SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 Januari 2012

PERBINCANGAN SEMAKAN GAJI BABITKAN KESATUAN SEKERJA, WAKIL KEMENTERIAN

Utusan Malaysia
20/1/2012




Mohd. Sidek Hassan bersalam dengan Omar Osman (kanan) sambil disaksikan oleh Ismail Adam di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 18 Jan. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memberi jaminan perbincangan pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan turut membabitkan kesatuan sekerja jabatan yang berkaitan selain wakil kementerian.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu bagi membolehkan pasukan petugas mendapatkan penyelesaian terbaik berkenaan isu-isu yang dibangkitkan.

''Kalau mahu semua terlibat, rasanya tidak mungkin untuk kita dapatkan wakil semua kementerian, agensi, badan berkanun dan kesatuan sekerja.

''Tetapi tidak dihadkan perbincangan bila ada menyentuh satu-satu skim perkhidmatan, maka harus dipanggil mereka yang terbabit seperti ketua setiausaha, ketua pengarah dan kesatuan sekerja yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan ahli pasukan petugas itu di sini, hari ini.

Selain Tan Sri Ismail Adam yang dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, sembilan ahli lain termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman turut menganggotai pasukan tersebut.

Pasukan itu ditubuhkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas yang mahu SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Menurut Mohd. Sidek, biar pun cuba memenuhi pandangan semua pihak, namun kerajaan juga mempunyai kekangan-kekangan tertentu.

''Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah saya hargai," katanya.

Sementara itu, Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, berdasarkan pengalamannya, isu-isu yang dibangkitkan menjurus kepada tiga aspek iaitu pergerakan gaji, perkhidmatan dan individu (penjawat awam).

''Kalau ada ketiga-tiga isu itu kita akan bincang dengan teliti bersama-sama wakil skim perkhidmatan dan juga kesatuan yang berkenaan," katanya.

KES DR NOOR SOERAYA TERPENCIL DAN BUKAN DISEBABKAN KELEMAHAN SISTEM

Bernama
19/1/2012



PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Kes membabitkan bekas Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, adalah terpencil dan tidak bermakna terdapat kelemahan dalam sistem kenaikan pangkat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau sebaliknya menegaskan sistem itu bagus kerana berupaya mengesan penipuan.

"Tak ramaipun,saya harap tak ramailah daripada 1.4 juta penjawat awam, cuma satu dua, okeylah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelantikan kepada anggota pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Rabu.

Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, Mohd Sidek berkata jika wujud penipuan, individu yang melakukannya patut dikenakan tindakan tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

"Kita hanya kecundang kalau kita tidak ambil tindakan," katanya.

Dr Noor Soeraya dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Seremban semalam dan mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan kenaikan pangkat.



-- BERNAMA

19 Januari 2012

WAKIL PERSATUAN, SEKERJA DIJEMPUT SERTAI PERBINCANGAN SBPA IKUT KEPERLUAN

Bernama
19/1/2012



PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Wakil persatuan dan kesatuan sekerja yang mewakili skim perkhidmatan tertentu serta pihak lain yang berkaitan, akan dijemput dalam perbincangan pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pasukan petugas itu juga akan berusaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu yang dibangkitkan.

"Namun demikian diingatkan bahawa kerajaan juga mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak akan dapat memenuhi kehendak semua pihak. Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah dihargai," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada anggota pasukan itu di sini Rabu.

Beliau berkata kerajaan amat prihatin dengan aduan dan rungutan orang ramai termasuk penjawat awam, dan bersedia mendengar serta menelitinya untuk tujuan penambahbaikan secara berterusan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Mohd Sidek berkata beliau yakin dengan kemampuan pengerusi pasukan petugas berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam yang berpengalaman luas.

"Sudah tentu semua hasrat dan permasalahan akan didengari, ia termasuklah hasrat penjawat awam peringkat tinggi dan juga peringkat rendah.

"Tetapi apa yang penting di sini ialah produktiviti, jika ada kenaikan gaji, maka haruslah ada juga peningkatan produktiviti," katanya.

Pada majlis itu, sepuluh anggota pasukan petugas tersebut menerima watikah pelantikan masing-masing dengan didahului pengerusinya, diikuti Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Farida Mohd Ali serta Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun.

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Datuk Nozirah Bahari, Pengarah Pembangunan Organisasi JPA Datuk Basaruddin Sadali, Pengarah Saraan JPA Raja Noor Zaedah Raja Ahmad dan Pengarah Perkhidmatan JPA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Pasukan itu turut dianggotai Timbalan Pengarah Belanjawan (Dasar) Bahagian Pengurusan Belanjawan Kementerian Kewangan K Givananadam, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan Kementerian Kewangan Hazanah A Bakar serta Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.



-- BERNAMA

18 Januari 2012

MESYUARAT PERTAMA SEMAK SBPA SELEPAS TAHUN BARU CINA

Utusan Malaysia
18/1/2012



PUTRAJAYA 17 Jan. - Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.

Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.

''Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Pasukan tersebut dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

Mereka diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan. Penyerahan surat pelantikan kepada semua anggota pasukan petugas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan berlangsung di sini, esok.

Ditanya gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya wakil kesatuan itu turut dilantik menganggotai pasukan itu, Ismail berpandangan, kehadiran wakil CUEPACS mencukupi untuk mewakili kakitangan awam pelbagai bidang.

Mengenai tempoh dua bulan yang diperuntukkan kepada pasukan untuk menyelesaikan semakan semula, katanya, beliau yakin segala isu berbangkit akan dapat dirungkai mengikut had masa yang ditetapkan.

''Kita kena lihat sama ada isu-isu berbangkit itu mudah atau rumit. Kalau mudah tentunya kita akan dapat menyelesaikannya dengan cepat, namun saya pasti segala-galanya akan selesai mengikut had masa yang ditetapkan,'' katanya.

17 Januari 2012

NUTP MAHU DILIBATKAN DALAM SEMAKAN SEMULA SBPA

Bernama
17/1/2012




PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.

"Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.

Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.

Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.

"Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam," katanya.



-- BERNAMA

14 Januari 2012

MINDA PENGARANG: JPA, CUEPACS PERLU RUMUS MEKANISME LAKSANA SISTEM SARAAN BARU.

Berita Harian
2012/01/14




MELIHAT pada pelbagai masalah yang dibangkitkan kakitangan awam pada peringkat awal pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), memang wajarlah ia disemak semula bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir keseluruhan kakitangan perkhidmatan awam kurang berpuas hati dengan SBPA, khususnya berhubung kenaikan struktur gaji yang mengandungi banyak kekeliruan. Malah ada kakitangan awam yang mendakwa ketua jabatan tidak faham serta tidak dapat memberikan penjelasan berhubung kemusykilan yang dikemukakan ketika sesi taklimat. Kita berharap semua pihak menerima baik keputusan terbaharu kerajaan ini untuk manfaat 1.4 juta kakitangan awam yang memilih SBPA. Langkah selanjutnya ialah di antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memperincikan butiran mengenai peralihan gaji yang menjadi rungutan kumpulan tertentu, sehingga ada yang mendakwa menerima kenaikan terlalu rendah dalam skim baru itu. Penjawat awam sebelum ini diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

Tempoh singkat itu menyebabkan kakitangan kerajaan yang tidak memahami dengan jelas skim yang ditawarkan itu dikehendaki menandatangani borang opsyen sebelum 30 Disember 2011, tidak dapat membezakan manfaat yang diperoleh di antara skim lama, Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan SBPA. Tempoh penerimaan opsyen kemudian dilanjutkan sehingga 15 Januari 2012. Menyedari masalah yang dihadapi kakitangan awam inilah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengumumkan keputusan Kabinet yang mahukan SBPA disemak semula, supaya perbincangan boleh diadakan dengan pihak berkaitan. Mekanisme semakan semula itu yang ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, bertujuan menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA. Apapun, kakitangan awam tidak perlu bimbang kerana skim baru itu akan tetap dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012 selepas semakan semula dimuktamadkan. Apa yang penting ialah JPA dan CUEPACS perlu merumuskan mekanisme terbaik dalam SBPA supaya semua pihak berpuas hati dan skim gaji baru ini dapat dilaksanakan dengan baik serta tidak merugikan mana-mana pihak.

SBPA DISEMAK SEMULA SECARA KESELURUHAN, KATA NAJIB

Bernama
14/1/2012




PARIT BUNTAR, 14 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula berdasarkan keseluruhan skim berkenaan.

Beliau berkata semakan semula itu akan turut mengambil kira pandangan pihak yang tidak berpuas hati.

"Kita tidak usah pre-empt (buat tindakan awal) dulu. Apa keputusan kita akan tengok semula, di mana kita akan tengok berdasarkan pada skim keseluruhannya dan kita akan mendengar kalau ada mana-mana pihak yang rasa tak puas hati.

"Sama ada jumlah kenaikan terlalu kecil atau 'parity'(setara) dengan kumpulan tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2011 di sini hari ini.

Khamis lepas Najib mengumumkan SBPA akan disemak semula bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilaporkan berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Pasukan itu, yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April, untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

Terdapat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Dis lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

-- BERNAMA

TEGAS TANPA TERBURU-BURU

Utusan Malaysia
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@yahoo.com
14/1/2012




Wakil majikan dan agensi pekerjaan menyerbu Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya baru-baru ini untuk menguruskan permohonan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.


RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sikap suka menangguhkan sesuatu kerja sehingga ke minit akhir dan kemudian memberi pelbagai alasan bila urusan tersebut gagal diselesaikan mengikut syarat.

Contoh terbaik adalah ketika musim mengisi borang cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saman, pendaftaran kenderaan komersial dan terbaru di kalangan majikan dalam pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).

Hakikatnya, rakyat tidak boleh disalahkan sepenuhnya apabila mereka terlalu dimanjakan dengan penangguhan tindakan perundangan dan lanjutan tempoh untuk menyelesaikan saman serta urusan berkaitan oleh kementerian, agensi kerajaan mahupun majlis perbandaran.

Langkah kerajaan mengambil kira aduan dan pandangan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu keputusan atau dasar baru memang sepatutnya dipuji.

Namun, sikap berlembut itu juga boleh menjadi serampang dua mata, bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan malahan mungkin menunjukkan kurangnya ketegasan dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu keputusan, peraturan dan dasar baru.

Isu pendatang asing dan program 6P menjadi contoh kegusaran rakyat yang masih menunggu hasil konkrit dalam mengurangkan jumlah pendatang asing di negara ini dengan kebimbangan tarikh tindakan perundangan dilanjutkan lagi.

Kini, laporan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula turut menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak sama ada perancangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dibuat secara terburu-buru sehingga menerima banyak aduan.

Bagi Setiausaha Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Durrishah Idrus, tidak menjadi isu besar jika wujudnya sokongan dan tentangan terhadap penangguhan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan.

“Bila sesuatu dasar itu diumumkan dan diketahui rakyat, tentu akan ada yang memberi pendapat masing-masing.

“Jika dasar yang telah diketahui umum itu ditangguhkan pula, tentu akan wujud dua kumpulan iaitu yang menyokong dan menentang,” jelasnya.

Tegasnya, sesuatu dasar baru itu adalah polisi jangka panjang atau jangka sederhana yang bakal memberi kesan kepada ramai pihak jika dilaksanakan.

Oleh itu, katanya, sebuah dasar baru seboleh-bolehnya perlu dikaji dengan teliti dan mendalam terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai.

“Jika sudah dikaji dan diteliti dengan mendalam, mungkin penangguhan dapat dielakkan kerana masalah tidak timbul jika keputusan itu menggembirakan rakyat.

“Penangguhan pula akan menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak sementara pihak lain menyokong. Ini perkara biasa bila berlaku penangguhan dan tidak menjadi isu besar,” katanya.

Durrishah menjelaskan, jika SBPA dilaksanakan tanpa diteliti semula, sebilangan golongan sederhana dan bawahan dalam perkhidmatan awam mungkin berasa tidak puas hati dalam jangka panjang.

“Jika dahulu, perbincangan diadakan dahulu pihak berkaitan dengan kerajaan dan hanya diumumkan jika semua isu berbangkit sudah selesai.

“Saya harap kerajaan akan semakin matang kelak dalam mengendalikan situasi seperti apa yang berlaku dengan SBPA,” ujarnya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat penangguhan SBPA bukannya menunjukkan kelemahan tetapi menonjolkan keberanian Perdana Menteri bertindak pantas terhadap keresahan mereka yang terlibat.

“Mungkin ada pihak akan mengambil kesempatan dalam isu penangguhan dasar ini tetapi tindakan segera Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan responsif terhadap isu-isu tulen dan perkara berbangkit selepas menerima maklum balas pihak yang sedar diri mereka akan terjejas.

“Bukannya kerajaan tidak bertegas dalam pelaksanaan sesuatu dasar tetapi ada isu yang tidak mendapat maklum balas di peringkat awal yang sepatutnya telah melibatkan kumpulan pembuat keputusan dan pihak berkepentingan,” katanya.

Tambahnya, sesuatu dasar baru juga perlu melihat kepada maklum balas umum dan ini boleh dicapai dengan kemajuan teknologi semasa.

Menurut beliau, Perdana Menteri sendiri mengakui kerajaan tidak mengetahui semua perkara tetapi bersedia menerima pendapat orang ramai yang boleh membawa kebaikan kepada semua.

“SBPA perlu dikaji semula bila majoriti kakitangan awam tidak berpuas hati walaupun sesetengah pihak gembira dengan apa diterima mereka.

“Kelemahan di sini adalah dari sudut pelaksanaan apabila perbincangan tidak dibuat JPA dengan pihak-pihak berkaitan terlebih dahulu sehingga mungkin menjejaskan sekitar 500,000 pekerja,” ujarnya.

Tegasnya, semakan semula yang diumumkan menunjukkan hasrat Perdana Menteri yang mahu memberi penambahbaikan dalam pelbagai aspek agar memberi manfaat dan boleh diterima baik oleh majoriti, jika tidak kesemua kakitangan awam sekalipun.

“Mengumumkan penangguhan adalah satu langkah berani dan tegas demi memberi perhatian kepada isu yang timbul dan mengelakkan masalah lain kelak.

“Perdana Menteri juga mungkin tidak menerima gambaran tepat sebelum mengumumkan SBPA dan kerana itu kakitangan awam perlu memberi maklum balas agar semua pihak dilindungi dan tiada yang menerima kesan buruk, di samping menutup peluang pihak yang mahu menangguk di air keruh,” jelasnya.

Mohamed Mustafa berpendapat matlamat skim tersebut sangat baik tetapi pelaksanaannya yang seperti tergesa-gesa mungkin menjadi punca masalah.

“Walaupun sesuatu dasar baru mempunyai matlamat yang baik, tiada maknanya jika kumpulan sasaran tidak menerima manfaatnya.

“Baguslah Perdana Menteri mendengar masalah yang dibangkitkan dan sedia menangguhkan SBPA demi kebajikan mereka yang terlibat,” katanya.

Adalah lebih baik untuk berhadapan dengan seorang yang menentang selepas memahami isu sebenar daripada dibiarkan ramai membantah tanpa memahami tujuannya.

Kewajaran penangguhan sesuatu keputusan sewajarnya dinilai demi kepentingan dan masa depan kesemua pihak yang terlibat atau sekurang-kurangnya kumpulan majoriti.

Walaupun kerajaan sewajarnya bertegas dalam pelaksanaan dasar baru agar rakyat lebih berdisiplin dan yakin dengan komitmen pentadbiran negara, kesan jangka panjang serta baik dan buruk keputusan tersebut perlu diutamakan.

Penerimaan rakyat terhadap sebarang keputusan kerajaan juga akan berubah sejajar dengan pemahaman dan perubahan yang berlaku, sama ada menerima jika kesannya positif atau membantah jika sebaliknya.

Apa yang perlu diutamakan kini adalah pemahaman rakyat terutamanya mereka yang berkepentingan dalam sesuatu keputusan tentang punca dan sasaran pelaksanaan, mahupun penangguhan, sesebuah dasar baru.

WAKIL GURU MINTA DILIBATKAN DALAM PERBINCANGAN SBPA

Utusan Malaysia
15/01/2012 12:17am




SHAH ALAM 14 Jan. – Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara meminta agar dilibatkan secara menyeluruh dalam perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Pengerusinya, Jemale Paiman berkata, skim itu banyak memberi kesan kepada guru terutama dalam kenaikan gaji dan laluan kerjaya.

Skim itu juga dilihat turut meminggirkan guru senior dalam perjawatan dan tidak mementingkan faktor pengalaman dan kemahiran dalam bidang tugas serta tanggungjawab mereka, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mesyuarat mengenai SBPA bagi perkhidmatan pendidikan bersama presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin dari 26 kesatuan dan persatuan guru Kementerian Pelajaran. Pada majlis itu MPKPG turut menyerahkan memorandum kepada Omar berhubung cadangan penambahbaikan pelaksanaan SBPA bagi perkhidmatan pendidikan. – BERNAMA

13 Januari 2012

SEMAK SEMULA SBPA: CUEPACS MAHU JADI SUARA UTAMA

Utusan Malaysia
13/01/2012 10:02pm



KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu turut terlibat dalam jawatankuasa perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) agar tiada lagi isu berbangkit selepas ia dimuktamadkan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini berikutan pada perangkaan peringkat awal skim berkenaan, CUEPACS tidak dipanggil untuk berunding atau memberi sebarang pandangan.

“Oleh itu, kami perlu menjadi ‘suara’ utama dalam perbincangan dengan jawatankuasa semakan semula bagi memberi pandangan dan menyampaikan maklum balas daripada penjawat awam.

“Suara itu mewakili semua pengurusan dan kesatuan sekerja yang menyuarakan pelbagai persoalan dan pandangan dalam siri jelajah seluruh negara sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat CUEPACS, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan SBPA akan disemak semula bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim tersebut.

Katanya, CUEPACS akan menjelajah ke seluruh negara bermula awal Februari ini bagi menerangkan kepada semua penjawat awam berhubung semakan semula skim berkenaan.

“Penjawat awam dinasihatkan bersabar dan tenang menjalankan tugas masing-masing seperti biasa kerana tempoh dua bulan semakan semula itu diyakini akan melegakan semua pihak.

“Mereka juga tidak perlu bimbang tentang tarikh pelaksanaan SBPA yang sudah berkuat kuasa kerana tunggakan pembayaran gaji akan dibuat setelah dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Osman berharap semakan semula itu nanti akan menjadikan skim tersebut dilihat lebih adil dan saksama kepada seluruh penjawat awam tidak kira aspek kenaikan gaji atau sebagainya. Kalau boleh biarlah ia dijadikan satu skim yang merangkumi segalanya. – UTUSAN

CUEPACS MAHU LEBIH ' SUARA' DALAM SEMAKAN SEMULA SBPA

Bernama
13/1/2012




KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mempunyai 'suara' dalam perbincangan berhubung semakan semula terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya tiada isu berbangkit selepas ia dilaksanakan kelak.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata sebelum ini, badan itu hanya dimaklumkan selepas skim berkenaan dirangka, menyebabkan kebanyakan penjawat awam tidak berpuas hati.

"Kami (Cuepacs) harus menjadi peranan utama dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA) supaya kami boleh memberi pandangan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Cuepacs di sini Jumaat.



Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim SBPA akan disemak semula dan ia bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya.



Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.



Mengulas lanjut, Omar berkata pihaknya akan mengadakan jerayawara, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, di seluruh negara selepas Tahun Baru Cina, bagi menjelaskan penangguhan pelaksanaan skim SBPA.



"Dalam roadshow itu, kita juga akan dapatkan pandangan daripada ahli-ahli untuk dibangkitkan dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA)," katanya.



Beliau juga berharap dengan semakan semula terhadap SBPA, yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan, akan memberi keadilan kepada semua penjawat awam terutama berhubung kenaikan dan tangga gaji baru.



Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya bersabar kerana percaya semakan semula yang dibuat terhadap skim SBPA akan lebih memuaskan hati mereka.



"Penjawat awam juga jangan bimbang kerana tarikh SBPA dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2012. Kalau, ia dilaksanakan misalnya bulan Jun, mereka akan tetap dapat tunggakan," katanya.

Katanya sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Dis lepas.



Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.



Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.



-- BERNAMA

PASUKAN PETUGAS DIBERI DUA BULAN SEMAK SEMULA SBPA

Bernama
13/1/2012




KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pasukan petugas itu, yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April, untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian yang berkaitan.

"Pasukan petugas tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

"Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh satu bulan dari kenyataan media ini iaitu pada 15 Feb," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Isu-isu itu boleh dialamatkan kepada farida.sbpa@jpa.gov.my atau :

Datuk Farida Mohd Ali,

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

Jabatan Perkhidmatan Awam,

Aras 13, Blok C1, Kompleks C,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

62510 Putrajaya

Mohd Sidek berkata bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad hasil semakan semula itu dibuat.

"Bagi mereka yang telahpun bersetuju memilih SBPA, opsyen tersebut kekal," katanya.

Mohd Sidek berkata kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji.



-- BERNAMA

SBPA: DENGAR SUARA KAMI, KATA CUEPACS

Sinar Harian
January 13, 2012




Penjawat awam usah gopoh

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mempunyai 'suara' dalam perbincangan berhubung semakan semula terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya tiada isu berbangkit selepas ia dilaksanakan kelak.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata sebelum ini, badan itu hanya dimaklumkan selepas skim berkenaan dirangka, menyebabkan kebanyakan penjawat
awam tidak berpuas hati.

"Kami (Cuepacs) harus menjadi peranan utama dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA) supaya kami boleh memberi pandangan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Cuepacs di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim SBPA akan disemak semula dan ia bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang
dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

Mengulas lanjut, Omar berkata pihaknya akan mengadakan roadshow, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, di seluruh negara selepas Tahun Baru Cina,
bagi menjelaskan penangguhan pelaksanaan skim SBPA.

"Dalam roadshow itu, kita juga akan dapatkan pandangan daripada ahli-ahli untuk dibangkitkan dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA)," katanya.

Beliau juga berharap dengan semakan semula terhadap SBPA, yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan, akan memberi keadilan kepada semua penjawat awam terutama berhubung kenaikan dan tangga gaji baru.

Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya bersabar kerana percaya semakan semula yang dibuat terhadap skim SBPA akan lebih memuaskan hati mereka.

"Penjawat awam juga jangan bimbang kerana tarikh SBPA dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012. Kalau, ia dilaksanakan misalnya bulan Jun, mereka akan tetap dapat tunggakan," katanya.

Katanya sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim
perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.- Bernama

SBPA: PANEL KHAS DITUBUH, BERI 2 BULAN SYOR

Sinar Harian
G MANIMARAN
January 13, 2012



SHAH ALAM - Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas bagi menyemak semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang pelaksanaannya mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan majoriti kakitangan awam.

Pasukan itu yang akan diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, diberi dua bulan untuk membuat semakan.

Mengumumkan perkara itu petang ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

Katanya, pasukan khas itu ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Pasukan Petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) serta Pegawai kementerian yang berkaitan.

KEWAJARAN PENANGGUHAN SBPA

Utusan Malaysia
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
13/1/2012



AKHIRNYA pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan. Keputusan tersebut tentunya menutup dilema penjawat awam yang hanya mempunyai tiga hari saja lagi untuk mengembalikan borang opsyen.

Sememangnya sejak SBPA diumumkan pelbagai reaksi dan kenyataan dapat dilihat - hangat dan dingin. Di sebalik khabar kenaikan gaji dan penyusunan jawatan, masih ada rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam terutama yang berpangkat rendah.

Perkara itu diakui sendiri oleh CUEPACS yang mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi berunding semula terma-terma dalam SBPA.

Persoalannya, adakah keseluruhan kakitangan awam di negara ini telah diberi penerangan dan penjelasan mengenai skim itu sebelum ia dilaksanakan. Atau sekadar memberi peluang kepada mereka menatap terma-terma sebelum borang dikembalikan?

Khabarnya, ramai penjawat awam masih kabur dan keliru mengenai SBPA. Kumpulan mana yang benar-benar dapat manfaat daripada skim tersebut - gaji rendah, pertengahan atau super skil.

Sumber perkhidmatan awam memberitahu, secara pukal golongan penjawat awam selain peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) hanya mendapat kenaikan paling tinggi RM320 dan purata memperoleh RM200. Itu mungkin di peringkat penjawat awam kategori gaji pertengahan. Bagaimana pula dengan kenaikan gaji untuk JUSA?

Khabarnya, kenaikan kategori itu paling menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga SBPA dilihat agak pincang daripada matlamat asal.

Kenaikan untuk JUSA dan ke atas dikatakan amat lumayan hampir menyamai gaji asas di tahap sedia ada (dilaporkan hampir RM5,500). Adalah diakui penjawat awam di peringkat JUSA mempunyai beban kerja yang agak besar, tetapi bagaimanapun pula dengan kakitangan rendah yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan supaya golongan atasan dilihat membuat kerja?

Bukankah kesemua kategori dalam perkhidmatan awam sama penting kerana sumbangan mereka untuk sama-sama membangunkan bidang masing-masing.

Misalnya, jika guru-guru berkhidmat dengan cemerlang maka guru besar atau pengetua bakal mendapat nama yang baik, sekolah juga akan mencatatkan keputusan gemilang. Jadi adakah wajar jika kenaikan gaji guru hanya 1 peratus daripada kenaikan gaji guru besar atau pengetua.

Satu lagi dipersoalkan di dalam SBPA adalah pengenalan Kumpulan Premier. Ada kerunsingan dan kebimbangan selain tanda-tanya yang mesti dijawab atau diperjelaskan bagi mengelak salah sangka.

Sumber perkhidmatan awam membangkitkan persoalan mengapa kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mereka walhal perkhidmatan kerajaan telah beroperasi dengan baik selama ini.

Kenapa perlu ada kumpulan baru sedangkan perkhidmatan awam di negara ini semakin cemerlang dan mampu menambah baik tanpa perlu kumpulan atau jawatan baru sebelum ini.

Apatah lagi apabila orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut biar pun menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak mengisi jawatan tersebut.

''Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier,'' katanya baru-baru ini.

Memang diakui seperti mana yang ditegaskan Abu Bakar, setiap dasar atau skim yang diputuskan kerajaan bertujuan mengatasi masalah sedia ada dan juga melihat kemungkinan pada masa akan datang.

Tetapi bagaimana pula jika skim yang diperkenalkan mencetuskan masalah baru selain menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam sehingga dibimbangi kelak akan menjejaskan mutu perkhidmatan.

Khabarnya juga, syarat-syarat perkhidmatan yang lebih rumit terkandung di dalam SBPA. Sepatutnya skim baru lebih memudahkan kakitangan. Merumitkan mengundang masalah dan ia bukan petanda yang baik untuk kakitangan awam termakan dengan mungkin satu atau dua peratus manfaat kecil yang ditawarkan di dalam skim itu.

Rata-rata kakitangan awam mengalu-alukan hasrat murni kerajaan mahu melegakan bebanan mereka tetapi janganlah kerana terdapat kecacatan dalam pelaksanaan SBPA, maka hasrat tersebut tersasar sehingga menimbulkan kekeruhan.

Daripada bilangan 1.4 juta penjawat awam, ramai merasakan cuma segelintir (mungkin kurang 1,000 orang) yang merasa nikmatnya tetapi yang lainnya terpaksa berfikir panjang apakah yang ada untuk mereka.

Maka berilah ruang untuk SPBA dikaji semula. Ambillah masa yang mencukupi untuk melihat semula kepincangan yang mungkin tidak disengajakan. Rundinglah dengan semua pihak yang terlibat, jangan cipta skim untuk kepentingan satu kumpulan sahaja lantaran perkhidmatan awam melibatkan semua.

TANGGUH SBPA: JANGAN SALAHKAN KAMI, KATA CUEPACS

Sinar Harian
NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 13, 2012



KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, pihaknya tidak patut dipersalahkan atas keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan secara rasmi semalam.

Keputusan penangguhan dibuat oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya kelmarin.

Lewat petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan SBPA akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Dalam laporan eksklusif semalam, Sinar Harian Online memetik sumber-sumber berkata, Kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Mengulas isu ini, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, dari awal lagi pihaknya tidak terlibat dalam perancangan dan perbincangan mengenai SPBA.

Malah katanya, Cuepacs telah cuba membantah pelaksanaan SBPA kerana sudah menyedari implikasinya, seperti yang disaksikan sekarang.

"Tidak boleh salahkan Cuepacs, semua mahu tumpu pada kami, kalau dulu benda baik Cuepacs buat tidak mahu tumpu, ucap terima kasih pun jarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di sini, malam tadi.

Cuepacs mengadakan mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan keputusan penangguhan SBPA.

Tegasnya, Cuepacs sudah dapat menjangkakan rasa tidak puas hati kakitangan awam akan berlaku apabila melihat ketidakseragaman perubahan gaji antara kumpulan gred 27 dan ke atas, yang mengalami kenaikan ketara antara 20 hingga 40 peratus berbanding gred-gred rendah.

Ketika mengumumkan pelaksanaan SBPA dalam ucapan Bajet 2012, Perdana Menteri berkata SBPA, yang memperkenalkan sistem gaji satu lapis, akan membawa kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus.

"Apabila lihat skim SPBA ini, kita dapati, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ke atas, terdapat peratusan naik sampai 50 peratus, terlalu tinggi sedangkan kumpulan gred bawahan hanya empat peratus.

"Macam langit dan bumi. Ini memang mengundang perasan marah.


"Cuepacs tidak mahulah nanti ada yang dapat kenaikan hanya RM40 tapi gred atas sampai RM40,000... perkara ini perlu disemak semula kerana sepatutnya skim ini menceriakan penjawat awam dengan adil dan sama rata," katanya.

Omar berkata, sebelum ini Cuepacs ada diberi taklimat bagaimana skim SPBA berfungsi - dalam menyelaraskan kenaikan gaji penjawat awam, namun kecelaruan berlaku ketika hendak dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

SBPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia berkuat kuasa 1 Januari lalu.

"Dalam taklimat kita, gred yang asal, dapat satu kenaikan, akan pindah ke gred yang baru dan akan dapat satu kenaikan lagi. Jadi apabila dicampurkan kedua-dua, inilah kenaikan yang akan diterima.

"Tapi apabila sampai ke (peringkat) jabatan, pelaksanaan itu tidak ada, hanya berlaku kenaikan satu baris di mana apabila ke gred baru gaji, kalau kata RM15, RM15 lah dapat. Ini yang mereka kata tiada kenaikan sedangkan kumpulan di atas dapat kenaikan RM1,500 hingga RM5,000. Maka berlakulah kemarahan (di kalangan kakitangan awam peringkat bawahan)," katanya lagi.

Omar berkata Cuepacs tidak menolak penangguhan SBPA, tetapi menerimanya protes.

Namun begitu, Cuepacs menghormati keputusan itu yang diumumkan oleh Najib semalam dan akan membantu menyelesaikan masalah itu dengan segera.

"Kalau itu keputusan kerajaan, kami menyambut baik dan Cuepacs minta sembilan pegawai tertinggi kami berada dalam (panel) perbincangan itu kerana kami wakil 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

"Jika diwujudkan jawatankuasa lain, kami mahu juga bersama dalam perbincangan itu supaya kami harap isu yang tidak puas hati dan berbangkit ini nak dibawa dalam jawatankuasa itu untuk satu penambahbaikan yang komprehensif berlaku adil dan saksama untu penjawat awam," katanya.

Katanya, Cuepacs akan menekankan beberapa perkara dalam penambahbaikan SBPA dan antaranya penekanan penstrukturan skim baru itu perlu dibuat keseluruhan di mana gred yang tidak terlibat serta badan-badan beruniform juga perlu dikaji semula.

"Gelaran untuk jawatan yang ditukar juga perlu disemak semula mengikut kesesuaian kerana terdapat aduan penjawat awam tidak setuju penukaran jawatan baru.

"Formula kenaikan gaji perlu yang baru supaya pindaan yang akan berlaku yang terbaik, barulah semua pihak berpuas hati.

"Kemudian, senioriti juga perlu diambil kira, kedudukan lama paling maksimum dalam jawatan juga akan diubah dan begitu juga yang telah lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) masih tidak dianjak," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah JPA telah memanggil Cuepacs untuk bermesyuarat mengenai hal ini, beliau berkata, pihaknya sudah bersedia dan hanya tunggu dipanggil.

"Perkara ini masih baru dan mekanisme akan ditentukan oleh JPA dan kami akan berbincang, diaharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin, redakan keadaan semua peringkat penjawat awam," katanya.

12 Januari 2012

NAJIB SAHKAN SKIM GAJI BARU DITANGGUH

Sinar Harian
G MANIMARAN, NURUL NADIA
dan ARHIZA AHMAD
January 12, 2012





NAJIB

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan memetik sumber-sumber berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguan semalam telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Ketika dihubungi awal hari ini, pimpinan Cuepacs juga mengesahkan pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan sementara perundingan diadakan dengan mereka.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata Presidennya Datuk Omar Osman turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengenai penangguhan SBPA.

"Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online tengah hari tadi.

Sementara SBPA disemak semula, dalam kenyataannya Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.
Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

NAJIB: SBPA DISEMAK SEMULA

Bernama
12/1/2012



KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.

Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Jan tahun ini.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Dis lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.



-- BERNAMA

SBPA DITANGGUHKAN UNTUK SEMAK SEMULA: NAJIB

Berita Harian
2012/01/12



KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan diadakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Najib berkata penangguhan itu bertujuan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA. "Selepas semakan semula itu dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya. Najib berkata, penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam.

"Semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini," katanya. - BERNAMA

KSN: SBPA DITANGGUH, PM AKAN UMUM BUTIRAN

Sinar Harian
ARHIZA AHMAD &
NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 12, 2012



CYBERJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu, ditangguhkan bagi membolehkan kajian semula yang lebih mendalam dijalankan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sambil berkata, maklumat lanjut akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelak.

"Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut," katanya kepada media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengalu-alukan keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA bagi memastikan semua penjawat awam berpuas hati.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, Cupeacs faham akan keprihatinan Perdana Menteri dalam menuntut hak sama rata bagi semua penjawat awam supaya tidak timbul ketidakseimbangan dalam kenaikan gaji.

“Cuepacs faham apa yang kerajaan cuba lakukan, dan itu resolusi terbaik supaya penjawat awam tidak merasa tersisih dalam menerima insentif dan saraan baru kerajaan itu,” katanya.

Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.