Bernama
Oleh Nabilah Saleh
5/5/2012
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Sejak diperkenalkan pada 2001,
Sukarelawan Pemantau Harga (SPH) yang turut dikenali sebagai Rakan
Pengguna aktif memainkan peranan dan fungsi menjadi 'mata dan telinga'
kerajaan dalam memantau harga barangan (penandaan harga) dan mutu
perkhidmatan.
Bagaimanapun, entah di mana silapnya, kementerian melihat penstrukturan
Rakan Pengguna ini juga kurang mantap dan pelaksanaan aktiviti serta
pendedahan mengenainya juga tidak menyeluruh.
Pendek kata, kewujudan Rakan Pengguna seolah-olah tidak disedari masyarakat umum.
Justeru melihat kepada permasalahan ini, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengorak langkah dengan
melakukan penjenamaan semula kumpulan ini dengan memberi nama baru
iaitu Skuad Pengguna oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
baru-baru ini.
PENJENAMAAN SEMULA
Di bawah penjenamaan baru ini, Rakan Pengguna diberi suntikan serta
nafas baru dari segi penstrukturan, imej dan sensitiviti sebagai satu
langkah yang dapat menjadi pemangkin untuk menyemarakkan lagi penerapan
ilmu kepenggunaan di kalangan masyarakat Malaysia.
Susulan penjenamaan baru itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan
& Pengurusan), Datin Mahani Tan Abdullah memberitahu Bernama bahawa,
kementerian memang menaruh harapan tinggi terhadap Skuad Pengguna
supaya dapat membantu kerajaan meningkatkan lagi penguatkuasaan
undang-undang melalui kerjasama dan sokongan orang ramai.
Memandangkan aktiviti penawaran dan permintaan dalam pasaran yang
semakin meningkat tanpa kawalan, situasi ini telah membataskan keupayaan
pihak penguatkuasa KPDNKK untuk 'turun padang' dan melaksanakan tugas
mereka.
"Maka, di sinilah peranan ahli skuad untuk memberikan kerjasama
sekaligus dapat mamantau mana-mana amalan aktiviti perniagaan yang tidak
sihat. Ini secara tidak langsung dapat mendisiplinkan pihak peniaga
juga."
"Selain bertindak sebagai pemberi maklumat mengenai trend harga
barangan dan perkhidmatan kepada kementerian, ahli skuad juga berperanan
besar untuk menyebarkan maklumat mengenai isu-isu kepenggunaan kepada
umum.
Lebih penting lagi, setiap ahli skuad juga berupaya untuk menjadi
jurucakap bagi isu-isu berkaitan selain dapat menganjurkan program dan
aktiviti kepenggunaan dalam komuniti masing-masing," katanya.
JALINAN KERJASAMA
Skuad Pengguna mempunyai anggota aktif seramai kira-kira 37,000 orang,
kini mensasarkan untuk mencapai jumlah keanggotaan melebihi 50,000 orang
menjelang akhir tahun ini.
Menurut Mahani, melihat kepada pendekatan konsep 'serampang tiga mata'
yang diambil oleh Skuad Pengguna selari dengan jalinan kerjasama yang
dibuat bersama masyarakat peniaga, jumlah keanggotaan diharapkan dapat
mencatat bilangan yang lebih tinggi daripada sasaran.
"Skuad Pengguna pada kali ini juga meluaskan fokus dan melibatkan
anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan badan-badan
peniaga seperti Perdasama dan jaringan pasaraya besar seperti Giant dan
Jusco.
Strategi ini adalah sangat bersesuaian dan menepati Dasar Pengguna
Negara yang mahukan pengguna Malaysia untuk mempunyai amalan kawalan
kendiri, peniaga pula dengan amalan kawalselia kendiri dan Kerajaan
selaku fasilitatornya, iaitu berperanan meningkatkan tahap perlindungan
terhadap pengguna," jelas Mahani.
Contohnya, CUEPACS, badan ini yang dilaporkan terdiri daripada 1.5 juta
anggota, sememangnya diharapkan dapat menambah seberapa ramai anggota
Skuad Pengguna sedia ada.
"Tambahan pula, ahli Skuad Pengguna bukan sahaja berkhidmat dengan
'tangan kosong', sebaliknya banyak manfaat dan keistimewaan yang boleh
diperoleh dengan keanggotaan mereka sebagai anggota Skuad," katanya yang
mengakui kewujudan Skuad Pengguna hari ini adalah sangat relevan.
MANFAAT
Sebagai anggota berdaftar, Skuad Pengguna boleh menikmati pelbagai
keistimewaan antaranya mendapat kemudahan potongan harga dan diskaun
yang ditawarkan oleh premis perniagaan iaitu 36 Rakan Dagang yang
mengambil bahagian dengan menggunakan Kad Skuad Pengguna.
"Melalui kad Skuad Pengguna yang akan diperoleh anggota sebaik sahaja
mendaftar, mereka boleh mendapat potongan harga antara dua peratus
hingga 20 peratus daripada jumlah nilai barangan yang dibeli atau
perkhidmatan yang digunakan," jelas Mahani.
Rakan dagang yang mengambil bahagian adalah panel yang dilantik oleh
Bank Rakyat dan terdiri daripada kedai-kedai operasi yang terdapat di
seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
"Selain pemberian diskaun, anggota Skuad Pengguna juga menerima
pengiktirafan kepada anggota terbaiknya yang banyak membantu serta
memberi sumbangan kepada KPDNKK. Ia akan disampaikan sama ada di
peringkat kebangsaan dan negeri," katanya.
Keistimewaan lain yang layak diterima oleh anggota skuad adalah peluang
menyertai seminar dan bengkel anjuran KPDNKK, mengikuti kursus
'Training for Trainers' bagi tujuan latihan selain aktiviti kepenggunaan
yang dikelolakan oleh pihak swasta dengan kerjasama kementerian.
GAYA HIDUP LESTARI
Tanpa sedar selain memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga'
kerajaan, tanggungjawab anggota Skuad Pengguna adalah sebenarnya jauh
lebih besar dan penting.
Mahani berkata anggota skuad seharusnya menjadi pemangkin gaya hidup
yang lestari iaitu ke arah corak penggunaan sumber alam secara optimum,
kreatif dan berhemah.
"Apabila kita bercakap mengenai kepenggunaan lestari, pengguna harus
ingat bahawa corak penggunaan sehari-hari kita memberi kesan secara
tidak langsung kepada alam sekitar.
"Contohnya, permintaan tinggi terhadap penggunaan beg plastik
sememangnya ada dan sentiasa meningkat disebabkan oleh banyak faktor.
Pada masa yang sama, beg plastik yang banyak digunakan ini juga
berpotensi untuk dibuang merata-rata oleh pengguna.
Walhal sekiranya beg-beg plastik ini dibuang atau teralir ke mana-mana
sumber air misalnya laut, haiwan boleh terkesan seperti tercekik lalu
mati akibat pencemaran ini. Ini berkemungkinan mengundang masalah
kepupusan.
Saliran air seperti longkang juga boleh tersumbat dan seterusnya jika
hujan turun dengan lebat, banjir boleh berlaku. Kalau beg plastik itu
dibakar pula, ia akan menyebabkan udara tercemar dengan asap tebal,"
jelasnya.
Justeru melihat kepada contoh itu, Mahani menegaskan adalah penting
untuk pengguna melakukan amalan lestari dalam memastikan kelangsungan
alam sekitar sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.
"Bayangkan, betapa pentingnya tindakan kecil kita seperti Kempen 'No
Plastic Bag Day' yang dilaksanakan sekarang (mengurangkan penggunaan beg
plastik) dapat mengubah nasib anak cucu. Dalam pada itu, untuk
melahirkan pengguna lestari, pendidikan tentang cara-cara kepenggunaan
yang berhemah dan bijak perlu didedahkan kepada anggota skuad," katanya.
PENGGUNA BIJAK
Untuk mewujudkan ciri-ciri pengguna yang bijak dalam amalan
kepenggunaan, pengguna haruslah 'celik' dan bertindak ikut rasional
akal, selain bertanya atau membuat selidikan terlebih dahulu sebelum
membeli atau menggunakan sebarang perkhidmatan yang ditawarkan.
"Isu pembelian menerusi transaksi atas talian khususnya memerlukan
pengguna untuk lebih waspada sebelum membuat keputusan untuk membeli.
Misalnya kenalpasti dahulu dengan siapa mereka berurusniaga, adakah
akaun transaksi yang digunakan adalah akaun milik peribadi seseorang
atau bagaimana pula testimoni pembeli sebelumnya tentang produk yang
dibeli menerusi laman web atau individu tertentu.
"Pihak KPDNKK menerima banyak aduan dan rungutan mengenai pengguna yang
tertipu dengan konsep pembelian secara online. Apa yang kami boleh
katakan, ia di luar kawalan pihak KPDNKK lebih-lebih lagi jika transaksi
dibuat tanpa merujuk kepada pihak kami. Tetapi dalam apa keadaan pun,
KPDNKK mengambil serius permasalahan ini dan pihak penguatkuasa kami
dengan giatnya akan menyiasat dan menangkap mereka yang bersalah," kata
Mahani.
Selain itu, bentuk aduan yang dibuat oleh pengguna dan ahli Skuad sama
ada menerusi talian telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), laman web
mahupun ke kaunter KPDNKK, hendaklah dinyatakan secara lebih spesifik
dan jelas butirannya.
"Pernyataan aduan yang lebih khusus dan spesifik adalah sangat penting
untuk pihak KPDNKK melakukan tindakan susulan dengan pantas dan segera.
Contohnya, sekira berlaku kekurangan bekalan di kawasan tertentu,
nyatakan alamat kawasan itu dengan lebih tepat supaya pihak KPDNKK tidak
perlu tercari-cari lokasi itu dan tindakan yang boleh dilakukan segera
terpaksa ditangguh.
"Apa yang saya boleh kata, kebergantungan pihak KPDNKK untuk bertindak
sama ada lambat atau cepat adalah tertakluk sepenuhnya kepada aduan yang
kami terima. Tindakan lambat sememangnya merugikan rakyat atau pengguna
sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk pengguna mahupun ahli Skuad
bertindak bijak untuk menyatakan aduan dengan sejelas-jelasnya," kata
beliau yang berharap Skuad Pengguna dapat menjadi medium penggerak bagi
masyarakat memahami dan menterjemahkan ilmu kepenggunaan dalam kehidupan
seharian.
PERANCANGAN
Mengenai perancangan seterusnya KPDNKK untuk Skuad Pengguna, Mahani
berkata, walaupun pelaksanaan skuad ini masih baru, KPDNKK tetap
meletakkan harapan yang jelas iaitu untuk melihat Skuad Pengguna ini
menjadi medan bagi pengguna, peniaga dan Kerajaan untuk berganding bahu
mewujudkan pasaran ekonomi dan sosial yang lebih kondusif untuk generasi
pada masa akan datang.
"Walaupun ia nampak seperti sukar direalisasikan, KPDNKK tidak pernah
berputus asa untuk mencari titik keseimbangan antara kehendak pengguna
dan keuntungan peniaga. Elemen ini penting supaya kepuasan utiliti
maksimum dapat dicapai," kata Mahani mengakhiri perbualan.
Orang ramai yang berminat mendaftar sebagai anggota Skuad Pengguna boleh layari laman web http://www.1pengguna.com/sp.
-- BERNAMA