SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Januari 2012

CUEPACS SAHKAN KERAJAAN TANGGUH SBPA

Sinar Harian
G MANIMARAN
January 12, 2012




SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan kajian semula yang lebih mendalam dijalankan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda sebentar tadi. Pagi tadi, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai isu itu.

"Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Azih menambah, kajian ke atas SBPA, yang akan dijalankan melibatkan soal kenaikan gaji, antara kakitangan kumpulan rendah dan tinggi, yang mencetuskan rasa tidak puas hati.

"SBPA bukan dibatal, tetapi ditangguh bagi membolehkan kajian mendalam dijalankan. Apabila selesai nanti, ia boleh dilaksanakan dengan dibayar tunggakan kepada kakitangan awam," katanya merujuk kepada tarikh pelaksanaan SBPA yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

"Kita tidak tahu berapa lama kajian ini akan dijalankan, tetapi keputusan Kabinet ini selaras dengan pandangan yang rata-rata tidak berpuas hati dengan SBPA," katanya lagi.

Cuepacs, dalam pendiriannya akhir bulan lalu, telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perbincangan dengan badan induk kesatuan sekerja sektor awam itu.

Malah katanya, Cuepacs akan mengadakan satu mesyuarat khas malam ini di ibu negara bagi membincangkan keputusan terbaru kerajaan ini.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari ini berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber kepada Sinar Harian Online.

KABINET ARAH TANGGUH SKIM SBPA SEKTOR AWAM

Sinar Harian
G MANIMARAN
January 12, 2012



SHAH ALAM - Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewan gan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

Sebelum ini wujud dakwaan kononnya kakitangan kumpulan pengurusan tinggi dan kanan menerima kenaikan gaji sangat tinggi, sehingga mencecah 50 peratus.

Bagaimanapun ia telah dinafikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah bulan lalu.

SBPA memperkenalkan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menurut sumber itu, kerajaan mahu kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan komponen SBPA bagi memastikan tujuan pelaksanaan sistem gaji baru itu mencapai matlamat.

Mengenai tempoh penangguhan, sumber memberitahu, "ia kemungkinan besar akan mengambil masa beberapa bulan, juga kemungkinan hanya akan dilaksanakan selepas pilihan raya berakhir, supaya segala rasa tidak puas hati selesai dan diatasi secara menyeluruh."

Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan enggan mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.

"Tunggulah esok, maklumat jelas akan dikeluarkan," kata seorang pegawai kanan ketika dihubungi.

Pada 18 Disember lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat pendirian tegas dengan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu.

Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pertemuan itu telah diadakan akhir bulan lalu.

Ketika itu, Cuepacs juga meminta ahli-ahlinya tidak menerima opsyen sehingga perkara ini selesai.

Jabatan itu membuka opsyen menerima SBPA mulai 16 Disember lalu dan ia sepatutnya ditutup pada 30 Disember, tetapi dilanjutkan sehingga 15 Januari selepas pertemuan Cuepacs dengan Najib.

Omar juga mendakwa kakitangan awam dipaksa menerima opsyen tanpa diberikan maklumat mengenai sifir gaji dan tangga gaji.

Katanya, ia jauh berbeza berbanding ketika pelaksanaan Sistem Saraan Baru dan Sistem Saraan Malaysia sebelum ini.

Mengenai kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang diumumkan oleh Najib ketika pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lalu, Omar berkata, perkiraan pihaknya menunjukkan sebaliknya.

Ada yang mendakwa menerima kenaikan gaji jauh lebih rendah daripada kadar yang diumumkan Najib.

“Jelaskan kedudukan kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus ini,” kata Omar ketika itu.

Beberapa parti politik juga menggesa kerajaan menangguhkan SBPA atas alasan mengabaikan kepentingan kakitangan kumpulan rendah, yang merupakan dua pertiga saiz kakitangan awam.

CUEPACS, KSN BINCANG ISU SBPA DITANGGUH

Sinar Harian
NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 12, 2012




SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkaitan isu keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, pihaknya akan membincang isu ini dan akan memberi penjelasan petang nanti.
"Sekarang tengah mesyuarat dengan KSN, pasal isu ini (SBPA). Telefon balik petang nanti untuk mendapatkan penjelasan," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

CHARGEMAN RAYU KAJI GRED GAJI

Utusan Malaysia
12/1/2012




SAYA mewakili semua penjawat awam dari jawatan Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman) memohon jasa baik dari pihak JPA dan CUEPACS untuk mengkaji semula gred dan tangga gaji kami.

Di dalam sektor awam kami dari jawatan ini memang tidak ramai di dalam satu organisasi, berkemungkinan pihak JPA dan CUEPACS terlepas pandang. Untuk pengetahuan, kami adalah pemegang sijil Kompeten yang memerlukan peperiksaan khas dari pihak Suruhanjaya Tenaga. Sijil kami setaraf dengan sijil dari Politeknik dan lebih tinggi dari sijil SKM.

Sebelum SBPA diperkenalkan, kami adalah penjawat awam kelas C sebaris dengan jawatan Juruteknik. Kami perlu menduduki peperiksaan PTK untuk kenaikan gaji baru, tetapi apabila sistem baru ini diperkenalkan gred gaji mula dan akhir gaji kami adalah sama dengan tukang K3 dan pendawai elektrik yang dahulunya penjawat awam kelas D.

Mohon JPA dan CUEPACS kaji semula gred dan tangga gaji kami agar nasib kami terbela.

MINDA PENGARANG: PELARASAN PENCEN BUKTI KERAJAAN TIDAK LUPA JASA TENTERA

Berita Harian
2012/01/12




SEBAGAI kerajaan yang sentiasa mengenang budi, nasib anggota tentera yang sebelum ini menyahut panggilan berkhidmat untuk negara, tidak pernah dipinggirkan tanpa pembelaan sewajarnya. Ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, antaranya mengumumkan sumbangan sekali bayar sebanyak RM3,000 kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang semuanya berjumlah hampir 62,000 orang. Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan kos sara hidup mereka berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Selain sumbangan itu, pesara tentera ini juga tidak dilupakan apabila kerajaan melaksanakan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Di bawah SBPA ini, pesara tentera bersama-sama lebih 600,000 pesara awam lain, akan menikmati pelarasan pencen yang membabitkan peruntukan RM600 juta. Pelarasan itu yang akan bermula bulan depan bakal dinikmati lebih 100,000 penerima, termasuk waris seperti balu dan anak pesara tentera yang layak. Akhbar ini, dalam laporan eksklusifnya kelmarin melaporkan kenaikan yang bakal dinikmati itu ialah sekitar 8 peratus menjadikan pencen bulanan minimum bagi pesara tentera sebanyak RM777.60, berbanding RM720 sebelum ini.

Selain itu, seperti diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2012, mulai tahun depan, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji. Anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan tanpa pencen turut tidak dilupakan. Golongan ini yang seramai 175,000 orang menamatkan perkhidmatan selepas berkhidmat kurang daripada 21 tahun. Akibatnya, ada antara mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara hidup dalam usia yang masih boleh bekerja. Bagi meringankan beban golongan ini, kerajaan menyediakan program latihan khusus bagi mereka untuk menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta. Usaha terbabit dan pelbagai usaha lain sebelum ini, membuktikan kerajaan tidak pernah melupakan golongan yang sudah menabur bakti kepada negara ini. Kerajaan sentiasa mengambil berat nasib mereka yang banyak berjasa ini, bagi membolehkan seluruh rakyat hidup tenteram tanpa bimbang keselamatan negara diancam. Kita berharap usaha murni kerajaan ini bukan hanya dapat memanfaatkan mereka yang sudah bersara, tetapi turut menjadi dorongan kepada generasi muda untuk memilih bidang ketenteraan sebagai satu kerjaya demi menjaga keamanan negara daripada ancaman musuh.

11 Januari 2012

TANGGUH SBPA, KAJI SKIM GAJI

Utusan Malaysia
11/1/1012



AZAM
Selangor


SAYA menyokong pandangan yang dikeluarkan oleh Pakar Perubatan Terkilan dan Basha dalam Forum tempoh hari atas pandang mengenai kepincangan yang terdapat dalam Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang baru di perkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Rata-rata sebilangan besar kakitangan kerajaan merasakan skim baru ini tidak mencerminkan secara kolektif hasrat kerajaan yang ingin memacu negara ke arah negara dengan sumber pekerja yang berpendapatan tinggi.

Hasrat secara kolektif kerajaan untuk membantu kakitangan kerajaan demi meringankan beban kehidupan harian mereka dengan kos sara hidup yang meningkat disebabkan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu tidak juga di cerminkan dalam SBPA ini.

Kenyataan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menyatakan kenaikan sebanyak tujuh hingga 13 peratus gaji kakitangan awam adalah tidak berlaku kerana terdapat golongan Jusa yang mendapat kenaikan gaji sehingga 70-80 peratus manakala sebahagian besar kakitangan kerajaan mendapat kenaikan gaji yang lebih rendah iaitu 13 peratus dari SBPA yang diperkenalkan ini.

CUEPACS MAHU PENJAWAT AWAM DIBERI BORANG BARU

Berita Harian
2012/01/11



SERDANG: CUEPACS menggesa semua ketua jabatan yang sebelum ini mendesak kakitangan menandatangani borang penerimaan tawaran Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), diberikan borang baru untuk ditandatangani semula.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ia membabitkan kakitangan awam yang menandatangani skim berkenaan sebelum 30 Disember lalu yang kebanyakannya tidak diberikan penjelasan dan pemahaman jelas berhubung skim yang ditawarkan. “Mereka yang dipaksa menandatangani borang tawaran tanpa tidak meneliti skim itu perlu diberikan borang baru dan menandatangani semula opsyen berkenaan. Sebelum ini, mereka diminta menandatanganinya secara terburu-buru dan tidak melihat skim serta diberikan formula kenaikan gaji yang tidak tepat. “Jadi, kita minta ketua jabatan terbabit memberikan borang baru yang menyatakan dengan jelas lampiran skim kenaikan gaji dan gred (SPBA) supaya mereka boleh menandatangani semula kerana tempoh penerimaan skim dilanjutkan hingga 15 Januari ini ,” katanya selepas Majlis Transformasi dan Ikrar Integriti Pembantu Makmal dan Penolong Pegawai Sains Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), di Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Katanya, tindakan meminta kakitangan awam menandatangani tawaran tanpa mendapat maklumat jelas bukan saja tidak mengikut prosedur, malah ada kakitangan awam yang mendakwa ketua jabatan tidak faham serta tidak dapat memberikan penjelasan berhubung kemusykilan yang dikemukakan ketika sesi taklimat.

Beliau berkata, pihaknya mengakui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang bertungkus lumus membuat semakan semula skim berkenaan bagi memastikan semua pihak berpuas hati, namun meminta pihak berkenaan memberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan tidak merugikan mana-mana pihak.

Omar berkata, JPA memberikan tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac ini bagi membuat semakan semula dan CUEPACS akan memberikan semula taklimat berkenaan penambahbaikan dan semakan itu sebaik disiapkan oleh JPA.
Sementara itu, CUEPACS turut meminta pengurusan lima IPTA penyelidikan, iaitu UPM, Universiti Malaysia (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) supaya menaik taraf jawatan Pembantu Makmal kepada Penolong Pegawai Sains bagi memastikan jawatan itu setanding dengan taraf universiti penyelidikan.

Katanya, jawatan Pembantu Makmal sudah tidak relevan dengan taraf universiti penyelidikan kerana ia tidak mencerminkan tahap IPTA berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini ada kira-kira 700 daripada kira-kira 2,000 Pembantu Makmal yang masih belum dinaikkan taraf sebagai Penolong Pegawai Sains di IPTA berkenaan.

CUEPACS MINTA PEMILIHAN SEMULA OPSYEN PERSARAAN

Berita Harian
11/1/2011



SERDANG: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini meminta agar penjawat awam yang tidak memilih opsyen umur persaraan 60 tahun dibenarkan menandatanganinya semula.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata ini kerana pihaknya menerima banyak aduan bahawa ada penjawat awam tidak memilih opsyen itu kerana tidak diberi penerangan sewajarnya. "Jadi bila pihak CUEPACS sudah memberikan penjelasan berhubung perkara itu barulah mereka faham dan berhasrat untuk menandatangani opsyen itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Transformasi dan Ikrar Intergriti Pembantu Makmal Penolong Pegawai Sains Institusi Pengajian Tinggi Awam di sini. Selain itu, beliau juga meminta agar penjawat awam yang dipaksa memilih opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) tanpa disertakan penyata pergerakan gaji dibenar memilih semula sama ada kekal dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) atau sebaliknya.

"Ini kerana ada yang hanya diberikan penyata kenaikan di bawah skim SBPA selepas tandatangan borang tersebut dan kemudian mendapati ada beberapa kemusykilan dalam dalam pergerakan gaji yang ditawarkan," katanya.

Katanya, CUEPACS masih menerima banyak rungutan mengenai SPBA antaranya daripada penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum.

Segala aduan, katanya, akan dipanjangkan kepada Jabatan Perkhdimatan Awam (JPA) kerana dalam masa terdekat akan ada lagi pertemuan untuk membincangakn isu berbangkit.
Tarikh tutup bagi opsyen persaraan 60 ialah pada 30 Disember lalu, sementara opsyen SPBA dilanjutkan kepada 15 Januari ini.

Sementara itu, CUEPACS juga katanya mendesak agar hampir 700 pembantu makmal di IPTA seluruh negara, dinaik taraf kepada penolong pegawai sains sebagaimana persetujuan yang sudah dicapai antara Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti dua tahun lalu.

"Ada universiti yang sudah pun menaik taraf jawatan itu seperti di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, universiti lain belum ada lagi kalau ada pun dalam bilangan yang kecil, " katanya. - BERNAMA

CUEPACS MINTA PENJAWAT AWAM YANG TIDAK PILIH OPSYEN PERSARAAN 60 DIBENAR PILIH SEMULA

Bernama
11/1/2012



SERDANG, 10 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta agar penjawat awam yang tidak memilih opsyen umur persaraan 60 tahun dibenarkan menandatanganinya semula.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata ini kerana pihaknya menerima banyak aduan bahawa ada penjawat awam tidak memilih opsyen itu kerana tidak diberi penerangan sewajarnya.

"Jadi bila pihak CUEPACS sudah memberikan penjelasan berhubung perkara itu barulah mereka faham dan berhasrat untuk menandatangani opsyen itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Transformasi dan Ikrar Intergriti Pembantu Makmal Penolong Pegawai Sains Institusi Pengajian Tinggi Awam di sini.

Selain itu, beliau juga meminta agar penjawat awam yang dipaksa memilih opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) tanpa disertakan penyata pergerakan gaji dibenar memilih semula sama ada kekal dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) atau sebaliknya.

"Ini kerana ada yang hanya diberikan penyata kenaikan di bawah skim SBPA selepas tandatangan borang tersebut dan kemudian mendapati ada beberapa kemusykilan dalam dalam pergerakan gaji yang ditawarkan," katanya.

Katanya CUEPACS masih menerima banyak rungutan mengenai SPBA antaranya daripada penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksima.

Segala aduan katanya, akan dipanjangkan kepada Jabatan Perkhdimatan Awam (JPA) kerana dalam masa terdekat akan ada lagi pertemuan untuk membincangakn isu berbangkit.

Tarikh tutup bagi opsyen persaraan 60 ialah pada 30 Dis lepas, sementara opsyen SPBA dilanjutkan kepada 15 Jan.

-- BERNAMA

09 Januari 2012

GAJI DOKTOR JUNIOR LEBIH TINGGI

Utusan Malaysia
9/1/2012




PAKAR PERUBATAN TERKILAN
Kuala Terengganu



Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA, yang telah diumumkan baru baru ini.

Sebagai penjawat awam yang setia, kami secara 'paksa rela' menurunkan tandatangan persetujuan di atas skim gaji baru ini walau pun terkilan dengan kadar kenaikan gaji yang ditawarkan.

Sebenarnya ramai kakitangan kerajaan yang senior tidak mendapat kadar kenaikan gaji yang sama seperti yang dinikmati oleh penjawat yang lebih junior. Skim gaji SBPA hanya menguntungkan golongan tersebut.

Mereka mendapat longgokan kenaikan gaji yang mendadak dari tangga gaji skim lama ke tangga gaji baru SBPA di mana mereka diletakkan tangga gaji permulaan sebaris dengan mereka yang telah lama berkhidmat.

Golongan penjawat awam yang paling terkurang kenaikan gaji dalam skim baru ini adalah mereka yang telah berada di penghujung tangga gaji skim lama.

Saya adalah pegawai perubatan pakar yang telah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan sejak tahun 1995 dan menjawat jawatan pakar pada tahun 2003 dengan tangga gaji UD41.

Kebanyakan daripada kami mengambil masa enam hingga tujuh tahun sebelum dinaikkan pangkat ke UD54 sekarang, berbanding dengan pakar pakar junior yang hanya mengambil masa dua hingga tiga tahun sebelum di naikkan ke tangga UD54 berdasarkan promosi 'tempoh perkhidmatan' atau 'time based' pada tahun 2010. Kenaikan pangkat yang mendadak ini telah meletakkan pakar perubatan senior sebaris dengan pakar perubatan junior.

Ramai di antara pakar pakar senior ini juga melanjutkan latihan di bidang sub-kepakaran masing masing. Walau pun saya dan rakan sejawat mempunyai skil sub-kepakaran dan penambahan bidang tugas yang lebih khusus, ini sebenarnya tidak menambahkan peluang kami untuk kenaikan pangkat atau tawaran gaji yang lebih baik, apatah lagi dengan system SBPA ini yang menyukarkan kenaikan pangkat lebih tinggi seperti Jusa.

Dalam sistem SBPA, semua pakar akan diberi kenaikan gaji bermula dengan tangga UD1-T1 kecuali mereka yang berada di peringkat Jusa dengan kenaikan gaji yang berlainan.

Berdasarkan laporan media dan kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kenaikan gaji kakitangan awam adalah sekitar tujuh hingga 13 peratus sahaja. Ini adalah tidak tepat kerana bagaimanakah hendak menjelaskan situasi seperti berikut: Kami golongan pakar yang senior yang telah berada di penghujung skala gaji lama hanya menikmati kenaikan sekitar 3.9 peratus sedangkan ada kakitangan yang jauh lebih junior menikmati kenaikan gaji melebihi 30 peratus.

Bagi golongan Jusa ada yang mencecah 70-80 peratus daripada gaji asas mereka. Contoh yang ketara adalah seorang pakar junior yang berada di tangga gaji lama RM5,465.42 (P1T2). Selepas Januari 2012 ini, gaji beliau akan bermula di skala UD1-6T1 RM7,061 iaitu lebih 30 peratus kenaikan. Bagi kebanyakan kami yang berada di P1T8 kenaikan gaji sebenarnya tidak melebihi RM300 .

Kami tidak menyimpan sebarang perasaan irihati terhadap rakan rakan sejawat yang lebih junior yang telah menikmati kenaikan pangkat yang lebih cepat dan kenaikan gaji yang lebih lumayan. Tetapi perasaan kecil hati, terkilan dan merasai khidmat kami yang bertahun-tahun setia dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya tetap ada.

Tidak dinafikan ada di kalangan kami yang telah atau akan meninggalkan KKM kerana tawaran yang lebih lumayan di luar sana, namun masih ramai lagi golongan pakar senior ini yang ingin meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat yang lebih memerlukan.

Malah kami juga memikul bertanggung jawab melatih dan menyelia pegawai perubatan, pegawai perubatan siswazah, terlibat dalam aktiviti aktiviti penambahbaikan perkhidmatan seperti ISO, akreditasi, KPIs, projek kualiti, penyelidikan dan sebagainya.

Perasaan yang sama juga diluahkan oleh sebahagian besar golongan kakitangan bawahan seperti jururawat, pembantu perubatan, pembantu kesihatan dan gologan sokongan yang lain.

Saya berharap pihak berwajib mengkaji semula cara pelaksanaan SBPA dan mengharap keadilan untuk semua peringkat golongan kakitangan kerajaan tidak kira di kementerian mana pun mereka berada.

JURANG KETARA GAJI KUMPULAN ATASAN, RENDAH

Utusan Malaysia
9/1/2012



BASHA
Alor Setar, Kedah


JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sememangnya dinanti-nantikan oleh semua penjawat awam.

Banyak perubahan di bawah SBPA seperti jadual gaji sebaris, pemansuhan PTK, dasar pemisah, PROSPEK, unsur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun dan lain-lain.

Namun demikian masih terdapat perkara-perkara yang perlu dilihat semula di bawah SBPA, antaranya wujud perbezaan yang amat ketara kenaikan gaji bagi kumpulan atasan dengan kumpulan rendah.

Kumpulan atasan mendapat kenaikan beribu-ribu ringgit manakala kumpulan rendah hanya naik ratusan ringgit. Sebagai contoh, Gred 4-3 (dahulunya 22) gaji maksimum SSM RM3,134.53 naik kepada SBPA RM3,530 iaitu kenaikan sebanyak RM395.47 sahaja. Sudahlah kenaikan sedikit, ditambah pula tiga tangga lagi daripada SSM T1 hingga T12 kepada SBPA T1 hingga T15.

Sepatutnya dengan kenaikan yang tidak seberapa, tidak perlu ditambah daripada T12 kepada T15. Manakala kenaikan gaji tahunan SSB RM107.39 kepada SBPA pula ialah RM115. Ini bermakna bertambah hanya RM7.61. Bayangkan dengan peningkatan kos sara hidup kini yang tinggi dengan kenaikan gaji amat tidak setimpal.

Satu perkara lagi yang perlu dilihat semula ialah penambahbaikan skim perkhidmatan bagi kumpulan pelaksana, khususnya gred 17 seperti guru maktab, jururawat, juruteknik dan lain-lain telah dinaik taraf.

Bahkan kumpulan yang dulunya lebih rendah daripada Gred 17 seperti pembantu tadbir rendah (jurutaip), operator telefon, tukang masak dan beberapa jawatan lain kini telah setaraf dengan Gred 17. Kami dalam Gred 17 rasa amat terpinggir sedangkan kami adalah kumpulan pelaksana yang paling ramai dalam sektor awam.

Adalah diharapkan kerajaan dan JPA dapat meneliti semula beberapa kelemahan yang wujud di bawah SBPA supaya penjawat awam khususnya kumpulan rendah atau pelaksana tidak merasa terpinggir dalam setiap perubahan skim baru.

BAYARAN GAJI JANUARI BERDASARKAN SSM

Berita Harian
2012/01/09



KUALA LUMPUR: Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibayar pada 31 Januari ini. "Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari 2012 berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari 2012," menurut kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA akan dibuat seperti biasa mengikut jadual mulai Februari. - BERNAMA

08 Januari 2012

SBPA TAWAR KENAIKAN PANGKAT ISTIMEWA

Berita Harian
2012/01/08



PUTRAJAYA: Pegawai awam berprestasi tinggi dan berpotensi mengisi jawatan strategik akan dipertimbangkan kenaikan pangkat secara istimewa menerusi sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata kenaikan pangkat secara istimewa itu ialah pegawai dinaikkan pangkat bagi mengisi jawatan kosong dalam tempoh lebih cepat daripada pegawai lain sama ada ke satu gred lebih tinggi atau secara pelangkauan gred. "Kenaikan pangkat secara istimewa membolehkan Ketua Perkhidmatan mempersiapkan pegawai dengan kompetensi sesuai dengan jawatan strategik yang dikenal pasti iaitu dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional," katanya dalam surat pekeliling yang dimuat naik dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kelmarin. Beliau berkata, pertimbangan kenaikan pangkat secara istimewa berasaskan kriteria penilaian ditetapkan yang akan dibangunkan Ketua Perkhidmatan dan kriteria itu perlu dikemuka kepada JPA untuk mendapat kelulusan sebelum dilaksana.

Abu Bakar berkata, peningkatan gred gaji pula akan diberi kepada pegawai diiktiraf sebagai SME, iaitu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi serta pengalaman luas dalam sesuatu bidang khusus yang memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh dijadikan sumber rujukan kepada pegawai dari dalam dan luar organisasinya.

Beliau berkata, pegawai yang layak bagi dipertimbangkan untuk diiktiraf SME adalah Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memenuhi syarat termasuk berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam skim perkhidmatan semasa atau berada di gred 1-4; memenuhi kriteria penilaian kepakaran ditetapkan dan mendapat perakuan panel penilai kepakaran.

Katanya, Ketua Perkhidmatan bertanggungjawab membangunkan kriteria penilaian dan menetapkan petunjuk prestasi utama SME mengikut skim perkhidmatan.
“Kenaikan pangkat pegawai Kumpulan Pelaksana yang berkhidmat 15 tahun dan lebih serta masih berada di gred lantikan dalam skim perkhidmatan semasa, layak dipertimbangkan kenaikan pangkat mengikut syarat ditetapkan dalam skim perkhidmatannya secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

“Bagaimanapun, kaedah ini tidak terpakai bagi skim perkhidmatan disediakan kenaikan pangkat secara ‘time-based’. Pegawai dinaikkan pangkat mengikut kaedah ini terletak di bawah penyeliaan pegawai atasannya mengikut struktur perjawatan walaupun gred pegawai setaraf dengan pegawai penyelianya,” katanya

07 Januari 2012

KENA AMBIL SPM JIKA MAHU SBPA

Berita Harian
Oleh Nahar Tajri
nahar@nstp.com.my
2012/01/07



15,000 anggota ATM diberi tempoh 6 tahun

SUNGAI PETANI: Kira-kira 15,000 anggota lain-lain pangkat (LLP) dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang belum memenuhi syarat kelayakan akademik minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi peluang menduduki peperiksaan itu dalam tempoh enam tahun bagi membolehkan mereka menikmati Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ATM lebih awal. Buat masa ini semua anggota terbabit akan diletakkan di bawah Skim Khas Untuk Penyandang (KUP) ATM sementara mereka mengambil langkah untuk meningkatkan kelayakan akademik dalam tempoh yang diberikan. Jika gagal, anggota terbabit hanya akan menikmati skim baru selepas enam tahun setelah SBPA ATM dilaksanakan bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata langkah itu sejajar program transformasi negara dan keperluan untuk ATM mencapai tahap profesionalisme seiring keperluan pertahanan negara pada masa ini.

Katanya, syarat untuk menjadi LLP dalam ATM sebelum ini, kerajaan menerima kelayakan darjah enam, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) asalkan pemohon boleh membaca dan menulis.

“Namun, syarat itu kini berubah yang mana pemohon mesti ada SPM dengan kredit mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik serta lulus bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka menikmati perubahan gaji yang lebih tinggi.
“Skim baru ini dibuat berdasarkan kelayakan akademik minimum SPM dan bagi anggota yang belum mencapai tahap berkenaan, kita beri masa enam tahun untuk mereka melakukannya.... jika tidak mereka perlu tunggu enam tahun untuk menikmati skim berkenaan.

“Ia bukan saja semata-mata bagi menikmati SBPA ATM, tetapi sebagai persediaan untuk mereka meningkatkan tahap akademik dan kemahiran sebelum keluar daripada perkhidmatan tentera,” katanya selepas menyertai Sesi Dialog SBPA ATM bersama pegawai dan anggota tentera di Markas Staf Stesen, Kem Lapangan Terbang, di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azizan Md Delin, Panglima Briged Keenam Infantri dan Brigedier Jeneral Datuk Md Tajri Alwi

06 Januari 2012

SBPA DIDAKWA PINGGIR PENSYARAH

Berita Harian
Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.my
2012/01/06


RAZLI (kiri) bersama Omar pada sidang media selepas perjumpaan dengan wakil MPKA seluruh negara di Putrajaya, semalam.
RAZLI (kiri) bersama Omar pada sidang media selepas perjumpaan dengan
wakil MPKA seluruh negara di Putrajaya, semalam.


JPA diminta kaji kenaikan gaji dengan ambil kira kesarjanaan, kekananan

PUTRAJAYA: Majlis Persatuan Kakitangan Akademik (MPKA) Malaysia yang mewakili kira-kira 30,000 pensyarah gred 54 ke bawah di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula pelarasan gaji mengikut Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilihat meminggirkan mereka. Pengerusi MPKA Malaysia, Prof Madya Dr Razli Che Razak, berkata kajian semula itu perlu kerana peralihan tangga gaji dari Sistem Saraan Malaysia (SSM) ke SBPA untuk kakitangan akademik bergred DS54, DM54, DU54 dan DUG54 ke bawah didapati meminggirkan prinsip kesarjanaan dan kekananan seseorang kakitangan akademik di IPTA. Beliau berkata, MPKA melihat pelarasan gaji berkenaan sepatutnya mengambil kira aspek kesarjanaan dan kekananan seseorang pensyarah dalam pelaksanaan SBPA supaya ia adil kepada semua pihak.

“Jika kita lihat kembali pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012, kenaikan gaji penjawat awam mesti antara tujuh hingga 13 peratus daripada gaji mereka mengikut SSM, tetapi ia tidak berlaku kerana hasil analisis mendapati peningkatannya (mengikut SBPA) hanya kira-kira tiga peratus.

“Malah, jika dilihat dari segi gaji permulaan pensyarah gred DS45 mengikut SSM dan SBPA, kenaikan hanya RM3.90 iaitu daripada RM2,546 kepada RM2,550. Bagi kenaikan gaji gred 52 dan 54 pula tidak mengambil kira aspek kekananan dan tempoh perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil MPKA dari seluruh negara di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, MPKA mendesak JPA melantik sekurang-kurangnya tiga wakilnya menganggotai Majlis Bersama Kebangsaan tanpa kekangan gred dan tidak mengira sama ada mereka dari kumpulan profesional atau bukan.
Selain itu, Razali berkata, JPA perlu mempertimbangkan pemberian insentif baru kepada kakitangan akademik berdasarkan status universiti atau kepakaran seperti Universiti Penyelidikan atau Universiti APEX menerusi pelaksanaan pemberian insentif di bawah SBPA pada 2013.

“Kita juga berharap JPA akan mengkaji semula dan mengubah frasa opsyen dalam surat tawaran SBPA yang bertulis ‘muktamad’ kerana ia dilihat sebagai paksaan dan tidak membenarkan rundingan,” katanya.

Berikutan itu, MPKA bercadang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bagi membincangkan masalah itu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, yang turut hadir berkata, beliau menyokong tindakan MPKA itu dalam menyuarakan pandangan mereka kerana ia mampu menjamin kebajikan kakitangan akademik di negara ini.

“Kebajikan kakitangan akademik amat penting kerana mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan modal insan dan melahirkan tenaga kerja berkualiti di Malaysia.

“Justeru, CUEPACS berharap JPA turut mengambil kira desakan dan pandangan kakitangan akademik di IPTA dalam perbincangan mereka tidak lama lagi,” katanya

SKIM BARU PERKHIDMATAN AWAM BERI LEBIH BANYAK KEBAIKAN- KHAZALI AHMAD

Bernama
6/1/2012



SANDAKAN, 6 Jan (Bernama) -- Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) merupakan skim yang lebih baik berbanding dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) dan tiada sebab untuk penjawat awam tidak memilihnya, kata Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Khazali Ahmad.

"Skim saraan baru ini dirangka untuk memastikan gaji penjawat awam kompetetif dan setanding walaupun tidak lebih tinggi daripada pihak swasta.

"SBPA dalam jangka panjang juga merupakan antara langkah awal kerajaan untuk mewujudkan negara yang mempunyai penduduk berpendapatan tinggi," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan anggota perkhidmatan persekutuan di sini Jumaat.

Khazali berkata kemungkinan terdapat serba sedikit penambahbaikan lagi dalam SBPA seperti yang dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Beliau berkata walaupun tarikh akhir opsyen pemilihan telah dipanjangkan kepada 15 Jan ini, tetapi borang opsyen untuk sama ada penjawat awam memilih SBPA atau untuk kekal di bawah SSM perlu diserahkan lebih awal.



-- BERNAMA

CUEPACS MINTA SKIM SBPA BAGI PENSYARAH IPTA DIKAJI SEMULA

Bernama
5/1/2012



PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengkaji semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi semua pensyarah gred 54 ke bawah di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini kerana skim itu dilihat seolah-olah tidak mengambil kira kesarjanaan dan kekananan seseorang pensyarah.

"Oleh sebab itu, Cuepacs meminta supaya satu pertemuan diadakan antara Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

"Kita juga berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengusulkan prinsip peralihan tangga gaji yang saksama dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pemantapan Skim Perkhidmatan Universiti Bil 1/2002 di sini.

Omar berkata beberapa perkara dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan MAAC itu.

Beliau berharap JPA dapat mengambil kira kekananan dan kesarjanaan 29,000 pensyarah di Malaysia dalam melaksanakan perpindahan tangga gaji di bawah skim baru itu.

"Pensyarah penting kerana mereka membentuk pemimpin negara di masa akan datang, oleh itu, kebajikan mereka perlu dijaga," kata Omar.

Sementara itu, Pengerusi MAAC Profesor Madya Dr Razli Che Razak berkata setelah meneliti kandungan SBPA, beliau mendapati hasrat Perdana Menteri, iaitu semua penjawat awam mendapat kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus menerusi skim tersebut, tidak dapat dinikmati kumpulan pensyarah berkenaan.

"Apa yang penting juga, kita harap agar kenaikan gaji di kalangan pensyarah dapat dikira mengikut kesarjanaannya dan pengalamannya," katanya.

Beliau berkata prinsip peralihan tangga gaji untuk gred 54 ke bawah dalam skim perkhidmatan universiti adalah termasuk DS, DM, DU dan DUG.

-- BERNAMA

04 Januari 2012

GAJI MINIMUM RM900 BAKAL DILAKSANA JULAI

Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2012/01/04



Lebih lima juta pekerja swasta nikmati manfaat

KUALA LUMPUR: Cadangan gaji minimum RM900 yang diputuskan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bulan lalu akan dibentangkan ke Kabinet hari ini, manakala pelaksanaannya dijangka berkuat kuasa Julai ini. Ini bermakna lebih lima juta pekerja sektor swasta termasuk tenaga asing di pelbagai industri termasuk perladangan serta pembinaan akan menerima manfaat itu, kecuali sektor pembantu rumah dan pekerja yang mengikuti skim latihan. Sumber berkata, penetapan RM900 dipersetujui sebulat suara, termasuk wakil Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), manakala laporan terperinci MPGN sudah dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia, baru-baru ini.

“Jawatankuasa teknikal MPGN sudah selesai menjalankan tanggungjawabnya dan kami difahamkan laporan MPGN itu akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet esok (hari ini) oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

“Semua pihak yang terbabit dalam MPGN bersetuju RM900 sebagai gaji minimum. Malah, laporan itu turut disertakan tempoh pelaksanaannya iaitu dalam tempoh enam bulan selepas mendapat persetujuan Kabinet,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Pada 2010, bekas Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata kira-kira 2.2 juta pekerja tempatan menerima gaji pokok di bawah RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta daripadanya berpendapatan di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar.
MTUC sebagai kesatuan sekerja terbesar mewakili pekerja sektor swasta negara, memperjuangkan isu gaji minimum sejak 1999 bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji di bawah paras kemiskinan.

Sumber itu berkata, pelaksanaan gaji minimum mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga pekerja asing, selain mampu menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja dalam negara.

“Namun, MPGN hanya menetapkan gaji minimum..., tidak membuat sebarang keputusan atau perbincangan lain mengenai elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM300 seperti diperjuangkan MTUC sebelum ini,” katanya

03 Januari 2012

PENSYARAH PERUBATAN/PERGIGIAN GRED 51/52 TERABAI?

Utusan Malaysia
3/1/2012


PENSYARAH UBAT GIGI
Kuala Lumpur.



TAHNIAH kepada JPA/KPT kerana telah berjaya menambah baik skim perkhidmatan pensyarah perubatan/pergigian pelatih gred 45 melalui skim SBPA. Namun demikian, kenaikan pangkat pensyarah pelatih ini telah memberi impak yang besar kepada pensyarah perubatan/pergigian yang telah berada di gred 51/52 dalam skim SSM.

Ini kerana, pensyarah pelatih telah dinaikkan ke gred 1-5 dengan tangga gaji T1 sama seperti pensyarah perubatan/pergigian gred 51/52 yang juga diberi gred 1-5 dengan tangga gaji pada T1 untuk skim SBPA.

Perlu diingatkan, pensyarah perubatan/pergigian ini telah pun memiliki ijazah kepakaran dalam bidang masing-masing, tetapi dengan skim SBPA ini mereka diletakkan setaraf dengan pensyarah pelatih yang belum memiliki apa-apa ijazah kepakaran.

Sesetengah daripada pensyarah pelatih ini belum pun memulakan pengajian di peringkat sarjana. Saya melihat bahawa pihak JPA/KPT telah merendahkan taraf pensyarah perubatan/pergigian gred 51/52 ini dengan mengabaikan ijazah lanjutan kepakaran yang mereka miliki.

Bagi pensyarah pelatih, apabila mereka kembali dengan ijazah lanjutan, mereka akan diberi hadiah pergerakan gaji sebanyak 2-3 tangga yang akan menjadikan tangga gaji mereka berubah dari T1 ke T3/T4.

Ini menjadikan mereka memiliki gaji yang lebih tinggi berbanding pensyarah perubatan/pergigian yang telah berada di gred 51/52 sebelum ini yang masih kekal di T1 kerana mereka tidak lagi diberikan hadiah pergerakan gaji dengan skim baharu ini.

Ini jelas mengecewakan pensyarah perubatan/pergigian, memandangkan pihak JPA/KPT seolah-olah tidak mengiktiraf kepakaran yang ada pada mereka dengan meletakkan mereka setara dengan pensyarah pelatih yang masih belum memiliki apa-apa ijazah lanjutan.

Mungkin pihak JPA/KPT boleh memikirkan kaedah yang lebih baik untuk permasalahan ini dengan cara menaikkan gaji permulaan pensyarah perubatan/pergigian gred 51/52 ke skim SBPA pada tangga T4 atau lebih tinggi supaya gaji pensyarah perubatan/pergigian ini sama dengan pensyarah pelatih apabila pensyarah pelatih menamatkan pengajian kelak.

SBPA RUANG PENJAWAT AWAM PERBAIKI PRESTASI

Berita Harian
Oleh Mohd Aziz Ngah
3/1/2012




2012/01/03 KEDATANGAN tahun baru menandakan bermulanya secara rasmi pelaksanaan dasar pelepasan jawatan di bawah skim baru, Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menggantikan dasar pelepasan dengan izin yang dilaksanakan sebelum ini.

Dasar pemisah kepada penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan juga diperkenalkan di bawah SBPA mulai 1 Januari 2012. Pelaksanaan dasar baru itu usaha meningkatkan prestasi serta pendapatan kakitangan awam dengan pelbagai insentif baru tetapi ia dilihat seolah-olah mimpi ngeri kepada kakitangan malas, tidak produktif atau sering gagal mencapai standard prestasi ditetapkan. Dulu, di bawah sistem Skim Saraan Malaysia (SSM), golongan itulah antara yang sering gagal mencapai markah statik 50 peratus. Perlu difikirkan secara positif kenapa perlu diwujudkan sistem pemarkahan itu dan kenapa tahapnya dinaikkan.