Utusan Malaysia 
Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
5/5/2012
PERANAN kepimpinan kesatuan sekerja dalam era globalisasi amat 
mencabar kerana mereka bukan sahaja berjuang untuk meningkatkan kadar 
gaji dan kebajikan pekerja tempatan menerusi perundingan kolektif dengan
 majikan, malah juga bergiat bagi meningkatkan hak-hak pekerja di 
seluruh dunia.
Antara perjuangan hak pekerja yang sering ditekankan adalah supaya 
kerajaan menetapkan kadar upah minimum, menentukan jam bekerja maksimum 
dan memastikan keselamatan di tempat kerja.
Dalam membuat tuntutan berkenaan, pemimpin kesatuan sekerja sering 
diingatkan kerajaan bahawa mereka tidak boleh membuat tuntutan tidak 
munasabah sehingga menjejaskan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah 
negara maju pada 2020.
Ketika kegawatan ekonomi seperti pada 1997, kepimpinan kesatuan sekerja juga sering diminta supaya tidak bertindakdi luar batasan apabila ada pekerja yang terpaksa dibuang kerja kerana kilang ditutup.
Berikut ialah tiga tokoh kesatuan sekerja yang telah berbakti kepada pekerja.
 DATUK ZAINAL RAMPAK 
ZAINAL berucap pada sambutan Hari Pekerja MTUC di Subang Jaya, Selangor pada 2001.
 
SIAPA tidak mengenali Zainal Rampak, 72, yang pernah menjadi Presiden
  Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selama kira-kira 18 tahun.Anak jati Kampung Pinang, Tanjung Keling, Melaka ini mula dipilih 
sebagai Presiden MTUC pada 1986 ketika berusia 46 tahun dan memegang 
jawatan itu hingga usia 64 tahun pada 2004.Bapa kepada empat anak hasil perkahwinan dengan Datin Zainab Abdullah
 @ Szeto Swee Chun tidak lagi menyandang jawatan itu setelah kalah 
kepada Syed Shahir Syed Mohamud dengan perbezaan 47 undi.Beliau yang berpendidikan Sekolah Tinggi Melaka pernah menjadi 
penoreh getah, buruh di tapak pembinaan serta guru dan kemudian beralih 
untuk berkhidmat bersama Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja 
Pengangkutan (NUTW).Suaranya yang lantang memang digeruni. Pantang ada isu melibatkan kebajikan pekerjadi negara ini, beliau tidak akan berundur walau setapak untuk memperjuangkan hak pekerja yang bernaung di bawah payung MTUC.Di kalangan majikan, Zainal dianggap sebagai musuh  sehingga beliau 
pernah menerima ugutan bunuh, sebaliknya golongan pekerja pula 
menyanjungnya seperti wira.
Ketika menjadi Presiden MTUC, antara isu yang sering diperjuangkan beliau adalah supaya ditetapkan gaji minimum.Dalam tempoh kepemimpinannya, MTUC mengalami dua corak perjuangan 
yang berbeza. Pertamanya, era ‘permusuhan’ dengan pihak kerajaan dari 
1986 hingga 1994.Sepanjang tempoh itu, MTUC begitu kritis dan sentiasa menentang dasar
 kerajaan, khususnya yang mengutamakan kepentingan pihak pelabur dan 
majikan.Ketika itu, Zainal juga memperlihatkan kesungguhan menentang dasar 
kerajaan yang dikatakan antikesatuan dan tidak prihatin terhadap 
kepentingan golongan pekerja. Sikap keras dengan kerajaan adalah berikutan latar belakang Zainal 
yang sebelum itu pernah menjadi ahli DAP dan kemudian sebagai pemimpin 
Parti Melayu Semangat 46.
AHMAD NOR
BELIAU yang berasal dari Alor Setar, Kedah ialah Presiden Kongres 
Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dari 1983 
hingga 1986.Sebelum itu, beliau yang berkelulusan dari Kolej Sultan Abdul Hamid 
juga telah dipilih sebagai Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Kastam. 
Beliau juga pernah menjadi Timbalan Presiden MTUC dari 1988 hingga 1990.Semasa memimpin CUEPACS, beliau dikenali sebagai seorang yang paling 
lantang memperjuangkan kebajikan kakitangan awam di negara ini dan tidak
 mudah bertolak ansur ketika mengadakan rundingan dengan kerajaan. Beliau juga ialah individu yang mempromosikan idea kerjasama antara kesatuan sekerja sektor swasta dan awam.
Ahmad yang terkenal dengan kebolehannya  berpidato juga dikenali 
sebagai pejuang hak asasi manusia dan mahukan layanan saksama kepada 
para pekerja. Beliau juga ialah individu yang bertanggungjawab merealisasikan pembinaan bangunan Wisma CUEPACS di Jalan Gajah, Kuala Lumpur.
Pada  Mac 1986, beliau meletakkan jawatan sebagai pegawai Kastam 
Diraja Malaysia untuk menjadi ahli politik sepenuh masa dengan menyertai
 Parti Sosialis Demokratik (SDP) dan kemudiannya DAP.
Beliau pernah bertanding di kawasan Parlimen Lembah Pantai pada 
pilihan raya umum 1986 tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).
Kemudian beliau bertanding dalam pilihan raya kecil Gopeng 1987, 
tetapi tewas kepada Setiausaha Agung MCA ketika itu, Tan Sri Dr. Ting 
Chew Peh.
Dalam pilihan raya umum Malaysia 1990, beliau menang bertanding di 
Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang tetapi gagal mengekalkan kawasan itu 
pada 1995.
Beliau yang berkahwin dengan Mariam Bibie Ibrahim dan mempunyai lima anak meninggal dunia 
di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 2003 ketika berusia 60 tahun kerana kanser paru-paru.
DATUK OMAR OSMAN 
PRESIDEN CUEPACS sejak 2006 berasal dari Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan.
Omar, 62, yang berkelulusan Sekolah Menengah Vokasional Johor 
Bahru pernah berkhidmat sebagai guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)
 dan Juruteknik Kanan, Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).Pada 2007, beliau yang berkahwin dengan Datin Rahida Abdul 
Malik dan mempunyai seorang anak mencatatkan sejarah apabila menjadi 
Presiden pertama yang menang tanpa bertanding sepanjang 30 tahun 
penubuhan CUEPACS.Sepanjang menjadi Presiden, antara isu yang diperjuangkan 
beliau adalah untuk meningkatkan tahap kecekapan di kalangan kakitangan 
awam dengan meminta kerajaan menyediakan geran untuk tujuan latihan, 
skil dan pembangunan kerjaya. 
Turut diperjuangkan adalah pelanjutan umur bersara untuk 
kakitangan awam dan diserap kesemua pekerja kontrak di agensi-agensi 
kerajaan ke jawatan tetap.Kejayaan terbesar beliau adalah apabila berjaya mendesak 
kerajaan supaya memansuhkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) 
yang dilihat tidak adil.Sehubungan itu, semua 1.4 juta kakitangan awam kembali 
tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang diguna pakai sebelum
 ini, dengan dilakukan penambahbaikan termasuk kenaikan gaji antara 
tujuh hingga 13 peratus.
Kerajaan juga  menerima saranan CUEPACS supaya Elaun Bantuan 
Sara Hidup (COLA) dinaikkan kepada RM250 sebulan daripada RM200 bagi 
kawasan B, manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150daripada RM100.