SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

12 Januari 2015

BANJIR: KSN MINTA KETUA JABATAN LAKUKAN PENGGILIRAN PETUGAS

Bernama
12/1/2015




 
Tan Sri Dr Ali Hamsa



PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Penjawat awam bertugas dalam operasi banjir perlu digilirkan untuk mengelakkan tekanan di kalangan petugas di kawasan terjejas banjir, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ketua jabatan seperti daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia perlu melakukan penggiliran petugas ke kawasan terjejas banjir.

"Ramai antara mereka bertungkus lumus sehingga hari ini menjalankan tugas menyelesaikan masalah rakyat sejak banjir bermula pada Disember," katanya, sambil menambah petugas terlibat perlu diberi ruang rehat secukupnya dan bertemu keluarga.

"Jadi saya ingin meminta ketua-ketua jabatan sekiranya belum melakukan rotation (penggiliran), adakanlah 'job rotation' bagi mengelakkan keletihan dan stres di kalangan petugas," kata Ali.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan misi kedua sukarelawan pasca banjir Jabatan Perdana Menteri (JPM) seramai 450 orang ke Perak dan Pahang di dataran Masjid Putra, Putrajaya, Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Ali berkata penggiliran tugas itu juga harus dilakukan ketua-ketua jabatan terhadap petugas daripada beberapa agensi peringkat persekutuan, negeri dan daerah yang juga terlibat dalam misi bencana itu.

Beliau berkata langkah penggantian itu boleh dilaksanakan dengan mengambil penjawat awam daripada negeri-negeri lain bagi ditempatkan buat sementara waktu di kawasan yang dilanda banjir.

Dalam ucapan ringkasnya kepada para sukarelawan sebelum itu, Ali mahu mereka membuktikan slogan 'merakyatkan penjawat awam' bukan sekadar ungkapan dengan melaksanakan tugas sepenuh hati ketika membantu mangsa.

"Letakkanlah diri anda sendiri dalam keadaan mangsa, rasai perasaan mereka dan lakukanlah kerja sukarelawan ini sepenuh hati," katanya.

Misi sehingga Jumaat itu adalah kali kedua dihantar JPM, selepas misi pertama seramai 5,000 orang dilepaskan timbalan perdana menteri Isnin lepas.

--BERNAMA

1 ulasan:

Unknown berkata...

ksn ada turun ke kawasan banjir ??
ada ke bagi sumbangan ????
ada ke rasa kesusahan orang yg terima banjir tu ????