SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

15 Mac 2021

Segerakan pelaksanaan GCR - CUEPACS

 Berita Harian
14 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai seperti diumum pada Belanjawan 2020.

CUEPACS sebelum ini menyuarakan gesaan serupa kepada kerajaan pada Februari tahun 2020 tetapi mendakwa sehingga kini GCR masih belum diberikan kepada penjawat awam.


Presidennya, Adnan Mat berkata, pindaan ke atas peraturan yang berkaitan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980 juga perlu disegerakan bagi membolehkan pelaksanaan itu dilakukan.

Katanya, seperti rakyat lain yang terkesan akibat pandemik COVID-19, penjawat awam juga tidak terlepas daripada merasai perkara itu, walaupun gaji mereka tidak terjejas

"Ini kerana kebanyakan pasangan penjawat awam pekerja di sektor atau berniaga kecil-kecilan yang mungkin sudah dibuang kerja dan terjejas pendapatan akibat tidak boleh berniaga.

"Kos belanja sara hidup yang selama ini dikongsi secara bersama terpaksa dipikul sendiri oleh penjawat awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2020, GCR sepatutnya boleh dituntut pada 1 Januari 2020, tetapi tiada sebarang pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan perkara berkenaan.

Namun, Julai lalu, kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan penebusan GCR selama 75 hari kepada wang tunai bagi penjawat yang berkhidmat selama 15 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kajian semula itu wajar kerana penebusan awal GCR ketika dalam perkhidmatan tidak menguntungkan penjawat awam.

Adnan menambah, kebanyakan penjawat awam yang layak menebus GCR sudah berkhidmat lebih 15 tahun, manakala anak mereka mungkin ramai dan sudah dewasa sekali gus memerlukan perbelanjaan lebih tinggi.

"Ini fasa memerlukan perbelanjaan lebih besar apabila ada anak mahu melanjutkan pengajian ke kolej dan universiti. Soal memberikan keuntungan atau kerugian kepada penjawat awam jika GCR ini ditebus awal adalah perkara kedua.

"Perkara pertama berkaitan kelangsungan hidup yang perlu diteruskan ketika ini berbanding selepas usia persaraan. Jangan dilihat penjawat awam dalam konteks individu tetapi lihat dalam konteks isi rumah yang turut terkesan dengan pandemik," katanya.

Beliau berkata, seperti pemberian pengeluaran i-Sinar kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat, CUEPACS berharap kerajaan dapat memberi khabar gembira kepada penjawat awam dalam hal penebusan awal GCR ini.

Katanya, penebusan GCR yang sepatutnya dilaksana dalam Belanjawan 2020 dilihat seperti tiada ertinya buat penjawat awam walaupun ia diletakkan dalam rangka perbelanjaan pada tahun lalu.

"Kajian semula itu mahu dilakukan hanya kerana ia dianggap tidak menguntungkan penjawat awam kerana formula pengiraan penebusan awal GCR berasaskan gaji semasa penjawat awam.

"Jumlah diterima menerusi penebusan awal semasa perkhidmatan dikatakan jauh lebih rendah berbanding ketika bersara kerana gaji diterima ketika bersara lebih tinggi.

"Selepas pengumuman itu, pelaksanaan GCR dibiarkan tergantung hingga menimbulkan pertanyaan kepada penjawat awam," katanya

Tiada ulasan: