Bernama
12/5/2012

SERDANG, 12 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kerjasama
erat antara pekerja, majikan dan kerajaan terus diperkukuhkan bagi
meningkatkan produktiviti dan menjayakan agenda transformasi negara.
Perdana Menteri berkata aspek itu merupakan nadi utama dalam menyuburkan
konsep situasi yang menguntungkan semua tanpa menjejaskan kepentingan
mana-mana pihak.
"Saya penuh yakin dengan kerjasama ketiga-tiga pihak antara pekerja,
majikan dan kerajaan maka kita akan terus kukuh membentuk persefahaman
dan kesepakatan jitu ke arah mewujudkan suasana dan perhubungan harmoni
dan kondusif," katanya pada perhimpunan Hari Pekerja 2012 yang diadakan
di sini, Sabtu.
Najib berkata sekiranya ketiga-tiga pihak mempunyai hubungan yang cukup
baik dan padu, sudah pasti usaha mentransformasi negara akan berjalan
lancar.
Hadir bersama ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam,
Timbalan Menteri Senator Datuk Maznah Mazlan, Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu
Bakar Abdullah, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan
Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan
Malaysia Datuk Azman Shah Haron dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan.
Najib berkata dalam ekonomi dunia yang tidak menentu dengan kadar
pengangguran yang semakin meningkat di kebanyakan negara, Malaysia mampu
mencapai kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.1 peratus tahun lalu.
Katanya kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa persefahaman dan kesepakatan antara ketiga-tiga pihak.
Najib berkata ia juga memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk berani
melaksanakan pelbagai program dan pembaharuan termasuk, kenaikan gaji
pekerja sektor awam dari tujuh hingga 13 peratus, gaji minimum pekerja
sektor swasta RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan
Labuan.
"Para pekerja dapat mengecapi tahap hidup yang lebih baik lagi,
pendapatan yang lebih tinggi dan kemudahan-kemudahan yang lebih selesa
kerana kita telah dapat mengurus pentadbiran negara serta membuktikan
dasar-dasar yang telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang boleh
dikatakan memberangsangkan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak
menentu," katanya.
Menurutnya kerajaan juga berjaya mengawal kadar pengangguran di negara
ini di bawah tiga peratus, iaitu suatu angka yang didefinisikan sebagai
mencapai guna tenaga penuh.
Dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan semua pekerja dipelihara,
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memberikan pelbagai
inisiatif kepada sektor swasta seperti mana sektor awam untuk
meningkatkan nilai tambah mereka dalam usaha melahirkan pekerja mahir
dan berpendapatan tinggi.
"Ini amat penting kerana kita tidak boleh bersaing dengan aspek kos
buruh yang rendah dalam negara ini. Kita mesti menambahkan daya saing
negara kita, bukan melalui subsidi daripada kerajaan," katanya.
Katanya, syarikat dan organisasi perlu meningkatkan produktiviti dan
daya saing dengan menggunakan segala kelebihan yang ada termasuk
teknologi tinggi dan peluang perniagaan yang disediakan agar dapat
bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, beliau gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berjaya mengumpul pendapatan sebanyak
RM23 bilion tahun lalu.
"Ini adalah contoh produktiviti mantap yang mana jabatan dan agensi lain
perlu menambahkan produktiviti mereka. Dengan ini kita boleh membayar
gaji yang lebih tanpa menjejaskan ekonomi negara," katanya.
Katanya tidak wajar mana-mana pihak menuntut peningkatan gaji tanpa
meningkatkan produktiviti yang merupakan aspek penting dalam menentukan
kejayaan dan kemajuan sesuatu organisasi mahupun negara.
"Kita kena faham bukan menuntut peningkatan gaji secara membuta tuli tetapi kita mesti meningkatkan produktiviti," katanya.
Najib berkata begitu juga dengan pemberian tambahan RM200 kepada pekerja
estet milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antaranya Sime Darby
Plantation, sebagai insentif tambahan kepada pekerja tempatan dan
ex-gratia kepada pekerja asing yang ternyata menambah produktivi
syarikat itu sehingga 10 peratus.
"Ini yang dikatakan situasi menang-menang, pekerja pun untung, majikan
pun untung. Ia harus diberi perhatian untuk menjadi model yang baik.
Kalau pekerja rugi syarikat pun rugi, negara pun rugi. Situasi
menang-menang ini adalah falsafah yang dipegang oleh kerajaan," katanya.
Sebagai menghargai sumbangan dan peranan MTUC dan Cuepacs terhadap
produktiviti negara, Najib turut mengumumkan 10 Kedai Rakyat 1Malaysia,
iaitu masing-masing lima kedai bagi organisasi berkenaan, untuk membantu
menambah pendapatan serta meringankan beban kewangan.
-- BERNAMA