SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

03 Julai 2013

PENJAWAT AWAM SANDARA TERIMA KENAIKAN GAJI

Utusan Malaysia
3/7/2013

SEREMBAN 3 Julai - Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kali kedua kepada semua penjawat awam termasuk berstatus sementara dan sandaran bermula hujung bulan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian itu adalah sebagai menghargai sumbangan semua penjawat awam yang berkhidmat dengan baik di negeri ini.
''Kita memutuskan untuk memberi kenaikan mininum RM80 hingga RM320 sebulan yang diumumkan oleh Perdana Menteri kepada semua penjawat awam yang meliputi seramai 6,035 orang di seluruh negeri ini.
''Berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) KGT kali kedua ini hanya diberikan kepada penjawat awam berstatus tetap, namun kita buat keputusan untuk turut memberikannya kepada mereka yang berstatus sementara dan kontrak," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemberian KGT itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM4.058 juta bagi pembayaran gaji sepanjang tempoh Julai hingga Disember.
''Jumlah itu termasuk 100 penjawat awam bukan berstatus tetap di negeri ini yang turut akan mendapat kenaikan tersebut," katanya.
Sehubungan itu, Mohamad meminta agar pemberian itu dijadikan motivasi serta dorongan kepada penjawat awam untuk meningkatkan tahap produktiviti masing-masing.
''Saya harap dengan pemberian ini mereka akan bekerja dengan lebih dedikasi, kita tidak mahu kenaikan gaji ini tidak seiring dengan mutu kerja serta produktiviti yang dihasilkan.
''Ini kerana kita tidak mahu mengalami satu keadaan di mana kadar upah lebih tinggi daripada kadar produktiviti pekerja. Apabila ini terjadi ia tidak mencerminkan sesuatu yang baik kepada negeri ini khsususnya negara," tegasnya.

Tiada ulasan: