SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Februari 2009

MENTERI, MAJIKAN JUGA POTONG GAJI

Berita Harian
14/2/2009



GEORGETOWN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan gaji menteri dan majikan sektor swasta dipotong jika keadaan ekonomi negara bertambah buruk. Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata majikan yang bercadang memberhentikan atau mengurangkan gaji pekerja disaran turut berkorban dengan mengambil langkah itu. "Tidak adil jika pekerja saja diarahkan bercuti tanpa gaji, dipotong gaji sedangkan lembaga pengarah, pengarah urusan dan pengurus syarikat serta pihak atasan tidak terkena tempiasnya.
"Gaji mereka perlu dipotong jika benar-benar mahu menyelamatkan syarikat bagi mengelak hanya satu pihak menjadi mangsa," katanya selepas majlis dialog bersama Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi negeri, di sini, semalam. Syed Shahir berkata, menteri juga perlu berkorban jika keadaan ekonomi terlalu teruk seperti dilaksanakan Singapura, baru-baru ini. Ramasamy yang ditanya kesediaan pemimpin Pulau Pinang berkorban dengan membenarkan gaji barisan Exco kerajaan dipotong, berkata ia boleh dipertimbangkan tetapi enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, di sebalik pelbagai saranan dinyatakan MTUC untuk mengurangkan kesan ekonomi semasa terhadap pekerja sektor swasta, terutama mereka yang mungkin diberhentikan, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula meminta kerajaan memenuhi tuntutan mereka berhubung dua perkara. Ia adalah menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan penyelarasan elaun kos sara hidup (Cola) sebanyak RM300 yang pada dasarnya sudah dipersetujui, tetapi belum dilaksanakan. Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk itu dalam pakej rangsangan fiskal kedua yang dijangka diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sesi persidangan Parlimen akan datang. “Cuepacs sudah menghantar surat rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan minggu lalu mengenai tuntutan itu termasuk langkah membantu kakitangan awam kontrak supaya diberi pertimbangan sewajarnya menerusi pakej rangsangan fiskal itu.
“Kali ini kita berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya untuk menyediakan peruntukan bagi kenaikan ITP dan penyelarasan elaun Cola kepada kira-kira 900,000 kakitangan awam kumpulan sokongan Satu dan Dua,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Cuepacs meminta kenaikan ITP sebanyak RM50 menjadi RM230 daripada RM180 sekarang, manakala elaun Cola pula ketika ini dibayar mengikut tempat tinggal iaitu bandar besar (RM300), bandar (RM200) dan luar bandar (RM100).

Tiada ulasan: