SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

11 Mac 2010

CAJ WAD DIMANSUH

Berita Harian
2010/03/11


Kakitangan, pesara awam dikecuali bayaran di hospital kerajaan mulai 1 April

KUALA LUMPUR: Kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapat rawatan di hospital kerajaan, tidak akan dikenakan bayaran wad, berkuat kuasa 1 April ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam, pemansuhan bayaran itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.
"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi Gred 45 hingga 54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).
Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah juga berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, manakala kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.
Ketika ini, perkhidmatan awam mempunyai 1.2 juta kakitangan dan pesara seramai 450,000 orang.
Ismail berkata, jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar dikenakan ke atas orang awam.
"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, dengan berkuat kuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan. Ismail berkata, peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada keseluruhannya turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, ketika dihubungi merayu supaya ibu bapa golongan pesara turut diberi pengecualian kerana ia tidak membabitkan kos tinggi untuk ditanggung kerajaan.

Tiada ulasan: