SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 September 2008

CUEPACS SAMBUT BAIK PEMBERIAN BONUS

Petikan dari Berita Harian
1/9/2008

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung imbuhan sebulan bonus untuk kakitangan kerajaan dan tempoh bayaran balik pinjaman perumahan daripada 25 tahun kepada 30 tahun. Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs bersetuju bayaran bonus dibuat dua kali pada bulan September dan Disember dan tidak berhasrat untuk membuat rayuan terhadap cara pembayaran itu. Beliau berkata Cuepacs bersyukur dengan pengumuman itu walaupun permohonan kesatuan untuk kenaikan imbuhan tetap perumahan kakitangan sokongan Gred I dan II daripada RM180 kepada RM230 tidak diumumkan hari ini.
Mengenai tempoh bayaran balik pinjaman perumahan yang dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun, beliau berkata ia sejajar dengan pengumuman umur persaraan kakitangan yang dinaikkan daripda 56 tahun kepada 58 pada awal tahun ini. Abdullah turut mengumumkan kakitangan kerajaan boleh mendapat pinjaman untuk pengubahsuaian rumah walaupun pinjaman pembelian rumah berkenaan daripada bank. Mengenai pesara memperoleh sekurang-kurangnya RM720 sebulan, beliau berkata kira-kira 75,000 pesara akan mendapat manfaat berkenaan.
Omar menjelaskan kini terdapat hampir 500,000 pesara di seluruh negara dan berharap jumlah RM720 itu ditingkatkan di masa hadapan untuk membolehkan lebih ramai menikmati manfaat daripada tindakan kerajaan berkenaan. Mengenai Elaun Bantuan Sara Hidup (Cola), Omar berkata Ceupacs mengemukakan tuntutan untuk menyelaraskan pembayaran itu bagi semua negeri kepada RM300 dan untuk mereka yang tinggal di Lembah Klang daripada RM300 kepada RM500. “Adalah difahamkan kajian menyeluruh mengenai perkara tersebut belum berakhir dan Cuepacs mengharapkan ia dapat dipercepatkan dan pengumuman mengenainya dapat diumumkan sebelum akhir tahun,” katanya. Omar turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kakitangan kerajaan dan dapat mempertimbangkan permohonan kesatuan itu dari semasa ke semasa. - Bernama

Tiada ulasan: