Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2011/06/03
KAIN pemidang digantung kerana kakitangan awam yang tinggal di Kuarters Gunung Soga berasa diri mereka terpinggir dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Notis yang diserahkan pemaju pada April lalu itu, meminta baki kakitangan awam yang masih menetap di kuarters terbabit mengosongkan kediaman mereka sebelum 8 Julai ini bagi memberi laluan kerja meroboh 140 unit kuarters bersejarah itu bagi membolehkan pembinaan projek perumahan komersial sederhana, separuh mewah dan mewah milik swasta.
Lebih mengecewakan kakitangan awam berkenaan pembangunan projek perumahan komersial di situ bukan saja bakal melenyapkan kuarters bersejarah yang dibina British sejak puluhan tahun lalu, malah bakal menghakis status rizab Melayu pada tapak kuarters terbabit di kawasan bandar.
Tinjauan Berita Harian ke kawasan berkenaan mendapati beberapa premis kuarters yang diduduki kakitangan awam di situ masih elok terjaga manakala kuarters yang tidak diduduki sudah semakin usang.
Seorang kakitangan awam serta penduduk di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Huraira berkata, beliau sangat kecewa dengan nasib yang terpaksa ditanggung kakitangan awam daerah ini yang terpaksa menerima nasib seperti melukut di tepi gantang.
“Kebajikan kami kabur kerana sudahlah tidak mendapat sebarang kepastian termasuk tawaran menduduki kuarters baru di Sri Gading itu malahan cubaan segelintir kakitangan awam yang mahu membeli rumah yang mahu dibina atas tapak di sini mendapat layanan dingin pemaju yang mengatakan pembeli sudah ada.
“Apatah lagi kami difahamkan harga rumah yang akan dibina bermula dari RM280,000 ke atas, sudah hampir pasti ia di luar kemampuan kami sebaliknya kami diarahkan pula menyewa rumah di luar, ini tentu akan membebankan kami yang rata-rata kakitangan awam biasa," katanya.
Seorang lagi kakitangan awam serta penduduk di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Raihana Tambien, berkata beliau sangat pilu mengenangkan nasib keluarganya yang terpaksa berpindah di kala umat Islam bersedia untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
“Jika penduduk kawasan setinggan pun menerima layanan baik kerajaan negeri sehingga mendapat pampasan puluhan ribu ringgit, adakah kami penjawat awam yang membayar sewa kuarters dan tinggal di penempatan teratur begini terpaksa menghadapi nasib seperti ini.
“Kerajaan British dulu pun amat prihatin menjaga kebajikan kakitangan awam dengan membina kuarters ini sebagai penempatan sebaliknya kini kami seakan-akan dihalau dan tidak dihargai bagi memberi laluan projek perumahan komersial yang bermotif keuntungan yang sudah tentu akan melenyapkan terus satu-satunya rizab Melayu di sini ini," katanya.









