SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

04 Februari 2009

HILANG PENCEN, PAMPASAN JIKA SERTAI SKIM CEPAT KAYA

Berita Harian
4/2/2009



KANGAR: Kakitangan awam yang dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja kerana menyertai skim cepat kaya akan hilang kelayakan untuk menerima pencen, kata Presiden Cuepacs, Omar Osman. Kakitangan terbabit bukan saja sekadar hilang kelayakan menerima pencen, tetapi turut dikecualikan daripada menerima sebarang bentuk pampasan daripada kerajaan akibat diberhentikan kerja. Justeru, Omar menggesa semua 50,000 kakitangan awam yang dilaporkan terbabit skim itu supaya keluar daripadanya sebelum terlambat, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa kecuali penganjurnya.
“Skim cepat kaya tidak menjanjikan keuntungan, melainkan risiko kerugian akibat ditipu penganjur. “Cuepacs tidak mahu kakitangan awam yang menyertai skim seperti itu kehilangan pelbagai faedah yang sepatutnya mereka nikmati. “Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2009, yang melarang kakitangan awam terbabit skim cepat kaya, sekali gus membuktikan isu itu serius dan mereka yang terbabit bakal berdepan tindakan tegas," katanya di sini, semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, mendedahkan lebih 50,000 kakitangan kerajaan daripada pelbagai peringkat termasuk ada ketua jabatan, terbabit dalam skim cepat kaya. Malah, lebih membimbangkan, ramai pegawai kanan dan ketua jabatan menggalakkan kakitangan mereka menyertai skim itu yang kononnya menjanjikan pulangan segera dan berlipat berganda bagi pelaburan kecil. Justeru, satu Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2009 ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dikeluarkan bagi melarang semua peringkat kakitangan awam daripada terbabit dalam skim cepat kaya sama ada sebagai penganjur, pengantara atau pelabur. Pekeliling berkuat kuasa 13 Januari lalu itu turut mengarahkan mereka yang terbabit termasuk semua kakitangan badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan negeri supaya menghentikan aktiviti itu serta-merta atau berdepan tindakan disiplin kerana boleh memberi gambaran kepada orang ramai seolah-olah skim berkenaan diluluskan kerajaan.
Sementara itu, Omar berkata sehingga 31 Januari lalu, 99 peratus daripada 66,000 kakitangan awam di seluruh negara menerima opsyen skim pencen yang ditawarkan berbanding pilihan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum itu. "Walaupun ada satu peratus yang memilih untuk kekal pada skim caruman KWSP, ia dianggap memadai kerana ada antara mereka mempunyai suami atau isteri yang juga kakitangan kerajaan yang memilih skim pencen," katanya. Pengumuman pemberian opsyen menyertai skim pencen mulai 1 Januari lalu kepada kakitangan awam yang berada di bawah skim KWSP diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada November lalu.

Tiada ulasan: