SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

22 Oktober 2018

Skim gaji penjawat awam perlu disemak - CUEPACS

Berita harian
22/10/2018


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menyemak semula gaji minimum dan insentif kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi penjawat awam, khususnya kumpulan berpendapatan rendah.
Ini kerana 70 peratus daripada kumpulan berpendapatan rendah masih belum mampu memiliki rumah sendiri.
Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata kelompok berkenaan sukar membuat simpanan bagi tujuan memiliki kediaman berikutan peningkatan harga barangan keperluan asas yang tidak sejajar dengan gaji.
Beliau berkata dengan gaji kurang daripada RM5,000 mereka hanya mampu memiliki rumah berharga bawah RM150,000.
Bagaimanapun, katanya rumah pada harga berkenaan sukar dimiliki di kawasan bandar.
“Kerajaan perlu semak semula gaji kerana kos sara hidup yang tinggi termasuk harga barangan makanan dan minuman meningkat, menyukarkan lagi kehidupan mereka, lebih-lebih lagi dalam kalangan penjawat awam yang mempunyai pasangan tidak bekerja.
“Kenaikan kos sara hidup melangkaui peningkatan gaji tahunan penjawat awam, sekali gus menyaksikan perjalanan kehidupan mereka dibelenggu pelbagai kekangan kewangan.
“Kerajaan juga seharusnya memantau kenaikan harga barangan yang dilihat semakin membebankan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di Parlimen pagi tadi mengenai kira-kira 76 peratus daripada lebih 1.1 juta kakitangan awam dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat gaji kurang daripada RM5,000.
Azih berkata, sehingga 30 Jun lalu, seramai 1,146,222 penjawat awam sedang berkhidmat dengan kerajaan dan daripada jumlah itu seramai 866,270 tergolong dalam kumpulan gaji bawah RM5,000.
Sehubungan itu beliau memohon pertimbangan kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik bernilai bawah RM150,000 bagi membolehkan kelompok itu memiliki rumah pertama mereka.
“Ramai dalam kalangan penjawat awam ini masih menyewa dan ada yang menumpang di rumah anak-anak yang ada rumah,” katanya.

Tiada ulasan: