SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 Februari 2009

CUEPACS MAHU GAJI BARU

Utusan Malaysia
Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
27/2/2009


KOTA BHARU 22 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan menyarankan beberapa cadangan baru untuk perhatian kerajaan yang bakal dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Omar Osman memberitahu, cadangan tersebut menjurus kepada kepentingan dan kebajikan para pekerja bagi tujuan memantapkan lagi sektor awam di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, bengkel penambahbaikan gred gaji dan skim kakitangan awam yang akan berlangsung di Kuala Terengganu, pada 3 hingga 5 Mac depan akan memperincikan cadangan tersebut.
"Sudah sampai masanya kita mahukan penambahbaikan dari segi gred gaji dengan penambahan tangga gaji agar pendapatan pekerja tidak 'mati' pada gred-gred tertentu.
"Sebagai contoh ada di kalangan pekerja yang baru berumur 45 tahun tetapi tangga gajinya telah 'mati' dan terpaksa berkhidmat l3 tahun lagi bagi menggenapkan usia persaraan pada usia 58 tahun dengan jumlah gaji yang sama," katanya.
Omar berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri program bertemu Presiden CUEPACS anjuran Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU) di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut menegur sesetengah agensi kerajaan yang kurang mengambil berat dengan nasib pekerja kontrak yang telah lama berkhidmat dalam sektor awam.
''Hampir 2,000 pekerja kontrak telah diberhentikan kononnya disebabkan krisis kegawatan ekonomi dan kekurangan peruntukan.
"Namun pekerja kontrak ini telah berkhidmat dan tidak sepatutnya khidmat mereka ditamatkan begitu sahaja,'' katanya.
Tambahnya, pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan diharap menyediakan peruntukan bagi agensi terbabit supaya mereka mengambil tindakan menyerap semula pekerja kontrak yang diberhentikan.

Tiada ulasan: