SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Mei 2016

KERAJAAN FOKUS ENAM TINDAKAN LAHIR PEKERJA LEBIH BERDAYA SAING - PM NAJIB

Bernama
1/5/2016




Najib Tun Razak bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di PWTCKUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang melaksanakan enam tindakan untuk melahirkan golongan pekerja yang lebih berdaya saing dalam menggerakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata enam tindakan itu meliputi pelbagai aspek termasuk meningkatkan kemahiran serta meningkatkan pendapatan golongan pekerja.

Beliau berkata bagi tindakan pertama, kerajaan sedang mentransformasikan mekanisme permintaan dan penawaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), khususnya bagi memenuhi keperluan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang memerlukan kelayakan TVET menjelang 2020.

Najib melancarkan aplikasi 'i-Perkeso' pada majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di PWTC. Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem

"Antara langkah terbaharu kerajaan termasuk pengiktirafan kelayakan kemahiran dalam skim-skim perkhidmatan awam khususnya bagi Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan 2016 di sini, Ahad.

Tindakan kedua pula, Najib berkata, kerajaan sedang merekayasa program latihan kemahiran agar lebih relevan dan bersepadu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.

Najib berkata kerajaan juga akan terus menyediakan kemudahan pinjaman kepada pekerja yang berhasrat mempertingkat kemahiran sama ada melalui program peningkatan tahap kemahiran (upskilling), latihan semula kemahiran (reskilling) atau latihan kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada (multiskilling).

"Antara kemudahan pinjaman yang disediakan adalah melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTK) pada kadar RM750 hingga RM24,000, bergantung kepada program dan bidang latihan," katanya.

Tindakan ketiga pula, katanya, kerajaan sedang menambah baik undang-undang perburuhan dan amalan perhubungan perusahaan termasuk penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang membuka peluang lebih besar kepada usahawan dan pelabur tempatan meneroka pasaran baharu di 11 buah negara TPPA.

"TPPA ini tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi dan perdagangan sahaja, malah turut mengandungi Bab Buruh yang memastikan sebarang aktiviti perdagangan dan pelaburan tidak menjejaskan hak dan kebajikan pekerja," katanya.

Tindakan keempat, Najib berkata kerajaan menjangkakan agihan pendapatan yang lebih adil antara pemilik modal dan pekerja susulan daripada pematuhan gaji minimum yang lebih menyeluruh, penambahbaikan produktiviti serta program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPL) serta penambahbaikan gaji siswazah TVET. "Langkah ini dijangka menyumbang kepada peningkatan gaji penengah bulanan daripada RM1,575 pada tahun 2014 kepada RM2,500 pada 2020," katanya.

Bagi tindakan kelima pula Najib berkata jaringan keselamatan sosial diperkasakan seperti membangunkan satu aplikasi mudah dalam talian yang mesra pengguna 'i-PERKESO' (Pertubuhan Keselamatan Sosial) bagi membolehkan pekerja berhubung terus dengan agensi itu.

Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk menambah baik perlindungan sosial pekerja dan memudah cara pihak majikan menjalankan perniagaan, katanya.

Tindakan keenam pula ialah berkaitan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 yang merupakan kesinambungan pelan terdahulu.

Najib berkata pelaksanaan pelan sebelum ini berjaya menurunkan bilangan kemalangan daripada 49,598 kes pada 2006 kepada 42,148 kes pada 2014 manakala kadar kemalangan maut menurun daripada 7.24 peratus kepada 4.21 peratus pada tempoh yang sama.

Sambutan itu dihadiri 7,000 warga kerja melibatkan 300 kontinjen dari jabatan kerajaan, sektor swasta dan kesatuan sekerja yang mewakili 14 juta tenaga kerja di negara ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

-- BERNAMA

1 ulasan:

KENARI TERBANG TINGGI LAGI berkata...

salam pimpinan cuepacs.

Kenapa skim Pembantu Tadbir ( Perkeranian dan Operasi N17 @ PT PO N17 tidak disemak langsung dalam pekeliling ini.Semua sedia maklum termasuk Pihak CUEPACS dan JPA , skim PT PO N17 merupakan pengerak utama dalam pentadbiran kerajaan malaysia tetapi amat malam sekali Pihak CUEPACS dan JPA tidak memandang sekali walaupun sebelah mata untuk menyemak skim PT PO N17.Kami sering kali mendengar skema jawapan2 daripada Pihak JPA semasa taklimat pekeliling bil.1 tahun 2016 bahawa lantikan PT PO N17 hanya sijil SPM semata2 sahaja berbanding 16 skim yang ditawarkan ditukar lantik ke gred 29 bagi mereka yang mempunyai syarat seperti sijil dan diploma berkaitan padahal ada diantara mereka memohon jawatan SPM juga seperti PT PO N17 dan ada juga yang mendapat sijil dan diploma semasa berkhidmat.Dimana silapnya skim pengerak utama pentadbiran kerajaan dianak tirikan.

2.Selain itu, PT PO N17 terpaksa menjalankan tugas kewangan dan hasil selain tugas hakiki pentadbiran.Kami mohon jasa baik pihak CUEPACS dan JPA dapat mengadakan atau pekeliling berkaitan skop tugas PT PO N17 memandangkan lantikan PT PO N17 adalah SPM sahaja dan demi mengelak risiko kesilapan pengurusan kewangan dan hasil kerajaan oleh PT PO N17 yang tidak mempunyai sijil tertentu berkaitan kewangan.Oleh demikian.Mohon ditetapkan skop tugas dalam bidang pentadbiran dan operasi sahaja dan pengurusan kewangan dan hasil kerajaan diuruskan secara sepenuh masa oleh Pembantu tadbir kewangan W17 dan Penolong Akauntan W27.Harapan tinggi dari PT PO N17 agar Pihak JPA menetapkan skop tugas yang sebetulnya bagi semua PT PO N17 bagi PT PO N17 dibebani tugas kewangan dan hasil.