SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Januari 2010

PROGRAM 3K UNTUK DIDIK PENGGUNA

Bernama
23/1/2010
Oleh Melati Mohd Ariff




KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Masyarakat pengguna Malaysia masih bergantung kepada kerajaan untuk perlindungan dan pembelaan hak mereka.

Sikap demikian menjadikan kebanyakan mereka kurang yakin untuk mengembangkan keupayaan bagi menyelesaikan satu-satu masalah secara proaktif.

Ada juga pengguna yang lebih suka mengambil sikap berdiam diri atau menunggu orang lain membuat aduan meskipun mengalami kerugian ditipu peniaga.

"Golongan ini mahu kerajaan mengambil tindakan tetapi mereka lupa jika tidak ada aduan, macam mana tindakan hendak diambil? Aspek apa yang perlu diperbetul?

"Sudah sampai masanya untuk pengguna di negara ini mengubah sikap dan lebih yakin dengan kemampuan diri mereka untuk bertindak di samping menimba kemahiran baru serta ilmu yang bersesuaian agar menjadi pengguna yang bestari," kata Muhammad Sha'ani Abdullah, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) kepada Bernama.

Menurut beliau, pengguna juga perlu tahu apa juga perubahan sikap yang perlu dibuat, ia bermula dari diri sendiri diikuti dengan keluarga dan seterusnya komuniti.

Beliau berkata satu daripada usaha Fomca untuk mendidik masyarakat pengguna di negara ini ialah menerusi Kempen Konsumer Kebangsaan atau dikenali sebagai 3K.

PROGRAM 3K

Program 3K yang masuk ke tahun kedua tahun ini dilancarkan pada Jun 2008 untuk tempoh empat tahun sehingga 2012.

Dengan tema "Perubahan Bermula Dengan Saya", Fomca sebagai peneraju kempen, mendapat kerjasama daripada empat rakan utama iaitu Petronas, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Menurut Muhammad Sha'ani, 3K juga dirancang untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada pengguna untuk bersedia menghadapi kehidupan yang lebih mencabar.

Antaranya kerana faktor kegawatan ekonomi, kesan globalisasi, peningkatan harga bahan makanan yang tinggi serta peningkatan kadar jenayah yang mempengaruhi kualiti kehidupan pengguna.

"Kita mahu pengguna menjadi lebih kritis dalam pasaran. Kita juga mahu masyarakat pengguna Malaysia sedar dengan perilaku sendiri dan bersikap lebih prihatin terhadap perancangan, menjauhkan pembaziran dan mengamalkan penggunaan lestari," jelas Muhammad Sha'ani.

Mengulas lebih lanjut mengenai 3K, beliau memberitahu bahawa apa yang dilakukan setakat ini lebih kepada penyampaian maklumat kepenggunaan terhadap pengguna termasuk keadaan ekonomi dunia dan fenomena globalisasi.

Pengguna, katanya, perlu diberi kefahaman bahawa dalam pasaran bebas, kerajaan tidak boleh mengawal semua harga barangan kecuali beberapa barang keperluan asas harian.

"Ini akan mengurangkan kecenderungan pengeluar untuk mengeluarkan barang-barang yang dikawal harga kerana pulangannya mungkin tidak menarik.

"Keadaan itu juga menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan tempatan dan mengakibatkan keperluan import dengan harga yang lebih tinggi dan menjejaskan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat negara ini," tambahnya.

ADA TANGGUNG JAWAB

Sehubungan dengan itu, jelasnya, dalam menghadapi situasi kenaikan harga barang atau kekurangan bekalan sesuatu barang, pengguna perlu mengambil sikap bertanggungjawab dan mengelakkan pembelian.

"Sikap pengguna boleh membantu memperbetul gelagat pasaran," tegas Muhammad Sha'ani.

Beliau juga mahu mengingatkan pengguna supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai bentuk iklan yang telah 'dibunga-bungakan'.

"Pengguna perlu menilai iklan dengan lebih kritikal," katanya.

SOROTAN PROGRAM 3K 2009

Sebanyak 171 bengkel 3K diadakan sepanjang 2009 untuk masyarakat pengguna berbilang kaum di negara ini.

Kumpulan sasar kempen ialah kumpulan komuniti luar bandar (99 bengkel), sekolah (23), Institusi Pengajian Tinggi (23 bengkel), Persatuan (15 bengkel) dan badan korporat (11 bengkel).

Antara bengkel peringkat kebangsaan yang dijalankan ialah kempen penjimatan elektrik pada 27 Feb bersamaan dengan E-Day yang disambut di negara Eropah.

Kempen ini bertujuan menyedarkan pengguna bahawa dengan penjimatan elektrik, mereka boleh menjimatkan wang dan mengurangkan kesan gas rumah hijau.

Satu lagi kempen peringkat kebangsaan 3K ialah wanita sebagai pengguna.

Menurut Muhammad Sha'ani, ia bertujuan menggalakkan golongan wanita supaya lebih berdisiplin dalam perancangan pembelian barangan serta mengambil kira penggunaan lestari dalam kegiatan harian mereka.

"Minggu Tanpa Menonton" yang diadakan pada 21-27 April bertujuan membantu meningkatkan kesedaran untuk mengehadkan masa menonton televisyen kepada kurang dua jam sehari.

Di bawah kempen ini, ibu bapa digalakkan supaya menghabiskan masa bersama anak-anak dengan melakukan aktiviti selain daripada menonton televisyen.

Muhammad Sha'ani memberitahu bahawa menurut Data Pengguna Media, kanak-kanak di Selangor berusia 5-10 tahun menghabiskan purata 18.3 jam setiap minggu dengan menonton televisyen tanpa pengawasan ibu bapa.

Satu lagi acara 3K yang cuba menangani sikap boros berbelanja sesetengah pengguna ialah "Hari Tidak Berbelanja" yang diadakan pada setiap 16 Julai.

Pada sepanjang hari itu, pengguna digalakkan untuk tidak membuat sebarang pembelian.

Sebagai satu cara daripada untuk membantu meringankan beban kewangan pengguna, Fomca mengadakan kempen "Tanam Sendiri" iaitu aktiviti menanam sayur-sayuran sendiri.

Untuk tujuan promosi, Fomca mengadakan kempen itu pada 14 Nov lepas di Dewan Taman Tuanku Jaafar, Nilai di mana biji benih dan baja diedarkan kepada peserta.

PROGRAM 2010

Bagi tahun 2010, Muhammad Sha'ani berkata Fomca akan memberi fokus kepada beberapa pendekatan dalam melaksanakan program yang sedia ada termasuk menambah bilangan bengkel penerangan 3K.

Sebanyak 200 bengkel dirancang diadakan sepanjang tahun ini dengan keutamaan ditumpukan ke kawasan luar bandar.

"Pengguna di bandar mempunyai banyak pilihan untuk membeli barang termasuk di hipermarket sedangkan masyarakat luar bandar tidak mempunyai pilihan kecuali mendapatkan bekalan dari sebuah kedai sahaja.

"Harga yang dijual di kedai tersebut mungkin tidak mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan," jelasnya.

Di samping bengkel, Fomca juga menggunakan saluran Radio 24 Bernama untuk program "Kuasa Komuniti Konsumer" yang ke udara setiap Jumaat pukul 4.15 petang.

Fomca juga dijangka melancarkan laman web KonsumerKINI pada awal Februari ini yang memaparkan pandangan dan pendiriannya terhadap isu serta dasar kerajaan.

TAK PUAS HATI

Muhamamd Sha'ani yang juga Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau ringkasnya NCCC berkata jumlah aduan yang diterima meningkat dari tahun ke tahun.

NCCC menerima 18,345 aduan pada 2006, 24,873 aduan pada 2007 dan 28,080 aduan pada 2008.

Untuk 2009, beliau berkata jumlah aduan dianggarkan sekitar 32,000.

"Untuk 2009 kami melihat aduan paling banyak ialah mengenai barangan dan perkhidmatan yang tidak menepati kualiti seperti yang diiklankan. Kami juga banyak menerima aduan terhadap syarikat telekomunikasi," katanya.

Di sebalik peningkatan aduan itu, Muhammad Sha'ani berkata masih ramai pengguna yang tidak membuat aduan.

Menerusi bengkel 3K yang diadakan, katanya, ramai peserta yang melahirkan rasa tidak puas hati tetapi malangnya hanya segelintir yang bersedia mengemukakan aduan.

"Apabila kita buka ruang untuk sesi soal jawab, ramai peserta yang menyatakan rasa tidak puas hati cuma bila kita minta buat aduan, amat sedikit yang berbuat demikian," katanya.

Tambah beliau, melalui bengkel itu, pasukan 3K mendapati masalah paling utama yang dihadapi pengguna ialah pengangkutan awam dan harga barang yang tinggi.

"Dalam hal itu, pengguna yang mengalami kesulitan itu perlu membuat aduan kerana melaluinya sahaja kita akan tahu masalah yang dihadapi.

"Lagi pun kalau ada lebih banyak aduan, ini mewajarkan satu-satu pihak untuk mengambil tindakan, contohnya untuk perkhidmatan awam mungkin kerajaan atau pengendali perkhidmatan berkenaan. Kalau tak ada aduan, orang boleh membuat tanggapan semuanya memuaskan," jelasnya.

Pengguna yang memerlukan maklumat kempen 3K boleh melayari laman web www.kkk.org.my

-- BERNAMA

2 ulasan:

jimmy eat world berkata...

org melayu sendiri ingin menolak dasar ekonomo baru atau NEP. kenapa?
politik kan?

padahal BN - UMNO memang akar tunjang yg jaga hak org melayu selama ni. kenapa nak tarik NEP?
apa jaminan PKR bila PKR tarik NEP hak istimewa org melayu dijaga seperti sekarang??

*inginkan jawapan dari pejuang PKR di sini

Konstabel Muniandy berkata...

aiyoo.. umno tak adil asyik bagi melayu sahaja. kami pun inginkan 50% pengambilan kakitangan awam dari kalangan india sekarang..

jimmy kamu racist

ikhlas sungguh
-Konstabel hampir pencen (senawang)