Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima apa-apa notis berhubung operasi tersebut namun tidak menolak kemungkinan terdapat ketua jabatan yang bertindak sedemikian secara diam untuk memantau kakitangan mereka.
Katanya, langkah seperti itu dilihat mampu menjadikan perkhidmatan awam lebih telus sekaligus menepis segala pandangan sinis masyarakat terhadap kakitangan awam.
“CUEPACS tidak pernah dimaklumkan mengenai operasi ini namun sekiranya ada, ini adalah inisiatif ketua jabatan dalam memantau kakitangan mereka.
“Tidak dinafikan memang ada segelintir penjawat awam yang gemar mencuri tulang pada waktu kerja dan perkara itu amat dikesali namun masyarakat diminta untuk tidak melabelkan semua kakitangan kerajaan bersikap sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Amaran palsu yang tersebar di aplikasi mesej, Whatsapp itu mendakwa pegawai-pegawai operasi tersebut dari semua kementerian sudah mula menjalankan tugas bagi menangkap kakitangan awam yang didapati keluar minum pada waktu kerja.
Dalam pada itu, Azih berkata, tidak dinafikan terdapat segelintir penjawat awam mengambil kesempatan dengan membeli-belah dalam waktu kerja namun menegaskan, adalah tidak adil sekiranya semua kakitangan awam terkena tempias sikap tidak bertanggungjawab tersebut.
Katanya, ketua-ketua jabatan seharusnya menjalankan amanah mereka dengan memastikan tiada lagi kakitangan di bawah jagaan mereka mencuri tulang sewaktu bekerja dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya mereka didapati bersalah.