengalami kerugian gaji memandangkan prinsip penetapan gaji permulaan sebagaimana yang ditetapkan dalam Peraturan 23 P.U. (A) 176 adalah terpakai kepada pegawai. Di samping itu, melalui pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2007, PPPLD yang dilantik sebagai PPPS mulai dari 1 Julai 2007 adalah juga layak diberi Hadiah Kenaikan Gaji (HKG) yang bersamaan dengan satu Pergerakan Gaji Biasa di Gred DG41.


Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
24 November 2009

WUJUDKAN SKIM PERKHIDMATAN UNIVERSITI (MAKLUM BALAS JPA)

Maklum JPA
23/11/2009



Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Merujuk Kepada Cadangan Oleh Pengerusi Gabungan Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum), Encik Omar Osman Dalam Artikel Bertajuk “Wujudkan Skim Perkhidmatan Universiti” Yang Disiarkan Dalam Akhbar Utusan Malaysia Bertarikh 27 Oktober 2009.
Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang terikat dengan syarat-syarat skim perkhidmatan seperti mana yang terpakai bagi sektor awam. Sehubungan itu, cadangan supaya diwujudkan skim perkhidmatan universiti yang berbeza dengan kakitangan kementerian dan agensi lain adalah tidak berbangkit kecuali status IPTA diputuskan menjadi sebuah agensi yang diasingkan saraannya sama sekali yang terpakai bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Berhubung cadangan untuk memberi peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik terutamanya dari segi tempoh kenaikan pangkat kakitangan Kumpulan Sokongan, kerajaan turut memanjangkan keputusan pelaksanaan kenaikan pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan lebih secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang masih berada dalam gred lantikan mulai 1 Julai 2009 kepada Badan-Badan Berkanun Persekutuan termasuk IPTA.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
23 November 2009