Berita Harian
15/12/2012
Kuala Lumpur: Kerajaan mengekalkan kadar yuran bulanan RM10 untuk
membolehkan anak golongan kurang berkemampuan di bandar mengikuti
pendidikan prasekolah menerusi Tabika Perpaduan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
(JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan, berkata walaupun kos operasi
meningkat, pihaknya tetap memastikan ibu bapa atau penjaga golongan
miskin tidak menanggung beban.
Beliau berkata, peruntukan untuk operasi keseluruhan Tabika Perpaduan
mencecah RM113.9 juta dan daripada jumlah itu, RM80 juta untuk gaji guru
dan penolong guru, manakala RM14.9 juta untuk makanan.
Walaupun kos penyediaan makanan dan gaji guru lulusan
Diploma Pra Sekolah dinaikkan untuk memastikan pelajar memperoleh
makanan berkhasiat dan pembelajaran bermutu tinggi, kerajaan masih
mengenakan yuran sama kerana menganggap ia tanggungjawab untuk membela
nasib rakyat miskin di bandar.
Malah, menerusi Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA)
Pendidikan, usaha dilakukan bagi memberi fokus untuk meningkatkan
pembelajaran dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris di Tabika
Perpaduan, katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.
Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak mengumumkan sebanyak RM1.2 bilion disediakan kepada pelbagai
agensi kerajaan sebagai landasan untuk melengkapkan kanak-kanak dengan
pendidikan prasekolah berkualiti.
Agensi awam itu termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian
Pelajaran, PERMATA dan JPNIN yang terbabit secara langsung dalam
menyediakan pendidikan prasekolah.
Azman berkata, mengikut rekod, pihaknya menjangka seramai 45,000
anak golongan kurang berkemampuan di bandar akan mengikut pendidikan
prasekolah di Tabika Perpaduan tahun depan.
Katanya, jumlah itu membabitkan peningkatan 3,000 pelajar berusia
antara empat hingga enam tahun berikutan pertambahan 47 Tabika
Perpaduan kepada 1,778 kelas.
Pertambahan kelas Tabika Perpaduan dilakukan mengikut keperluan
dan juga lokasi bagi memastikan kumpulan sasar tidak terpinggir,
katanya.
Beliau berkata, kelas Tabika Perpaduan dijalankan pada sesi pagi
dan petang mengikut keperluan di lokasi tertentu dan bagi tahun depan
pertambahan 47 kelas itu adalah di Johor Bahru, Sarawak dan Kelantan.
Sementara itu, kontrak 3,462 guru dan penolong guru Tabika Perpaduan diperbaharui untuk tempoh tiga tahun lagi, bermula 2013.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
(JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan, buat pertama kalinya, Kementerian
Kewangan meluluskan permohonan itu untuk tempoh berkenaan yang berkuat
kuasa tahun depan.
Keputusan yang diperoleh minggu lalu itu akan membolehkan tenaga pengajar Tabika Perpaduan berkhidmat sehingga 2015.
Baru-baru ini, CUEPACS membangkitkan isu supaya kerajaan
menyambung kontrak guru dan penolong guru Tabika Perpaduan yang berakhir
pada 31 Disember ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sebelum ini ada rancangan
untuk memberikan jawatan tetap kepada guru dan penolong guru Tabika
Perpaduan ini, namun sehingga kini hasrat itu belum menjadi kenyataan.
Azman berkata, sebelum ini, kontrak guru dan penolong guru Tabika
Perpaduan diperbaharui setiap tahun, namun kali ini Perbendaharaan
melanjutkan tempoh itu kepada tiga tahun.