SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

14 Februari 2009

BUKTI KERAJAAN PRIHATIN MASALAH RAKYAT

Berita Harian
14/20/2009



KUALA LUMPUR: Penurunan tarif elektrik mulai 1 Mac depan bukti keprihatinan serta janji kerajaan meringankan beban rakyat menghadapi cabaran krisis ekonomi global semasa. Mereka yang dihubungi semalam yakin langkah itu dapat membantu pengguna ketiga-tiga sektor domestik, komersial dan industri. Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna semua sektor mesti tidak leka atau mengambil kesempatan atas keprihatinan kerajaan menurunkan tarif untuk membazir penggunaan elektrik.
"Walaupun tarif diturunkan, penggunaan secara berhemat harus diteruskan supaya penjimatan kos dapat dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan seperti menabung dan membiayai perbelanjaan lain," katanya. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata penurunan tarif elektrik, terutama bagi pengguna domestik bertepatan kerana mampu meringankan beban masyarakat yang ketika ini agak tertekan dengan peningkatan kos hidup. "Walaupun penurunan agak sedikit, ia langkah wajar kerajaan membantu rakyat, sekali gus menggalakkan peniaga yang banyak menggunakan elektrik menurunkan harga produk serta perkhidmatan.
"Saya juga harap kerajaan terus mengkaji tarif elektrik dari semasa ke semasa supaya dapat diturunkan lagi dalam tiga atau enam bulan akan datang seperti mekanisme yang dilakukan untuk penurunan harga minyak," katanya. Beliau berkata, penurunan itu mungkin tidak memberi kesan penjimatan yang besar kepada pengguna elektrik di bandar kerana mereka menggunakan elektrik pada kadar yang agak tinggi berbanding di luar bandar. "Oleh itu, penjimatan ini lebih banyak memberi manfaat kepada pengguna yang menggunakan elektrik pada kadar rendah. Ia juga lebih bermanfaat kepada mereka yang tidak perlu membayar bil elektrik jika penggunaan tidak melebihi RM20 sebulan," katanya. Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mohd Fauzi Jani, berkata langkah itu membolehkan pihak industri mengurangkan kos di samping mengekalkan pekerja ketika negara berdepan ekonomi tidak menentu.
"Kecil atau besar jumlah penurunan tarif tidak penting kerana paling utama langkah ini dapat meningkat kos sara hidup. Namun, pengguna perlu memainkan peranan dengan menjimatkan penggunaan elektrik supaya kualiti hidup ditingkatkan," katanya. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, berkata penurunan tarif elektrik melegakan, terutama rakyat berpendapatan rendah dan juga pekerja yang berdepan risiko pemberhentian kerja akibat kegawatan ekonomi kini. "Kehidupan mereka terjejas dan langkah kerajaan ini sekurang-kurang dapat meringankan beban yang ditanggung. Selain itu, pihak industri harus bertindak adil dengan mengelakkan langkah memberhentikan pekerja selepas permintaan mereka supaya tarif elektrik diturun bagi mengurangkan kos operasi," katanya.

1 ulasan:

maun berkata...

Ini sama macam kes naik petrol, naik banyak turun sikit..hampeh. semua politik je ni.