SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

02 September 2008

BONUS: KAKITANGAN AWAM LEGA

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM dan LIAU PEI WEN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Sejumlah dua juta kakitangan awam negara ini boleh menarik nafas lega berikutan pengumuman kerajaan untuk memberi bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pemberian bonus yang akan dibayar dua kali sebulan itu disifatkan meringankan beban rakyat ekoran sambutan perayaan Aidilfitri Oktober ini.
''Saya mewakili kakitangan awam negara ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dengan permohonan kami.
''Dengan pemberian bonus ini akan memeriahkan sambutan perayaan dalam merapatkan hubungan kekeluargaan tanpa bebanan kewangan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Omar berkata, pemberian bonus tersebut seharusnya turut diperluaskan kepada golongan pesara sekurang-kurangnya RM200 sebulan supaya mereka turut merasai faedah tersebut.
''Pesara kerajaan yang berjumlah 75,000 orang di negara ini sepatutnya dapat menikmati juga pemberian bonus ini,'' katanya.
Mengenai beberapa tuntutan CUEPACS yang tidak diumumkan kerajaan dalam pembentangan bajet itu, Omar yakin perkara itu akan dipertimbangkan kemudian di peringkat dalaman.
''Tuntutan kami mengenai Imbuhan Tetap Perumahan serta lanjutan umur persaraan mungkin akan dibincangkan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Saya akan bertemu Perdana Menteri sekali lagi dalam masa terdekat,'' katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud menyifatkan bajet kali ini baik namun ia tidak menyeluruh kepada golongan berpendapatan rendah.
''Saya tidak menafikan memang ada insentif yang dibayar namun ia lebih kepada golongan tertentu sahaja.
''Saya sedikit kecewa kadar gaji minimum sebanyak RM900 serta pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 tidak diumumkan kerajaan seperti yang dituntut MTUC sebelum ini,'' katanya.
Dalam pada itu, Syed Shahir menambah, kerajaan sepatutnya memberi perhatian kepada peningkatan harga barangan keperluan asasi daripada barangan mewah yang hanya boleh dinikmati golongan minoriti.
''Harga barangan keperluan yang meningkat seharusnya diberi fokus utama dalam pembentangan kali ini kerana ia lebih memberi kesan kepada rakyat,'' katanya

1 ulasan:

izza berkata...

Mengapa golongan pekerja sambilan @ kontrak yg telah berkhidmat lebih dari setahun tidak menerima sedikit pun imbuhan seperti pekerja tetap sedangkan mereka juga turut memberikan perkhidmatan yg sama seperti pekerja tetap? Mereka juga memerlukan perhatian dan penghargaan yg setimpal.Kebajikan pekerja sambilan juga kurang diambil berat,bahkan ada juga yg tidak di sambung perkhidmatannya walaupun menunjukkan prestasi yg baik.Mohon agar CEUPACS mendengar permasalahan golongan pekerja sambilan @ kontrak.Terima kasih.