SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Mei 2014

DASAR BAHARU TEMPOH BERTENANG PESARA BELUM DIBUAT


Sinar Harian




  • Shahidan Kassim 
  • Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR - Kerajaan belum bercadang membentuk dasar baharu bagi mengenakan "tempoh bertenang" kepada pesara penjawat awam sebelum memegang jawatan di sektor korporat atau profesional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata setakat ini kerajaan hanya mempunyai peraturan menyekat pembabitan golongan itu dalam aktiviti yang mempunyai kaitan dengan bekas jawatan yang disandangnya.

"Buat masa ini kerajaan hanya mengenakan tempoh bertenang atau 'cooling period' terhadap bekas penjawat awam yang baru bersara daripada terbabit dalam aktiviti perniagaan atau berkhidmat dengan mana-mana agensi atau mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas jawatannya semasa berkhidmat.

"Ia bertujuan menyekat sebarang urusan berperolehan kerajaan sejurus selepas bersara termasuk tidak dibenar melobi kontrak-kontrak kerajaan," katanya menjawab pertanyaan Senator Rohani Abdullah di Dewan Negara di sini hari ini.

Rohani ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan satu dasar baharu untuk pesara penjawat awam sebelum memasuki sektor lain.

Shahidan berkata berdasarkan kajian, hanya enam peratus pesara penjawat awam terbabit dalam perniagaan yang mempunyai perolehan.

Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan pesara penjawat awam di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menimbulkan sebarang kerisauan keranatindakan tetap boleh diambil terhadap individu berkenaan sekiranya pelantikan itu tidak memberi sebarang kebaikan. 

Shahidan berkata setakat ini pesara penjawat awam yang dilantik dalam GLC berjaya membuktikan kemampuan mereka dan memajukan syarikat selaras dengan tujuan asal pelantikan mereka ke jawatan itu. - Bernama

28 Mei 2014

SUDAH TIBA MASANYA KERAJAAN PERKENAL ELAUN BANDAR UNTUK PENJAWAT AWAM - CUEPACS

Bernama
25/5/2014



KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun baharu khas untuk penjawat awam yang tinggal di bandar bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Presidennya Azih Muda berkata Elaun Bandar itu yang dicadangkan antara RM400-RM500 sebulan pasti dapat mengurangkan beban kewangan dihadapi penjawat awam, terutama yang tinggal di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Ipoh.

"Sudah sampai masanya untuk kerajaan memperkenalkan elaun ini kerana kita khuatir jika kita tidak bantu mereka, tumpuan terhadap kerja akan terganggu apabila penjawat awam ini memilih untuk melakukan pekerjaan sampingan dalam mendapat pendapatan tambahan.

"Kita mahu penjawat awam khususnya kumpulan pelaksana di bandar-bandar besar ini tidak terlalu terbeban dengan kos sara hidup yang melampau apabila mereka dapat menikmati elaun itu kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama-sama penjawat awam negeri Terengganu yang dirasmikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di sini Ahad.

Azih berkata Elaun Bandar dicadangkan itu adalah berbeza dengan Elaun Sara Hidup (COLA) kerana ia hanya dikhususkan kepada kira-kira 65 peratus penjawat awam yang tinggal di bandar.

"COLA ini pula, kita harap kerajaan akan buat penyeragaman (kadar COLA)kepada penjawat awam di seluruh negara, bukan seperti yang diamalkan sekarang.

"Ini kerana tiada perbezaan harga yang terlalu banyak di antara lokasi tertentu di seluruh negara, jadi wajarlah jika semua penjawat awam dapat menikmatinya pada kadar yang sama," katanya.

-- BERNAMA

JPA MAHU PENJAWAT AWAM UBAH PEDEKATAN BEKERJA

Bernama
27/5/2014



 KUALA TERENGGANU, 27 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mahu semua 1.5 juta penjawat awam mengubah pendekatan dan cara bekerja supaya selaras dengan transformasi sektor awam yang menjurus kepada merakyatkan perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata selaras dengan transformasi itu, semua penjawat awam dituntut menjalankan tugas dalam satu pasukan dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah yang berbangkit tanpa menghadapi banyak masalah birokrasi di pelbagai peringkat sektor awam.

Katanya rakyat yang menjadi pelanggan kepada sektor awam perlu mendapat perkhidmatan dan sistem penyampaian daripada kakitangan awam secara tepat dan cepat.

"Memang menjadi sasaran kita nak mengurangkan kerenah birokrasi di pelbagai peringkat perkhidmatan awam seperti yang dikehendaki dalam program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Sebab itu, kita kini ambil pendekatan nak merakyatkan perkhidmatan awam supaya penjawat awam di semua peringkat dapat turun ke akar umbi serta menjelaskan dasar kerajaan," katanya kepada pemberita sempena program bersama penjawat awam negeri anjuran Cuepacs di sini.

Mohamad Zabidi berkata pihaknya berharap pendekatan merakyatkan perkhidmatan awam juga dapat digerakkan secara bersama di semua peringkat termasuk pihak berkuasa tempatan, negeri dan Persekutuan.

Katanya pendekatan itu antara bertujuan mempermudah apa sahaja urusan antara penjawat awam dengan rakyat.

"Kita mahu rakyat mudah berurusan. Kalau kita tutup pintu, sukar berurusan, itu yang menimbulkan masalah.

"Sekarang kita kena ubah cara bekerja supaya rakyat mendapat layanan sewajarnya," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penjawat awam juga digalakkan mengikuti apa sahaja kursus yang diadakan yang boleh meningkatkan kompetensi mereka bekerja.

-- BERNAMA

23 Mei 2014

PTD PERLU DUDUK SEMEJA TANPA MENGIRA PANGKAT UNTUK SELESAI ISU - KPPA

Bernama
22/5/2014



PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) hari ini disaran agar duduk semeja tanpa mengira pangkat untuk menyelesaikan sesuatu isu atau masalah berbanding amalan menunggu laporan daripada pihak bawahan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata dengan cara itu sesuatu masalah atau perkara lebih mudah dan pantas untuk diselesaikan dan dapat mengelakkan masalah birokrasi.

"Jika kita bergerak berperingkat-peringkat mungkin dalam masa tiga bulan pun tak dapat siap. Kita kena berubah. Jangan terlalu birokratik," katanya pada Sesi Interaksi PTD Muda Bersama KPPA di sini.

Mohamad Zabidi berkata ia sebahagian daripada transformasi budaya kerja yang perlu mereka lakukan bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata mereka juga perlu menyokong antara satu sama lain walau berada di kementerian atau agensi yang berbeza dan bekerja sebagai satu pasukan.

Budaya kerja secara silo juga tidak boleh lagi diamalkan pada zaman globalisasi masa kini yang penuh dengan persaingan, katanya.

Seramai 500 pegawai PTD, barisan exco Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) dan pengurusan tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghadiri sesi itu yang dianjurkan oleh PPTD dengan kerjasama JPA.

Julung kali diadakan, ia bertujuan berkongsi mengenai transformasi JPA yang sedang dilaksanakan serta impak transformasi berkenaan kepada penjawat awam khususnya PTD, serta memberi peluang kepada PTD memberi input kepada JPA dalam merealisasi transformasi negara.

-- BERNAMA

21 Mei 2014

CUEPACS MAHU GAJI NAIK 30% HADAPI GST







LIMBANG 20 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan supaya menaikkan 30 peratus gaji penjawat awam bagi membolehkan mereka menikmati agenda dan transformasi kerajaan dengan baik.Presidennya, Azih Muda berkata, kenaikan itu membolehkan penjawat awam bersedia untuk menghadapi sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dijangka dilaksanakan pada 1 April 2015.

Katanya, CUEPACS berharap pelaksanaan GST kelak tidak menyebabkan barangan harian mengalami kenaikan yang melampau.“Pendedahan maklumat tentang pelaksanaan GST ini masih rendah dalam kalangan rakyat, justeru kerajaan perlu mempergiat pemahaman sistem itu kepada semua pihak agar tidak dianggap membebankan.“Dalam masa sama, penjelasan tentang GST ini membolehkan kumpulan sasar iaitu rakyat dan komuniti setempat betul-betul faham, seterusnya menikmati keuntungan daripada sistem cukai itu," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa menghadiri Seminar Transformasi CUEPACS yang turut disertai Pengerusi CUEPACS negeri, Cecilia Yong.Dalam perkembangan lain, Azih berkata, kerajaan dan setiausaha kerajaan negeri diminta melaksanakan segera 81 skim perkhidmatan untuk penjawat awam di Sarawak kerana telah diluluskan pada 1 Julai 2013.Katanya, pelaksanaan itu adalah wajar kerana ramai penjawat awam di negeri itu masih menunggu tarikh dan pelaksanaan sebenar skim tersebut.

“CUEPACS juga memerlukan ruang untuk bertemu dengan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani untuk melaksanakan segera 81 skim tersebut, selain memohon pertimbangan menyemak 100 lagi skim lain.“Sehingga kini, skim penguatkuasaan dan perkeranian masih menunggu bentuk skim baharu manakala bagi klasifikasi lain sudah menerima faedah daripada 81 skim berkenaan," katanya.

Pada 22 November tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menyatakan bahawa kerajaan telah selesai melakukan kajian semula terhadap 81 skim, membabitkan perkeranian dan penguat kuasa manakala 100 skim lagi sedang diteliti.

20 Mei 2014

EMPLOYERS LOSE UP TO RM8 BILLION DUE TO FAKE MEDICAL LEAVES




Astro Awani
20/5/2014


Employers lose up to RM8 billion due to fake medical leaves
Some clinics and health centres have been known to issue 'fake' medical certificates

KUALA LUMPUR: It is estimated that employers in the country tend to lose up to RM8 billion a year due to employees taking  fake medical leaves given by clinics and health centres.
Secretary of the Malaysian Employers Federation, Datuk Shamsuddin Bardan said the loss includes the payroll of the employee on medical leave, medical costs and the cost of replacing the employee on medical leave.

"There are some cases that we know of employees have been certified as sick and is given medical leave from doctors. But these employees, instead of resting at home, they do other jobs like selling nasi lemak, pisang goreng and so on,” he said. 

Samsuddin added, that the current economic pressures have forced some workers to make business as a source of side income and thus medical leave is taken to garner more income.

"We also know that workers in Malaysia mostly see a doctor not for treatment and medication but to take leave.  In fact, some patients scold the doctors and there are several reports from the doctors on this matter," he said.

He added that this unethical act will not only impact the industry, but the governing laws under the industry as well.

In addition to taking medical leave for business purposes, MEF also found that employees take medical leave as an extension after their rest days as a form of protest towards an employers.

A study by MEF found that the Malaysian industry loses four percent of working days due to medical leaves taken by employees.

According to a statistic by CUEPACS, three percent of public servants fake their medical leave to skip work.

The fake medical leave became a matter of concern when it was reported that the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) will work with the Health Ministry to carry out investigations on counterfeiting medical leave to deceive employers and earn more money.


14 Mei 2014

CUEPACS SOKONG USAHA KERJAAAN LONJAK PENCAPAIAN NEGARA

Bernama
14/5/2014

KUALA TERENGGANU, 14 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengalu-alukan usaha kerajaan melonjakkan pencapaian negara menjelang tahun 2020.
Presidennya Azih Muda berkata usaha yang dibuat seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), mampu melonjakkan negara menjadi sebuah negara maju dalam tempoh enam tahun lagi.

"Sasaran kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai pendapatan perkapita sehingga USD15,000 menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Laporan Tahunan GTP dan ETP 2013 yang dilancarkan Perdana Menteri Isnin lepas antara lain berkata GTP 2.0 berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada 2013 dengan keberhasilan ketara dalam pengupayaan ekonomi individu dan masyarakat.

Najib juga berkata fakta kejayaan itu boleh dilihat melalui pelbagai manfaat besar yang telah dinikmati rakyat, termasuk melalui pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 melibatkan peruntukan berjumlah RM2.91 bilion yang dinikmati lebih 4.8 juta isi rumah berpendapatan rendah.

Azih berkata bantuan BR1M sebahagian kecil adalah penerima penjawat awam yang masih lagi berpendapatan rendah.

"Harapan kita selepas ini melalui pakej yang sedang dirancang kerajaan, bukan sahaja merubah landskap rakyat, tetapi mahu melonjakkan sektor awam itu sendiri bersama sektor swasta berganding bahu dalam Strategi Lautan Biru.

"Kita yakin di bawah strategi kerajaan itu ia akan memberi lonjakan yang berganda," katanya.



-- BERNAMA

12 Mei 2014

PELUANG KENAIKAN PANGKAT LEBIH BAIK BAGI SKIM PERKHIDMATAN TERTUTUP - KSN

Bernama
11/5/2014


 BATU PAHAT, 11 Mei (Bernama) -- Penjawat awam dalam skim perkhidmatan tertutup bakal menikmati peluang kenaikan pangkat lebih baik dan peluang-peluang lain selepas kajian semula terhadap skim perkhidmatan mereka selesai.
Mengumumkan demikian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, untuk itu sistem kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang akan diperkenalkan.

Beliau mengakui wujud kekangan kenaikan pangkat bagi penjawat awam di dalam skim perkhidmatan tertutup kerana ia terhad kepada jawatan sedia ada.

"Peluang kenaikan pangkat dan sebagainya adalah terhad. Ramai yang tunggu di bawah kerana ia seperti sistem piramid.

"Mungkin yang dapat (kenaikan pangkat) satu dua tetapi yang lain tidak dapat walaupun mereka sama-sama berkaliber dan telah berkhidmat lama," katanya.

Ini akan cuba diatasi, kata beliau pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini hari ini.

Turut hadir naib canselornya Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Menurutnya, penambahbaikan terhadap skim perkhidmatan tertutup itu akan dilakukan secara berperingkat memandangkan implikasi kewangannya jika dibuat serentak secara menyeluruh.

Usaha menambaik skim terbabit sudah dilaksanakan di Jabatan Pertanian.

Ali berkata pihaknya kini melihat skim perkhidmatan di Jabatan Kastam; Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; serta Jabatan Geosains dan Mineral.

"Setakat ini 80 skim perkhidmatan telah pun dikaji semula dan bakinya sedang di dalam proses dan dijangka selesai tahun ini. Lebih 270 skim perkhidmatan akan selesai dikaji semula," katanya.

Beliau berkata, wujud banyak jabatan profesional di dalam skim perkhidmatan tertutup dan kajian semula itu bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada penjawat-penjawat awam.

Dalam pada itu, Ali berkata kerajaan akan membantu penjawat-penjawat awam memiliki rumah sendiri menerusi Skim Projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia.

Pihaknya kata beliau, sedang mengenalpasti tanah-tanah yang sesuai diseluruh negara untuk didirikan projek perumahan berkenaan.

Rumah-rumah itu katanya, akan dijual pada harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Terdahulu di dalam ucapannya, Ali berkata, rakyat Malaysia semakin peka, berpendidikan tinggi, dan menaruh harapan yang kian meningkat terhadap sistem penyampaian Perkhidmatan Awam negara.

Selaku penjawat awam katanya, mereka tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian, tetapi perlu sentiasa berusaha untuk mencapai tahap lebih baik dan lebih tinggi.

-- BERNAMA

09 Mei 2014

CUEPACS SANGGAH PEMANDU

Berita Harian
8/5/2014



CEUPACS sanggah PEMANDU  
Azih berucap pada Mesyuarat Agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) Cawangan Kluang, semalam.

CUEPACS sanggah laporan PEMANDU prestasi penjawat awam menurun

Kluang: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sanggah laporan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang menyifatkan prestasi penjawat awam semakin menurun, sebagai tidak tepat dan berat sebelah.

Presiden CUEPACS, Azih Muda, berkata penilaian yang dibentangkan PEMANDU dalam taklimat bersama kepemimpinan negara baru-baru ini, menunjukkan PEMANDU gagal memahami realiti sebenar perkhidmatan awam negara.
Bagaimana mereka (PEMANDU) mengukur produktiviti penjawat awam, termasuk guru dan doktor yang tidak pernah selesai tugas mereka, mahupun anggota penguat kuasa yang amat berdedikasi hingga mempertaruhkan nyawa serta keluarga” Azih Muda, Presiden CUEPACS

Katanya, PEMANDU perlu memperbetulkan penilaian berat sebelah itu berikutan kayu ukur yang digunakan bukan saja tidak relevan, malah tidak mengambil kira kecemerlangan ditunjukkan pelbagai agensi serta penjawat awam yang meraih pelbagai kejayaan membanggakan.

08 Mei 2014

JANGAN PERTIKAI SUMBANGAN PENJAWAT AWAM

Utusan Malaysia
8/5/2014




Laporan Unit Pengurusan Pres­tasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang menyifatkan prestasi penjawat awam semakin menurun cukup memeranjatkan semua pihak. Malah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga sanggah laporan ini yang menyifatkan prestasi penjawat awam semakin menurun, sebagai tidak tepat dan berat sebelah.

Justeru, Majlis Persatuan Pentadbir IPTA Malaysia (Masti) berpandangan penilaian yang telah dibuat oleh Pemandu termasuk rumusan bahawa kadar upah yang tinggi menyebabkan produktiviti penjawat awam semakin menurun memerlukan satu penjelasan yang terperinci dengan kadar yang segera. Masti memohon agar pihak Pemandu tampil memperincikan dan menjelaskan kepada khalayak asas rumusan dan kesimpulan sebegini kerana ianya jelas boleh menjejaskan semangat dan motivasi penjawat awam yang bertungkus lumus selama ini menyokong dan menjayakan segala agenda transformasi kerajaan.

Pemandu juga perlu menjelaskan kaedah pengukuran dan penilaian yang telah dibuat ke atas sumbangan, peranan dan produktiviti penjawat awam sehingga boleh membuat kesimpulan seperti ini.Sudah semestinya kita hendak tahu apa metodologi yang telah digunakan dalam kajian ini dan siapa pula sampel kajian yang terlibat? Hal ini penting kerana ia mencetuskan pelbagai persoalan, mi­salnya apakah selama ini penjawat awam tidak menyumbang apa-apa ke arah pembangunan negara dan masyarakat? Kenapa begitu mudah mempertikai sumbangan penjawat awam?  Ini adalah satu isu yang cukup serius dan Masti berharap agar pihak kerajaan terutama Perdana Menteri sendiri memandang serius laporan seumpama ini dan membantu membetulkan keadaan.

Masti khuatir laporan ini boleh mencetuskan pelbagai andaian, persepsi dan spekulasi dalam kalangan masyarakat terutama terhadap imej dan kredibiliti penjawat awam dan juga agensi kerajaan secara keseluruhannya.Justeru, dalam konteks ini, Masti menyokong penuh respondan pendirian kepimpinan CUEPACS, sekali gus memohon campur tangan kerajaan dengan segera supaya perkara ini dapat diselesaikan dan diperjelaskan dengan sewajarnya.

NOOR MOHAMAD
SHAKIL HAMEED
Timbalan Presiden Majlis Persatuan Pentadbir IPTA Malaysia

CUEPACS KECEWA LAPORAN PRODUKTIVITI PENJAWAT AWAM MENURUN

Utusan Malaysia
7/5/2014



KLUANG 7 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa dan menempelak laporan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang menyatakan produktiviti penjawat awam hari ini semakin menurun.Presidennya, Azih Muda berkata, laporan Pemandu kepada kepimpinan tertinggi negara itu itu tidak tepat kerana penanda aras yang digunakan hanya bersandarkan kepada faktor kadar upah yang diberikan dan ia hanya akan menyebabkan penjawat awam berasa terkilan.

"CUEPACS menafikan laporan itu dan kita tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan Pemandu kerana produktiviti penjawat awam pada hari ini jauh lebih baik berbanding dahulu, buktinya lihat kepada pengumuman kerajaan yang menyatakan perkhidmatan kesihatan negara kita berada pada tangga ketiga terbaik di dunia."Begitu juga dengan penarafan lima bintang kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-19 Kesatuan Pembantu Tadbir Pendidikan (Keptan) Cawangan Kluang, di sini hari ini.

Menurut Azih, laporan yang dikemukakan itu dibuat menerusi satu taklimat khas kepada kepimpinan tertinggi baru-baru ini, namun maklumat itu baharu sahaja ‘bocor’ kepada pihaknya semalam dan berharap pihak berkaitan dapat mengkaji semula kenyataan itu. Mengulas lanjut, dakwa beliau, Pemandu membuat perbandingan mengenai gaji yang diterima penjawat awam ketika ini berbanding kadar upah yang diberikan sebelum ini."Kata mereka (Pemandu), dahulu kadar upah penjawat awam rendah tetapi produktiviti tinggi namun apabila ada peningkatan gaji, tahap produktiviti masih sama dan tidak menunjukkan peningkatan. Kita tidak faham mengapa perkara itu yang menjadi ukuran."Sebaliknya, Pemandu perlu turun ke bawah untuk melihat cara kerja penjawat awam yang semakin hari berdepan tekanan dan mereka sepatutnya bukan hanya duduk di atas semata-mata untuk mengejar petunjuk prestasi utama (KPI)," tegasnya.

Dalam pada itu, CUEPACS menaruh harapan tinggi mengenai beberapa tuntutan yang dikemukakan pihaknya dalam Persidangan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (Mapa) yang akan diadakan di Putrajaya pada 10 Jun depan."Kita berharap kerajaan memberi perhatian segera terhadap tuntutan itu terutamanya tiga perkara penting iaitu penetapan gaji minimum kakitangan awam kepada RM1,200, penyelarasan elaun sara hidup (COLA) di semua kawasan dan penukaran status kuarters kerajaan kepada rumah sewa kerajaan," kata Azih

07 Mei 2014

PM JUMPA CUEPACS JUN PERINCI TUNTUTAN

Utusan Malaysia
2/5/2014



KUBANG PASU 1 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi membincangkan tuntutan mereka pada bulan depan.Menurutnya, dalam pertemuan itu, setiap tuntutan tersebut perlu diperincikan oleh CUEPACS untuk pertimbangan kerajaan.

"Saya ada peluang untuk menimbangkan rayuan, bisikan bukan desakan tetapi bukan hari ini sebenarnya sebab bulan depan saya akan jumpa CUEPACS dalam perjumpaan tahunan.
"Dalam perjumpaan itu akan ada jangkaan dan akan sentuh berhubung pekerja, penjawat awam. Saya faham tetapi biarlah kerajaan gunakan platform lebih tepat untuk timbang kehendak anda (CUEPACS). 

"Ini hari pekerja adalah untuk semua, bukan untuk awam sahaja bahkan pekerja swasta. Jadi hari ini saya nak cakap secara keseluruhannya betapa pentingnya kita fahami situasi dan perjalanan kita sebagai sebuah negara," katanya.Beliau berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Wawasan Jitra, di sini hari ini.

CBP SISTEM CUKAI PROGRESIF, BUKAN UNTUK BEBANKAN RAKYAT - PM

Bernama
5/5/2014



PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) adalah sistem percukaian yang progresif dan pengenalannya bukanlah untuk membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata penerangan berhubung CBP, yang telah dilaksanakan kira-kira 90 peratus negara di dunia, perlu digiatkan supaya rakyat benar-benar faham dan tidak melulu membantah tanpa mengetahui tujuan dan asas sistem pencukaian berkenaan.

"Kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa ramai yang tidak bayar cukai. Saya tahu sebagai Menteri Kewangan ramai yang tidak bayar cukai atau bayar sikit daripada yang sepatut dibayar.

"Dengan adanya sistem ini, ia lebih progresif kerana ia bergantung kepada banyak mana perbelanjaan kita dan dengan cara seperti ini dengan langkah kita mengecualikan cukai pada barang-barang keperluan rakyat maka pengenalan CBP ini tidaklah membebankan rakyat," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini Isnin.

Najib berkata kerajaan akan melihat dan memperincikan lebih banyak barangan dan produk yang boleh dikecualikan daripada CBP tanpa menjejaskan perluasan asas hasil.

Beliau berkata melalui pelaksanaan CBP itu kerajaan akan mampu memacu pertumbuhan yang lebih tinggi untuk negara dan mampu membina lebih banyak infrastruktur dan keperluan asas di bandar dan luar bandar.

"Sebab jika kita tidak membina infrastruktur lebih moden, kita akan kehilangan kelebihan kompetitif," jelas Najib.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa negara memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk modal insan kerana ia juga merupakan faktor kritikal dalam soal kekuatan kompetitif mana-mana negara.

"Selain itu hasil pencukaian juga perlu untuk bidang kesihatan kerana terdapat keperluan untuk menambah hospital, peralatan dan sebagainya yang menjadi perkara mendesak untuk rakyat," katanya.

Najib berkata dengan tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam sebanyak 1.5 juta orang, negara memerlukan hasil negara yang mencukupi.

"Itulah langkah dan falsafah yang dipegang oleh kerajaan yang ada pada hari ini dan saya percaya dengan langkah seperti ini akan membolehkan mengangkat kedudukan negara kita seperti yang diimpikan bersama," katanya.

CBP akan diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus. Najib berkata sistem pencukaian CBP telah lama dikaji oleh kerajaan dan telah diguna pakai kira-kira 90 peratus negara di dunia ini.

"Kalau sistem ini sudah terbukti (negara lain), tentu sekali bagi kita di Malaysia, kalau kita guna sistem CBP ini, kita mestilah akan dapati ini adalah sistem yang adil, progresif dan boleh diterima oleh rakyat," katanya.

-- BERNAMA

05 Mei 2014

PROGRAM PENERANGAN CUEPACS BERJAYA TINGKATKAN PEMAHAMAN PENJAWAT AWAM TENTANG CBP

Bernama
5/5/2014



KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Penjawat awam, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kini semakin memahami kepentingan dan rasional di sebalik pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Menurut Presidennya, Azih Muda, ia merupakan hasil daripada program penerangan CBP yang giat dijalankan oleh Cuepacs sejak tahun lepas.

"Sehingga hari ini Cuepacs telah melakukan program penerangan CBP di beberapa buah negeri, antaranya di Kedah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan, kami akan melakukan program yang sama di negeri-negeri lain dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Katanya, pada mulanya memang terdapat penjawat awam yang keliru dan risau CBP akan menyebabkan peningkatan harga barangan keperluan harian, selain maklumat mengenainya amat sedikit dan terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat di laman sosial.

"Bagaimanapun setelah beberapa program penerangan dijalankan, kebanyakan mereka mula memahami kepentingan dan kelebihan pelaksanaan sistem cukai baharu ini," katanya.

Beliau berharap dengan penerangan yang diberi, penjawat awam dapat menyalurkan maklumat yang betul berkaitan CBP kepada anggota masyarakat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan maklumat yang sengaja dipesongkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini adalah untuk menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu kakitangan kerajaan meningkatkan penerangan mengenai CBP agar rakyat tidak keliru dan terus ditipu oleh pihak tertentu," kata Azih.

Najib semasa membentangkan Belanjawan 2014 pada Oktober tahun lepas mengumumkan cukai tunggal CBP pada kadar 6 peratus akan dilaksanakan pada 1 April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

TIDAK KURANG PENJAWAT AWAM BUKTI KERAJAAN PRIHATIN - JAILANI JOHARI

Bernama
4/5/2014



HULU TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Kesediaan kerajaan untuk tidak mengurangkan bilangan penjawat awam, yang kini mencecah 1.5 juta orang, mencerminkan kecaknaan kerajaan terhadap kebajikan golongan itu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata tidak seperti pembangkang yang berhasrat menguncupkan saiz perkhidmatan awam jika mereka memerintah negara, kerajaan Barisan Nasional tetap bersandar kepada penjawat awam sebagai tulang belakang bagi kemajuan negara.

"Atas pengiktirafan dan harapan inilah, sewajarnya penjawat awam mempertingkat usaha dan terus memberi perkhidmatan yang terbaik dalam tugas seharian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) Pejabat Terengganu di sini, Ahad.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 di Jitra, Kedah pada Khamis lepas bahawa Kerajaan tidak bercadang mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini.

"Ketegasan Perdana Menteri dalam hal ini adalah berita baik buat semua penjawat awam di seluruh negara," kata Jailani.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata status Malaysia sebagai sebuah negara membangun amat memerlukan penjawat awam dalam pelbagai bidang bagi memudahkan urusan rakyat.

"Nisbah penjawat awam dengan rakyat ketika ini ialah 1:20 sedangkan negara maju pula mempunyai nisbah 1:13. Ini menunjukkan negara masih memerlukan penjawat awam dalam usaha kita mencapai status negara maju.

"Di sesetengah kawasan, terutama di luar bandar, rakyat masih memerlukan perkhidmatan kerajaan dan lebih selesa serta percaya dengan penjawat awam," katanya.

-- BERNAMA

PENJAWAT AWAM PERLU RASIONAL DALAM SETIAP TINDAKAN - CUEPACS

Bernama
4/5/2014



HULU TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Presiden Cuepacs Azih Muda pada Ahad meminta segelintir penjawat awam supaya lebih rasional dalam tindakan mereka agar ia tidak memberi kesan negatif kepada rakan mereka yang sangat komited menjalankan tugas.

Ini kerana apabila segelintir daripada mereka menyokong pembangkang, ia secara tidak langsung menafikan hak-hak penjawat awam yang menyokong usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

"Apa sahaja yang mereka tidak puas hati sepatutnya perlu guna saluran yang betul..melalui Cuepacs, kita akan ajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malah banyak tuntutan kita yang diambil berat oleh beliau.

"Malangnya, tindakan segelintir mereka ini lah yang memberi persepsi, gangguan dan budaya kekecewaan yang secara tidak langsung akan memberi imej negatif terhadap kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) Terengganu yang disempurnakan Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari di sini.

Ditanya sama ada terdapat penjawat awam yang menyertai Perhimpunan Membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) pada Khamis lalu, Azih berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

"Saya sangat berharap agar tiada penjawat awam terlibat kerana ia adalah perkara asas yang perlu difahami dan dipatuhi agar mereka tidak menyertai himpunan seumpama itu sehingga menyebabkan tindakan tatatertib boleh diambil kerana melanggar Akujanji dan Ikrar Perkhidmatan yang dibuat semasa diterima bekerja dalam sektor awam," katanya.

Malah, tindakan paling teruk yang boleh dikenakan adalah dibuang kerja, katanya.

-- BERNAMA

04 Mei 2014

GST: TUMPU PENERANGAN DI KAWASAN LUAR BANDAR

Utusan Malaysia
4/5/2014



KUALA LUMPUR 4 Mei - Kerajaan perlu menumpukan penerangan berkenaan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada penduduk kawasan luar bandar di seluruh negara bagi meningkatkan pemahaman rakyat mengenai cukai tersebut.Tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ini disebabkan pemahaman masyarakat luar bandar mengenai pelaksanaan GST masih rendah kerana mereka kurang didedahkan kepada akses berita seperti akhbar dan internet.
“GST perlu dilaksanakan kerana ia merupakan perkara baik. Bagaimanapun, penjelasan kepada rakyat terutama di luar bandar perlu diperluaskan supaya mereka faham dan sokong pelaksanaannya. “Oleh itu, kerajaan melalui Jabatan Penerangan perlu bergerak lebih aktif menerusi media sosial serta mengadakan lebih banyak jelajah di kawasan pedalaman untuk menjelaskan mengenai GST kerana perkara ini tidak boleh dilakukan dalam masa sehari atau dua hari sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan-dewan perniagaan menganjurkan perhimpunan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat. Usaha itu juga, kata Ibrahim, perlu sebagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST anjuran pembangkang Khamis lalu.Sementara itu, mengulas mengenai cadangan tersebut, Ramon berkata, kerajaan perlu memainkan peranan untuk menjelaskan mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat lebih daripada yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kerajaan mesti bertanggungjawab dan bukannya NGO. Bukan tugas NGO untuk menjelaskan perkara tersebut sebaliknya kerajaan yang mesti melakukannya dengan lebih meluas," katanya.Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Ridhwan Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu bertindak agresif menerangkan kepentingan pelaksanaan GST bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengenai perkara tersebut.
"GST ini merupakan benda baharu kepada rakyat Malaysia dan apabila perkara baharu, masih ramai yang akan ragu-ragu dan salah faham, terutama apabila usaha daripada kerajaan untuk menerangkan perkara itu masih belum cukup."Bukan semua benda dan perkhidmatan akan dikenakan GST, malah cukai itu juga tidak akan menindas atau menjejaskan golongan miskin dan kurang berkemampuan," jelasnya.

PERKASA NAFI ANJUR HIMPUNAN GST 15 MEI INI

Utusan Malaysia
4/5/2014


KUALA LUMPUR 4 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menafikan akan menganjurkan Himpunan Sejuta Rakyat Sokong Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa akan diadakan di Dataran Merdeka pada 12 Mei ini.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali (gambar) berkata, pihaknya pasti perkara itu merupakan kerja kotor tentera siber propembangkang, Read Bean Army (RBA) yang menerima dana jutaan ringgit daripada pihak luar untuk memburukkan Perkasa.“Perkasa mengutuk perbuatan mereka ini. Mereka merupakan jenis yang tak ada kerja lain dan sentiasa mahu membuat fitnah.

“Oleh itu, kita akan membuat laporan polis agar pihak polis dapat menyiasat kerja-kerja kotor pihak berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas mengenai penyebaran poster oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman sosial berhubung Himpunan Sejuta Rakyat Sokong GST anjuran Perkasa dan Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) di Dataran Merdeka pada 12 Mei ini.

Perkara ini susulan daripada kenyataan Pre­siden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan agar Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan-dewan perniagaan supaya menganjurkan perhimpunan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat selain sebagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST anjuran pembangkang pada Khamis lalu.

03 Mei 2014

KERJAAN TIDAK KURANGKAN BILANGAN PENJAWAT AWAM


Utusan Malaysia
2/5/2014


NAJIB Tun Razak menyampaikan cek bernilai RM23,364,700 kepada Presiden CUEPACS, Azih Muda (kanan) pada sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 di Dewan Wawasan Jitra, Kubang Pasu, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
KUBANG PASU 1 Mei - Kerajaan tidak akan mengurangkan bilangan penjawat awam yang kini berjumlah lebih 1.5 juta seperti diperkatakan oleh pemimpin pembangkang jika mereka memerintah negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri berkata, sebaliknya kerajaan tetap menjaga kebajikan penjawat awam walaupun pada masa sama pembangkang berhasrat untuk menguncupkan saiz perkhidmatan golongan tersebut.

"Kerajaan tidak ada cadangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam seperti yang diperkatakan oleh pemimpin pembangkang. Mereka gambarkan sekiranya dapat kuasa, ada yang kata nak buang separuh daripada jumlah penjawat awam yang melebihi 1.5 juta ini."Mereka akan kuncupkan saiz perkhidmatan penjawat awam tetapi kerajaan hari ini tidak ada cadangan sedemikian," katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 bertemakan Penjawat Awam Tiang Seri Negara di Dewan Wawasan Jitra, di sini hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri menggariskan lima prinsip yang perlu diamalkan oleh setiap penjawat awam demi memastikan transformasi negara berjalan lancar. Beliau berkata, prinsip pertama adalah semua penjawat awan termasuk anggota pentadbiran perlu mempunyai ilmu agar mampu menjadi pemimpin di semua peringkat dengan cemerlang. "Hal demikian kerana dunia berubah dengan pantas, jika kita ingin menjadi sebuah negara yang mampu mengemudi perubahan dengan pantas, budaya ilmu ialah asas pertama yang perlu kita ikuti. Kita perlu rajin membaca untuk menambah ilmu pengetahuan pada diri kita," katanya.

Prinsip kedua pula kata Perdana Menteri, kebolehpercayaan yang meliputi sifat jujur, amanah, integriti dan diyakini serta mempunyai nilai-nilai murni sejagat yang dipercayai oleh masyarakat. "Ini penting kalau rakyat biasa dari kampung datang jumpa kita, layan mereka dengan baik, kalau sesuatu yang munasabah dipohon patut kita beri kelulusan kepada mereka. Cara ini menambahkan kebolehpercayaan rakyat kepada kerajaan," katanya.Katanya, prinsip seterusnya ialah budaya amalan kerja terbaik yang merupakan cermin kepada kewibawaan penjawat awam dan penjawat awam mesti mempunyai semangat patriotik dan menunjukkan rasa cinta kepada negara.

"Prinsip kelima ialah budaya keberhasilan yang berteraskan hasil. Ini penting bagi meningkatkan mutu dan kualiti kerja dengan bersandarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI)," katanya.Sempena majlis itu, Anugerah Bahagian CUEPACS Contoh dimenangi CUEPACS Pahang yang diterima Pengerusinya, Kamarulzaman Abdul Razak manakala bagi Anugerah Kesatuan Cemerlang dimenangi Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) yang diwakilinya Presidennya, Rosni Aziz.

CUEPACS AKAN TIMBANG CADANGAN PERKASA

Utusan Malaysia
3/5/2014



KUALA LUMPUR 3 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mempertimbangkan cadang­an Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia untuk menganjurkan perhimpunan besar-besaran bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat.
Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya tiada masalah untuk mengadakan perhim­punan itu sekiranya dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan rakyat mendapat gambaran tepat mengenai GST namun perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa."Sekarang ini pun, CUEPACS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk pegawai-pegawai kerajaan bertanggungjawab telah mengadakan bebe­rapa siri turun padang berjumpa rakyat bagi memberi penjelasan me­ngenai GST.

"Kami boleh menganjurkan perhimpunan itu, tetapi tidak mahu melibatkan mana-mana parti politik. Kami hanya me­ngalu-alukan kerjasama JKDM, wakil Kementerian Kewangan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pre­siden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan CUEPACS dan Dewan-Dewan Perniagaan supaya menganjurkan perhimpunan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat selain sebagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST anjuran pembangkang pada Khamis lalu.
Menurut Azih, program turun padang yang dianjurkan pihaknya akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan menyebarkan maklumat mengenai pelaksanaan GST kepada rakyat."Sudah menjadi antara tanggungjawab CUEPACS untuk bantu kerajaan memberi penjelasan kepada mereka yang masih belum faham sepenuhnya mengenai GST ini," ujarnya.