SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Mei 2020

Kerja dari rumah: Elaun khas bantu tanggung kos utiliti - KSN

Berita Harian
14/5/2020



KUALA LUMPUR: Pemberian elaun khas kepada penjawat awam yang bekerja dari rumah, ialah antara insentif sesuai untuk membantu sektor awam mengadaptasi normal baharu dalam perkhidmatan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, berkata elaun khas itu bagi membantu penjawat awam menanggung sebahagian daripada kos utiliti mereka di rumah.
Beliau berkata, apabila bekerja dari rumah menjadi normal baharu, kerajaan dapat melakukan penjimatan dari segi kos utiliti kerana jumlah penjawat awam di pejabat berkurangan.KETUA Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali
"Kurangnya pegawai atau penjawat awam hadir ke pejabat dapat menjimatkan bil utiliti jabatan. Namun apabila penjawat awam berkhidmat dari rumah, mungkin kos utiliti mereka naik seperti kos elektrik.
"Dengan penjimatan di jabatan itu, kita boleh pertimbang untuk memberi elaun khas kepada penjawat awam yang berkhidmat dari rumah supaya mereka dapat memberi perkhidmatan lebih baik lagi.
"Ini naratif yang kita perlu fikir pada masa depan jika normal baharu perkhidmatan awam ini dapat diterima kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan #BicaraNaratif mengupas topik 'Norma Baharu Perkhidmatan Awam' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Perkhidmatan awam mengalami budaya kerja baharu atau normal baharu susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan COVID-19.
PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu menyaksikan hampir keseluruhan urusan perkhidmatan awam ditangguhkan dan kerajaan terpaksa memperkenalkan cara kerja baharu, iaitu bekerja dari rumah bagi bidang tertentu.
Mohd Zuki berkata, penerapan normal baharu dalam perkhidmatan awam bagaimanapun tetap memerlukan sokongan ketua jabatan atau perkhidmatan yang berfikiran kreatif, fleksibel dan bersedia menerima perubahan.
Beliau berkata, setiap pembaharuan dan perubahan terhadap budaya kerja termasuk normal baharu perkhidmatan, perlu dimulakan pihak atasan, khususnya ketua jabatan atau ketua perkhidmatan.
"Kita perlu mengambil contoh Yang di-Pertuan Agong bersama Perdana Menteri menunjukkan amalan baik apabila mereka berbincang menggunakan sidang video.
"Ini contoh yang baik. Ketua jabatan perlu mengambil contoh daripada pemimpin tertinggi ini dan menjadi iktibar bagaimana mereka mengadaptasi perkara baharu dalam perkhidmatan.
"Yang mustahak, ketua jabatan boleh memikirkan bagaimana hendak memastikan normal baharu perkhidmatan awam boleh dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya mengutamakan integriti dalam perkhidmatan bagi menjaga rahsia kerajaan, terutama yang membabitkan maklumat dan rahsia sulit.
"Jika kita berpegang kepada nilai integriti, insya-Allah perkara seperti kebocoran maklumat ke luar tidak akan berlaku.
"Penjawat awam perlu ingat aku janji yang ditandatangani apabila mula melapor diri berkhidmat dan bertugas. Kita ada janji kita, pegang konsep ini," katanya.
Katanya, jika penjawat awam berpegang teguh kepada nilai integriti, mereka juga akan bersikap amanah ketika berkhidmat seperti tidak melakukan kerja lain ketika bekerja dari rumah.
Dalam hal ini, beliau berkata, ketua jabatan atau perkhidmatan boleh mencari jalan bagi memastikan penjawat awam tidak culas ketika bekerja dari rumah.
"Mungkin perlu menyediakan sistem login masa bekerja dan memberi tugasan dalam tempoh tertentu serta perlu disiapkan dalam waktu tertentu," katanya.
Mohd Zuki turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru di seluruh negara yang akan menyambut perayaan itu, Sabtu ini.

Tiada ulasan: