Malaysia Insider
TERKINI @ 01:27:55 PM 06-12-2011
Oleh G Manimaran
December 06, 2011

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Pakatan Rakyat menggesa pentadbiran Najib dengan segera membatalkan dasar membuka Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus kepada orang luar, dijangka dilaksanakan tahun depan, kerana bimbang kemungkinan akan dijadikan pelantikan politik, selain boleh mecelarukan institusi perkhidmatan kerajaan.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (picture) berkata, isu membawa masuk orang luar untuk mengisi JUSA dan Turus sedikit sebanyak telah mendatangkan persoalan dan permasalahan kepada perkhidmatan awam secara keseluruhan.
“Apabila jawatan melibatkan JUSA dan Turus, khususnya merujuk kepada jawatan ketua setiausaha negara yang ada, ini menunjukkan bahawa jawatan nombor satu dalam pentadbiran kementerian, jabatan atau agensi boleh diisi oleh orang luar, sama ada dari sektor swasta mahupun lantikan politik,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Tegas beliau, sekiranya kerajaan tidak membatalkan dasar terbaru maka pihaknya akan membawa perkara berkenaan ke perhatian Majlis Raja-raja Melayu.
“Ini kerana pelantikan jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam juga ada kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan keperluan mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu. Jika pentadbiran Najib tidak menyelesaikan segera isu ini, kami akan membawa ke peringkat atasan,” katanya lagi.
Malah katanya, dasar itu juga telah mendapatkan kecaman Cuepacs.
Kelmarin, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengisi jawatan utama perkhidmatan awam iaitu JUSA dan dan Turus dengan kepakaran luar terutama dari sektor swasta.
Omar berkata, cadangan ini jika dilaksanakan, seumpama menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.
Menurut beliau seharusnya keutamaan jawatan itu diberi kepada penjawat sedia ada terutama golongan muda yang mempunyai idea dan kebolehan agar kualiti kerja dapat ditingkatkan.
Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dasar terbaru kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedikit sebanyak menunjukkan ketidakpercayaan kepada kemampuan penjawat awam sedia ada untuk mengisi jawatan-jawatan kanan berkenaan pada masa akan datang.
Katanya, jika dibuka kepada kepakaran luar bermakna sektor awam akan dipimpin oleh seseorang yang tidak punya kemahiran atau kefahaman jelas mengenai hal ehwal atau selok belok pentadbiran kerajaan.
“Dan, dalam keadaan jawatan JUSA dan Turus ini berpotensi dikontrakkan, apa pula jaminan kerahsiaan maklumat sekiranya seseorang luar yang telah dilantik, kemudiannya dipecat kerana gagal tunjukkan prestasi yang baik.
“Maklumat sulit kerajaan berpotensi bocor kepada pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau lagi yang menjelaskan bahawa dasar ini berbeza daripada pelantikan ketua hakim negara lalu dari sektor swasta.
Mahfuz menambah, beliau tidak menolak kebarangkalian lantikan politik mengisi jawatan-jawatan berkenaan termasuk mereka yang menggunakan kabel Umno, khususnya mereka yang sudah hilang ‘cahaya’ politik.
“Perkara ini berlaku pada masa-masa lalu, di mana ada pemimpin Umno dilantik mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC)... jadi, saya yakin keadaan yang sama akan berulang jika dasar ini dilaksanakan,” kata beliau lagi.
Mahfuz dasar terbaru ini akan melumpuhkan dan mencelarukan institusi perkhidmatan awam dalam jangka panjang.
Katanya, susulan daripada Perhimpunan Agung Umno yang lepas, ada pihak yang melontarkan cadangan bahawa “orang Umno terpilih mesti dipilih mengetuai GLC-GLC tertentu.”
“Melalui pelaksanaan dasar ini, kebarangkalian besar jawatan kerajaan menjadi bahan dagangan kepada mana-mana orang politik terbuang dalam arus perdana Umno untuk dilantik sebagai ketua setiausaha atau ketua-ketua jabatan tertentu selaras dengan kehendak perdana menteri.
“Untuk makluman, sekarang ini pun dua jawatan ketua pengarah dalam (Jabatan Hal Ehwal Khas) JASA dan Seranta diketuai oleh lantikan politik,” kata beliau merujuk kepada jawatan masing-masing di bawah penyeliaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, dan Jabatan Perdana Menteri.
Oleh itu soal beliau, apa kayu ukur prestasi yang diguna pakai oleh kerajaan untuk mengukur potensi seseorang yang dilantik ke jawatan tersebut.
Katanya, antara masalah yang berpotensi berlaku ialah pertama, penjawat awam yang berpotensi tinggi tetapi tidak ada “kabel politik” akan tersekat kenaikan pangkat.
“Kedua, sektor awam akan diliberalisasikan sewenangnya ikut kehendak politikus atasan,” kata Mahfuz lagi sambil menambah, sekiranya JUSA dan Turus tertentu dikontrakkan, bermakna sesiapa saja boleh dilantik dan kalau gagal mencapai sasaran tugas akan ditamatkan kontrak.
“Ini (akan) mendatangkan persoalan, apa definisi ‘perform’ di mata pemerintah. Adakah ‘perform’ daripada aspek kerja dan integriti ataupun ‘perform’ daripada aspek ikut telunjuk menteri.
“ Sekiranya ini berlaku, kelangsungan perkhidmatan awam berpotensi untuk rosak, dan hanya akan menjadi alat kepada kehendak politik semata-mata,” kata beliau yang turut menegaskan bahawa ia bercanggah dengan prinsip perkhidmatan awam yang seharusnya bebas dan berkecuali untuk berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah.
“Membuka jawatan penting kerajaan kepada lantikan luar membuktikan bahawa perdana menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada penjawat awam untuk melaksanakan agenda transformasi beliau sehingga terpaksa mengimport tenaga profesional luar seperti yang dilakukan melalui Pemandu di bawah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Idris Jala,” katanya.
Malah kata beliau, satu hari nanti Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, yang menjadi kontroversi dalam isu perjanjian pertukaran saham MAS, juga kemungkinan dibawa masuk selain ketua projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Mahfuz tidak menolak kemungkinan dasar terbaru akan memberi kesan ke atas sokongan bagi Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-13.
“Kami terima banyak kerungutan dan rasa tidak puas hati mengenai dasar pelantikan orang luar ini, tetapi mereka tidak berani bercakap di luar,” katanya lagi.