SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

30 April 2011

MINDA PENGARANG: TINDAKAN DALAMAN PERLU DILAKSANA SECARA ADIL ELAK KAKITANGAN TERANIAYA

Berita Harian
20/4/2011



KETEGASAN kerajaan membanteras penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah kalangan penjawat awam yang tidak amanah, termasuk mengenakan tindakan dalaman secara terus pada peringkat agensi dan jabatan perlu dilihat dari perspektif yang betul. Tindakan ini bukan semata-mata mahu menghukum atau menyusahkan kakitangan sektor awam, sebaliknya lebih kepada menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada, tetapi dilaksanakan sambil lewa oleh ketua jabatan atau agensi berkaitan.

Dalam membendung kegiatan rasuah yang semakin membimbangkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan kebelakangan ini, kita mengalu-alukan langkah kerajaan mahu menguatkuasakan pekeliling berkaitan tatatertib bagi membolehkan tindakan dalaman diambil secara terus pada peringkat agensi dan jabatan, bukannya menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan. Tindakan itu yang dicadangkan Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Berkaitan Rasuah, Datuk Hisham Nordin bertujuan membendung gejala berkenaan yang bukan saja melanggar peraturan tatatertib, tetapi kerana dianggap sebagai kesalahan jenayah. Tindakan cepat pada peringkat jabatan boleh melindungi imej agensi atau jabatan daripada tercemar sebelum ia dibawa ke mahkamah. Justeru, apabila Pekeliling Perkhidmatan Awam (Tatatertib) itu dipinda, kakitangan sektor awam terutama yang berkhidmat dalam kategori ‘panas’ perlu lebih berhati-hati kerana gerak geri mereka dipantau secara dekat oleh ketua di bahagian masing-masing. Langkah pemantauan itu selaras dengan pelbagai tindakan yang diambil kerajaan bagi memastikan kakitangan pada semua peringkat, termasuk pegawai atasan, menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa sebarang penyelewengan. Pelaksanaan program pembangunan kerajaan bergantung penuh kepada kakitangan sektor awam. Sudah tentu pentadbiran awam yang cekap dapat membantu mempercepatkan lagi urusan kerajaan demi kepentingan rakyat dan negara. Pemimpin boleh merumuskan sesuatu program, tetapi pelaksanaannya memerlukan kerjasama dan sokongan erat barisan kakitangan yang bukan saja cekap tetapi jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Menerusi pindaan itu, tindakan menahan gaji, menurunkan pangkat dan dibuang kerja boleh dikenakan ke atas pegawai awam yang terbabit dalam rasuah, menyeleweng atau salah guna kuasa. Ketika ini mana-mana kakitangan awam yang didapati melakukan kesalahan berkenaan hanya diberikan amaran bertulis dan lisan. Mereka mungkin juga ditukarkan ke bahagian lain tanpa menjejaskan keistimewaan dan manfaat perkhidmatan, sedangkan ada peruntukan hukuman lebih tegas boleh dikenakan ke atas mereka mengikut pekeliling tatatertib. Apapun cadangan yang dikemukakan, kita harap ia hendaklah dilaksanakan secara adil tanpa prejudis. Sebarang tuduhan ke atas mana-mana kakitangan perlu disiasat rapi terlebih dulu agar ia tidak menyebabkan berlaku penganiayaan ke atas mana-mana pihak yang dituduh.

Selepas semua prosedur dipenuhi dan didapati ada bukti, barulah pihak terbabit dikehendaki menghadapi inkuiri dalaman. Jika dapat dibuktikan pembabitan mereka dalam sesuatu tuduhan, sewajarnya tindakan pada peringkat jabatan diambil, sementara menunggu pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah. Kita juga berharap cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan di kerusi panas sesebuah jabatan dilaksanakan segera. Berada terlalu lama di sesuatu tempat akan mendedahkan kakitangan kepada pelbagai elemen yang boleh mendorong kepada penyelewengan kuasa serta rasuah

1 ulasan:

jazz2011 berkata...

Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 2004 dah cantik sangat dah.Kuatkuasakan pelaksanaan mengikut pekeliling.mengapa bila berlaku penyelewengan baru hendak melakukan pertukaran pegawai.Pegawai yang pernah menyeleweng, jabatan mana dia pergi tetap amalan tersebut diteruskan.Bagi mengelakkan fenomena ini,kuatkuasakan pekeliling tersebut.