SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

06 September 2008

NUTP: WUJUD SKIM GAJI KHAS

Utusan Malaysia
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
6/9/2008




KUALA LUMPUR 5 Sept. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap kerajaan segera mempertimbangkan mewujudkan skim gaji bersepadu khas untuk guru-guru di seluruh negara.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, skim perkhidmatan sedia ada didapati terlalu kompleks sehingga menimbulkan suasana kurang harmoni di kalangan guru.
"Antara masalahnya ialah terdapat pelbagai kumpulan guru terutama guru siswazah dan bukan siswazah dengan tangga gaji berlainan tetapi beban tugas yang sama," katanya pada sidang akhbar mengenai isu-isu semasa NUTP di sini hari ini.
Hashim yang baru dilantik sebagai presiden kesatuan itu bulan lalu berkata, selepas mengadakan Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP Ke-18 baru-baru ini, kesatuan itu melihat guru-guru bukan siswazah yang berjaya mendapatkan ijazah perlu diberi insentif.
Katanya, ia termasuk mereka yang berjaya mendapat sarjana atau ijazah doktor falsafah (PhD).
"Sekarang guru yang mempunyai kelulusan itu tidak diiktiraf kerana dianggap tidak relevan dengan pengajaran di sekolah. Alasan itu tidak boleh diterima," jelasnya.
Katanya, NUTP juga meminta Kementerian Pelajaran mewujudkan beberapa jawatan baru bagi membantu guru-guru melaksanakan tugas di luar pengajaran seperti sebagai pembantu guru, ketua guru disiplin serta guru khas aktiviti kokurikulum.
Beliau berkata, ini bagi membolehkan para guru menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran di dalam kelas.
Tambah Hashim, khidmat guru yang sudah bersara juga masih diperlukan terutama bagi mereka yang pakar dalam subjek kritikal iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Malaysia.
"Kita mendapati masih ada keperluan untuk guru-guru yang sudah bersara ini menyumbangkan khidmat mereka. Kita tidak tahu kenapa khidmat kontrak bagi guru bersara ini ditamatkan sejak dua tahun lalu," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, semua cadangan itu akan dibincangkan NTUP secara menyeluruh pada bengkel yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, memorandum mengenainya akan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran selewat-lewatnya awal tahun depan untuk tindakan lanjut.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semasa di gred DG 32, gaji saya dan seorang rakan bukan siswazah sama. Saya sambung belajar lalu ditawarkan ke Gred DG 41 dan kini ditawarkan ke Gred DG 44 dgn gaji RM4671.00. Rakan saya yg tak menyambung pelajarannya kini dilantik ke Gred DG 34 dgn gaji yg lebih tinggi RM48++.00. Sy habis berbelanja utk belajar dan kini terpaksa membayar hutang PTPTN. Kawan yg tak mengeluarkan perbelanjaan utk belajar dan tak perlu bayar PTPTN menikmati gaji yg lebih tinggi. Adil ke ?... dan tahun hadapan Skim Gaji Bersepadu akan dilaksanakan yg berkemungkinan besar gaji guru bukan siswazah akan menjadi lebih tinggi lagi ..