SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

21 September 2008

BOLASEPAK MERAPATKAN HUBUNGAN

Petikan dari Utusan Malaysia
OLEH AMRAN AHMAD
21/9/2008


OMAR Osman menyerahkan beg Konvensyen Cuepacs ke-24 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Disember 2007.
OMAR yang meminati bola sepak sejak kecil lagi menjadikan sukan tersebut sebagai aktiviti santainya yang bukan sahaja mengekalkan kecergasan badan dan minda malahan turut memberi ruang kepadanya untuk menambah bilangan kawan dan merapatkan hubungan persahabatan yang sedia ada.
"Bola sepak bagi saya adalah sukan yang sebenar-benarnya kerana melibatkan pergerakan seluruh anggota badan, dari hujung rambut hingga ibu jari, dan mengeluarkan peluh yang banyak untuk membolehkan seseorang itu kekal berstamina dan mempunyai bentuk badan yang menarik.
"Semasa bermain bola sepak, saya juga belajar untuk menumpukan perhatian pada permainan dan minda diajar agar sentiasa melihat peluang yang ada dan bertindak mengikut strategi yang dirancangkan. Selebihnya sukan ini adalah medan pertemuan yang baik untuk merapatkan hubungan dengan rakan-rakan.
"Pada masa yang sama, menerusi sukan ini, saya berjaya membina semangat setiakawan yang tinggi. Pengalaman mengurus dan melatih pasukan bola sepak telah membentuk peribadi, perwatakan selain menimba ilmu pengetahuan terutama teknik menyelesaikan masalah di atas padang antara pemain," jelas anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu.
Sering bermain bola sepak di padang bola sepak Universiti Putra Malaysia (UPM) dua minggu sekali secara puratanya, Omar yang memuja legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari atau lebih terkenal dengan gelaran Super Mokh itu turut menjadi Pengurus Pasukan Bola Sepak Pelajar (UPM) sejak beberapa tahun yang lalu.
Sepanjang menjadi pengurus pasukan itu, beliau yang pernah menjadi pengadil bagi Negeri Selangor Darul Ehsan telah mencatatkan beberapa kejayaan antaranya membawa pasukan berkenaan menjadi juara dalam tiga kejohanan yang melibatkan pertandingan bola sepak antara universiti-universiti di negara ini pada tahun lalu.
Atas kecemerlangan dan pengalaman berdekad lamanya dalam sukan tersebut, Omar yang menjadi peminat setia pasukan bola sepak Selangor sejak zaman remajanya turut dilantik menjadi Jurulatih Utama Pasukan Bola Sepak Kakitangan UPM.
Ditanya mengenai perbezaan sukan bola sepak dahulu dan sekarang, Omar berpendapat pemain dahulu bermain atas semangat kesukanan yang cukup tinggi dengan azam menebal untuk memartabatkan sukan berkenaan di peringkat tempatan dan kalau boleh, negara mampu menyertai kejohanan besar seperti Piala Dunia.
Imbuhan
Namun, keadaan sekarang cukup berbeza dengan prestasi pemain bola sepak, sama ada tempatan mahupun luar negara dimotivasi oleh ganjaran dalam bentuk gaji atau imbuhan yang membawa maksud tahap produktiviti ditentukan mengikut berapa banyak duit yang diterima.
Selain bola sepak, Omar yang sering mengikuti perlawanan Liga Inggeris dan meminati pasukan Arsenal turut melibatkan diri dalam sukan ragbi dan hoki dengan menonton perlawanan kedua-dua sukan itu di televisyen jika ada masa yang terluang.
Sebagai pemimpin kesatuan, Omar turut mengakui bahawa masa beliau untuk bersama keluarga sememangnya agak terhad kerana terpaksa menghadiri pelbagai acara termasuk mesyuarat, rundingan serta perjumpaan dengan 1.3 juta ahli Cuepacs di seluruh negara.
Mengulas mengenai kehidupan beliau sebagai pemimpin nombor satu kesatuan sekerja terbesar negara, Omar selalu mengingati bahawa tugas besar beliau ialah membela, mempertahankan serta memartabatkan imej kakitangan kerajaan di negara ini.
"Ada ketikanya saya pernah dikeji, dikritik, dikutuk dan dimaki oleh ahli-ahli yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya. Tetapi ini semua adalah perkara biasa kerana saya anggap ia sebagai sepak terajang dalam perjuangan kesatuan sekerja.
"Jika saya menghadapi tekanan ataupun bingung dalam merencanakan perjuangan apabila berlaku banyak masalah dan tekanan, saya akan selalu teringatkan idola-idola saya dalam kesatuan sekerja dan susur galur perjuangan mereka sebelum ini.
"Antara yang saya kagumi ialah bekas Presiden Cuepacs, Allahyarham Ahmad Nor dan A. Ragunathan serta bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Zainal Rampak," katanya lagi.
Bapa kepada anak tunggalnya, Putri Amirah Omar hasil perkahwinan dengan Rahida Abdul Razak itu walau bagaimanapun akan cuba sedaya-upaya meluangkan masa bersama keluarga untuk bercuti sekali-sekala dengan membawa isteri dan anaknya itu melawat tempat-tempat menarik di seluruh negara.
Sedikit mengenai latar belakangnya, Omar gemar makanan mengikut resipi masakan negeri kelahirannya serta sayuran dan buah- buahan. Beliau mula diberi tanggungjawab sebagai Presiden Cuepacs pada 22 Oktober 2006 selepas Datuk Nordin Abdul Hamid bersara wajib. Presiden Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama) itu diberi tanggungjawab tersebut kerana kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Presiden Cuepacs 1. Dalam pemilihan yang diadakan pada 11 Disember 2007, beliau menang tanpa bertanding, sekaligus mencatat sejarah kerana tidak dicabar bagi jawatan tertinggi kesatuan sekerja itu yang sebelum itu menyaksikan pertandingan.
Omar, pelajar generasi pertama sekolah vokasional di Bukit Senyum, Johor Bahru meminati artis-artis era 60an seperti Jefry Din, L. Ramlee, Ahmad Jais, Azizah Mohamad dan Sharifah Aini. Beliau pernah menerima anugerah Tokoh Putra Terbilang 2008 dari UPM.
Sejarah Cuepacs dengan visinya iaitu kekal sebagai Pusat Kebangsaan Kesatuan Sekerja Unggul Sektor Awam bermula pada tahun 1948 apabila beberapa pemimpin kesatuan sekerja sektor awam mengambil langkah pertama menubuhkan Majlis Kakitangan Perkhidmatan Kerajaan yang mewakili 40 badan kesatuan sekerja awam.
Matlamat utama majlis itu ditubuhkan ialah untuk menggalakkan kerjasama antara kesatuan, tanpa melibatkan diri dalam autonomi individu hal-ehwal pentadbiran kesatuan demi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan bersama anggota yang bergaji bulan daripada kesatuan-kesatuan yang menyertainya.
Dari situ, majlis berkenaan kemudiannya bertukar kepada Cuepacs dan didaftarkan di bawah Enakmen Kesatuan Sekerja pada 23 Oktober 1957 sebelum didaftarkan semula pada 12 November 1960 ekoran penyusunan Pejabat Pendaftar Kesatuan Sekerja.

Tiada ulasan: