SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Oktober 2012

IKLAN JAWATAN PEMANDU KENDERAAN


IKLAN JAWATAN KOSONG
 (PEMANDU KENDERAAN)


KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu 55100 Kuala Lumpur.
Tel : 03 9285 6110, 9285 0281 Fax : 03 9285 9457


IKLAN JAWATAN KOSONG

1.       Warganegara Malaysia terutamanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau yang berdekatan dengannya yang berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh iklan ditutup adalah dipelawa memohon untuk mengisi kekosongan jawatan di Ibu Pejabat CUEPACS sepertimana yang dinyatakan dibawah ini

2.       JAWATAN                                           :              PEMANDU  KENDERAAN
3.       GRED                                                     :           R3 / R6
4.       KLASIFIKASI PERKHIDMATAN     :             MAHIR / SEPARUH MAHIR / TIDAK MAHIR
5.       KUMPULAN PERKHIDMATAN     :               PELAKSANA  ( SOKONGAN )
6.       TARAF JAWATAN                             :              TETAP
7.       JADUAL  GAJI  ( JGMM )               :               P1  -  RM792.60  -              RM1610.99
                                                                          P2  -  RM840.80  -              RM1688.45
                                                                          P3  -  RM890.43  -              RM1767.76
8.       KELAYAKAN   :
(a)    i.      Tamat Darjah Enam  ( 6 )  Sekolah Rendah Bantuan Penuh Kerajaan.

ii.     Memiliki Lesen Memandu Kelas  D / E / E1 / E2 /G / H / I  berkenaan
 Yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan  ( JPJ ),
  Kecuali lesen memandu dalam tempoh percubaan  ( P ).
               iii.        Berkebolehan memandu,mengendali dan menyelenggara
                          kenderaan bermotor berkenaan yang diliputi oleh skim perkhidmatan ini.
                                ( Gaji permulaan ialah pada  :  Gred  R3  )
                                Lesen  D                               -              P1T3
                                Lesen  E / E1 / E2              -              P1T4
                                Lesen  F / H                         -              P1T5
                                Lesen  G /I                          -              P1T6
               
(b)   Berkebolehan bertutur  ,  membaca dan menulis dalam bahasa malaysia
dengan baik.
9.            UMUR
Calon bagi lantikan hendaklah berumur
a) Tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh iklan ditutup.
b) Tidak lebih dari 45 tahun pada tarikh lantikan.

10.          BORANG PERMOHONAN
Permohonan hendaklah menghantar profil peribadi dan dokumen sokongan ke Ibu Pejabat CUEPACS,Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew Pudu 55100 Kuala Lumpur.

11.          ALAMAT PERMOHONAN
Profil peribadi dan dokumen yang telah lengkap dipenuhi hendaklah dikembalikan kepada :-
Setiausaha Agung
KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu 55100 Kuala Lumpur.

12.          TARIKH TUTUP PERMOHONAN
Profil peribadi dan dokumen   hendaklah dhantar ke alamat di atas sebelum atau pada 22 Oktober 2012. Permohonan yang diterima selepas dari tarikh tutup iklan tidak akan diberi pertimbangan.

13.          DOKUMEN SOKONGAN
Semua dokumen sokongan yang dilampirkan hendaklah disahkan salinannya. Salinan Asal dokumen sokongan hanya perlu dibawa semasa menghadiri temuduga sahaja.



KETUA JABATAN DIINGATKAN BERI PERHATIAN KENAIKAN PANGKAT DAN GAJI PETUGAS - ALI HAMSA

Bernama
12/10/2012

SHAH ALAM, 11 Okt (Bernama) -- Ketua-ketua jabatan kerajaan diminta memberi perhatian berhubung kebajikan petugas bawahan mereka terutama dalam soal kenaikan pangkat dan gaji dalam program 'turun padang' meninjau tahap perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata ini kerana penjawat awam sering diminta memberikan perkhidmatan berkualiti tetapi kebajikan mereka berhubung soal perjawatan tidak diambil peduli.


Dalam pertemuannya dengan penjawat awam persekutuan dan negeri di sini hari ini, Ali berkata penjawat awam perlu menikmati kenaikan gaji dari tahun ke tahun kerana jika tiada kenaikan, nilai gaji yang diterima mereka akan semakin berkurangan kesan daripada kadar inflasi.


Katanya penjawat awam terutama daripada kumpulan sokongan harus mendapat unjuran gaji sebaik mungkin sehingga tamat perkhidmatan agar mereka tidak tergolong dalam golongan miskin, apabila bersara kelak.


Memandangkan pesara kerajaan juga menikmati kenaikan pencen dua peratus setahun, beliau berpendapat penjawat awam perlu mendapatkan kenaikan gaji sekurang-kurangnya sama dengan kadar inflasi negara.


Bagi kumpulan pegawai pula, beliau berkata ketua jabatan perlu memastikan kumpulan ini mencapai gred pangkat yang tinggi sebelum bersara, dengan syarat mereka tidak mempunyai masalah disiplin dan mendapat markah 80 peratus ke atas dalam laporan penilaian prestasi tahunan mereka.


Beliau memberi contoh masalah perjawatan perkhidmatan perguruan diatasi dengan pengenalan kenaikan pangkat berdasarkan jangka masa bertugas di mana guru siswazah yang berkhidmat 25 tahun akan naik sehingga gred 54 sebelum menamatkan perkhidmatan.


Sehubungan itu, beliau berharap skim perjawatan lain perlu menggunakan pendekatan yang sama bagi menangani masalah perjawatan dan gaji statik untuk jangka masa panjang.


Sementara itu, dalam ucapannya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhammad Khusrin Munawi memaklumkan jumlah penjawat awam di negeri ini ialah 17,200 orang dan Selangor perlu mengisi 3,800 jawatan kosong.


Katanya penambahan petugas itu diperlukan memandangkan kepadatan penduduk dan kemahuan untuk perkhidmatan terbaik daripada penduduk.


-- BERNAMA

11 Oktober 2012

PENJAWAT AWAM YANG BERSARA DIGESA AKTIF DALAM AKTIVITI MASYARAKAT

Bernama
11/10/2012

KUANTAN, 11 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob Khamis menasihatkan para penjawat awam yang bersara supaya melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

"Bagi kerajaan negeri, kita tidak pernah meminggirkan golongan pesara, malah sentiasa akan membantu jika mereka memerlukan bantuan," katanya ketika berucap pada majlis meraikan 16 ketua jabatan negeri, persekutuan dan badan berkanun di Pahang yang bersara, di sini.


Antara mereka ialah bekas Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Mariam Ismail; bekas Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, Datuk Hasnah Hassan; bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Pahang, Abu Bakar A Rahman; dan Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin.


Yahya bakal bersara pada 7 Nov depan.


-- BERNAMA

SURUHANJAYA KHAS KAJI TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM KEMUKA LAPORAN DISEMBER

Bernama
11/10/2012

MELAKA, 10 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam akan mengemukakan laporan lengkap berhubung cadangan penambahbaikan perkhidmatan awam kepada Kabinet akhir tahun ini.

Pengerusinya Tun Zaki Tun Azmi berkata suruhanjaya itu kini sedang melakukan lawatan mengejut ke jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan bagi melihat mutu perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai serta memahami situasi yang dihadapi rakyat ketika berurusan dengan sektor awam.

"Bukan kita nak cari salah, masalah tetapi untuk memahami keadaannya, dengan memahami keadaan ini mungkin kita boleh memperbetulkan dan memperbaiki kelemahan yang terdapat di tempat ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, Rabu.

Turut menyertai lawatan itu, beberapa anggota suruhanjaya itu termasuk bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Zaki berkata pihaknya yang melakukan lawatan ke sektor awam di Sarawak dan Sabah pada Ogos dan Sept lepas, hari ini mengadakan lawatan ke Pejabat Daerah Sepang, Ibu pejabat Polis Daerah Sepang di Selangor; Klinik 1Malaysia Rasah dan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan selain UTC Melaka.

-- BERNAMA

HANYA 0.5 PERATUS PENJAWAT AWAM HIDAP MASLAH MENTAL - JPA

Bernama
12/10/2012


PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Hanya 0.5 hingga satu peratus daripada 1.4 juta penjawat awam di negara ini menghadapi masalah psikologi dan kesihatan mental, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr Aris Kasan.

Beliau berkata angka itu adalah kecil dan masih boleh diatasi


"Dengan bantuan dan kepakaran pakar psikologi dan kaunselor untuk pembangunan semula, masalah ini boleh diatasi agar mereka dapat memberikan perkhidmatan berkesan untuk menyumbang kepada pembangunan agensi dan negara.


"Hanya bilangan kecil yang menghadapi masalah mental yang serius dan perlu mendapatkan bantuan dari pakar di hospital," katanya kepada pemberita selepas Sambutan 20 Tahun Psikologi Perkhidmatan Awam, di sini hari ini.




-- BERNAMA

10 Oktober 2012

PINJAMAN PERUMAHAN : CUEPACS MAHU ADAKAN RUNDINGAN DENGAN BANK

Bernama
10/10/2012
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhasrat mengadakan rundingan secara komprehensif dengan institusi kewangan yang bakal dilantik mengurus pinjaman perumahan penjawat awam.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng dalam kenyataan hari ini berkata rundingan itu, yang tidak dinyatakan tarikhnya, adalah bagi menjaga kepentingan dan kebajikan penjawat awam.

"Kebimbangan pekerja adalah syarat-syarat pinjaman perumahan yang dikenakan institusi kewangan lebih ketat dan fokus kepada keuntungan.

"Manakala kerajaan yang sebelum ini menguruskan pinjaman itu lebih memberi keutamaan dengan membantu pekerja memperoleh rumah dengan tidak membebankan dan menyusahkan mereka," katanya dalam kenyataan itu.

Kerajaan, dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, mencadangkan bahawa Skim Pinjaman Perumahan Sektor Awam yang diuruskan Bahagian Pinjaman Perumahan, akan dipinda ke bank-bank, untuk menguruskan semua pinjaman itu.

-- BERNAMA

07 Oktober 2012

HADIAH TOKOH GURU TIDAK BERBALOI

Utusan Malaysia
7/10/2012
TIMBALAN Presiden KKGLMSM, Azmi Sujak (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Omar Osman pada majlis perasmian Seminar Profesionalisme Keguruan Zon Timur di Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 7 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengkaji hadiah yang diberikan kepada Tokoh Guru Kebangsaan kerana didapati tidak berbaloi dengan pengorbanan dan jasa mereka dalam dunia pendidikan negara.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, berbanding dengan penerima lain, hadiah kepada tokoh sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan akan hanya membawa pulang wang tunai RM10,000, pingat emas dan sijil sahaja."Tokoh Guru Kebangsaan merupakan anugerah besar dan ganjaran juga seharusnya setimpal. Jika dilihat dengan apa diberikan sekarang tidak memadai sedangkan pengorbanan warga pendidik terlalu tinggi malah mengatasi segala-galanya.

"Kerajaan mampu menyediakan hadiah besar kepada seorang atlet sukan dan penyanyi tetapi mengapa tidak pada seorang guru yang banyak berjasa kepada negara untuk melahirkan modal insan serta generasi berjaya dalam semua aspek," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Profesionalisme Keguruan Zon Timur sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) di Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut di sini semalam.Omar berkata, penerima anugerah itu sepatutnya memperoleh ganjaran wang tunai antara RM50,000 dan RM100,000 serta hadiah sampingan lain seperti tiket mengerjakan umrah sebagai pengiktirafan sebenar.

"Sijil yang diberikan pula sebaiknya ditandatangani Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran agar menjadi satu kenangan amat dihargai dan pihak swasta juga diminta tampil menaja hadiah bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan golongan tersebut," ujarnya.Sementara itu, Pengerusi Koperasi KKGLMSM (M) Berhad, Awang Mohmad berkata, beliau agak terkilan kerana hadiah yang diterima oleh tokoh guru tidak setimpal dengan jasa dan pengorbanan warga pendidik sedangkan golongan tersebut mendapat pengiktirafan tertinggi.

"Pemenang pertandingan realiti televisyen dan penerima anugerah dunia hiburan mampu membawa pulang wang tunai lebih RM100,000, sebuah rumah dan kereta serta barang kemas puluhan ribu ringgit. Sedangkan insan yang menjana kejayaan hari ini hanya menerima RM10,000," katanya.Katanya, kerajaan perlu sedar dengan matlamat pemberian anugerah tersebut iaitu mengiktiraf warga pendidik yang telah menabur jasa dan pengorbanan untuk kecemerlangan generasi.

ANGGOTA CUEPACS BANTAH BANK URUS PINJAMAN PERUMAHAN

Utusan Malaysia
7/10/2012


JERANTUT 6 Okt. - Rata-rata penjawat awam di seluruh negara membantah cadangan Kementerian Kewangan untuk menjalinkan kerjasama dengan bank bagi menguruskan skim pinjaman perumahan kepada kakitangan kerajaan.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, beliau sendiri dihujani dengan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kakitangan awam yang mahu skim pinjaman tersebut tidak diserahkan kepada institusi kewangan.

"Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah memaklumkan terdapat empat bank komersial terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam."Jadi mereka tidak bersetuju dengan cadangan ini dan meminta CUEPACS agar tampil menyuarakan luahan hati penjawat awam agar pinjaman perumahan diuruskan oleh kerajaan sepenuhnya," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Profesionalisme Keguruan Zon Timur sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) di Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden KKGLMSM, Datuk Jamale Paiman; Timbalan Presiden KKGLMSM, Azmi Sujak dan Pengerusi Koperasi KKGLM (M) Berhad, Awang Mohmad.Omar berkata, rata-rata penjawat awam yang menghubunginya berpendapat pelbagai masalah akan timbul sekiranya kerajaan menjalinkan kerjasama dengan institusi kewangan dalam menguruskan skim pinjaman perumahan."Mereka bimbang wujudnya masalah di kemudian hari seperti insurans pembeli, insurans pemaju, komisen dan prosedur bank serta bayaran pendahuluan 10 atau 20 peratus kepada bank," ujarnya.

Menurutnya, CUEPACS memandang serius perkara tersebut dan segala luahan penjawat awam akan dibincangkan dalam mesyuarat kesatuan itu bulan depan agar mereka yang terlibat dapat membeli rumah dengan mudah dan selamat."Saya tahu ramai penjawat awam bimbang dengan perkara ini kerana mereka takut dibebani dengan hutang dan timbul pula isu rumah terbengkalai sedangkan pembayaran telah dibuat kepada pihak bank," jelasnya.

06 Oktober 2012

CUEPACS MINTA SIASAT DAWAAN PENJAWAT AWAM DISOGOK SUARAM

Bernama
6/10/2012


KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan penjawat awam disogok Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi menyalur maklumat dan rahsia kerajaan.

Presidennya Cuepacs Datuk Omar Osman berkata jika benar wujud, mereka mesti dikenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat.

"Kalau betul (laporan) akhbar itu, terserah pada pihak berkuasa (ambil tindakan), sebagai penjawat awam jangan mudah terima duit, kita ada etika yang perlu dipatuhi," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah semalam, yang mendakwa Suaram menerima lebih daripada US$100 juta (RM305.35 juta) bagi menganjurkan protes jalanan dan merasuah pegawai kerajaan.

Suaram bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu dan menuntut JMM menyertakan bukti terhadap semua tuduhan terbabit selain mendesak JMM supaya memohon maaf dan menarik balik semua dakwaan berkenaan.

-- BERNAMA

05 Oktober 2012

JPA KAJI SELARAS GAJI GERADUAN

Berita Harian
5/10/2012



Kerajaan cadang mekanisme baru gred penjawat awam

Ipoh: Kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaras tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini memulakan kerjaya dengan Gred 41. Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, pelarasan itu perlu bagi mencapai sasaran masyarakat berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan gred yang dicadangkan. Penggredan perjawatan awam berkelulusan ijazah kini bermula daripada gred 41, diikuti Gred 44, Gred 48, Gred 52, Gred 54, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C, JUSA B, JUSA A, Turus 3, Turus 2, Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

Penyelarasan gaji

“Ia di peringkat awal perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melihat segala aspek mengenai pelarasan gaji bagi penjawat awam berkelulusan graduan.

“Sebagai graduan, mereka memasuki kerja bermula dengan Gred 41 dan boleh mencapai jawatan setinggi Ketua Setiausaha Negara, tetapi tidak semua boleh mencapai tahap sedemikian.
“Jadi, kita mencadangkan satu mekanisme baru untuk memastikan pelarasan mengenai penggredan serta had gaji berasaskan kemampuan sedia ada,” katanya selepas merasmikan penutup Persidangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, di sini semalam.

Mengenai cadangan CUEPACS memohon bonus satu setengah bulan dikecualikan daripada cukai, Ali berkata, ia membabitkan perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan.

“Kita perlu melihat cadangan itu dalam pelbagai aspek serta apa juga implikasi kewangan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Berhubung dakwaan pembangkang bilangan 1.4 juta penjawat awam terlalu ramai sehingga meningkatkan kos kerajaan, Ali berkata, bilangan itu seimbang bagi membantu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Apa yang penting, matlamat penjawat awam ialah meningkatkan produktiviti dengan kreatif dan berinovasi,” katanya.

INFO: Tangga Gaji Permulaan
- Gred 41 RM1,690
- Gred 44 RM2,976
- Gred 48 RM4,349
- Gred 52 RM4,894
- Gred 54 RM5,160.

CUEPACS MAHU TELITI SYARAT BANK SEBELUM SETUJU SKIM PINJAMAN PERUMAHAN

Bernama
5/10/2012

GEORGE TOWN, 4 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meneliti terlebih dahulu terma dan syarat oleh insitusi kewangan yang bakal dilantik mengurus pinjaman perumahan penjawat awam sebelum bersetuju dengan skim itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pelbagai perkara berkenaan skim itu perlu diteliti secara menyeluruh supaya penjawat awam tidak terbeban dengan pinjaman perumahan.

"Dulu kita pinjam melalui kerajaan, sekarang 100 peratus perlu berurusan dengan bank, jadi kita akan teliti semua aspek seperti insurans pembeli, insurans pemaju, komisen dan prosedur bank kerana kita tidak mahu ada masalah dikemudian hari," katanya kepada pemberita selepas menyertai seminar Merakyatkan Sektor Perkhidmatan Awam di sini pada Khamis.

Beliau berkata Cuepacs mahukan institusi kewangan terpilih yang menguruskan skim pinjaman perumahan itu memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar pendahuluan 10 atau 20 peratus dan rumah berkenaan perlu disiapkan sepenuhnya sebelum dijual.

Pada Rabu, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata setakat ini empat bank komersil terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

-- BERNAMA

04 Oktober 2012

4 BANK TAWAR PINJAMAN PERUMAHAN

Berita Harian
4/10/2012



Sedia pembiayaan untuk kakitangan awam

Empat bank komersial terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan untuk menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.
Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa bank mengenai perkara.

Kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa bank mengenai perkara” - Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan
Katanya, keputusan konkrit bank-bank yang terbabit akan diumumkan sebelum hujung tahun ini.

“Bila kita melakukan penyumberan luar kepada bank, kita tidak perlu lagi meminjam RM6 bilion setahun yang kita peruntukkan untuk memberi pinjaman perumahan kepada kakitangan awam.

“Tetapi, kita hanya menampung perbezaan kos faedah dan kakitangan awam masih membayar 4 peratus.

“Dari segi pinjaman, kita tidak akan menyusahkan kakitangan awam, sebaliknya kita akan tambah baik lagi proses peminjaman dan sebagainya," katanya kepada selepas sesi temubual dalam rancangan Helo Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
Tunggu keputusan

Irwan berkata, bank tempatan turut mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk bekerjasama kerana ia adalah peluang perniagaan kepada bank.

“Bank amat menyokong kerana ini adalah perniagaan bagi bank. Walau pun penjawat awam hanya membayar empat peratus, sebarang lebihan akan ditanggung oleh kerajaan.”

“Kita belum tentukan berapa banyak bank yang terbabit, tetapi buat masa ini empat bank sudah bersetuju dan kita menawarkan kepada bank-bank lain untuk menyertai skim ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar bonus kepada penjawat awam pada Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan, Irwan berkata, kerajaan akan menimbangkan permintaan itu.

“Kalau kita layan sektor kerajaan, sektor swasta pun kita perlu layan. Jadi ini membebankan kerajaan dan kita perlu mengkaji supaya permintaan ini tidak membebankan kewangan kerajaan,” katanya.

Irwan berkata, kerajaan sudah memperuntukkan RM6.6 bilion untuk membayar bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam. - BERNAMA

02 Oktober 2012

CUEPACS MOHON BONUS DIKECUALIKAN CUKAI

Bernama
2/10/2012

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon agar bonus kepada penjawat awam pada Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata penjawat awam sememangnya amat menghargai keputusan kerajaan memberi bonus satu setengah bulan, iaitu yang terbaik pernah diberikan setakat ini.

"Kalau boleh dipertimbangkan, berilah bonus yang 'solid'," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentang Belanjawan 2013 yang bertema 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' di Dewan Rakyat, mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam, dengan bonus setengah bulan sudah diberikan Ogos lepas.

Sementara itu, merujuk pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan RM1.9 bilion kepada Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara bagi memulakan inisiatif membina 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan strategik, Omar berkata pihaknya menyambut baik langkah itu kerana dapat membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya meminta kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara bagi memastikan inisiatif itu dapat memberi nikmat paling maksimum kepada orang ramai.

Omar juga berharap pihak yang terbabit dengan inisiatif perumahan itu dapat memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar 10 atau 20 peratus daripada harga rumah.

Katanya, selain itu, kerajaan perlu memastikan pembeli adalah dari kalangan mereka yang belum memiliki kediaman sendiri, dan unit rumah tersebut pula diharap dapat disiapkan sepenuhnya sebelum dijual.

-- BERNAMA

01 Oktober 2012

CALON PRU13: CUEPACS SERAH KEPADA PM

SInar Harian
Raziatul Hanum A Rajak
30 September 2012
Presiden Cuepacs - Omar
Omar: Gaji minimum sektor awam harus RM1,200. - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki

CUEPACS dilihat sebagai salah satu badan induk kesatuan sekerja di negara. Malah, ia juga mempunyai  hubungan rapat dengan kerajaan selaku majikan kepada 1.3 juta anggota perkhidmatan awam.

Dalam temu bual dengan wartawan Sinar Harian Online, baru-baru ini, Presidennya, Datuk Omar Osman, yang menerajui badan induk ini sejak Oktober 2006, berbicara mengenai soal kebajikan dan kepentingan anggota perkhidmatan awam termasuk sistem saraan dan gaji minimum. Malah, beliau juga berkongsi mengenai pendiriannya dan Cuepacs ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang semakin dekat.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk dikatakan sebagai Presiden Cuepacs yang sangat aktif. Apa  pandangan Datuk?

OMAR OSMAN: Aktif ini tertakluk kepada sokongan padu daripada gabungan dan  majlis jawatankuasa termasuklah pegawai dalam Cuepacs sendiri. Apabila mendapat sokongan padu dan kerjasama yang baik, kita sebagai pemimpin akan bekerja dengan lebih gigih bagi merancang dan memperjuangkan kebajikan setiap anggota gabungan perkhidmatan awam ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Datuk sudah puas hati dengan pencapaian dan sumbangan Datuk selaku Presiden Cuepacs?

OMAR OSMAN: Sejak meneraju Cuepacs, bermula 26 Oktober 2006 sehingga hari  ini, walaupun masih ada beberapa perkara yang belum selesai  tetapi dari segi kepuasan hati bagi saya memang memadai apa yang dicapai sehingga hari ini, yang  dinikmati oleh anggota-anggota perkhidmatan awam termasuk pesara-pesara sekali.


SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana tahap perjalanan suruhanjaya khas transformasi dalam perkhidmatan awam?

OMAR OSMAN: Suruhanjaya khas transformasi sektor perhidmatan awam ini, ditubuhkan berdasarkan apabila pada 8 Mac 2012 permasalahan dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), apabila ada ketidakpuashatian dari semua peringkat.

Cuepacs sebagai tunjang utama telah membuat perkara-perkara bantahan. Sehubungan itu, kerajaan membuat keputusan membatalkan SBPA dan apabila SBPA dibatalkan, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan satu suruhanjaya.

Ia telah ditubuhkan dan saya salah seorang dalam ahli majlis tersebut dan dengan harapan suruhanjaya ini akan menggubal satu sistem transformasi perhidmatan awam, sama ada dari segi cara bekerja, kualiti bekerja, bagaimana kita nak tingkatkan imej anggota perkhidmatan awam, menanamkan semangat intergriti yang tinggi dan seterusnya mempunyai satu skim perkhidmatan gaji yang lebih adil dan saksama supaya penjawat awam lebih menyerlah.

Jadi suruhanjaya ini telah bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk menyediakan satu skim atau satu bentuk apakah yang kita mahu transformasi untuk sektor perkhidmatan awam menjelang 2020, lagi lapan tahun.

Apabila SBPA dibatalkan, kita kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang mana kita menunggu laporan suruhanjaya itu. Jadi, buat masa ini, kita mengikut apa yang terkandung dalam SSM itu sendiri dan apabila pengumuman selesai, baru kita ada opsyen kembali pada satu skim yang baru.

kerajaan beri tempoh selama enam bulan bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2012, jadi kita harap dapat dimulakan dengan lebih komprehensif.

Bonus Aidilfitri dan insentif tambahan
SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini PM mengumumkan bonus Aidilfitri, yang pertama Bonus Aidilfitri diberikan? Apakah Cuepacs mengharapkan satu bonus tahunan diberikan? Cuepacs akan pohon?

OMAR OSMAN: Apabila ekonomi dua tiga tahun lepas tidak menentu, kerajaan tidak berkemampuan untuk memberi dalam bentuk bonus. Kerajaan hanya memberi dalam bentuk sagu hati, yang mana RM500 sebelum raya, RM500 selepas raya. Saya ingat dua tahun berturut-turut kita menikmati itu.

Pada tahun ini, kita telah diumumkan setengah bulan bonus untuk musim perayaan ini, yang mana termasuk pesara-pesara diberi RM500  sebagai sagu hati. Kita harap walaupun perkara ini belum diputuskan lagi, di mana kita menunggu pembentangan bajet.

Kita harap dapat paling tidak sebulan gaji bonus dapat dinikmati yang mana untuk persiapan raya dan persiapan awal persekolahan dan sebagainya. Ini memang biasa setiap tahun begitu. (Dalam Bajet 2013 dibentangkan Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bonus satu bulan gaji, tambahan kepada bonus Aidilfitri).

Cuepacs ini hanya badan yang memperjuangkan hak kebajikan pekerja supaya anggota perkhidmtan awam ini, khasnya yang berpendapatan sederhana dapat meringankan kos sara hidup, juga meringankan beban dari semasa ke semasa.

Setiap tahun memang kami mengharapkan pembayaran ini dapat dilakukan kerajaan atas kemampuan kerajaan sama ada setengah bulan, sebulan, dua bulan, tiga bulan kita harap dapat dipertimbangkan kerajaan.

Paling tidak bagi menghargai sumbangan mereka menjayakan dasar kerajaan, supaya mereka merasa mereka memainkan peranan sebagai enjin penting dalam  perkhidmatan awam.
Pemberian bonus ini melibatkan kadar gaji setiap penjawat awam.

Setengah bulan bagi setiap penjawat awam mengikut  gaji masing-masing. Ia mengikut jawatan yang mereka sandang. Kalau gaji RM2,000 sebulan dapatlah RM1,000.

SINAR HARIAN ONLINE: Kos sara hidup dilaporkan semakin meningkat. Apakah harapan Cuepacs dan tuntutan Cuepacs? Perlukah Cola dikaji balik?

OMAR OSMAN: Memang sekarang ini yang membimbangkan kita apabila berlaku kenaikan gaji, atau pun dapat bonus, kos barang akan berlaku penambahan. Ini yang berlaku di luar kawalan kita. ini yang menyebabkan kos sara hidup tinggi.

Gaji RM3,000 ke bawah kalau tidak pandai urus memang menjadi masalah. Itu sebab dalam pembangunan Cuepacs dari semasa ke semasa Cola misalnya kita minta keselarasan, standardkan dari semua peringkat bandar, luar bandar , negeri-negeri sebab sekarang ini kita dapati kos saraan hidup bandar ke luar bandar ke sama sahaja kos sara hidup. Kadang-kadang di luar bandar lagi mahal. Di luar jangkaan kita.

Ini perkara yang sedang kita perbincangkan dari semasa ke semasa.

Kemudian, dalam perkhidmatan awam kita dan sekian lama, kita tak buat penambahbaikan kemudian, dari segi imbuhan tetap perumahan sekarang mana ada lagi sewa rumah RM180? Tidak ada.

Ini semua perkara yang kita minta kerajaan pertimbangkan semula. Khasnya dari segi skim gaji perkhidmatan awam mesti seimbang dengan kos sara hidup semasa. Kita tidak mahu pendapatan rendah, kos sara hidup tinggi dan menjejaskan produktiviti. Jadi ini yang kita sedang menjalankan perundingan perbincangan dengan pihak kerajaan, kementerian tertentu, bagaimana kita nak atasi permasalahan ini.Supaya penjawat awam ini dapat pendapatan yang cukup, gaji yang cukup.

Baru mereka boleh bekerja dengan penuh gigih. Barulah selaras dengan Perdana Menteri  kata cepat, tepat, integriti, kreatif dan inovasi. Barulah boleh capai tahap itu. Tetapi, kalau masalah ini ada, mereka terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menampung kos sara hidup yang tinggi, terutama di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang.

Gaji minimum sektor awam harus RM1,200

SINAR HARIAN ONLINE: Gaji minimum penjawat awam sudah diputuskan?

OMAR OSMAN: Sekarang ini kalau peringkat swasta kerajaan sudah menetapkan kalau swasta gaji minimum sektor swasta, RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah Sarawak tetapi di peringkat sektor awam, gaji minimum campur elaun.

Kalau gaji saja kita belum capai gaji minimum. Contohnya, kalau gaji kita paling rendah RM647. RM647 ini belum capai gaji minimum, kalau dicampur dengan elaun Cola, elaun rumah, elaun perkhidmatan awam barulah mengatasi gaji minimum. Kalau gaji sahaja, kita belum tercapai. Ini yang kita lihat. Kenaikan gaji perlu berada dalam gaji minimum.

Ini perkara di bawah suruhanjaya, yang kita harap dapat dilihat semua sekali.

Gaji minimum ini adalah berdasarkan kadar kos sara hidup. Mengikut kiraan ketika itu. Maknanya, kerajaan telah menetapkan RM900 jadi RM900 ini mesti minimum pada pekerja tidak termasuk insentif-insentif lain. RM900 ini berdasarkan indeks semasa, dan kos barang.

Kalau tidak tercapai tahap ini, maknanya ia akan berada pada paras gaji tahap kemiskinan. Jika penjawat awam mendapat RM500, dia tidak boleh menanggung kos sara hidup. Jika dapat RM900 baru boleh menanggung kos sara hidup. Ini yang ditetapkan. Tidak termasuk kerja lebih masa, jugaa insentif.

Pendapatan ini tidak menentu. Itu adalah tambahan. Kalau dapat baru boleh menyimpan.

Sektor awam belum ada gaji minimum. Setakat ini gaji sahaja. Kalau gaji RM600 sahaja tiada elaun, kita duduk di bawah paras kemiskinan. Jadi mereka terpaksa bekerja sambilan untuk menambah RM600 lagi untuk menjadi RM1,200. Bagaimana kita hendakkan pekerja yang produktif? Itu sebab ada elaun-elaun tersebut.

Elaun-elaun ini membantu melonjakkan kita sampai ke tahap gaji minimum. Jadi, satu hari nanti, kalau gaji sektor awam dapat dilonjakkan kepada RM900 tidak termasuk elaun-elaun tadi, baru dia boleh buat simpanan.

SINAR HARIAN ONLINE: Berapa tahun sekali gaji minimum ini wajar disemak?

OMAR OSMAN: Tiga tahun sekali mesti disemak. Berdasarkan kepada ekonomi, kos sara hidup. Semua itu perlu diambil kira.

SINAR HARIAN ONLINE: Penerimaan kerajaan terhadap tuntutan Cuepacs?

OMAR OSMAN: Kerajaan memang mempertimbangkan supaya perkara ini dapat dilaksanakan mengikut kemampuan kerajaan. Perdana Menteri sendiri mengambil perhatian terhadap perkara ini. Kerajaan telah menggariskan pendapatan setahun RM50,000. Jadi paling tidak pendapatan kena RM3,000 sebulan.

Dulu Cuepacs minta gaji minimum RM950 tetapi sekarang RM950 itu sudah tidak boleh diukur dengan kos sara hidup sekarang. Paling tidak pun RM1,200. Baru mereka boleh menyimpan dan memberi tumpuan kepada kerja mereka dari 8 pagi hingga 5 petang.

Tidak perlu lagi mereka membuat kerja sambilan di luar waktu pejabat. RM1,200 itu untuk kelulusan yang paling rendah iaitu yang mempunyai kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Jadi untuk peringkat lain, berbeza. Kalau kumpulan bawahan sudah  selesai, yang atasan sudah tiada masalah.


SINAR HARIAN ONLINE: Cuepacs menentang dasar baru Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)?

OMAR OSMAN: Kita melihat dasar baru ini hanya memberi masalah kepada pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setiap satu dasar itu  mesti dilihat secara menyeluruh. Kita lihat apa implikasinya. Yang mana kalau kita beri peluang kepada pemegang-pemegang ijazah untuk memohon pada tahap SPM, apa perancangan kerajaan untuk pemegang-pemegang SPM? Ke mana mereka mahu pergi? Tahap SPM sekarang bukan macam dulu.

Pemegang SPM juga mempunyai kelulusan yang baik cuma mereka tidak berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Jadi kalau jawatan mereka diambil oleh pemegang ijazah,  pemegang SPM ini mahu ke mana? Lama-kelamaan mereka akan jadi penentang. Bilangan mereka ramai. Itu fakta.

Jadi pemegang ijazah ini, esok, dia duduk dengan jawatan SPM, tidak lama. Ia hanya transit sahaja. Mereka akan berhenti bila sudah dapat jawatan yang lebih bagus. Jawatan yang ditinggalkan itu akan ada beban tugas.

Kita mahu kalau berkhidmat saja terus berkhidmat. Kita tidak mahu ada yang berhenti. SPA dah panggil kita bincang. Cuepacs akan hantar laporan kepada SPA terhadap 26 isu yang dibincang.

SINAR HARIAN ONLINE: Pemegang ijazah mencari pengalaman dengan bekerja di peringkat lebih rendah berbanding kelulusan. Apa komen Datuk?

OMAR OSMAN: Pengalamn boleh diperoleh dengan dihantar latihan. Sebab itu kita mahu penjawat awam akan datang, lapor saja diri, kita jangan bagi dia kerja terus. Kita bagi dia jalani latihan selama tiga bulan bagi setiap jabatan dalam agensi tersebut. Kemudian baru ditetapkan apa tugas rasminya.

Baru dia ada pengalaman. Kerajaan belum jalankan. Perkara ini juga akan dibawa kepada SPA. Kita mesti ada perancangan. Setiap lantikan baru kena berada pada tahap-tahap ini. Baru mereka rasa selesa dan tahu peranannya.

PRU13 dan pendirian Cuepacs
SINAR HARIAN ONLINE: PRU13 semakin dekat. Apakah pendirian Cuepacs? Apakah pegangan Cuepacs? Nasihat kepada kakitangan awam? Adakah Cuepacs akan meminta kakitangan awam sokong kerajaan?

OMAR OSMAN: Perkhidmatan awam ini sebuah badan yang tidak boleh berpolitik. Masing-masing ada tandatangan akujanji dan ada etika perkhidmatan awam. Cuepacs satu badan bukan badan bukan kerajaan (NGO), yang didaftarkan bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959. Peranan berasaskan perjuangan hak pekerja. Saya tidak mahu kita dipesongkan dengan berpolitik dalam kesatuan.

Apabila wujud perkara ini, perjuangan kita tidak akan tercapai. Kita sibuk mementingkan kedudukan dan peranan. Perkara ini tidak sesuai dalam konsep kesatuan. Sebagai anggota perkhidmatan awam, jentera penting perkhidmatan, mana-mana saja kerajaan yang kita pilih, penjawat awam akan mengikut arahan dan menjalankan tugas-tugas tersebut.

Kalau penjawat awam nak berkempen, pihak kita boleh ambil tindakan. Sampai masa pilihan raya, sampai masa Parlimen dibubarkan, kita pergilah mengundi, mengikut keyakinan sendiri kepada mana-mana parti politik pemerintah yang ada kini.

Tidak ada slogan dalam perkhidmatan awam yang mengatakan penjawat awam wajib mengundi kerajaan. Cuepacs rasa kerajaan hari ini menunaikan tuntutan Cuepacs. Banyak yang berjaya, jadi tidak ada sebab, kita nak bagi orang lain.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimanapun dengan Datuk sendiri? Datuk disebut-sebut akan bertanding PRU kali ini. Datuk sudah bersedia? Atau kerajaan harus beri jawatan Senator?

OMAR OSMAN: Mengikut dalam sejarah Cuepacs memang ada pemimpin Cuepacs yang bertanding dalam politik. Soal nak jadi calon atau tak jadi calon terserah kepada kerajaan. Kalau mereka mahu wakil pekerja untuk berada dalam parti yang memerintah, untuk menyuarakan hak lebih yakinkan pekerja kepada kerajaan, terpulang. Ia satu transformasi supaya dapat berganding bahu dengan pemerintah termasuk pesara-pesara penjawat awam.

Kalau dicalonkan, tengok dululah. Kita akan bawa ke mesyuarat Kongres Cuepacs. Apa pandangan Kongres kita. Bukan keputusan saya sendiri. Berdasarkan mesyuarat Kongres tiga bulan lepas, Kongres memberi sokongan padu jika wakil pekerja ada dalam Parlimen.

Tidak kira siapa pun yang berkemampuan untuk dicalonkan. Tidak semstinya saya. Kerajaan hari ini memandang Cuepacs rakan kongsi bijak kepada kerajaan. Menyokong dasar kerajaan dan memastikan apa saja dasar kerjaan dijalankan dengan baik. Kita bukan badan pendesak, juga bukan badan penentang kepada kerajaan.

Pengiktirafan itu terpulang kepada kerajaan. Mungkin sekian lama Cuepacs ditubuhkan, 55 tahun yang lalu, belum pernah sejarah Cuepacs berada di tahap itu. Kalau kerajaan beri penghargaan, terserah kepada kerajaan pemerintah.

Bidang kuasa itu daripada parti pemerintah. Kita hanya menjalankan mandat daripada ahli gabungan kita supaya memperjuangkan hak-hak kita.


SINAR HARIAN ONLINE: Sektor swasta lebih baik dari sektor awam atau sebaliknya. Pandangan Datuk?

OMAR OSMAN: Penambahbaikan terhadap perkhidmatan awam memang ada cuma belum lagi capai seratus peratus KPI. Memang ada permasalahan khasnya penjawat awam di peringkat pedalaman.

Mereka masih menggunakan kemudahan lama yang serba kekurangan. Jika hendak dibandingkan perkhidmatan awam dengan swasta, sebenarnya perkhidmatan awam sudah lebih baik daripada swasta.

Oleh sebab itu, ramai pekerja swasta yang mahu berkhidmat dalam sektor awam kerana jaminan jangka masa panjang, gaji yang lebih baik dan mereka sudah nampak sistem bekerja yang lebih baik. Kadang-kadang sektor awam lebih baik dari swasta.

Swasta bagus dalam tahap-tahap tertentu sahaja. Mungkin yang melibatkan publik sahaja. itu kita tidak tahu lagi. Bagi perkhidmatan awam, rakyat adalah pelanggan. Melalui aduan juga kita lakukan penambahbaikan dari itu. Masalah memang ada.

Penjawat awam yang tidak bagus, kita ambil  tindakan.kita buang kerja. kita tidak lagi seperti dulu. Apabila ada pekerja yang tidak bagus, tidak boleh bekerjasama kita bagi nasihat, nasihat dan nasihat. Jika pekerja tidak boleh memberi kerjasama kita buang.

29 September 2012

BAJET 2013: BONUS KAKITANGAN AWAM DITAMBAH SATU BULAN


Wartawan Sinar Harian 28 September 2012
Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Bajet 2013 menyediakan bonus satu setengah bulan gaji bagi kakitangan awam, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan kepada kakitangan awam, jumlahnya 1.3 juta orang, sempena sambutan Aidilfitri lalu.Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.
"Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah tersebut, setengah bulan telah pun diberikan menjelang Aidilfitri yang lepas," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500 bagi menyambut Aidilfitri. Najib berkata, pemberian bonus tersebut diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula Januari depan.

BONUS RM500, KADAR PENCEN NAIK BUKTI KERAJAAN PRIHATIN TERHADAP PESARA

Bernama
29/9/2012


KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Pemberian bonus sebanyak RM500 dan kenaikan kadar pencen minimum untuk pesara kerajaan, yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun, daripada RM720 kepada RM820 dalam Belanjawan 2013, membuktikan kerajaan tidak melupai jasa mereka.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata buktinya, saban tahun kerajaan prihatin dengan sentiasa memberi habuan kepada pesara, sama seperti penjawat awam lain.

"Kesemua pesara amat menghargai pemberian kerajaan dan akan berusaha menggunakan wang itu secara berhemah," katanya ketika mengulas Belanjawan 2013 bertema 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat petang Jumaat.

Wan Mahmood berkata pemberian itu juga begitu berharga untuk pesara kerajaan yang hidup pada paras kemiskinan.

"Janganlah berbelanja sewenang-wenangnya," nasihat beliau kepada 50,371 pesara kerajaan.

Mengulas pengurangan bayaran pemprosesan pasport daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh lima tahun kepada warga emas, atau dikurangkan kepada RM80 untuk tempoh dua tahun, beliau berkata langkah itu akan menggalakkan pesara kerajaan melancong ke luar negara.

"Lawatan sambil belajar ke luar negara boleh memperkayakan pengalaman untuk faedah hidup rakyat dan negara," katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman pula berterima kasih kepada kerajaan kerana menghargai jasa bekas penjawat awam dengan menaikkan kadar pencen minimum selain pemberian bonus kepada golongan itu.

"Bagaimanapun, kita berharap akan terus ada penambahbaikan dalam skim pencen untuk pesara dari semasa ke semasa," katanya.

Di ALOR SETAR, Presiden Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia Kedah Datuk Harun Hashim berkata pelarasan pencen itu menunjukkan kerajaan menyanjung budi golongan pesara.

"Dengan kenaikan kadar pencen ini, ia dapat membantu meringankan beban pesara, terutama yang tidak ada punca pendapatan lain selain pencen.

"Kami berharap kerajaan akan terus prihatin dan mengambil kira jasa yang telah disumbangkan oleh golongan pesara ketika kami berkhidmat dengan kerajaan dahulu," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Harun berkata pihaknya sangat menghargai pemberian bonus sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

-- BERNAMA

PEMBERIAN BONUS 1 1/2 BULAN TERBAIK SETAKAT INI - CUEPACS

Bernama
29/9/2012


KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Pemberian bonus satu setengah bulan kepada 1.3 juta penjawat awam adalah pemberian bonus terbaik yang pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata pemberian bonus itu juga membuktikan bahawa kemampuan kerajaan dari segi kewangan.

"Kerajaan pastinya telah mengkaji semua perkara sebelum membuat keputusan memberi bonus itu. Ia menunjukkan kerajaan perihatin dengan kehendak penjawat awam dan sentiasa berusaha memenuhi permintaan mereka setiap tahun.

"Cuepacs juga melihatnya sebagai bukti bahawa negara mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik," katanya.

Beliau mengulas pengumuman pemberian bonus oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Omar berkata kesediaan kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk pemberian bonus juga dilihat dapat membawa kesejahteraan kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Cuepacs amat berterima kasih dengan pemberian bonus ini dan berharap penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka. Jadikanlah bonus ini sebagai pembakar semangat untuk gigih bekerja," katanya.

Beliau berkata Cuepacs juga menyambut baik mengenai pembinaan 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan-kawasan strategik termasuk di Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang) tahun depan kerana ia adalah antara yang dimahukan penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau masih berharap kerajaan dapat menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan dari 4 peratus kepada 1 peratus untuk mengurangkan beban pinjaman perumahan kakitangan awam.

-- BERNAMA

CUEPACS: 1.5 MONTH BONUS PROVES SOUND GOVERMENT FINANCES

Malaysia Insider
September 28, 2012




KUALA LUMPUR, Sept 28 — The 1.5 months’ bonus to 1.3 million civil servants was the best so far said Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Services (CUEPACS) president Datuk Omar Osman today.He said the payment of bonus also proved the financial capability of the government.“The government will have studied all areas before making a decision on giving bonus. It showed the government was concerned with the needs of civil servants and had always fulfilled their needs.

“CUEPACS has also seen the move as proof that the country was in a strong economic position,” he said when commenting on the provision of bonus to civil servants by Prime Minister Datuk Seri Najib Razak when tabling the 2013 Budget in Parliament today.Omar (picture) said the readiness of the government to spend such a huge allocation for bonus was seen as enabling the wellbeing of low and medium income civil servants.“CUEPACS is grateful to the government for giving bonus and I hope civil servants will increase their productivity and improve their performances,” he said.

He said CUEPACS also welcomed the construction of 123,000 units of affordable houses at strategic areas in Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) and Kuantan (Pahang) next year as it was among items relevant for civil servants.However, he was still hoping the government would lower the interest rate for housing loans from 4 per cent to 1 per cent, to reduce the burden of housing loans for civil servants in the country. — Bernama