SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 April 2009

INSENTIF MENARIK DOKTOR PAKAR

Utusan Malaysia
28/4/2009



Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada saranan CUEPACS dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 13 April 2009 bertajuk Doktor Pakar Kerajaan Perlu Diberi Keistimewaan.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai keistimewaan bagi menarik dan mengekalkan Pegawai Perubatan Pakar dalam sektor awam.
Dari segi saraan, kerajaan telah menaikkan kadar Bayaran Insentif Pakar (BIP) sebanyak 23% - 38% berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009 yang membolehkan Pegawai Perubatan Pakar menerima bayaran insentif antara RM1,600 - RM3,100 berdasarkan gred-gred yang ditetapkan.
Pegawai Perubatan Pakar juga layak menikmati Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) sebanyak RM750 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009 yang merupakan kadar yang tertinggi berbanding dengan skim-skim perkhidmatan lain yang menerima BIPK pada kadar 5%, 10%, 15% daripada gaji.
Pegawai Perubatan Pakar juga menerima Bayaran Insentif Pembedahan Elektif yang dijalankan pada hari Sabtu dengan kadar RM200 sejam.
Selain penambahbaikan dari segi saraan, JPA juga telah memperbaiki laluan kerjaya pegawai perubatan dengan mewujudkan lebih banyak jawatan-jawatan kenaikan pangkat.
Pada tahun 2008, kerajaan telah meluluskan 533 jawatan tambahan bagi Pegawai Perubatan Pakar meliputi pelbagai gred kenaikan pangkat. Kursus-kursus kepakaran yang diperolehi dinilai taraf sebagai memenuhi syarat Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi tujuan kenaikan pangkat ke Gred UD48.
Skim perkhidmatan Pegawai Perubatan pula telah diperbaiki di mana kemasukan secara lateral dibenarkan di gred-gred kenaikan pangkat seperti Gred UD43, UD45 dan UD51 bagi menarik Pegawai Perubatan yang berpengalaman dan berkelayakan untuk berkhidmat dalam sektor awam.
Usaha meningkatkan bilangan Pegawai Perubatan Pakar dilaksanakan melalui penambahan bilangan biasiswa bagi mengikuti bidang-bidang kepakaran.
Pada 2008, sebanyak 600 biasiswa telah ditawarkan bagi mengikuti pelbagai bidang kepakaran.
Mengenai cadangan pihak CUEPACS supaya perbincangan diadakan dengan pegawai perubatan terlibat, perkara tersebut telah pun dilaksanakan melalui rundingan berterusan antara JPA dan Kementerian Kesihatan dan melalui forum MBK bagi pegawai-pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P).

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Tiada ulasan: