SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Oktober 2008

JBANS: CUEPACS MINTA NEGERI SEMBILAN BUAT PENJELASAN

Petikan dari Utusan Malaysia
29/10/2008

SEREMBAN 28 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan negeri memberikan penjelasan berhubung isu Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) sama ada ia akan dikorporatkan atau diswastakan.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu penting kerana kakitangan JBANS telah diberitahu bahawa jabatan itu akan diswastakan sedangkan maklumat yang diterima oleh CUEPACS ia akan dikorporatkan.
Beliau berkata, kekeliruan itu bukan sahaja telah menyebabkan kakitangan JBANS keliru malah sebahagian besar mereka kini kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri.
''Apa yang diberitahu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada CUEPACS, JBANS akan dikorporatkan tetapi dalam pertemuan hari ini kakitangan memberitahu, kerajaan negeri akan menswastakan JBANS.

Moral

''Mana satu yang betul. CUEPACS tidak mahu moral kakitangan jatuh disebabkan perkara ini. CUEPACS juga tidak mahu berlaku penganiayaan dalam isu ini. Kakitangan berhak mengetahui status terkini jabatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berdialog dengan kakitangan JBANS berhubung isu penswastaan JBANS di sini hari ini.
Pertemuan itu dianjurkan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Kerajaan Negeri Sembilan.
Omar berkata, beliau sendiri akan menemui Menteri Besar bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut supaya ia dapat meredakan keadaan yang agak tegang ketika ini.
''Dalam isu ini CUEPACS memilih kerjaan negeri mengkorporatkan JBANS dan bukan menswastakannya. Langkah penswastaan akan menimbulkan banyak masalah berbanding pengkorporatan.
''Jika JBANS dikorporatkan ia masih tertakluk kepada pentadbiran kerajaan negeri tetapi sekiranya diswastakan JBANS tiada ikatan langsung dengan kerajaan negeri,'' katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pertemuan hari ini telah membuat keputusan untuk menangguhkan penyerahan semula surat opsyen kakitangan serta pelaksanaan pengkorporatan atau penswastaan JBANS sehingga 31 Disember ini.
''Berdasarkan arahan yang diberi semua kakitangan wajib mengembalikan semula surat opsyen mereka pada 4 November ini. CUEPACS mahu perkara ini ditangguhkan. Kita mahu keadilan dan kita mahu mengelakkan berlaku kezaliman ke atas kakitangan," ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penangguhan itu pihak CUEPACS akan berunding dengan kerajaan negeri dalam usaha memastikan kebajikan semua kakitangan terbabit terbela.

Tiada ulasan: