SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

27 Februari 2009

KADAR BARU LONJAK HARGA BARANG , BEBANKAN RAKYAT

Berita Harian
27/2/2009



KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain merayu kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya bermula 1 Mac ini kerana khuatir ia akan menjurus kepada kenaikan harga barang. Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya memahami beban yang harus ditanggung kerajaan jika menangguhkan kenaikan itu, tetapi pada masa sama rakyat masih belum bersedia menghadapinya.
"Kita tahu, ketika ini tiada negara yang terlepas daripada menghadapi kelembapan ekonomi, tetapi pada waktu begini jika ada kenaikan kadar tol, kita risau berlaku kenaikan harga barang kerana segelintir pihak akan menggunakan alasan tol naik. "Akhirnya yang menanggung beban ialah rakyat... kita amat berharap kerajaan akan dapat menangguhkan kenaikan kadar tol berkenaan hingga satu tarikh sebelum melaksanakannya demi kepentingan rakyat," katanya kepada Berita Harian, semalam. Semalam, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mengumumkan kadar tol di lima lebuh akan dinaikkan mulai 1 Mac ini selaras terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.
Lima lebuh raya itu ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE). Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili lebih 500,000 pekerja swasta di negara ini turut membantah perkara itu dan menyifatkan pengumuman berkenaan hanya membebankan rakyat yang terpaksa berhadapan dengan krisis ekonomi dunia. Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata kenaikan kadar tol itu dijangka memberi kesan besar bukan saja kepada pengguna lebuh raya tetapi juga akan mendorong kenaikan pelbagai harga barang dan perkhidmatan. "MTUC tidak setuju dengan kenaikan ini kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi ketika ekonomi dunia yang tidak menentu ini. Janganlah susahkan rakyat lagi yang selama ini memang sudah terbeban," katanya.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, pula berkata pihaknya amat berharap kerajaan akan mengkaji semula keputusan itu kerana ia menambah beban kakitangan awam yang menggunakan lebuh raya berkenaan ke pejabat masing-masing. "Kita bukan membantah kenaikan kadar tol, tetapi berasakan belum tiba masanya untuk kerajaan mengumumkan perkara ini, lebih-lebih lagi tahun ini kita terpaksa berdepan dengan krisis ekonomi," katanya. Sementara itu, beberapa syarikat konsesi tol yang dihubungi enggan mengulas mengenai pengumuman kerajaan itu sebaliknya berkata akan hanya mengeluarkan sebarang kenyataan selepas menerima surat rasmi daripada Kementerian Kerjaraya berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: