SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

13 Julai 2008

CUEPACS MAHU KAKITANGAN KONTRAK DISERAP TETAP SELEPAS LIMA TAHUN

Petikan dari Bernama
12/7/2008

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan menyerapkan kakitangan kontrak yang berkhidmat lebih lima tahun sebagai kakitangan tetap dalam sektor awam. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata ini berikutan ada di kalangan kakitangan kontrak yang berkhidmat lebih lapan tahun ditukar status sebagai kakitangan sambilan dan kini menghadapi risiko tinggi kerana boleh diberhentikan kerja pada bila-bila masa saja. Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 45,000 kakitangan kontrak dalam perkhidmatan sektor awam di seluruh negara.
“Bagi mengelakkan mereka ini diberhentikan, Cuepacs mahu kerajaan menyerapkan kakitangan ini yang berkhidmat lebih lima tahun sebagai kakitangan tetap supaya ada jaminan untuk mereka. “Kita bimbang apabila sudah 10 tahun, 15 tahun masih tidak tetap, jika mereka diberhentikan pada usia lebih 40 tahun adalah sukar bagi mereka mendapat pekerjaan baru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Cuepacs 2008 oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Taboh Naning, Latipah Omar di sini, hari ini. Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam di Putrajaya pada 29 Julai ini bagi membincangkan penyelesaian masalah itu.
Omar berkata, perkara lain yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berhubung tuntutan Cuepacs supaya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) kepada kakitangan awam diselaraskan kepada RM500 sebulan di seluruh negara. Beliau berkata elaun kos hidup yang dibayar melalui Cola juga perlu diselaraskan tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar kerana semuanya mengalami kesan peningkatan kos yang sama. Pada masa ini, pekerja sektor awam di Kuala Lumpur diberikan elaun sebanyak RM300 manakala di kawasan lain diberikan antara RM100 dan RM200 sebulan. - Bernama

CUEPACS SAMBUT BAIK PERALIHAN KUASA

Petikan dari Bernama
12/7/2008

SEREMBAN 12 Julai - Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010. Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu sudah semestinya memberi gambaran jelas kepada semua kakitangan awam siapa yang akan menerajui kepimpinan negara selepas Abdullah. "Dalam hubungan ini, Cuepacs bukan hendak berpolitik, tetapi sebagai kesatuan sekerja kita juga hendak tahu siapa yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Pak Lah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menutup seminar integriti dalam perkhidmatan awam dan keselamatan di tempat kerja anjuran bersama Cuepacs Bahagian Negeri Sembilan dan Kesatuan Pekerja-Pekerja PKNNS.
Omar berkata, Cuepacs sentiasa memberi sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan.
Mengenai langkah kerajaan Negeri Sembilan menetapkan agar semua ketua jabatan turun padang dan bertemu rakyat bagi memberi penjelasan mengenai dasar kerajaan, beliau berkata, ia sesuatu yang patut diikuti oleh negeri lain.
Katanya, Cuepacs mencadangkan semua kerajaan negeri mengikuti langkah kerajaan Negeri Sembilan itu kerana ketua jabatan lebih arif memberi penjelasan mengenai dasar kerajaan dan isu semasa.
- Bernama

10 Julai 2008

KAKITANGAN KONTRAK TUNGGU JAWATAN TETAP

Petikan dari Berita Harian
10/7/2008

SAYA tertarik dengan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang yakin tuntutan untuk menyerap kakitangan kontrak sebagai kakitangan tetap akan dipenuhi kerajaan. Saya amat berharap cadangan dapat disegerakan kerana ia dijanjikan kerajaan menerusi Bajet 2008 yang belum jelas menampakkan hasil. Pada masa sama, mereka yang berkhidmat secara kontrak ini ada yang mencecah 10 tahun Kerajaan juga membelanjakan wang yang banyak untuk melatih pegawai kontrak dan adalah sesuatu yang merugikan sekiranya mereka ditamatkan begitu saja.
Dalam pada itu, kita masih belum tahu jumlah sebenar pegawai kontrak yang berkhidmat. Pegawai kontrak juga menyumbangkan tenaga dan usaha mereka setanding pegawai tetap. Pegawai kontrak akan sentiasa berada dalam keadaan prestasi yang terbaik, berdisiplin dan komited supaya kontrak mereka terus disambung. Kerajaan perlu menyegerakan inisiatif untuk melantik pegawai baru. Misalnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menurunkan kuasa kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk melantik Pegawai Tadbir dan Diplomatik M41 kontrak untuk berkhidmat di kementerian.
Tindakan ini jika disegerakan akan memberikan peluang kepada graduan yang pada masa ini berkhidmat sebagai kontrak di kementerian dengan taraf jawatan setanding kelayakan akademik. Ulasan dan keputusan penyambungan kontrak yang perlu diperoleh kementerian daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan perlu dibuat tidak lebih daripada tempoh seminggu berbanding pada masa ini mengambil masa lebih dua minggu.
ORANG KITA 2008, Kajang, Selangor.

CUEPACS SYOR PENERIMA BIW TURUT DAPAT COLA

Petikan dari Berita Harian
10/7/2008
Oleh Azrina Ahzan
erinaz273@bharian.com.my

Semua kakitangan awam dibeban kenaikan kos sara hidup PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk turut memberikan Elaun Sara Hidup (Cola) kepada kakitangan sektor awam yang menerima Bayaran Insentif Wilayah (BIW). Presidennya, Omar Osman, berkata pembayaran Cola kepada kakitangan awam terbabit wajar kerana mereka turut menghadapi beban kenaikan kos sara hidup.
Katanya, BIW tidak boleh disamakan dengan Cola kerana ia adalah ganjaran kepada kesanggupan kakitangan awam terbabit berkorban untuk bertugas di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. "Cadangan itu pernah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi ditolak dengan alasan kakitangan terbabit sudah menerima BIW. Namun, kita memahami beban yang terpaksa ditanggung kakitangan kerajaan berikutan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. "Oleh itu, kita akan mencadangkan supaya kakitangan awam yang menerima BIW turut dibayar Cola," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas permintaan ahli R@kan BH semalam supaya Cuepacs mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan. Pembayaran Cola antara RM50 hingga RM150 mula dilaksanakan pada Januari 2006 membabitkan kakitangan awam dalam Gred 1 hingga 54 bergantung kepada lokasi tempat kerja masing-masing. Bagaimanapun, kakitangan awam yang mendiami kuarters atau menerima elaun wilayah, tidak layak menerima Cola. Namun, pada Bajet 2007, kerajaan mengumumkan mereka yang tinggal di kuarters turut dibayar Cola iaitu pada kadar 50 peratus daripada nilai sebenarnya dan pada Bajet 2008, kerajaan menambah sekali ganda kadar Cola iaitu kepada RM100 hingga RM300 mengikut kawasan bertugas kakitangan awam terbabit.
BIW dibayar kepada pegawai dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung atau sebaliknya berdasarkan peratusan gaji masing-masing dan dikategorikan sebagai bantuan sara hidup. Mengulas lanjut, Omar berkata, Cuepacs menerima banyak panggilan dan SMS daripada kakitangan awam yang meminta mereka turut dibayar Cola bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Mengenai cadangan penyelarasan Cola kepada RM500 sebulan seperti yang dikemukakan Cuepacs baru-baru ini, Omar berkata, beliau percaya kerajaan akan mengumumkannya dalam pembentangan Bajet 2009 pada 29 Ogos nanti.

CUEPACS ANGGAP PERATURAN NAIK PANGKAT KETEPI HAK KAUM LAIN

Petikan dari Berita Harian
10/7/2008

KUALA LUMPUR: Cadangan Kerajaan Pas Kelantan menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam dianggap sebagai menafikan hak kaum lain. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata cadangan itu dilihat berat sebelah kerana menerusinya hanya individu beragama Islam boleh dapat kenaikan pangkat atau mendapat pekerjaan.
"Ini kerana hanya mereka (pekerja beragama Islam) bersembahyang lima waktu dan Jumaat. Macam mana dengan pekerja atau individu menganut agama lain? Adakah mereka ini tidak berpeluang bekerja atau naik pangkat langsung. "Walaupun cadangan mereka bagus bagi memelihara ketelusan kakitangan awam di negeri itu, tetapi kena fikirkan kesesuaian terhadap bangsa lain," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik, kelmarin untuk menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat dan pengambilan baru kakitangan awam serta pemilihan calon wakil rakyat serta jawatan politik lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata kerajaan Kelantan hanya boleh mengenakan syarat baru itu kepada kakitangan awam yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri saja. "Kakitangan awam yang diambil Kerajaan Persekutuan dan dihantar bertugas ke negeri itu seperti guru tidak termaktub dengannya. Proses pengambilan dan kenaikan pangkat kakitangan awam sama seperti sebelum ini dengan cadangan kementerian," katanya. "Adakah akan ada satu pasukan khas untuk memantau pergerakan setiap kakitangan awam untuk melihatnya sama ada mereka bersembahyang atau tidak? Itu yang kami keliru dan hendak tahu sangat apa mekanisme akan mereka gunakan. Omar turut mempersoalkan kaedah bakal dilaksanakan kerajaan Kelantan bagi memastikan seseorang kakitangan awam itu bersolat atau tidak yang dianggapnya agak mengelirukan serta menyukarkan kerajaan sendiri.
"Kami juga mahu kerajaan Kelantan menyelaraskan kelulusan akademik seseorang dengan moral bagi mengelakkan kebolehan individu mempunyai kelayakan tinggi di negeri itu disia-siakan. Jangan kerana individu itu mengerjakan solat sudah cukup dilantik ke jawatan tinggi," katanya.

08 Julai 2008

JAMINAN PM KUKUHKAN KEYAKINAN UMUM TERHADAP PENTADBIRAN KERAJAAN

Petikan dari Bernama
8/7/2008
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Jaminan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Malaysia akan terus aman dan selamat dilihat dapat mengukuhkan keyakinan umum bahawa Malaysia akan terus maju dengan adanya tindakan proaktif menangkis kesan kemerosotan ekonomi dan persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan.Beberapa pemimpin kesatuan sekerja dan NGO yang dihubungi Bernama rata-rata menyuarakan keyakinan bahawa jaminan Perdana Menteri itu meletakkan kembali agenda pembangunan negara di landasan yang sepatutnya.Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Malaysia (NUTE) Mohd Shafie BP Mammal berkata kenyataan Perdana Menteri itu sangat penting bagi mengukuhkan keyakinan pihak industri termasuk pelabur asing kepada Malaysia."Jaminan daripada Perdana Menteri itu perlu memandangkan keadaan semasa negara yang sedikit sebanyak meresahkan dan mengelirukan rakyat," katanya.Abdullah dalam kenyataannya semalam berjanji akan memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan selamat selain untuk memberi keutamaan kepada isu utama seperti menangani kenaikan harga minyak dan barangan serta pembangunan untuk rakyat.Mohd Shafie berkata kenyataan Perdana Menteri itu juga perlu diterjemahkan dengan tindakan dan sokongan semua pihak kepada usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan keamanan dalam negara."Semua pihak daripada kakitangan kerajaan, NGO, menteri-menteri sehingga sektor swasta perlu mengeluarkan kenyataan yang senada bahawa negara kita stabil dan terkawal," katanya.Setiausaha Agung Fomca Muhammad Sha'ani Abdullah menyifatkan jaminan Perdana Menteri itu sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat.Beliau berharap jaminan itu akan diikuti dengan tindakan yang jelas daripada pihak kerajaan untuk terus menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat yang kini terpaksa berhadapan dengan krisis kenaikan harga minyak dan barang keperluan."Kita sepatutnya melihat isu sebenar melibatkan beban yang terpaksa ditanggung rakyat akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan dan bukannya isu peribadi yang melibatkan pemimpin-pemimpin politik," katanya.Presiden Cuepacs Omar Osman berkata jaminan Perdana Menteri menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk terus memelihara kebajikan rakyat."Jaminan Perdana Menteri ini diharap dapat melegakan kakitangan awam yang bimbang terutama sekali dalam menghadapi kenaikan sara hidup."Saya yakin kakitangan awam berasa lega dengan jaminan ini dan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berdedikasi selepas ini," katanya.Setiausaha agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Ma'amor Osman berkata orang ramai perlu membantu polis dan pihak berkuasa dalam menjamin keselamatan negara."Rakyat mesti rasional serta tidak terlalu emosional dengan sebarang maklumat yang diperoleh, " katanya.Mengenai keutamaan Abdullah kepada usaha menangani isu kenaikan harga barang dan harga minyak, Dr Ma'amor meminta semua pihak supaya bersatu dan bertanggungjawab untuk sama-sama menangani isu itu.Presiden Persatuan Bekas Kastam Datuk Abdul Rahman Manan pula berharap jaminan Perdana Menteri dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau."Jaminan kerajaan ini amat sesuai dengan keadaan semasa di mana rakyat masih menilai (kepimpinan) mana satu baik dan tidak baik kerana permainan politik sekarang ini seolah satu drama yang tak berkesudahan," katanya.Abdul Rahman berkata demonstrasi yang dianjurkan sesetengah pihak baru-baru ini tidak dapat menyelesaikan masalah seperti isu kenaikan harga minyak sebaliknya ia hanya akan dieksploitasi pihak berkepentingan.Presiden MTUC Syed Syahir Syed Mohamud pula berkata soal keamanan perlu dititikberatkan oleh kerajaan supaya ia tidak menjejaskan imej negara di mata dunia.Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata beliau yakin rakyat akan menyebelahi kerajaan jika mereka dapat melihat bukti mengenai keputusan-keputusan yang tegas diambil oleh kerajaan selain sistem penyampaian perkhidmatan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan masyarakat.Beliau mencadangkan agar kerajaan melaksanakan dasar dan pakej anti inflasi yang menyeluruh bagi membantu golongabn berpendapatan rendah selain mencergaskan lagi kegiatan ekonomi.-- BERNAMA

07 Julai 2008

CUEPACS MAHU AHLI SOKONG HARI TIDAK BERBELANJA

Petikan dari Berita Harian
7/7/2008

KOTA BHARU: Cuepacs mahu 1.5 juta ahlinya menyokong kempen ‘cuti sehari’ daripada berbelanja pada 16 Julai ini sebagai tanda pengguna mampu sepakat dalam memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata cuti daripada berbelanja bukan bertujuan memboikot peniaga atau menunjukkan protes terhadap mana-mana pihak, sebaliknya mahu memberi kesedaran kepada pengguna supaya mengubah gaya hidup berbelanja dalam keadaan sekarang. "Sekiranya bekerja ada hari cutinya, berbelanja pun perlu cuti. Justeru, Cuepacs meminta semua ahli supaya menyambut baik langkah ini serta bekerjasama dengan tidak berbelanja pada 16 Julai ini.
"Isikan hari tidak berbelanja itu dengan duduk di rumah sambil menjalankan aktiviti seperti membaca buku dan kita habiskan barangan yang masih ada (di rumah)," katanya di sini, semalam. Beliau mengulas mengenai sambutan Hari Tidak Berbelanja yang dianjurkan Gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sebagai kempen berjimat cermat bagi mengurangkan beban kos sara hidup. Cuepacs sudah membuat perjanjian dengan Fomca, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) untuk bersama menjayakan hari berkenaan.
Omar berkata, usaha itu untuk memberi kesedaran kepada pengguna melalui pendidikan, selain hendak melihat kesannya kepada peniaga, harga barang dan pengguna.

CUEPACS GESA KAKITANGAN JANGAN SERTAI DEMONTRASI HARAM ESOK

Petikan dari Bernama
6/7/2008

KOTA BAHARU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kakitangan kerajaan supaya tidak membabitkan diri dalam mana-mana demonstrasi yang akan diadakan di Kuala Lumpur esok, sebagai menunaikan akujanji yang dibuat dengan kerajaan sebelum ini. Presidennya, Omar Osman, berkata sebarang permasalahan yang timbul akibat perhimpunan itu mungkin membabitkan kesatuan apabila kakitangan terbabit menerima surat tunjuk sebab daripada jabatan masing-masing. “Kita ada pengalaman sebelum ini apabila kakitangan kerajaan yang terbabit dengan perhimpunan haram diberi surat tunjuk sebab, kenapa tindakan tidak boleh diambil, mereka akan minta pertolongan dengan kita (kesatuan),” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Seminar Masa Depan Profesion Perguruan Dalam Sektor Awam di sini, hari ini.
Kira-kira 100 orang menghadiri seminar sehari itu yang khusus membincangkan masa depan golongan pendidik dalam perkhidmatan awam. Omar berkata, Cuepacs mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anggotanya dengan menemui kementerian berkaitan bagi menyampaikan keputusan dibuat oleh kesatuan. Beliau berkata, melalui perbincangan itu, kerajaan akan memikirkan tindakan terbaik bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh kakitangan bukannya melalui perhimpunan yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat.
“Apa-apa permasalahan kita bincang bersama setiap dua minggu sekali. Kita mesyuarat dan setakat ini tidak ada permintaan kita ditolak tanpa perundingan oleh kerajaan,” katanya. - Bernama

SYOR INSENTIF KERJA MALAM RM350

Petikan dari Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
7/7/2008

Cuepacs minta bayaran kepada 50,000 kakitanganKUALA LUMPUR: Cuepacs mengesyorkan insentif khas lewat malam antara RM200 sehingga RM350 sebulan diberi kepada kira-kira 50,000 kakitangan berpakaian seragam di seluruh negara, yang bertugas antara jam 12.30 pagi hingga 6.30 pagi. Presidennya, Omar Osman, berkata cadangan itu diputuskan pada mesyuarat kongres, Sabtu lalu dan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada mesyuarat, 29 Julai ini.
"Sudah sampai masanya kakitangan berpakaian seragam diberikan elaun khas itu sebagai insentif untuk tempoh tugas yang dijalankan selain dapat membantu meringankan beban kesan daripada penstrukturan subsidi minyak dan kenaikan harga barang sekarang. "Cuepacs berpendapat jumlah insentif itu adalah munasabah. Kita berharap kerajaan akan meneliti cadangan ini dan dapat mengumumkan keputusan ketika membentangkan bajet untuk tahun depan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Jika cadangan itu diluluskan kerajaan, antara kakitangan sektor awam yang akan menikmati insentif khas terbabit adalah penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen dan pembantu perubatan serta jururawat.
Omar berkata, insentif khas itu relevan kerana kakitangan terbabit tetap komited pada tugas mereka walaupun waktu selepas tengah malam seharusnya adalah masa berehat. "Kakitangan agensi berkaitan terpaksa melakukan tugas yang bukan saja berat, malah berisiko tinggi. Selain itu, kerja mereka tidak diberikan sebarang keistimewaan, termasuk kerja lebih masa, insurans, malah terpaksa berdepan tanggungjawab berbahaya. "Mereka sepatutnya diberikan elaun khas walaupun tidak sehebat atau setaraf seperti yang diterima kakitangan swasta yang bertugas dalam tempoh itu menerima pelbagai kemudahan," katanya. Katanya, kakitangan yang menghadapi tekanan dengan keadaan kerja tanpa sebarang insentif sudah pasti hidup tertekan terutama dalam keadaan kenaikan harga barang.
"Walaupun mereka dibayar gaji, usaha perlu dilakukan bagi memastikan nasib kakitangan ini lebih terbela," katanya.

KEMENTERIAN KAJI ELAUN KHAS KAKITANGAN SYIF MALAM

Petikan dari Berita Harian
7/7/2008

SEGAMAT: Kementerian Sumber Manusia sudah menerima cadangan Cuepacs supaya kakitangan kerajaan berpakaian seragam yang bekerja syif malam antara jam 12.30 pagi hingga 6 pagi diberi bayaran insentif khas. Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pihaknya akan membuat satu kajian terperinci mengenai cadangan itu bagi memastikan kebajikan kakitangan kerajaan terbabit dibela. Katanya, sebelum ini Cuepacs pernah membuat cadangan semua kakitangan kerajaan termasuk yang berpakaian seragam diberi elaun khas sebagai insentif bekerja pada syif malam.
Bagaimanapun, katanya, keadaan ekonomi negara yang tidak mengizinkan menyebabkan cadangan itu belum lagi dipertimbangkan untuk kelulusan. "Pada hujung tahun lalu kerajaan sudah menaikkan gaji kakitangan kerajaan kepada satu tahap tangga gaji yang memuaskan. Oleh itu, kerajaan perlu membuat satu kajian menyeluruh berdasarkan banyak aspek sebelum cadangan itu diluluskan, " katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja di premis perniagaan di Jalan Syed Abdul Kadir di sini, semalam.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan supaya kakitangan berpakaian seragam di seluruh negara yang bekerja lewat malam antara jam 12.30 pagi hingga 6.30 pagi diberi insentif khas RM200 hingga RM350 sebulan. Kakitangan itu membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen, Pembantu Perubatan serta Jururawat.

CUEPACS MINTA AHLI TIDAK SERTAI DEMONSTRASI

Petikan dari Utusan Malaysia
6/7/2008

KOTA BHARU 5 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak akan membela ahlinya yang dikenakan tindakan tatatertib jika menyertai perhimpunan haram membantah kenaikan harga minyak yang dijadual berlangsung esok.Presidennya, Omar Osman berkata, kakitangan awam terikat kepada akujanji dan etika perkhidmatan yang tidak membenarkan mereka menyertai perhimpunan dan demonstrasi haram.
Menurut beliau, nasib setiap ahli memang sentiasa terbela melalui badan sah yang mewakili mereka iaitu CUEPACS dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi golongan pekerja swasta.
"Saya ingin menasihatkan kepada kira-kira 1.5 juta kakitangan awam supaya jangan menyertai perhimpunan haram esok.
"Jika mana-mana ahli yang masih berdegil dan dikenakan surat tunjuk sebab oleh jabatan masing-masing, CUEPACS tidak akan membela nasib mereka kerana golongan ini secara jelas melanggar akujanji dan etika perkhidmatan," katanya.
Omar berkata demikian kepada pemberita sebelum merasmikan Seminar Pendidikan di Sekolah Menengah Ahmad Maher di sini hari ini.
Beliau mengulas amaran Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu.
Khalid menegaskan polis akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menyertai perhimpunan haram itu.
Omar berkata, sebelum ini memang terdapat kes kakitangan awam dikenakan tindakan tatatertib kerana menyertai perhimpunan haram yang telah merujuk kes mereka kepada CUEPACS.
"Kali ini saya minta maaf kerana CUEPACS tidak akan membela mereka yang secara jelas melanggar nasihat kongres dan amaran pihak polis," katanya.

03 Julai 2008

PENYELARASAN COLA DIPERTIMBANGKAN

Petikan dari Berita Harian
Oleh Amin Ridzuan Ishak

3/7/2008

Tuntutan Cuepacs RM500 dibayar untuk penjawat awam tak kira daerah diteliti: KSN KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan secara serius tuntutan Cuepacs, supaya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) kepada kakitangan awam diselaraskan kepada RM500 sebulan di seluruh negara. Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata beliau akan membawa permohonan kesatuan itu kepada pengetahuan kerajaan, dalam masa terdekat supaya satu kajian khusus mengenainya dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, kajian itu akan melihat secara mendalam mengenai kesan dan kesesuaian pelaksanaan tuntutan Cuepacs itu untuk jangka masa panjang, baik kepada kerajaan dan kakitangan awam itu sendiri. "Banyak perkara perlu dipertimbangkan, antaranya kemampuan kewangan kerajaan untuk membayar Cola RM500 sebulan di seluruh negara. "Kita kena lihat semua itu terlebih dulu dan tidak boleh dibuat secara serta-merta. Sebaliknya, ia perlu melalui prosedur betul... kajian lengkap yang mengambil kira pelbagai aspek," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs, kelmarin, yang salah satu cadangannya meminta kerajaan menyelaraskan Cola kakitangan awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara. Pemberian Cola kepada pekerja perkhidmatan awam pertama kali dilaksanakan pada 2006 sebagai langkah mengurangkan beban pekerja di bandar besar yang menghadapi kenaikan kos sara hidup. Mesyuarat diadakan bertujuan membincangkan pelbagai isu berkaitan cadangan kerajaan membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai kakitangan awam. Kongres itu bagaimanapun menolak cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan dan pengurangan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tujuh peratus.
Isu lain dibincangkan ialah meminta kerajaan mempercepatkan proses penghantaran pulang pekerja asing kerana ia akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan, selain permit perniagaan kecil untuk kerja sambilan. "Tidak semestinya apa yang mereka minta akan dapat dan saya berharap tidak akan ada sebarang bantahan daripada kakitangan awam sekiranya keputusan dibuat kerajaan berbeza dengan apa yang diharapkan. "Mereka harus sedar yang tidak semua tuntutan boleh dipenuhi kerana kadang kala ada kekangan untuk kita berbuat demikian," katanya. Ditanya bila beliau akan membawa perkara itu kepada pengetahuan kerajaan, Mohd Sidek berkata, beliau akan berbuat demikian sebaik saja menerima permohonan rasmi Cuepacs.

PEMBAYARAN GAJI KAKITANGAN AWAM DITERUSKAN SEPERTI BIASA, KATA KSN

Petikan dari Bernama

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Pembayaran gaji kakitangan awam akan diteruskan seperti biasa dan bukan dua kali sebulan mulai bulan depan seperti yang diumumkan sebelum ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini.Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Mohd Sidek berkata keputusan kerajaan untuk membayar gaji dua kali sebulan bagi memudahkan penjawat awam dalam menguruskan perbelanjaan mereka, tidak akan diteruskan."Penjawat awam sendiri sebagaimana yang disuarakan Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam) memikirkan tidak perlu dibayar dua kali sebulan maka kita tak akan teruskan," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu selepas melancarkan Laporan Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2007 di sini.Mengenai tuntutan terbaru Cuepacs supaya Elaun Sara Hidup (COLA) kakitangan awam dinaik dan diselaraskan daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi seluruh negara, Mohd Sidek berkata kerajaan akan meneliti perkara itu.Beliau berkata perkara itu memerlukan kajian yang teliti kerana melibatkan perbelanjaan yang besar, lebih-lebih lagi ketika negara memerlukan penambahan peruntukan sebanyak RM30 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) seperti yang dibentangkan oleh Abdullah dalam kajian separuh penggal RMK-9 Khamis lalu."Kerajaan kena fikir keseluruhannya, sama ada kita punya kemampuan dan implikasinya tapi apapun kita akan rundingkan," katanya.-- BERNAMA

GAJI SEKALI SEBULAN KEKAL

Petikan dari Berita Harian
Oleh Abdul Razak Raaff
3/7/2008

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan tidak akan melaksanakan pembayaran gaji dua kali sebulan yang sepatutnya bermula bulan depan berikutan bantahan sebahagian besar daripada 1.2 juta kakitangan awam. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju supaya pelaksanaan cadangan itu tidak diteruskan sebaliknya mengekalkan kaedah pembayaran gaji seperti sekarang. "Apabila mereka dan Cuepacs sudah memikirkan tidak perlu gaji dibayar dua kali sebulan, maka kerajaan mengambil keputusan memenuhi kehendak mereka.
"Ini menunjukkan kerajaan dan Perdana Menteri peka dengan kemahuan mereka. Apabila mereka sendiri tidak mahu, buat apa kita teruskan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2007 di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam. Bulan lalu, Perdana Menteri mengumumkan gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan, iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, mulai bulan depan bagi membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan penstrukturan semula subsidi minyak. Menerusi kaedah itu, semua potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilakukan dalam pembayaran gaji pada hujung bulan.
Bagaimanapun, sebahagian besar kakitangan kerajaan dan pelbagai kesatuan dalam perkhidmatan awam termasuk Cuepacs menolak idea itu kerana berpendapat ia akan menyukarkan pengurusan kewangan terutama kepada kakitangan peringkat bawahan. Mengenai cadangan Cuepacs supaya Elaun Sara Hidup (Cola) kakitangan awam diselaraskan kepada RM500 sebulan di seluruh negara, Mohd Sidek berkata, kerajaan perlu mengkajinya dengan teliti kerana ia membabitkan perbelanjaan besar.

PEMBAYARAN GAJI SEKALI SEBULAN SEKTOR AWAM KEKAL

Petikan dari Utusan Malaysia
3/7/2008

PUTRAJAYA 2 Julai – Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak melaksanakan cadangan pembayaran gaji kakitangan awam sebanyak dua kali sebulan mulai bulan depan seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, perkara itu diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dengan itu pembayaran gaji kakitangan awam akan dibuat seperti amalan biasa sekarang iaitu sebulan sekali.
“Keputusan kerajaan untuk membayar gaji dua kali sebulan adalah bertujuan bagi memudahkan penjawat awam menguruskan perbelanjaan mereka.
“Tetapi penjawat awam sendiri seperti yang disuarakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memikirkan tidak perlu dibayar gaji dua kali sebulan.
“Jadi, kita tidak akan teruskan cadangan itu,'' kata Mohd. Sidek kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2007 di sini.
Mengenai tuntutan CUEPACS agar Elaun Sara Hidup (COLA) dinaikkan dan diselaraskan daripada RM300 hingga RM500 sebulan di seluruh negara, beliau berkata, kerajaan akan meneliti perkara tersebut.
Menurut beliau, tuntutan itu memerlukan kajian mendalam kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.
Beliau menambah, ketika ini negara juga memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM30 bilion bagi melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dalam kajian separuh penggal rancangan itu di Dewan Rakyat Khamis lalu.
“Kerajaan kena fikir sama ada kita mempunyai kemampuan dan apa implikasinya,” kata beliau.

CUEPACS SAMBUT BAIK KEKAL GAJI SEBULAN SEKALI

Petikan dari Utusan Malaysia
3/7/2008

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik langkah kerajaan mengekalkan pembayaran gaji kakitangan awam sebulan sekali kerana ia membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih berkesan.
Presidennya, Omar Osman berkata, ini kerana pembayaran gaji dua kali sebulan mungkin menyebabkan sebilangan kakitangan awam berbelanja secara boros sehingga menghabiskan gaji mereka lebih awal.
''Sebilangan penjawat awam berpendapat pembayaran gaji dua kali sebulan akan membawa masalah kepada mereka terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk menguruskan kehidupan.
''Justeru kami berterima kasih atas keputusan Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara yang sudi mempertimbangkan cadangan kami untuk mengekalkan pembayaran gaji sebulan sekali seperti biasa,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan hari ini tentang pembayaran gaji kakitangan awam dikekalkan sebulan sekali dan bukan dua bulan sekali seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Menurut Mohd. Sidek, keputusan kerajaan untuk membayar gaji dua kali sebulan bertujuan memudahkan penjawat awam menguruskan perbelanjaan mereka.
Pada 11 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan cadangan pembayaran gaji pegawai dan kakitangan kerajaan dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini.
IKLAN@

02 Julai 2008

PENYELARASAN COLA DIPERTIMBANGKAN

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh Amin Ridzuan Ishak

Tuntutan Cuepacs RM500 dibayar untuk penjawat awam tak kira daerah diteliti: KSN KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan secara serius tuntutan Cuepacs, supaya pemberian Elaun Sara Hidup (Cola) kepada kakitangan awam diselaraskan kepada RM500 sebulan di seluruh negara. Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata beliau akan membawa permohonan kesatuan itu kepada pengetahuan kerajaan, dalam masa terdekat supaya satu kajian khusus mengenainya dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, kajian itu akan melihat secara mendalam mengenai kesan dan kesesuaian pelaksanaan tuntutan Cuepacs itu untuk jangka masa panjang, baik kepada kerajaan dan kakitangan awam itu sendiri. "Banyak perkara perlu dipertimbangkan, antaranya kemampuan kewangan kerajaan untuk membayar Cola RM500 sebulan di seluruh negara. "Kita kena lihat semua itu terlebih dulu dan tidak boleh dibuat secara serta-merta. Sebaliknya, ia perlu melalui prosedur betul... kajian lengkap yang mengambil kira pelbagai aspek," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs, kelmarin, yang salah satu cadangannya meminta kerajaan menyelaraskan Cola kakitangan awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara. Pemberian Cola kepada pekerja perkhidmatan awam pertama kali dilaksanakan pada 2006 sebagai langkah mengurangkan beban pekerja di bandar besar yang menghadapi kenaikan kos sara hidup. Mesyuarat diadakan bertujuan membincangkan pelbagai isu berkaitan cadangan kerajaan membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai kakitangan awam. Kongres itu bagaimanapun menolak cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan dan pengurangan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tujuh peratus.
Isu lain dibincangkan ialah meminta kerajaan mempercepatkan proses penghantaran pulang pekerja asing kerana ia akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan, selain permit perniagaan kecil untuk kerja sambilan. "Tidak semestinya apa yang mereka minta akan dapat dan saya berharap tidak akan ada sebarang bantahan daripada kakitangan awam sekiranya keputusan dibuat kerajaan berbeza dengan apa yang diharapkan. "Mereka harus sedar yang tidak semua tuntutan boleh dipenuhi kerana kadang kala ada kekangan untuk kita berbuat demikian," katanya. Ditanya bila beliau akan membawa perkara itu kepada pengetahuan kerajaan, Mohd Sidek berkata, beliau akan berbuat demikian sebaik saja menerima permohonan rasmi Cuepacs.

29 Jun 2008

CUEPACS TUNTUT COLA RM500

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


KUALA LUMPUR 28 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (cuepacs) menuntut kerajaan menaikkan kadar elaun kos sara hidup (Cola) kepada RM500 sebulan untuk semua kakitangan awam tanpa mengira kawasan.
Presiden cuepacs, Omar Osman berkata, langkah itu perlu memandangkan semua kakitangan awam ketika ini terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.
''Saya sedih melihat hidup kakitangan kita yang semakin terhimpit berikutan kenaikan harga minyak. Apabila minyak naik semua barang naik dan ini memberi kesan kepada kehidupan ahli-ahli kita.
''Walaupun kerajaan telah menaikkan gaji 10 bulan lalu ia tidak cukup kerana kenaikan minyak kali ini terlalu tinggi. CUEPACS meminta kerajaan menerima tuntutan ini (Cola RM500) bagi meringankan beban anggota sektor awam,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kongres CUEPACS di Ibu Pejabat CUEPACS di sini hari ini.
Tuntutan Cola RM500 untuk semua kakitangan merupakan salah satu daripada enam perkara yang diputuskan di dalam mesyuarat tersebut.
Omar memberitahu, pada masa ini semua kakitangan kerajaan menikmati imbuhan Cola antara RM100 hingga RM300 iaitu bergantung kepada lokasi bekerja.
Katanya, dalam mesyuarat itu, CUEPACS juga sebulat suara menolak pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti cadangan Kabinet sebelum ini.
Beliau berkata, meskipun cadangan itu dianggap baik tetapi pada hakikatnya ia tidak banyak membantu kakitangan kerajaan untuk mengurus perbelanjaan mereka.
''Katakanlah seorang kakitangan menerima gaji sebanyak RM1,100 sebulan dan selepas ditolak itu dan ini, yang tinggal hanya RM500 atau RM450,'' katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, CUEPACS bersetuju jika kerajaan memberi gaji dua minggu sekali.
''Jika sistem ini kami setuju kerana pada akhirnya iaitu secara keseluruhannya jumlah bulan yang dibayar adalah sebanyak 13 bulan dan bukan 12 bulan,'' tambahnya.
Ujarnya, selain itu CUEPACS membantah sebarang usaha untuk memotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian pekerja iaitu daripada 11 peratus kepada tujuh peratus.
''Cadangan ini belum dilaksanakan tetapi Ketua Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah meminta perkara ini dibahaskan oleh CUEPACS.
''Kami telah membentangkan pada ahli kongres hari ini dan keputusannya kami membantah cadangan tersebut kerana ia memberi kesan kepada jumlah simpanan ahli,'' katanya lagi.
Dalam mesyuarat itu juga katanya, CUEPACS mahu Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menghentikan amalan bekerja pada hari Sabtu.
''CUEPACS memberi amaran yang kita akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai amalan salah majlis perbandaran itu,
''Kita memberi masa selama dua minggu untuk Yang Dipertua MPM khususnya supaya menghentikan amalan bekerja pada hari Sabtu kerana ia bertentangan peraturan,'' tambahnya.

28 Jun 2008

CUEPACS CADANG COLA DISELARAS KEPADA RM500 DI SEMUA NEGERI

Petikan dari Bernama
27/06/2008


KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan agar kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (COLA) pekerja awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara.Presidennya Omar Osman berkata ini bagi mengurangkan beban pekerja dalam menghadapi kenaikan kos harga barangan dan minyak yang semakin melambung.Pemberian COLA kepada pekerja perkhidmatan awam pertama kali dilaksanakan pada tahun 2006 sebagai langkah mengurangkan beban pekerja di bandar besar yang menghadapi kenaikan kos sara hidup.Pada masa ini, pekerja sektor awam di Kuala Lumpur diberikan elaun sebanyak RM300 manakala di kawasan lain diberikan antara RM100 dan RM200 sebulan.Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Cuepacs di ibu pejabatnya di sini, Omar berkata apabila keadaan ekonomi semakin pulih dengan harga barangan dan minyak menjadi stabil, kerajaan boleh mengurangkan jumlah elaun itu.Selain itu, Omar berkata Cuepacs tidak bersetuju dengan cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan kerana ia tidak dapat meringankan beban pekerja dan membantu pengaliran tunai terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah."Kita sambut baik cadangan dan berterima kasih kepada kerajaan untuk bantu pekerja berpendapatan rendah, tetapi apabila mendapat maklum balas, jika mereka dapat gaji RM1,000 atau RM2,000 lebih sebulan ditolak pelbagai, maka gaji bersih jika diberi dua kali yang tinggal hanya RM450 ke RM650 sahaja," katanya.Beliau berkata bagaimanapun, Cuepacs bersetuju jika gaji diberi dua minggu sekali kerana ia akan menguntungkan pekerja."Kalau gaji dua minggu sekali bermakna ada 52 minggu iaitu 13 bulan dan pekerja akan untung, tetapi kerajaan cadangkan gaji dua kali sebulan bermakna hanya ada 12 bulan sahaja," kata Omar.Cuepacs turut meminta agar kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk mengurangkan kadar caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 peratus kepada tujuh peratus memandangkan langkah itu tidak menjamin pulangan jangka panjang dan tidak dapat menyelesaikan masalah sara hidup."Jika 11 peratus, jumlah yang dipotong kira-kira RM350 jika tujuh peratus menjadi RM200 maka lebihan RM150 boleh menampung gaji tetapi kita tidak setuju kerana ia tidak selari," katanya.Beliau berkata kerajaan belum mengumumkan cadangan itu kerana menunggu maklum balas daripada Cuepacs.-- BERNAMA

27 Jun 2008

SISTEM PENYAMPAIAN PERLU DIBAIKI

Keberkesanan sistem penyampaian adalah cabaran sebenar dalam melaksanakan pelbagai janji, program dan projek yang dirancang dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, komitmen kerajaan untuk memantapkan sektor perkhidmatan awam menjadi lebih moden, berkesan, mesra pelanggan dan bebas birokrasi itu sememangnya dialu-alukan. Beliau berkata, jangkaan pencapaian seperti digariskan Perdana Menteri itu bukan saja realistik, malah mampu menjana mutu perkhidmatan awam yang lebih unggul. “Perubahan itu perlulah dituruti dengan anjakan terutama dalam aspek pemodenan atau penyediaan kemudahan dan infrastruktur lebih seimbang serta perubahan sikap kakitangan awam yang benar-benar mahu berubah,” katanya.