SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

17 Disember 2013

SAYA TIDAK GUNA PENDEKATAN POPULIS TADBIR NEGARA - NAJIB

Bernama
17/12/2013


KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan kerajaan pimpinannya tidak akan menggunakan pendekatan populis dalam mentadbir sebaliknya sentiasa berusaha untuk mengembangkan ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan pendapatan negara terus bertambah dan berkembang sebelum memutuskan untuk memberi 'janji-janji manis' kepada rakyat.

"Realiti ini, saya percaya, anda semua sedar. Sebab itulah cara kita mentadbir negara mestilah cara berhemah, cara kita bukan cara populis.

"Saya boleh jadi perdana menteri yang berdiri atas platform populis, tapi dengan cara itu saya akan meranap dan merosakkan masa depan negara yang tercinta," katanya ketika merasmikan konvensyen tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ke-26 di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Najib berkata untuk itu kerajaan sentiasa memastikan setiap dana yang dikeluarkan dilakukan dengan berhemah bagi memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi pendapatan negara.

Katanya kerajaan tidak mahu sehingga terpaksa meminjam daripada institusi kewangan bagi melicinkan urusan pentadbiran, termasuk membayar gaji penjawat awam, kerana ia bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi negara, tetapi juga 'resipi' yang boleh membawa musibah besar kepada seluruh rakyat.

Justeru, kata Najib, masyarakat, khususnya penjawat awam seharusnya tidak mudah termakan dengan janji-janji mengenai penjimatan hutang negara atau penurunan harga minyak yang dijanjikan puak-puak tertentu, tanpa memperjelaskan punca kewangan yang akan digunakan untuk menampung pengurangan berkenaan.

Dalam pada itu, Najib menyeru setiap penjawat awam supaya melayan rakyat dengan baik kerana sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, tindakan yang dilakukan akan menjadi cerminan persepsi rakyat terhadap kerajaan.

"Kalau penjawat awam bekerja dengan baik, molek, beramah mesra, bersopan tapi berkesan dan tegas, maka pandangan dan tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan juga akan kian meningkat," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persaraan Omar, perdana menteri berkata beliau merasa cukup senang berurusan dengan presiden Cuepacs itu kerana setiap perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan awam dibincangkan dan diselesaikan secara baik.

"Saya cukup senang hati bekerja dengannya, beliau tidak pernah mengadakan demonstrasi atau konfrontasi walaupun melibatkan isu panas...dan sebagai rakan setia kepada kerajaan, maka saya bagi penghormatan kepadanya sebagai presiden yang amat disenangi kerajaan," katanya.

Omar, 62, yang mengetuai Cuepacs selama tujuh tahun, menamatkan tempoh perkhidmatannya hari ini selepas mengambil keputusan untuk bersara.

Mengulas persaraannya, Omar berkata hubungan baik yang terjalin antara Cuepacs dengan kerajaan sepanjang tempoh beliau menerajui kongres berkenaan membawa kepada beberapa kejayaan penting yang memanfaatkan penjawat awam.

Antaranya kenaikan gaji penjawat awam sehingga 25 peratus ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, umur persaraan dilanjutkan dari 58 kepada 60 tahun serta pembatalan Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam, katanya.

Omar turut merakamkan penghargaan kepada Najib, ketua setiausaha negara dan ketua pengarah perkhidmatan awam serta seluruh pengarah perkhidmatan kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh perkhidmatannya sehingga Cuepacs cukup disegani dalam soal memperjuangkan nasib penjawat awam.

-- BERNAMA

OMAR OSMAN AKHIRI TUGAS PRESIDEN CUEPACS

Utusan Malaysia
17/12/2013




NAJIB Tun Razak menyampaikan sijil penghargaan kepada Omar Osman yang mengakhiri tugasnya sebagai Presiden CUEPACS sebaik sahaja berakhirnya Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Ke-26 di Menara PGRM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Datuk Omar Osman, 62, mengakhiri tugasnya sebagai Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebaik sahaja berakhirnya Konvensyen Tritahunan kongres itu yang bermula hari ini.Beliau yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden CUEPACS pada konvensyen kali ini yakin pemimpin-pemimpin pelapis kongres berkenaan mampu meneruskan perjuangan membela nasib kakitangan awam.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian konvensyen itu beliau berkata, inilah masa paling sesuai untuknya mengundur diri dan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin pelapis menunjukkan bakat kepemimpinan mereka.''Saya telah berkhidmat sebagai Presiden CUEPACS lebih tujuh tahun dan dalam tempoh itu kira-kira 33 perkara penambahbaikan berjaya kita lakukan demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan awam negara ini,'' katanya di sini. Perasmian konvensyen itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Omar berkata, lebih membanggakan setiap penambahbaikan itu adalah hasil daripada rundingan dengan pihak kerajaan dan bukannya melalui piket atau demonstrasi.''Saya lebih percayakan rundingan daripada pendekatan lain dan hasilnya kakitangan kerajaan memperolehi pelbagai insentif antaranya kenaikan gaji dan lanjutan umur bersara.''Malah melalui rundingan juga kita berjaya menyerap kakitangan awam yang mengambil opsyen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada opsyen pencen,'' katanya lagi.

Ketika ditanya pencapaian terbaik ketika memegang jawatan Presiden CUEPACS, beliau berkata, antaranya adalah kenaikan gaji 35 peratus pada tahun 2007, lanjutan umur persaraan sehingga 60 tahun dan pembatalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).Dalam pada itu beliau berkata, terdapat empat lagi tuntutan CUEPACS yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan dan akan dibincangkan secara serius pada konvensyen kali ini iaitu:

* Pinjaman perumahan berdasarkan harga rumah dan bukan mengikut kadar gaji.
* Cuti tanpa rekod untuk umrah.
* Semakan semula kadar faedah empat peratus pinjaman perumahan kerajaan.
* Semakan semula kadar imbuhan elaun tetap perumahan.

14 Disember 2013

CUEPACS GESA SPA UTAMAKAN PEKERJA KONTRAK

Utusan Malaysia
12/11/2013



KUALA KANGSAR 12 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengutamakan pekerja kontrak yang berkhidmat lebih lima tahun untuk diserapkan sebagai kakitangan kerajaan berbanding membuat lantikan baharu dalam kebanyakan sesi temu duga.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya juga mahu jabatan kerajaan tidak memberhentikan pekerja berstatus kontrak secara drastik, malah menuntut mereka diberikan kemudahan yang turut dinikmati oleh pekerja tetap seperti pinjaman perumahan, perubatan dan pampasan perkhidmatan.

"Baru-baru ini, saya dapat banyak aduan pekerja kontrak yang pergi temu duga tetapi tidak berjaya kerana mereka mengambil orang baharu. Ini tidak adil dan kita bantah. Saya harap SPA prihatin bab ini kerana tiada sebab mereka tidak boleh dapat (pekerjaan) kalau sudah berkhidmat lebih lima tahun.
"Perkara ini melibatkan semua jenis kontrak tidak kira contract for service atau contract of service, tetapi bukan sambilan sementara. Kita sudah arahkan CUEPACS negeri supaya mengambil laporan pekerja kontrak yang diberhentikan.
"Ketika ini dianggarkan 35,000 hingga 45,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam. Kalau boleh, kita mahu semuanya ada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kenapa tidak? Mereka ambil mudah kata tiada bajet tetapi pada masa sama lantik pekerja baru, ini tidak adil bagi kita," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama ahli-ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.Dalam pada itu, Omar berkata, isu pekerja kontrak berkenaan turut akan dibangkitkan dalam Konvensyen CUEPACS yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 17 Disember ini dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, katanya, masih juga terdapat majikan yang tidak prihatin dengan kebajikan pekerja kontrak biarpun mereka layak dicarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui pekeliling yang berkuatkuasa 1 Jun lalu."Sebenarnya, kalau diikutkan ucapan Perdana Menteri pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) Mac lalu, semua pekerja yang tamat kontrak pada 31 Disember ini akan disambung setahun lagi sebelum kajian menyeluruh akan dilaksanakan selepas itu."Sehubungan itu, kita berharap, tiada lagi pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam selepas 31 Disember tahun hadapan," katanya.

13 Disember 2013

CUEPACS HARAP PEKERJA BERSTATUS KONTRAK DISERAP JADI PEKERJA TETAP

Perak Today
12/12/2013




Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa agar jabatan atau agensi yang menggaji pekerja berstatus kontrak menyerap mereka sebagai pekerja tetap.Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pekerja kontrak yang berkhidmat untuk tempoh lebih lima tahun seharusnya dilantik sebagai pekerja tetap selain tidak sewajarnya diberhentikan kerja secara drastik.
Katanya, semua pekerja kontrak yang telah lama berkhidmat diberi tempoh setahun iaitu sehingga 31 Disember 2014 sebelum diserap menjadi pekerja tetap.“Tindakan ini bertujuan memberi peluang kepada pekerja kontrak menikmati kemudahan yang sama seperti pekerja berstatus tetap termasuklah pinjaman perumahan, perubatan dan pampasan perkhidmatan.“Kita juga harap semua jabatan tidak memberhentikan pekerja kontrak yang telah lama berkhidmat ini dan menggantikannya dengan pekerja baru,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri perjumpaan bersama ahli kesatuan pekerja-pekerja awam kerajaan negeri Perak di Kuala Kangsar, petang tadi.Turut hadir, Timbalan Presiden CUEPACS I, Azih Muda dan Timbalan Presiden CUEPACS II, Zainal Ismail.Beliau juga berharap agar selepas tarikh tersebut, tiada lagi penjawat yang berstatus kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.
“Kita minta supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi keutamaan kepada pekerja kontrak yang berkhidmat antara lima hingga 10 tahun bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.“Banyak aduan berhubung perkara ini dan kita dimaklumkan pekerja kontrak yang menghadiri temuduga tidak gagal dalam saingan dengan pekerja baru. Ini tidak adil bagi mereka dan kita di pihak CUEPACS perkara sebegini berlaku,” tegasnya.Omar memberitahu lagi, seharusnya kedua-dua badan ini prihatin dengan nasib serta kebajikan pekerja berstatus kontrak di negara ini.

“Tidak ada sebab mengapa mereka tidak boleh lulus temuduga sekiranya sudah berkhidmat 10 tahun berbanding dengan pekerja yang baru sahaja dilantik,” tambah Omar lagi.Beliau juga berharap agar kebajikan semua pekerja kontrak diambil perhatian mengikut pekeliling Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).“Bermula 1 Jun lalu, mereka ini layak dicarumkan dan mendapat pampasan di bawah PERKESO.

“Perkara ini memang tertakluk kepada semua jabatan tetapi ada majikan yang tidak prihatin mengenai isu ini dengan memberi alasan tiada bajet yang mencukupi untuk menanggung pekerja kontrak.“Kita juga telah mengarahkan semua negeri agar menyelidik laporan berhubung tindakan jabatan yang memberhentikan pekerja kontrak secara drastik,” kata beliau lagi.

 Klik Disini Untuk Sidang Media

JAWATAN TETAP: UTAMAKAN PETUGAS KONTRAK

Sinar Haraian
12/11/2013


  •  Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
    Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
KUALA KANGSAR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mengutamakan 45,000 penjawat awam berstatus kontrak yang berkhidmat lima hingga 10 tahun diserap ke jawatan tetap.
      
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini kerana penjawat awam berstatus kontrak itu diberi tempoh bekerja sehingga 31 Disember tahun depan sebelum diserap ke jawatan tetap.
      
"Saya berharap agar selepas tarikh itu tiada lagi penjawat yang berstatus kontrak dalam sektor perkhidmatan awam," katanya selepas bertemu dan berdialog dengan penjawat awam dalam satu majlis anjuran Cuepacs di sini, hari ini.

Beliau turut meminta jabatan dan agensi kerajaan agar tidak memberhentikan perkhidmatan kakitangan kontrak yang telah lama bekerja secara drastik.
       
"Kita harap mereka ini janganlah diberhentikan supaya mereka dapat menikmati kemudahan sebagaimana jawatan tetap, termasuk pinjaman perumahan, perubatan dan pampasan perkhidmatan sendiri," katanya.

Omar berkata, Cuepacs turut menerima laporan ada kakitangan kontrak yang berkhidmat melebihi 10 tahun di jabatan kerajaan tidak diserap ke jawatan tetap walaupun sering menghadiri temu duga.
      
Beliau berkata, perkara itu akan dibangkit dalam Konvensyen Tahunan Cuepacs yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Disember ini.   
      
Selain itu, beliau berharap kebajikan kakitangan kontrak yang menerima caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula 1 Jun lepas diberi perhatian.
      
"Perkara ini memang tertakluk kepada semua jabatan dan agensi tetapi ada majikan yang tidak prihatin mengenai isu ini dengan memberi alasan tiada bajet yang mencukupi untuk menanggung kakitangan kontrak," katanya. - Bernama

12 Disember 2013

CUEPACS TIDAK AKAN BELA PENJAWAT AWAM LANGGAR UNDANG-UNDANG, TEGAS OMAR OSMAN

Bernama
11/12/2013





JOHOR BAHRU, 11 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengulangi penegasan tidak akan membela penjawat awam yang melanggar undang-undang termasuk Akta Rahsia Rasmi.
"Berani buat berani tanggung kerana Cuepacs tidak akan mempertahankan mana-mana penjawat awam yang didapati membocorkan rahsia kerajaan, terlibat dalam jenayah mahupun rasuah.

"Cuepacs hanya membela dan menuntut keadilan terhadap penjawat awam yang ditindas dan dianiaya dalam tugas mereka," kata Presidennya Datuk Omar Osman kepada pemberita, di sini Rabu.

Omar yang ditemui selepas taklimat penambahbaikan skim perkhidmatan dan isu semasa bersama penjawat awam, diminta mengulas mengenai isu kebocoran kandungan dan penyebaran Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor berhubung cadangan mengubah hari cuti mingguan sebelum ini.

Awal November lepas, berita tentang pertukaran hari hujung minggu negeri Johor daripada Ahad kepada Jumaat berkuat kuasa Januari depan tersebar di laman sosial tanpa pengumuman rasmi oleh kerajaan negeri.

Lebih memeranjatkan gambar dokumen sulit mengenai perkara itu yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 9 Okt 2013 turut dimuat naik dalam laman sosial bagi menyokong berita berkenaan.

Mengulas mengenai pemilihan anggota Majlis Tertinggi Cuepacs sesi 2014/2016 yang akan berlangsung minggu depan, Omar berharap semua yang bertanding akan bersikap harmoni.

Semua yang bertanding juga perlu memikirkan tanggungjawab yang menanti mereka dalam meneraju Cuepacs kerana kesatuan ini menjadi tulang belakang kepada 1.4 juta penjawat awam, katanya.

-- BERNAMA



11 Disember 2013

CUEPACS : TAMBAH BAIK SKIM GRED 17

Utusan Malaysia
10/12/2013


KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan memberi keutamaan dalam penambahbaikan skim perkhidmatan awam kepada kira-kira 650,000 kakitangan gred 17 ke atas.Presidennya, Datuk Omar Osman  berkata, kumpulan itu terdiri daripada kumpulan pelaksana satu, melibatkan jawatan pembantu tadbir kerajaan, badan berkanun serta badan beruniform antaranya bomba, imigresen dan sebagainya.

"Kita minta kerajaan memberi keutamaan semakan semula gred gaji kakitangan gred 17 dan kita menjangkakan kenaikan gred gaji itu dapat dilaksanakan bermula sambutan Hari Pekerja iaitu pada 1 Mei tahun hadapan."Ini kerana terdapat kakitangan awam dalam gred tersebut yang sudah berkhidmat selama 15 tahun masih belum menerima sebarang kenaikan gred gaji," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat perjumpaan khas di Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan 100 skim perkhidmatan awam akan dikaji semula awal tahun hadapan selepas 81 skim ditambah baik dalam bajet 2014.Sementara itu, Omar berkata, beliau menyambut baik langkah kerajaan memberikan insentif melalui penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi kepada pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik doktor falsafah (Ph.D) dan sarjana."Usaha ini mampu memberikan motivasi kepada golongan muda untuk berkhidmat dengan lebih berkualiti dan melahirkan generasi akademik yang lebih cemerlang," jelasnya.

Dalam pada itu, Omar berkata, CUEPACS juga akan mengadakan tabung kutipan derma untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang dan Terengganu."Kita akan menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa minggu hadapan untuk memohon mengadakan kutipan derma ikhlas di pejabat kerajaan seluruh negara," jelasnya.

PEGAWAI AWAM WANITA PDRM MENINGGAL DUNIA AKIBAT WABAK INFLUENZA A

Bernama
10/12/2013


KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Seorang pegawai awam wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, disahkan meninggal dunia Selasa akibat dijangkiti selesema, Influenza A.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mangsa didapati dijangkiti virus itu selepas menghadiri majlis Perjumpaan Pegawai Awam PDRM bersama KPN di Melaka, Khamis lepas.

Pegawai awam berusia 48 tahun itu meninggal dunia di Hospital Melaka, kira-kira jam 11.10 pagi.

"Kita percaya wabak ini bermula daripada salah seorang kakitangan yang datang dari Kedah menghadiri majlis berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Balai League Table 2013 di ibu negara.

Khalid menggesa kira-kira 300 orang pegawai awam PDRM yang menghadiri majlis itu agar menjalani saringan kesihatan segera.

"Rombongan dari Kedah yang menaiki sebuah bas kini dikuarantin di hospital Kedah untuk pemeriksaan lanjut manakala beberapa orang lagi dikuarantin di Melaka," katanya.

Khalid berkata beliau juga telah dipanggil untuk menjalani saringan kesihatan kerana menghadiri majlis itu.

Katanya, virus itu dikesan apabila beberapa kakitangan didapati demam selepas menghadiri majlis berkenaan.

Mengenai laporan tentang seorang rakyat Malaysia dikatakan terlibat dalam rusuhan di Little India, Singapura Ahad lalu, beliau berkata individu berkenaan berstatus pemastautin tetap (PR) negara itu, telahpun dibebaskan selepas siasatan lanjut dijalankan.

"Saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan dia sudah dibebaskan tanpa syarat," katanya.

--BERNAMA

10 Disember 2013

Ph,d, SARJANA DIBERI INSENTIF

Utusan Malaysia
9/10/2013




KUALA LUMPUR 9 Dis. - Pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik doktor falsafah (Ph.D) dan sarjana akan diberikan insentif melalui penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi.Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, pemberian insentif itu meliputi 33 skim perkhidmatan yang memperuntukkan kelayakan tersebut.Skim tersebut katanya, termasuk pensyarah universiti, pegawai teknologi maklumat, pegawai penyelidik, akauntan, pegawai kanan polis serta pegawai tadbir dan diplomatik."Bagi pegawai yang berkhidmat dan masih berada di gred lantikan yang kemudiannya memperoleh Ph.D atau sarjana, kerajaan juga memberi insentif hadiah kenaikan gaji (HKG), khusus bagi skim-skim perkhidmatan seperti pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Baharudin Abu Bakar berhubung insentif khas terutama kenaikan pangkat kepada penjawat awam yang mempunyai kelulusan akademik di peringkat Ph.D dalam bidang-bidang kritikal kepada pembangunan negara.Mengulas lanjut, Razali berkata, bagi urusan kenaikan pangkat, Lembaga Kenaikan Pangkat akan menimbang pegawai berdasarkan merit.Menurutnya, pegawai yang mempunyai Ph.D mendapat kelebihan dalam proses pertimbangan ke sesuatu jawatan kenaikan pangkat.
Kata beliau, sebagai contoh, bagi pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah di Kementerian Pendidikan, pegawai dinaikkan pangkat melalui laluan cemerlang yang mengambil kira kelayakan akademik termasuk Ph.D dan pengalaman dimiliki."Kewajaran yang diberikan adalah sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan kriteria kecemerlangan," ujarnya.

PENJAWAT AWAM PERLU ADA DAYA KETAHANAN MINDA DALAM MELAKSANAKAN GTP

Bernama
10/12/2013



KOTA KINABALU, 10 Dis (Bernama) -- Penjawat awam perlu mempunyai daya ketahanan minda bagi membolehkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dapat dilaksanakan dengan berkesan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Beliau berkata dengan adanya ketahanan daya minda yang tinggi, penjawat awam akan dapat menangani pelbagai masalah dan isu dari semasa ke semasa, sekali gus berupaya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Minda yang tidak bersedia untuk menghadapi tekanan akan menjadi bebanan seseorang penjawat awam, malah ia akan menimbulkan tindakan yang tidak rasional di kalangan penjawat awam terbabit, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam dan Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) peringkat Sabah di sini Selasa.

Katanya aspek kesejahteraan mental, kestabilan emosi, kemantapan sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal serta perhubungan sosial yang positif amat penting untuk melahirkan generasi minda kelas pertama.

Mohamad Zabidi berkata program AKRAB yang berperanan membantu membangunkan potensi manusia secara profesional dan berterusan, bersifat responsif kepada pembelajaran, tingkah laku dan sentiasa bersedia untuk membimbing, mampu melahirkan penjawat awam yang mempunyai ketahanan minda yang jitu.

Pada majlis itu, seramai 53 penjawat awam dari pelbagai agensi ditauliahkan sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam.



-- BERNAMA

DEWAN NEGARA: GAJI PERMULAAN TINGGI UNTUK PENJAWAT AWAM BERKELULUSAN PhD DAN SARJANA

Bernama
9/12/2013


KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan menetapkan gaji permulaan yang lebih tinggi sebagai insentif untuk penjawat awam yang mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana meliputi 33 skim perkhidmatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 33 skim perkhidmatan gaji tersebut termasuk pensyarah universiti, pegawai teknologi maklumat, pegawai penyelidikan, akauntan, pegawai kanan polis serta pegawai tadbir dan diplomatik.

Bagi pegawai yang sedang berkhidmat dan masih berada di gred lantikan, dan kemudiannya memperoleh kelulusan akademik tersebut, beliau berkata kerajaan akan turut menawarkan insentif hadiah kenaikan gaji (HKG).

"Ini adalah khusus bagi skim-skim perkhidmatan seperti pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma," katanya kepada soalan Senator Baharudin Abu Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini Isnin.

Teks jawapan Najib dibaca oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berhubung soalan mengenai langkah pemberian insentif khas kerajaan kepada penjawat awam yang mempunyai kelulusan akademik di peringkat PhD dalam bidang-bidang kritikal kepada pembangunan negara.

Selain itu, Najib berkata Lembaga Kenaikan Pangkat akan menimbang pegawai yang layak bagi urusan kenaikan pangkat berdasarkan sistem merit.

"Pegawai yang mempunyai PhD mendapat kelebihan dalam proses pertimbangan ke sesuatu jawatan kenaikan pangkat.

"Sebagai contoh, bagi pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah di Kementerian Pendidikan Malaysia, pegawai dinaikkan pangkat melalui Laluan Cemerlang yang mengambil kira kelayakan akademik termasuk PhD dan pengalaman yang dimiliki," katanya.

Najib berkata wajaran yang akan pegawai penilai berikan ialah 15 peratus daripada keseluruhan kriteria kecemerlangan.

HUKUMAN GANTUNG, BUANG KERJA TIDAK CUKUP

Utusan Malaysia
10/12/2013

Ezam Mohd. Noor

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Hukuman gantung jawatan dan buang kerja kepada mereka yang terlibat dengan ketirisan dalam menguruskan kewangan negara seperti dilaporkan Laporan Audit Negara adalah tidak cukup.Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, kerajaan perlu mengkaji satu hukuman tegas untuk dikenakan kepada pesalah-pesalah pentadbiran berkenaan. 

"Perkara ini terbukti apabila saban tahun, tetap berlaku salah urus serta ketirisan, perkara ini saya lihat amat menjelikkan dan perlu diubah."Pada saya, perlu ada satu sense of urgency untuk mengubah perkara ini dengan mengenakan tindakan lebih tegas kepada pesalah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Negara hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu undang-undang baharu digubal bagi mengenakan tindakan terhadap penjawat awam yang membelakangkan kepentingan awam sehingga merugikan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkara itu dilihat perlu kerana skop Seksyen 23 Akta SPRM yang diguna pakai sekarang agak kecil.

RASA TERHINA TAK MAMPU BELI RUMAH SENDIRI

Utusan Malaysia
10/12/2013


BARU-BARU ini Institut Kefahaman Islam (IKIM) telah mengadakan satu Muzakarah Pakar bertajuk: “Harga Rumah Melambung: Isu dan Penyelesaian" khas bagi membincangkan isu kenaikan harga rumah yang dikatakan tidak munasabah. Isu ini sudah menjadi isu nasional; yakni isu negara yang menyentuh keseluruhan masyarakat. Harga rumah yang tinggi pada hari ini memang telah banyak diperkatakan. Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) misalnya telah tampil ke hadapan dengan satu kajian yang mendapati 60 peratus kakitangan awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan tidak mampu memiliki rumah sendiri. Hakikatnya, harga rumah yang tinggi menyukarkan kebanyakan orang untuk membeli sebuah rumah yang merupakan keperluan asas.

Pada hari ini kita dapati rata-rata golongan belia terutama yang baru memasuki alam pekerjaan tidak berpeluang untuk memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang meningkat saban waktu. Pendapatan permulaan mereka selalunya hanya sekadar cukup untuk membiayai kos sara hidup seorang diri dan membayar semula pinjaman pendidikan.Keadaan akan menjadi bertambah parah apabila mereka mula berkeluarga dengan kos sara hidup yang tinggi maka bertambah jauhlah harapan untuk memiliki kediaman sendiri. Adakah kita ingin melihat ramai warga kita yang duduk di bawah jambatan kerana mereka tidak mampu membeli sebuah rumah? Atau adakah kita ingin melihat warga muda kita menyewa rumah sepanjang hayat mereka?

Perkara ini boleh juga dikaitkan dengan kebahagiaan mental seseorang itu. Adakah seseorang itu boleh dianggap bahagia jika terpaksa duduk di bawah jambatan bersama keluarga kerana tidak mampu untuk memiliki sebuah rumah. Apa akan jadi kepada sebuah negara jika ramai rakyatnya tidak bahagia dalam menjalani kehidupan. Pastinya produktiviti akan berkurangan, negara juga tidak dapat membangun seperti yang sepatutnya.Justeru isu ini menyentuh psikologi manusia serta kepentingan nasional untuk jangka pendek dan jangka panjang. Ada yang mengatakan masalah harga rumah tinggi yang kita hadapi sekarang berpunca daripada kita yang tidak menguruskan perkara ini dengan betul dari dulu lagi. 

Oleh yang demikian kita harus memperbetulkan keadaan ini dari sekarang agar anak cucu kita tidak perlu lagi menghadapi serta membincangkan masalah yang sama di masa hadapan. Masih belum terlambat untuk kita mengambil langkah-langkah yang sepatutnya agar sejarah tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Kita dapati peranan kerajaan adalah sangat penting untuk memantau perkembangan pasaran rumah. Mengambil contoh di Australia, pembeli pertama diberikan subsidi antara AU$5,000 hingga AU$7,000 untuk rumah pertama.
Kita tidak menafikan kerajaan berusaha untuk menangani masalah harga rumah ini seperti melaksanakan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang membina rumah mampu milik terutama kepada golongan belia yang baru memasuki alam pekerjaan. 

Industri perumahan negara begitu rumit kerana ia melibatkan banyak pihak. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan satu pihak sahaja kerana ia adalah tidak adil. Semua pihak harus memainkan peranan agar masalah ini dapat diatasi. Jika puncanya adalah rasuah, maka kita harus terapkan nilai-nilai murni kepada rakyat Malaysia agar tidak berlaku penganiayaan kepada pembeli rumah.Bagi yang beragama Islam pula, sudah tersedia ada nilai-nilai agama yang perlu diamalkan dan bukan hanya disebut di bibir sahaja. Memang senang untuk memetik ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis Nabi, tetapi apa yang lebih penting adalah setakat mana ia diamalkan. 

Jika suapan RM20,000 sudah terbentang di depan mata, mungkinkah segala nilai agama yang sering digembar-gemburkan itu akan melayang begitu sahaja. Maka apa yang tinggal hanyalah kata-kata retorik yang tidak memberi apa-apa makna pun.Jika umat Islam mengamalkan nilai-nilai agama sepenuhnya, mungkin banyak masalah di negara ini akan dapat diselesaikan, termasuklah isu perumahan ini. Kita dapati agama Islam sentiasa mementingkan keadilan sosial serta perseimbangan ekonomi di antara anggota masyarakat. 

Ini adalah supaya setiap individu dapat menikmati taraf hidup yang sempurna sejajar dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Bahkan memenuhi keperluan asasi hidup manusia merupakan sebahagian daripada maqasid syariah. Di dalam Surah al-Hasyr: 7, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu". Ayat ini menerangkan bahawa tidak harus harta kekayaan itu hanya berlegar dalam satu bilangan kecil tanpa kelompok yang lain. 

Apatah lagi jika kekayaan tersebut menghindarkan orang lain daripada memenuhi keperluan asasi hidup mereka seperti memiliki sebuah rumah yang selesa. Keadaan yang tidak adil dan seimbang ini akan terus menerus menindas dan menzalimi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki sebuah rumah.Bahkan lebih malang lagi apabila sebahagian besar rakyat akan rasa terhina apabila tidak mampu untuk membeli rumah di negara sendiri dan hanya melihat rumah-rumah tersebut dimiliki oleh golongan yang tidak sepatutnya.PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, IKIM.

08 Disember 2013

PENJAWAT AWAM DIMINTA BANTU MANGSA BANJIR

Bernama
7/12/2013



KUCHING, 7 Dis (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal hari ini meminta penjawat awam yang berkhidmat di negeri dilanda banjir, agar membantu mangsa banjir di kawasan mereka dalam usaha merakyatkan perkhidmatan awam.

Mohamad Zabidi berharap ketua jabatan dapat menggalak kakitangan mereka untuk turut serta dalam kumpulan sukarelawan yang membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas seperti Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor.

"Saya berharap ini menjadi satu daripada sumbangan kita merakyatkan (perkhidmatan awam) dalam keadaan kesusahan ini kita membantu mereka (agensi relevan) yang terlibat dengan mangsa banjir," katanya.

Mohamad Zabidi yang juga peneraju transformasi perkhidmatan awam berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) bagi pekerja am dalam kumpulan pelaksana di sini Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Morshidi Ghani.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang terlibat dalam usaha membantu semua mangsa banjir, termasuk pejabat daerah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pegawai JPA di Institut Tadbiran Awam Negara wilayah timur, yang terputus bekalan makanan dan elektrik selama tiga hari di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata opsyen pertukaran pelantikan ke 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014 itu akan melibatkan 635,000 penjawat awam di seluruh Malaysia.

Beliau berkata JPA sedang mengambil tindakan untuk melaksanakan skim itu, yang berkuat kuasa 1 Nov tahun ini, dengan memberi penjelasan berperingkat, termasuk di negeri-negeri dan badan berkanun yang terlibat.

Mengenai mesyuarat MBK kali ini, katanya kewujudan MBK jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam memastikan semua pekerja melalui wakil yang dilantik mempunyai ruangan yang terbaik untuk membincangkan perkara berkaitan soal saraan, elaun, kemudahan dan syarat perkhidmatan secara keseluruhan.

Ia juga dapat mewujudkan kerjasama erat antara kedua-dua pihak ke arah meningkatkan kualiti dan kelestarian perkhidmatan awam yang cekap, berkesan serta harmonis selari dengan program transformasi JPA kerana banyak membantu menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan, katanya.

Ditubuhkan pada 25 Jun 1992 sebagai jentera perundingan, MBK terdiri daripada tiga kategori -- bagi pekerja pengurusan dan profesional, pekerja sains dan teknologi dalam kumpulan pelaksana serta pekerja am dalam kumpulan pelaksana.

-- BERNAMA

05 Disember 2013

PEMBANTU TADBIR SOLAT HAJAT MOHON KENAIKAN GRED

Utusan Malaysia
5/12/2013


Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Abdul Farid Salleh mengaminkan doa selepas memimpin solat hajat memohon kenaikan gred melibatkan pembantu tadbir kerajaan di Ipoh, Perak di sini hari ini.

IPOH 4 Dis. - Kira-kira 300 pembantu tadbir mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon kenaikan gred yang didakwa tidak disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 40 tahun lalu.Timbalan Presiden Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan), Che Saad Hashim berkata, beliau yang mewakili lebih 130,000 pembantu tadbir di seluruh negara merasa terpinggir, apatah lagi golongan itu tidak termasuk dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014.

"Kita tiada jalan lain dan tidak mahu mengadakan demonstrasi. Hanya kepada Allah kami memohon agar pemimpin atasan melihat golongan pembantu tadbir (pekeranian/operasi) dan pembantu tadbir (kewangan) yang merupakan kelompok kedua terbesar selepas guru."Kita telah pun menghantar cadangan kenaikan gred ini kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di Kuching, Sarawak pada September lalu."Oleh itu, kita berharap Perdana Menteri yang dijangka merasmikan Konvensyen Tahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 17 Disember ini dapat mengumumkan sesuatu tentang perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat hajat perdana dan bacaan Yasin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini.olat hajat dan bacaan Yasin itu masing-masing dipimpin oleh Imam Besar masjid berkenaan, Abdul Farid Salleh dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.Dalam pada itu, Che Saad berkata, selain Keptan, solat hajat tersebut turut disertai oleh ahli berdaftar daripada Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (Auegcas) dan Kesatuan Pembantu Tadbir Kementerian Kesihatan (KepTaKes).

"Kami memohon kenaikan gred daripada N17 ke N27 tetapi difahamkan JPA memberi alasan kenaikan gred itu terlalu tinggi. Bagaimanapun, terdapat ura-ura JPA bersetuju meningkatkan tiga lapisan gred N17, N22 dan N26 kepada N21, N26 dan N28. Itu kami terima.
"Ini disebabkan beberapa perjawatan yang sama dengan kelulusan darjah enam telah diberi satu perkhidmatan lebih baik dalam kedudukan gred 17, antaranya tukang masak," katanya.

10,000 PENGAWAL KESELAMATAN DIJANGKA NAIK KE GRED KP17

Bernama
4/12/2013

MELAKA, 4 Dis (Bernama) -- Kira-kira 10,000 pengawal keselamatan di seluruh negara yang kini berada di gred KP11 dan KP14 dijangka dinaikkan ke gred KP17 pada tahun depan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.
Beliau berkata kenaikan itu adalah wajar kerana tugas yang diamanah dan dipikul mereka dalam skop keselamatan pada masa kini amat mencabar termasuk keselamatan pada bangunan, aset, para pekerja serta pelajar.

Katanya hampir 50 peratus pengawal keselamatan kini berkhidmat di lebih 20 buah institusi pengajian tinggi awam dan selebihnya berkhidmat di enam agensi dan beberapa kementerian di Putrajaya.

"Kita telah adakan bengkel pada bulan lepas mengenai penambahbaikan gred pengawal keselamatan ini dan telah putuskan untuk dijumudkan lantikan mereka kepada KP17," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengawal-pengawal keselamatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Kampus UTeM di sini Rabu.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam sedang membuat semakan mengenai permintaan CUEPACS itu.

-- BERNAMA

1,402 INSPEKTOR DINAIKAN PANGKAT KE ASP JAN 2014

Bernama
4/12/2013



MELAKA, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menaikkan pangkat seramai 1,402 anggota polis berpangkat Inspektor kepada Asisten Superitenden Polis (ASP), mulai Januari depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka merupakan anggota yang sebelum ini berpangkat Cif Inspektor sebelum ditukarkan kepada Inspektor setelah jawatan Cif Inspektor dimansuhkan.

"Ini merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu terutama oleh Persatuan Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan pegawai awam PDRM bersama Ketua Polis Negara di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan sudut khas sejarah pegawai awam di Muzium PDRM bagi menghargai pegawai awam yang memulakan khidmat sejak penubuhan pasukan polis di bawah kerajaan British pada 25 Mac 1807.

Khalid berkata anggota polis berpangkat Inspektor yang lain akan menerima kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan iaitu selepas 8 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 7,402 anggota polis telah ditugaskan menjalankan tugasan luar pejabat seperti rondaan apabila penjawat awam dari pelbagai kementerian mengambil alih tugas pentadbiran selepas proses penstrukturan semula PDRM pada 2010.

Bagaimanapun katanya pada masa ini terdapat lebih 500 anggota polis berpangkat ASP ke bawah di seluruh negara masih menjalankan tugas pentadbiran.

-- BERNAMA

03 Disember 2013

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 37/2013

JPA
29/11/2013


Imbuhan Tahunan Dan Bayaran Khas Prestasi Tahun 2013
Muat turun: Pekeliling Perkhidmatan Bil. 37/2013

KEMENTERIAN DIGESA KAJI SEMULA KENAIKAN TARIF ELEKTRIK

Utusan Malaysia
2/12/2013



KUALA LUMPUR 2 Dis. - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air digesa mengkaji semula kenaikan kadar purata tarif elektrik sebelum dikuatkuasakan mulai Januari depan.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan demi kebajikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.Katanya, jika kadar purata tarif elektrik di Semenanjung dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj (atau 14.89 peratus) iaitu daripada 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj, keadaan itu secara tidak langsung akan memberi bebanan kewangan kepada golongan berkenaan.

"Saya dapati langkah menaikkan kadar purata elektrik tersebut tidak selari dengan prinsip kerajaan untuk mendahulukan rakyat."Walaupun kadar baharu tersebut menjimatkan perbelanjaan kerajaan, namun mereka perlu lihat perbelanjaan rakyat terutamanya apabila kos sara diri semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.Beliau mengulas pengumuman Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berhubung kenaikan kadar purata elektrik tersebut hari ini.Kenaikan kadar itu turut akan dilaksanakan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kadar purata tarif elektrik dinaikkan sebanyak lima sen kWj (peningkatan 16.9 peratus) iaitu daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.

Menurut Maximus, program merasionalisasikan subsidi itu menjimatkan beban kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun dalam bentuk pembelian gas untuk penjanaan kuasa.Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof. Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, kenaikan itu wajar ditangguh memandangkan sehingga kini rakyat masih tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB).Jelasnya, beliau menerima banyak aduan mengenai bekalan elektrik yang sering terputus sedangkan pengguna membayar untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik.

"Ini tidak adil kepada rakyat. Mereka perlu membayar nilai tinggi untuk perkhidmatan yang sering tergendala melainkan TNB memperbaiki kelemahan tersebut dan memberi jaminan serta perkhidmatan terbaik," ujar beliau.Katanya, jika kerajaan bertegas melaksanakan kadar baharu tersebut, perlu ada mekanisme untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terjejas.

01 Disember 2013

KARPAL: JEFF OOI PERLU MINTA MAAF / JEFF OOI AKUI KESALAHAN, MINTA MAAF

Sinar Harian
1/12/2013

Karpal Singh GEORGETOWN - Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh meminta Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi supaya meminta maaf kepada semua kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berikutan ketelanjurannya menggelar kakitangan pihak berkuasa tempatan itu kucing kurap.
Karpal berkata, semua kakitangan dan pegawai MPPP sama ada berpangkat rendah atau tinggi perlu dihormati.
Menurutnya, tindakan Jeff Ooi itu keterlaluan dan menghina penjawat awam.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Kovensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013, hari ini.



Jeff Ooi Chuan Aun GEORGETOWN - Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi membuat kejutan naik ke pentas utama tanpa dijemput dan mengemukakan permohonan maaf kepada kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPP) kerana menggelar mereka kucing kurap.
Pada mulanya beliau dilihat mendiamkan diri ketika ucapan Karpal yang menegurnya berhubung isu itu.
Jeff Ooi kemudiannya mengumumkan beliau memohon maaf kepada semua kakitangan MPPP setelah diminta Karpal ketika Kovensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013, hari ini.Menurutnya, beliau hanya mengikut nasihat Pengerusi DAP Kebangsaan dan bukan orang lain.