DBKL sediakan kemudahan pengangkutan 
Ahmad Phesal (dua, kiri) dan Azih (kanan) bersama van yang menjadi salah satu pengangkutan kakitangan DBKL.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi agensi kerajaan pertama menyediakan kemudahan pengangkutan kepada kakitangannya untuk ke tempat kerja, menerusi perjalanan dari beberapa stesen sistem transit ringan (LRT)  yang ditetapkan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sebanyak dua bas dan empat van disediakan untuk perjalanan pergi dan balik berdasarkan jadual perjalanan yang ditetapkan, dan beroperasi sejak 20 Mac lalu.

Menurutnya, inisiatif itu secara tidak langsung bantu mengurangkan kos pengangkutan kepada sebahagian kakitangannya sekali gus mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup di bandar.

“Penjimatan kira-kira RM100 boleh dibuat jika mengambil kira kos minyak kenderaan dan juga tambang pengangkutan awam.

“Sebelum dilaksanakan, bancian telah dibuat terhadap 10 peratus daripada 10,300 kakitangan DBKL dan rata-rata bersetuju cadangan kemudahan ini, dan mengemukakan beberapa lokasi  menunggu.

“Bagaimanapun, hasil kaji selidik, kita telah tetapkan empat lokasi iaitu Star LRT Bandar Tun Razak, Star LRT Sentul, Putra LRT Wangsa Maju, dan Komuter Batu Caves,” katanya selepas melancarkan Pengangkutan Khas Ke Tempat Kerja (PKKTL) DBKL Shuttle.

Ahmad Phesal berkata, kakitangan yang mahu menaiki kemudahan itu perlu menunjukkan kad e-akses kepada pemandu sebagai bukti.

“Ini  projek perintis,  jika menggalakkan, kita akan teliti untuk tambah kemudahan. Jika tiada sambutan daripada kakitangan DBKL, kita akan buka kepada mana-mana kakitangan kerajaan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda, menyifatkan inisiatif DBKL perlu dicontohi agensi lain demi impak positif hasil kerja.

“Dengan usaha ini diharapkan ia mampu menyumbang produktiviti yang lebih baik, termasuk perkhidmatan kepada orang awam,” katanya.