SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 November 2012

CUEPACS PANDANG SERIUS TINDAKAN KERAJAAN BERHENTIKAN PEKERJA KONTRAK

Bernama
14/12/2012


KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memandang serius tindakan agensi kerajaan yang memberhentikan pekerja kontrak terutama yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

Sambil menyifatkannya sebagai zalim, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang juga pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM), berkata pihaknya kesal bahagian sumber manusia dalam setiap agensi berkenaan tidak mengambil berat perkara itu.


"Ini adalah perkara zalim. Mereka yang sudah berkhidmat 10 tahun memanglah gaji sudah mahal, maka majikannya mencari alasan mengatakan prestasi mereka tidak baik dan seterusnya tidak menyambung kontrak pekerja itu.


"Tetapi dalam masa dua bulan kakitangan kontrak baharu sudah dilantik," katanya pada sidang media sempena mesyuarat GAKUM di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas dekat sini Isnin.


Omar berkata Cuepacs memutuskan bahawa kesemua 45,000 kakitangan berstatus kontrak di semua sektor kerajaan hendaklah diserapkan ke jawatan tetap.


-- BERNAMA

12 November 2012

1MOCC EARAT HUBUNGAN PENJAWAT AWAM DENGAN SELURUH RAKYAT - KSN

Bernama
12/12/2012


PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Inisiatif Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnsin akan mengeratkan lagi hubungan antara 1.4 juta penjawat awam dengan seluruh rakyat di negara ini, sekaligus mencipta ekosistem yang harmoni.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata golongan penjawat awam perlu memastikan perkhidmatan yang ditawarkan itu mampu beroperasi seperti mana yang dihasratkan oleh pihak-pihak berkepentingan.

"Kita perlu memastikan agar tugas membina, mengumpul dan menyalurkan maklumat dan perkhidmatan yang akan diberikan kepada rakyat bukanlah terletak kepada pegawai khidmat pelanggan yang bertugas semata-mata.

"Malah setiap penjawat awam sama ada daripada kumpulan pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional mahupun kumpulan sokongan bertanggungjawab bagi memastikan imej dan kewibawaan perkhidmatan awam negara sentiasa dipelihara dan dimartabatkan dalam hati dan sanubari rakyat Malaysia," katanya pada majlis perasmian itu.

Melalui 1MOCC, rakyat boleh menggunakan talian tunggal 03-8000 8000 untuk menyalurkan sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan mengenai pelbagai agensi dalam perkhidmatan awam, yang beroperasi 24 jam sehari 365 hari setahun.

-- BERNAMA

08 November 2012

CUEPACS MINTA PAMPASAN DIBERI KEPADA ANGGOTA AGENSI PENGUATKUASA BERISIKO TINGGI

Bernama
8/11/2012



KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pampasan setimpal diberi kepada anggota agensi penguatkuasa yang berdepan risiko kecelakaan tinggi ketika bertugas.

Ia antara tujuh daripada 26 dasar yang dibangkitkan kongres itu pada pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hujung bulan ini, kata presidennya, Datuk Omar Osman pada sidang akhbar Khamis.

Beliau berkata skim ex-gratia sedia ada tidak mesra penjawat awam, terutama agensi penguatkuasaan yang terpaksa bertarung nyawa dalam menjalankan tugas demi negara.

"Skim itu hanya memberi pampasan seandainya anggota terlibat mengalami kecederaan yang serius seperti putus tangan atau sebagainya. Untuk itu, mereka perlu diberi pampasan sewajarnya selain ganjaran insurans berkelompok memandangkan kerja yang dilakukan mereka berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata Cuepacs juga akan meminta kerajaan mengkaji semula skim gaji enam agensi penguatkuasa berisiko tinggi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara serta agensi penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar selaras dengan gred gaji penjawat awam lain.



-- BERNAMA

07 November 2012

GURU IJAZAH SECARA SEPARUH MASA, PJJ, BOLEH NAIK GRED DG41 TANPA TEMUDUGA

Bernama
7/12/2012


SEREMBAN, 7 Nov (Bernama) -- Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu menghadiri temuduga, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rabu.

Timbalan Perdana Menteri berkata guru berkenaan boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temuduga.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan calon guru yang berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian juga akan dilantik terus tanpa proses temuduga sebagai guru pelatih mulai tahun depan.

Bulan lepas beliau mengumumkan bahawa calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus dalam kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.

Beliau berkata seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Okt.

Mereka akan ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bermula hari ini hingga 6 Dis, katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2012 anjuran SPP di sini.

Beliau berkata bagi calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu mengemukakan permohonan kepada SPP bermula 1 Nov secara online, melalui portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA).

Bulan lepas Muhyiddin mengumumkan bahawa seramai 10,715 orang graduan IPGM dan IPTA yang telah dan bakal menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan sekiranya berjaya dalam temuduga, akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah(PPS) Gred DG41.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha melaksanakan pakej kerjaya guru baharu dalam beberapa fasa bagi meningkatkan kualiti keguruan yang merangkumi usaha meningkatkan standard kemasukan, meningkatkan peluang pembangunan profesional berterusan mengikut keperluan individu.

"Ini membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme berasaskan teladan rakan setugas," katanya.

Bagi mengukuh laluan kerjaya guru, Timbalan Perdana Menteri menyarankan SPP supaya mengambil langkah pragmatik untuk mengekalkan bakat terbaik dan antara langkah itu ialah guru mengajar mengikut opsyen bagi meningkatkan motivasi dan prestasi serta peluang kenaikan pangkat.

Sebaliknya bagi memastikan profesion keguruan adalah terdiri dari kalangan yang terbaik, dasar pemisah hendaklah dilaksanakan secara berkesan sejajar dengan transformasi keguruan sebagai profesion pilihan, katanya.

Muhyiddin berharap hasil persidangan ini dapat dipertimbang sebagai input ke dalam laporan pembangunan pendidikan 2012-2025 yang sedang dikemaskini.

"Saya juga ingin mencadangkan bahawa hasil persidangan ini dapat diperinci untuk dijadikan pelan tindakan yang bersepadu melalui pelaksanaan satu makmal khusus dianggotai anggota dari Kementerian Pelajaran, SPP, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PEMANDU, MoF dan lain-lain yang difikirkan sesuai.

"Saya berharap agar persidangan ini akan menjadi medan terbaik untuk mengenal pasti idea-idea yang kreatif dan inovatif selaras dengan dasar transformasi negara bagi meningkatkan kualiti sistem pelajaran negara.

"Pengubahsuaian atau penambahbaikan dalam perkhidmatan pelajaran yang berterusan, terutama dalam aspek peningkatan kemahiran dan latihan adalah penting kerana ia kunci utama kepada kecekapan perkhidmatan pelajaran," katanya.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan pada persidangan tiga hari itu.



-- BERNAMA

KENAPA PERLU TAKUT DENGAN AES

Utusan Malaysia
7/11/2012

TELAH banyak yang diperkatakan berkenaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Pelbagai pihak meluahkan rasa tidak senang dengan pendirian Kementerian Pengangkutan yang mahu meneruskan pengunaan sistem tersebut.
Ahli Parlimen, persatuan pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengguna juga bersuara. Malah dalam Bisik-Bisik Awang Selamat juga membicarakan perkara sama. Hairannya kenapa penguatkuasaan AES ini harus ditentang dan dipolitikkan?
Pengunaan AES tidak harus dipertikaikan dan bagi saya ia harus diteruskan. Syabas kepada Menteri Pengangkutan kerana berkeras untuk meneruskan penggunaannya.
Kenapa harus takut kepada AES kalau kita memandu secara berhemah dan lupakah kita betapa pentingnya semua pihak menjaga keselamatan di jalan raya?
Bila angka kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat, semua pihak menuding jari kepada pihak berkuasa kerana tidak menguatkuasakan undang-undang jalan raya.
Ironinya pihak sama juga yang menentang apabila sesuatu sistem penguatkuasaan demi menjaga keselamatan nyawa pengguna jalan raya diperkenalkan.
AES tidak perlu dipolitikkan. Ia hanya mempunyai satu matlamat dan tujuan iaitu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan membawa pemandu yang angkuh dan tidak tahu undang-undang ke muka pengadilan.
Mungkin mereka yang menentang ini ialah pelaku kesalahan jalan raya tegar. Kalau tidak mengapakah mereka bersungguh-sungguh menentang atau mencari jalan agar penggunaan AES ini ditangguhkan dengan alasan kebanyakan pemandu harus diberi masa untuk menyesuaikan diri.
Apakah ini bermaksud semua pemandu di negara ini buta undang-undang atau lulus lesen pemanduan mereka secara under table? Apakah pemandu-pemandu kita tidak diajar apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di jalan raya?Sebenarnya apa kena mengena penguatkuasaan AES dengan ahli politik? Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman pun bersuara agar penguatkuasaan ditangguhkan bagi membolehkan kakitangan awam menyesuaikan diri dengan sistem ini.Hakikatnya orang-orang sama juga melenting dan marah apabila setiap kali angka korban akibat kemalangan meningkat.

Saya juga pemandu dan jika saya bersalah, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri sendiri kerana memandu tidak mengikut peraturan dan melanggar undang-undang jalan raya. Ini adalah hakikatnya.Semua pemandu tidak harus menyalahkan pihak berkuasa jika mereka melakukan kesalahan baik di jalan raya atau dari apa segi sekalipun. Yang salah tetap salah dan harus berani menanggung akibatnya.Saya merayu kepada semua ahli politik, NGO dan persatuan-persatuan, jangan menentang sesuatu yang baik hanya kerana kita sebahagian daripada pelaku kesalahan yang ingin dibanteraskan.

Mungkin dengan penggunaan AES ini, nyawa tuan-tuan atau keluarga tuan-tuan dapat diselamatkan daripada menjadi sebahagian daripada angka korban jalan raya di negara ini. Berani kerana benar, takut kerana salah.

06 November 2012

Bomba tidak langgar SOP

Chee Heung (kiri); Wan Mohd Nor  (dua dari kanan) dan Azmi (kanan) melihat  kecederaan  dialami anggota bomba, Mohd Zaki Daud dalam  kebakaran kilang tayar, kelmarin. Berita Harian
6/11/2012
 
 
 
 
Chee Heung (kiri); Wan Mohd Nor (dua dari kanan) dan Azmi (kanan) melihat kecederaan dialami anggota bomba, Mohd Zaki Daud dalam kebakaran kilang tayar, kelmarin.
Kota Bharu: Tiada sebarang pelanggaran standard prosedur operasi (SOP) dalam kebakaran yang mencederakan 10 anggota bomba, termasuk lima parah ketika memadamkan kebakaran di Pengkalan Chepa, di sini, pagi kelmarin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata tugas dilaksanakan anggota terbabit adalah mengikut arahan pegawai dan dilakukan secara profesional.
“Walaupun punca kemalangan itu masih dalam siasatan, dari segi SOP, pegawai dan anggota terbabit berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang. Jika tiada pengalaman, sudah tentu keadaan lebih teruk.



Iktiraf jasa bomba


“Dengan jasa mereka yang sanggup menggadai nyawa, rakyat seharusnya memberi pengiktirafan kepada anggota terbabit,” katanya ketika melawat anggota bomba yang cedera di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Arpah Abdul Razak; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim; Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman.

Chee Heung mengulas mengenai lima anggota bomba termasuk seorang wanita cedera parah apabila tangki minyak pelincir meletup ketika mereka memadamkan api di sebuah kilang tayar di Pengkalan Chepa, pagi kelmarin.
Lima yang cedera parah itu disebabkan berlaku letusan api menjulang setinggi 30 meter dari tangki ketika operasi bomba hampir tamat hingga menyebabkan mereka cedera disambar api.


Syor insurans khas disegerakan


Chee Heung berkata, daripada lima orang itu, tiga serius namun stabil, dengan seorang dirawat di HUSM, manakala dua lagi di HRPZ II akibat melecur pada anggota badan.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS mahu kerajaan menyegerakan kemudahan insuran khas kepada anggota beruniform yang bertugas dalam keadaan berisiko tinggi.

KAJIAN KENAIKAN AGJI PENJAWAT AWAM HAD MAKSIMUM BERGANTUNG PERAKUAN SURUHANJAYA KHAS - KSN

Bernama
6/11/2012


LANGKAWI, 6 Nov (Bernama) -- Kajian terhadap kenaikan gaji penjawat awam yang sudah mencapai had gaji maksimum akan hanya dijalankan sekiranya Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam selesai Disember ini, tetapi tidak membuat sebarang cadangan mengenainya.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata Suruhanjaya Khas itu telah pun mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan hasilnya akan dibentang Disember ini.
"Kita lihat apa idea baru Suruhanjaya itu. Jika tiada pembaharuan, kita akan mulakan kajian (kenaikan gaji) mulai Disember ini juga," katanya kepada Bernama semasa ditanya mengenai perkembangan terhadap kajian gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga maksimum.

Beliau baru-baru ini mengumumkan kajian itu tertumpu kepada penjawat awam yang sudah mencapai had gaji maksimum, daripada dua hingga lima peratus dan akan diberi kepada mereka yang memperoleh markah penilaian dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) melebihi 80 peratus.


Ali ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Perkhidmatan Awam peringkat kebangsaan kali ke-29 di sini semalam.


-- BERNAMA

05 November 2012

KSN CABAR PENJAWAT AWAM BERI IDEA TINGKAT KECEKAPAN JABATAN

Bernama
5/11/2012


LANGKAWI, 5 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa mencabar penjawat-penjawat awam agar berani memberi pandangan atau idea bagi mempertingkat kecekapan operasi peringkat jabatan dan sekaligus mengurangkan pergantungan pada kajian konsultan.

Katanya, sejak akhir-akhir ini banyak jabatan kerajaan mendapatkan khidmat konsultan swasta untuk membuat kajian bagi meningkatkan kecekapan dan kelicinan operasi mereka.


"Kita ada KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif) yang seharusnya digunakan bagi menghasilkan projek inovasi selain dijadikan platform untuk mengenalpasti projek yang boleh melonjak mutu perkhidmatan awam ke tahap lebih baik.


"Idea-idea mereka bukan sekadar dibentangkan dalam pertandingan malah wajar ada usahasama antara jabatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan untuk dimanfaatkan demi kepentingan bersama," kata Ali dalam ucapan merasmikan konvensyen KIK peringkat kebangsaan ke-29 di sini.


Menurutnya kerjasama antara agensi-agensi kerajaan sebagai contoh mengatasi kelembapan proses kelulusan lesen sektor pembinaan yang mengambil masa sehingga 140 hari dipendekkan sehingga 20 hari.


-- BERNAMA

04 November 2012

KERAJAAN TAMBAH BAIK PBS

Utusan Malaysia
Muhyiddin Yassin menerima Resolusi Khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) daripada Presiden NUTP, Hashim Adnan (tiga dari kiri) pada Perhimpunan Khas Guru anjuran NUTP di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Kerajaan akan menambah baik sistem penaksiran berasaskan sekolah (PBS) selepas Kementerian Pelajaran menerima banyak rungutan daripada guru-guru.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan sistem tersebut masih baharu, sudah tentu ia akan mengambil masa untuk diadaptasi tetapi beliau mengakui ada ruang yang perlu ditambah baik."Keluhan mengenai sistem PBS ini yang disuarakan melalui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memang sudah dijangka. Sebelum ini pun kita dapat maklum balas daripada guru-guru mengenai beberapa masalah seperti kelewatan dan data komputer.
"Memandangkan ia sistem baharu, PBS perlu ditambah baik. Kementerian sedar dan kita akan duduk berbincang kerana sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan Khas NUTP, di sini hari ini.Yang turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Sistem PBS diperkenalkan bagi menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan.Mula dilaksanakan pada tahun ini, usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada pandangan serta cadangan guru-guru dalam usaha menambah baik PBS termasuk aspek yang dikatakan menjadi bebanan kepada tenaga pengajar.
Mengenai lapan lagi tuntutan NUTP bagi meningkatkan profesion perguruan, beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji saranan itu dan mana yang relevan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memasukkan cadangan yang relevan ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025."Kita akan berbincang, mana yang melibatkan kementerian dan relevan untuk dilaksanakan kita akan lakukan."Kementerian akan lihat, mana yang sesuai kita akan tambah tetapi sebahagian besar daripada Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah hasil perbincangan dengan NUTP," katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari UNESCO Malaysia dalam satu majlis berasingan di sini, Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan yang akan dilakukan bukan sahaja bergerak seiring dengan aspirasi negara malah usaha itu juga mengambil kira cabaran dan persaingan global pada abad ke-21 ini.Katanya, langkah kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara akan meletakkan Malaysia di landasan terbaik bagi bersaing dengan negara-negara yang maju. 

"Malaysia telah mengambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara mulai Oktober 2011 lalu dan telah menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025."Pelan ini yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan secara menyeluruh, dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya.

02 November 2012

280,000 PENJAWAT AWAM DAPAT NAIK GAJI MAKSIMUM

Bernama
2/11/2012


IPOH 1 Nov. - Semakan kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus bagi sektor awam bermula tahun depan hanya melibatkan kira-kira 280,000 orang atau 20 peratus daripada 1.4 juta kakitangan kerajaan yang telah mencapai tangga gaji maksimum tahun ini.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, perkara itu memandangkan kumpulan berkenaan yang sepatutnya menerima lonjakan gaji dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kembali menerima tangga gaji maksimum selepas pelarasan gaji sebanyak 13 peratus ekoran pembatalan sistem itu.

Keadaan itu tambah beliau, menyebabkan gaji mereka menjadi statik sekiranya tiada kenaikan pada 2013 sedangkan penjawat awam lain akan menerima kenaikan tahunan seperti biasa sepanjang tempoh interim Sistem Saraan Malaysia (SSM) sehingga skim baharu yang menyeluruh dirangka kelak."Perkara ini dinyatakan sendiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang menjelaskan kenaikan itu bukan melibatkan sektor awam secara keseluruhannya.

"Namun, kita menyambut baik usaha kerajaan ini kerana prestasi kerja golongan berkenaan akan terjejas sekiranya mereka tidak menerima kenaikan gaji pada tahun depan," katanya.Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Air Perak (LAP) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, di sini hari ini.Beliau mengulas kenyataan Ali semalam bahawa kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.Kajian itu dibuat bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.
Omar berkata, CUEPACS juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung isu itu pada minggu depan.

"Tidak semua penjawat awam akan menerima kenaikan gaji sehingga lima peratus. Kita perlu bincang siapa yang akan dapat maksimum lima peratus dan siapa akan dapat dua peratus," katanya.Mengulas berhubung kumpulan berkenaan, beliau berkata, mereka terdiri daripada semua peringkat daripada Gred 1 hingga Gred 54 dan ada antara mereka mempunyai tempoh perkhidmatan selama 10 dan 20 tahun lagi.

"Ada yang berkhidmat 10, 15 dan 20 tahun tetapi tidak naik gaji kerana sudah maksimum. Kalau sekarang mereka dapat kenaikan 13 peratus tetapi pada tahun depan sudah maksimum kembali," ujarnya.

01 November 2012

Gaji naik tahun depan

Berita Harian
2012/11/01 - 06:42:26 AM
Oleh Nurhasyima Hasim



 KETUA Setiausaha Negara (KSN), Datuk Sri Dr Ali Hamsa (kiri) menyampaikan trofi bagi kategori Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Omar Kaseh (kanan) yang mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, pada majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2011 dan Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, semalam - Foto BERNAMA 
KETUA Setiausaha Negara (KSN), Datuk Sri Dr Ali Hamsa (kiri) menyampaikan trofi bagi kategori Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Omar Kaseh (kanan) yang mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, pada majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2011 dan Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, semalam - Foto BERNAMA


 1.4 juta kakitangan awam dijangka terima kenaikan sehingga 5 peratus

Ayer Keroh: Kira-kira 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam dijangka menerima kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus mulai tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata skim gaji kakitangan awam yang masih dalam kajian itu bakal merentasi semua peringkat.

Kita perlu berhati-hati melihat skim perkhidmatan awam ini supaya tiada siapa yang tertinggal. Kita mahu formula menang-menang untuk semua," Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara

Katanya, laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang akan menamatkan penilaian pada 31 Disember ini akan turut diambil kira.

Nilai semula

“Proses penilaian semula skim gaji itu sudah bermula, namun penelitian secara mendalam hanya akan dilakukan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2011 dan Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara Bersama Penjawat Awam negeri ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.
Pada majlis itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memenangi Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT), manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah merangkul Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah (AIPDT).

Kejayaan itu sekali gus melayakkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM300,000, trofi dan sijil penghargaan.

Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh.

CUEPACS sambut baik

Mengulas lanjut, Ali berkata, antara fokus utama dalam kajian itu adalah melihat semula skim kenaikan gaji tahunan bagi kakitangan yang sudah mencapai tahap gaji terakhir mengikut kategori masing-masing.

“Kita akan melihat semula perkara itu termasuk mungkin menetapkan tempoh lebih panjang supaya gaji kakitangan akan terus naik.

“Jika mereka mencapai tempoh untuk kenaikan pangkat, ia akan lompat kepada gred lain dan kenaikkannya juga akan diteruskan lagi,” katanya.

Ali berkata, kerajaan berharap akan dapat mewujudkan formula skim gaji menang-menang bagi setiap kakitangan khususnya penjawat pelaksana yang meliputi 80 peratus daripada keseluruhan sektor itu.

“Kita perlu berhati-hati melihat skim perkhidmatan awam ini supaya tiada siapa yang tertinggal. Kita mahu formula menang-menang untuk semua kerana memahami kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, ketika dihubungi berkata, pengumuman itu sudah pasti melegakan hati penjawat awam di negara ini.

“Kami menyambut baik cadangan KSN itu, tetapi masih berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan CUEPACS sebelum ini, khususnya berkaitan tangga gaji golongan itu mengikut tempoh kerja mereka,” katanya.

KERAJAAN KAJI SEMULA SKIM GAJI PENJAWAT AWAM MULAI TAHUN DEPAN

Bernama
31/10/2012
MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.


"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Rabu.


Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.


Ali berkata pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepada kerajaan pada akhir tahun ini.


"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.


-- BERNAMA

31 Oktober 2012

PENJENAMAAN SEMULA SKUAD PENGGUNA DAPAT SAMBUTAN BAIK

Bernama
31/10/2012


SEREMBAN, 31 Okt (Bernama) -- Penjenamaan semula skuad pengguna telah mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak, kata presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata sokongan padu daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO), Cuepacs serta pihak peniaga, menunjukkan kewujudan kumpulan sukarelawan seumpama ini masih relevan dalam masyarakat.


"Sinergi ini bermatlamat untuk meningkatkan iltizam dan kesungguhan skuad pengguna berganding bahu bersama NGO, peniaga dan kerajaan bagi membantu tingkatkan kesedaran kepenggunaan," katanya kepada pemberita selepas program penyerahan kad skuad pengguna kepada anggota Cuepacs di sini pada Rabu.


Skuad pengguna yang dahulunya dikenali dengan nama Rakan Pengguna ditubuhkan pada 2001 dengan objektif membantu kerajaan memantau harga barangan dan perkhidmatan. Skuad pengguna dilancarkan di KL Sentral, Kuala Lumpur pada 22 Mac lepas.


Omar berkata penstrukturan semula rakan pengguna kepada skuad pengguna memberi nafas baru dari segi penstrukturan misi dan peranan, imej serta keistimewaan yang dapat dinikmati oleh anggota skuad pengguna.


-- BERNAMA

23 Oktober 2012

BEKERJA SEBAGAI SATU KUMPULAN, BERI PERKHIDMATAN TERBAIK, KATA KSN

Bernama
Oleh M. Saraswathi
23/10/2012


NEW DELHI, 22 Okt (Bernama) -- Penjawat awam Malaysia perlu memberikan perkhidmatan sebaik mungkin di dalam negara dan di pejabat misi di luar negara, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kepuasan rakyat adalah keutamaan bagi kerajaan.

"Kita mengharapkan perkhidmatan bertaraf dunia apabila kita adalah pelanggan. Kita patut memberikan perkhidmatan serupa apabila kita memberikan perkhidmatan itu.

"Jangan ingat kita beri perkhidmatan ini kepada rakyat dan ia tidak kena-mengena dengan diri kita. Sebenarnya, perkhidmatan itu diberikan kepada diri sendiri," katanya pada sesi dialog bersama penjawat awam Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Isnin.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke India Datuk Tan Seng Sung.

Ali berada di sini untuk menghadiri Persidangan Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan Komanwel (Capam).

Beliau berkata itu adalah konsep "merakyatkan perkhidmatan awam".

"Selagi permikiran minda 1.42 juta penjawat awam dalam bentuk itu, kita akan dapat memberi perkidmatan yang terbaik," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua ketua jabatan dan misi agar "turun padang" yang membolehkan mereka lebih rapat dengan penjawat awam lain dan mengenali masalah yang mungkin dihadapi mereka.

Ali berkata kerajaan juga mahu penjawat awam untuk menjadi lebih kreatif dan mempunyai keupayaan untuk berfikir di luar kebiasaan.

"Dahulu, kita perlu tunggu beberapa hari untuk mendapatkan pasport baharu, tetapi kini kita boleh mendapatkannya dalam masa sejam. Ini merupakan pencapaian besar dan kita tidak boleh berasa selesa, kita perlu terus berusaha untuk menjadikannya lebih baik dan lebih cepat di masa depan. Itulah cabarannya.

"Saya fikir kedutaan dan suruhanjaya tinggi, strategi lautan biru adalah cara yang paling efektif. Kita perlu bekerja dalam pasukan. Anda tidak boleh beroperasi secara sendirian.

"Apabila anda ditugaskan di luar negara, pertama sekali anda adalah wakil Malaysia dan kemudiannya baharulah anda wakil jabatan anda," kata Ali.



-- BERNAMA

CUEPACS SARAN ANGGOTA SERTAI PENGGUNA 1 MALAYSIA

Bernama
23/10/2012

JOHOR BAHARU, 22 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan agar semua anggotanya menyertai Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M), bagi memantau kenaikan harga barang.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata, penyertaan itu membolehkan penjawat awam menjadi agen kerajaan dalam membanteras aktiviti kenaikan harga barangan, khususnya ketika musim perayaan.


"Sekiranya mendapati harga barang luar biasa di pasaran, mereka boleh mempersoalkan kepada peniaga dengan menunjukkan kad Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M) serta melaporkan kepada kementerian," katanya selepas majlis penyerahan kad SP1M kepada anggota Cuepacs di Pusat Islam Iskandar di sini, pada Isnin.


Majlis itu disempurnakan Exco Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Hoo Seong Chang yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.


Menurut Omar, penjawat awam juga dapat memain peranan penting dan berganding bahu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membanteras aktiviti perniagaan yang tidak beretika.


Dijangkakan lebih 100,000 anggota Cuepacs akan menyertai skuad itu, katanya.


-- BERNAMA

17 Oktober 2012

ORANG RAMAI KURANG BERI IDEA

Berita Harian
17/10/2012


Tun Zaki Azmi Tun Zaki Azmi
Zaki kecewa kurang cadangan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam

Kuala Lumpur: Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), Tun Zaki Azmi kecewa kerana orang ramai kurang memberi idea dan cadangan penambahbaikan bagi penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, suruhanjaya itu menerima kurang lima peratus idea dan cadangan daripada 1,200 emel, berbanding 95 peratus daripada kakitangan kerajaan yang mengadu mengenai masalah gaji, elaun serta hak mereka.

Jika kami tidak mengetahui masalah rakyat, bagaimana kami hendak mengatasi masalah mereka sekarang," - Tun Zaki Azmi, Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam
“Jika kami tidak mengetahui masalah rakyat, bagaimana kami hendak mengatasi masalah mereka sekarang.

Kemuka maklum balas

“Buat masa ini, orang ramai masih boleh mengemukakan maklum balas kepada kita melalui portal SKMTPA di alamat http://docs.jpa.gov.my/skmtpa sehingga akhir bulan ini, sebelum ditutup bagi menyiapkan laporan untuk dihantar Disember depan,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Transformasi Perkhidmatan Awam Bersama Ahli SKMTPA di Kompleks Kraf, di sini, semalam.

Hadir sama, lima ahli suruhanjaya itu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A Jalil; bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hussin Ismail dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Pada dialog itu, SKMTPA mengadakan perbincangan dengan orang ramai, selain 21 badan bukan kerajaan (NGO) dan 34 agensi kerajaan untuk mendapatkan pandangan mereka bagi menambahbaik perkhidmatan awam.

Zaki juga kecewa kerana tidak banyak NGO menghadiri dialog berkenaan, walaupun suruhanjaya sudah menjemput 130 NGO untuk menyertai majlis itu.

“Jangan merungut ini tak betul, itu tak betul... datanglah beritahu kita kerana kami mengutamakan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sejajar hasrat kerajaan,” katanya.

16 Oktober 2012

Suruhanjaya penambahbaikan sektor awam kurang dapat sambutan

Berita Harian
16/10/2012



KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam mendapat sambutan dingin daripada orang ramai, kata Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada Jun lepas, suruhanjaya itu hanya menerima 1,200 emel dengan 95 peratus daripada penjawat awam yang membuat aduan terutama berkaitan gaji dan elaun.
Hanya lima peratus sahaja emel daripada orang ramai yang memberi pandangan dan aduan mengenai perkhidmatan awam, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama orang awam di Kompleks Kraf, di sini hari ini.

Malah kata Zaki, sambutan pada dialog hari ini juga tidak menggalakkan iaitu hanya dihadiri 13 orang awam, 21 wakil badan bukan kerajaan dan 34 wakil agensi kerajaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan program dialog bersama orang ramai itu tidak akan diteruskan pada masa hadapan jika tiada sambutan.

Katanya orang ramai mempunyai masa sehingga akhir bulan ini untuk menyuarakan cadangan dan aduan kepada suruhanjaya itu menerusi http://docs.jpa.gov.my/skmtpa.

Ini kerana suruhanjaya itu perlu menyiapkan laporan mengenai cadangan penambahbaikan sektor awam untuk dihantar ke Kabinet pada Disember ini, katanya.
Beliau juga menegaskan tanpa maklum balas daripada orang ramai, adalah sukar untuk suruhanjaya itu memberi cadangan menambah baik sistem penyampaian sektor awam.

"Kalau orang tak buat aduan, maksudnya tidak ada masalah. Tapi selepas ini akan dengar rungutan...itu tak betul, ini tak betul. Tapi kenapa tak datang? Kita nak dengar (maklum balas). Sesetengah cadangan itu baik dan kita terima," katanya.

Selain Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil.

Suruhanjaya itu juga disertai bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Hussin Ismail, bekas Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman. - BERNAMA

15 Oktober 2012

DEDAH SUMBER KEWANGAN

Berita Harian
15/10/2012



Kuala Lumpur: Arahan baru Peraturan Perjalanan Pegawai Awam ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu, diperkenalkan berikutan kenaikan gaji kakitangan awam serta ramai pegawai kerajaan ke luar negara atas urusan persendirian.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata ia juga adalah proses biasa penambahbaikan perkhidmatan awam.
Sebab lain bagi memastikan penjawat awam yang ke luar negara atas urusan persendirian membuat perakuan mempunyai sumber kewangan mencukupi dan menggunakan wang sendiri.

Ia proses normal. Kita hanya perlu mengawasi dan meminda sistem bagi menambah baik pekeliling itu, katanya selepas program gotong-royong Penjaja 1Malaysia di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini semalam.

Ali diminta mengulas kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman yang meminta beliau menjelaskan peraturan baru itu seperti yang dilaporkan akhbar semalam.

Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012 itu menetapkan semua pegawai awam yang ingin ke luar negara atas urusan persendirian perlu mendapatkan kelulusan pegawai tinggi mengikut jawatan dan kategori pegawai.
Ia ditandatangani Ali bagi menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986.

PEKELILING BARU PENJAWAT AWAM KE LUAR NEGARA HANYA PENAMBAHBAIKAN BIASA - KSN

Bernama
14/4/2012


KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pekeliling baru mengenai Peraturan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian yang berkuat kuasa 1 Okt lepas hanya proses biasa untuk menambah baik sistem perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ia hanya proses biasa berikutan kenaikan gaji perkhidmatan awam, serta pertambahan pegawai kerajaan ke luar negara secara persendirian.


"Jadi, kita hanya perlu mengawasi dan menegur sistem itu bagi menambah baik pekeliling itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program gotong-royong Penjaja 1Malaysia di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, hari ini bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman yang mempersoal mengenai peraturan itu dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.


Ali berkata beliau akan memperjelas berhubung peraturan baru itu kepada Cuepacs pada pertemuannya dengan mereka dalam masa terdekat.


Beliau turut mengingatkan penjawat awam yang ke luar negara atas urusan persendirian supaya memastikan semua perbelanjaan mereka adalah dari simpanan sendiri.


Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012 yang baru itu menetapkan semua pegawai awam yang ingin ke luar negara atas tujuan persendirian perlu mendapatkan kelulusan pegawai tinggi mengikut jawatan dan kategori pegawai.


Ia, yang ditandatangani Ali, menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986.


-- BERNAMA

13 Oktober 2012

JPM KELUAR PEKELILING BARU PERATUSAN PEJALANAN BAGI PENJAWAT AWAM

Bernama
12/10/2012

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengeluarkan surat pekeliling baru mengenai Peraturan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian yang berkuat kuasa pada 1 Okt lepas, selaras dengan usaha untuk menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.

Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2012 itu menetapkan semua pegawai awam yang ingin ke luar negara atas tujuan persendirian perlu mendapatkan kelulusan pegawai tinggi mengikut jawatan dan kategori pegawai.

Ia ditandatangani Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa bagi menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986.

Menurut surat pekeliling terbaru itu, Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan di JPM perlu mendapatkan kelulusan KSN.

Pegawai-pegawai di bawah seliaan Ketua Setiausaha Kementerian termasuk Timbalan Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian, Ketua-ketua Pengarah dan Ketua-ketua Jabatan di bawah Kementerian pula perlu mendapatkan kelulusan Ketua Setiausaha Kementerian (butiran tiga dalam pekeliling).



-- BERNAMA