SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

16 Februari 2013

JADIKAN 2013 SEBAGAI TAHUN SENYUM - CUEPACS

Bernama
Oleh Nurul Azila Mohamad
16/2/2013


KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan penjawat awam menjadikan tahun 2013 sebagai tahun yang penuh dengan senyuman.

Presidennya Datuk Omar Osman membuat saranan itu kerana mendapati budaya senyum masih kurang diamalkan dalam kalangan penjawat awam terutama semasa melayani pelanggan.

"Sudah banyak kempen senyum ini diadakan di mana-mana tempat namun kesedaran menerapkan budaya senyum ini masih rendah terutamanya semasa dalam situasi melayan pelanggan.

"Kalau boleh pagi-pagi datang kerja jangan bawa masalah peribadi datang ke pejabat. Sebagai pekerja berkaliber kita mesti tunjukkan semangat dengan penuh keceriaan. Kita kena fikir semua orang ada masalah dan kalau kita bawa 'mood' ceria ke tempat kerja, produktiviti kerja pun meningkat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketua-ketua jabatan harus memberikan penekanan kepada isu berkenaan dalam setiap mesyuarat supaya budaya itu dirasakan menjadi satu tanggungjawab kepada setiap kakitangan.

"Memang kita akui setiap jabatan mempunyai piagamnya tersendiri dan kandungan piagamnya ada yang menyatakan budaya ini namun pelaksanaannya tidak begitu rancak di kalangan kakitangan.

"Malah ada sesetengah kakitangan diwajibkan memakai tag lambang senyum di uniform mereka tetapi apabila lambang senyum itu sekadar dijadikan hiasan ia dilihat sebagai simbol semata-mata," katanya.

Menurut Omar, beliau pernah menerima aduan berkenaan sikap atau layanan sesetengah kakitangan kerajaan yang tidak memuaskan semasa mendapatkan perkhidmatan.

"Apabila mendapat aduan seperti itu saya rasa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan dan pada pendapat saya kalau pekerjaan yang memerlukan kakitangan untuk berada di kaunter perlu diberikan kepada orang muda atau yang belum berkahwin kerana mereka mungkin tidak banyak masalah kekeluargaan lagi," katanya.

Beliau juga berkata ketua-ketua jabatan boleh mengundang Cuepacs untuk memberi taklimat berkenaan budaya berkenaan kepada kakitangan masing-masing.

-- BERNAMA

13 Februari 2013

CUEPACS KEMUKA CADANGAN KENAIKAN ELAUN PENJAWAT AWAM

Berita Harian
13/2/2013

Kuala Lumpur: CUEPACS dijangka mengemukakan beberapa cadangan berhubung kenaikan elaun penjawat awam dalam pertemuan kesatuan sekerja itu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa di Putrajaya, hari ini.
Antaranya mengenai Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Sara Hidup (COLA), tuntutan penginapan, status jawatan kontrak, gaji maksimum dan peranan ketua jabatan.
Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sebagai contoh CUEPACS mencadangkan supaya COLA diselaraskan kepada RM300, manakala ITP pula ditingkatkan daripada RM180 kepada RM450 berdasarkan kos hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Omar berkata, mengenai tuntutan penginapan pula, pihaknya berharap ia akan ditingkatkan kepada RM200 berbanding RM120 ketika ini, kerana kebanyakan hotel sudah menaikkan harga.
“Jumaat lalu, beliau (Ali) mengumumkan lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji semula dan memandangkan kepemimpinan tertinggi CUEPACS mengadakan pertemuan bersamanya esok (hari ini), maka kita akan turut mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan.
“Kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula perkara (elaun) itu, menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah melupakan soal kebajikan penjawat awam,” katanya kepada BH, semalam.
Tujuan lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya sebelum diumumkan Perdana Menteri.
Omar berkata, selain itu CUEPACS juga akan membincangkan secara terperinci mengenai penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum serta kadar kenaikan (gaji) yang bakal diperoleh mereka.
“Sebelum ini dimaklumkan bahawa mereka mungkin menerima kenaikan antara dua hingga lima peratus, bagaimanapun ia hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).
“CUEPACS berharap kenaikan itu membabitkan semua kakitangan daripada kumpulan terbabit yang turut menyumbang kepada perkhidmatan awam. Kita juga akan berbincang mengenai peranan segelintir ketua jabatan yang kadang-kala menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja,” katanya.

LANTIKAN PEGAWAI KONTRAK KE JAWATAN TETAP BERGANTUNG KEPADA SKIM KONTRAK - SPA

Bernama
8/2/2013


PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam berkata pelantikan pegawai kontrak ke jawatan tetap bergantung kepada skim kontrak itu sendiri yang berbeza mengikut jawatan.
Beliau berkata antara yang diberi pertimbangan termasuklah sama ada ia berasaskan 'kontrak perkhidmatan' iaitu pelantikan mengikut kepakaran dan tidak mengikut skim atau 'kontrak perkhidmatan' yang mempunyai skim perkhidmatan tersendiri.

"Selain itu ada kontrak yang mengikut musim atau projek, ada yang gaji hari, ada yang (kontrak) (setiap) tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi dengan pegawai lantikan secara kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat perlu diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin tanpa perlu diadakan sebarang kajian.

Kenyataan itu dibuat susulan penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan SPA baru-baru ini dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Mahmood berkata SPA dengan kerjasama pelbagai pihak tidak bermaksud untuk membuat kajian, sebaliknya cuba membantu menyelesaikan masalah melibatkan pegawai-pegawai kontrak.

"Kita akan lihat dan bantu apa yang dibolehkan peraturan undang-undang kita, misalanya isu gaji permulaan, peluang kenaikan gred dan bagaimana lanjutan kontrak boleh dibuat serta merta," katanya.



-- BERNAMA

09 Februari 2013

SYOR COLA SERAGAM RM350

Berita harian
9/2/2013

Kuala Lumpur: Keputusan mengkaji lebih 80 jenis elaun penjawat awam bagi memastikan kebajikan penjawat awam terus terbela adalah tanda prihatin kerajaan terhadap golongan itu.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata usaha itu pasti membawa kelegaan kepada 1.4 juta penjawat awam, khususnya mereka yang terbabit.
“NUTP mengharapkan keputusan kajian itu dapat diumumkan dalam kadar segera. Sebaiknya sebelum berlangsungnya PRU-13, 20 peratus daripada lebih 80 jenis elaun penjawat awam sudah dikaji dan ditambah baik untuk dimanfaatkan kepada penjawat awam,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.


Beliau mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Datuk Dr Ali Hamsa, semalam mengenai lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji secara terperinci, termasuk elaun sara hidup dan gaji statik bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya.

Beliau, yang juga Naib Presiden (Pendidikan) CUEPACS berkata, antara 20 peratus daripada yang patut diberi keutamaan kajian, termasuk Elaun Sara Hidup (COLA) dan jadual gaji penjawat awam.

“COLA sepatutnya diseragamkan, sama ada kepada mereka yang bekerja di bandar atau luar bandar. Sekarang, ada yang mendapat RM300, RM250 dan RM150.
Ada yang mengatakan perbezaan itu perlu kerana kos hidup di bandar lebih tinggi, manakala di luar bandar lebih rendah.
“Kos sara hidup di luar bandar juga tinggi, tetapi membabitkan aspek lain. COLA sepatutnya diseragamkan kepada RM350 bagi semua penjawat awam,” katanya.

LEBIH 80 ELAUN PENJAWAT AWAM DIKAJI SEMULA - KSN

Bernama
8/2/2013

LABUAN, 8 Feb (Bernama) -- Lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa Jumaat.
Beliau berkata kajian itu bagi memastikan kebajikan penjawat terus terbela dan akan menjadi berita gembira yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri.

Katanya pelbagai persoalan dan permintaan daripada kalangan penjawat awam yang inginkan kemunasabahan termasuklah status gred, status perjawatan kontrak, pelbagai elaun termasuklah perumahan dan tuntutan perjalanan telah diajukan semenjak beliau dilantik memegang jawatan itu.

"Kesemua ini adalah termasuk daripada jumlah lebih daripada 80 jenis elaun yang akan dikaji semula secara terperinci demi melihat kesamarataan dalam sistem pemberian elaun. Bukan itu sahaja gaji yang statik turut juga akan dikaji dan diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama ketua-ketua kampung dan penduduk Kampung Sg Labu di sini Jumaat.

Terdahulu beliau turut menjawab soalan dan kemusykilan penjawat awam dalam satu sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam. Lebih 1,000 penjawat awam hadir pada majlis itu.

Ali berkata beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan penjawat awam, namun mengingatkan mereka supaya tidak mudah berpuas hati tetapi sentiasa berusaha membuat penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya penjawat awam adalah pemelihara kepentingan awam dan sehubungan itu perlu mematuhi semua undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur dan kegagalan berbuat demikian akan membolehkan tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan Peraturan Awam 1993 ataupun Akta Rahsia Rasmi 1972.

Selain itu, katanya satu daripada elemen penting bagi menjamin kemajuan perkhidmatan awam adalah hubungan baik dan saling memahami antara majikan dan pekerja yang harus terus dipupuk.

"Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud...sikap prihatin ketua jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam," katanya.



-- BERNAMA

08 Februari 2013

LANTIKAN PEGAWAI KONTRAK KE JAWATAN TETAP BERGANTUNG KEPADA SKIM KONTRAK - SPA

Bernama
8/2/2013

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam berkata pelantikan pegawai kontrak ke jawatan tetap bergantung kepada skim kontrak itu sendiri yang berbeza mengikut jawatan.
Beliau berkata antara yang diberi pertimbangan termasuklah sama ada ia berasaskan 'kontrak perkhidmatan' iaitu pelantikan mengikut kepakaran dan tidak mengikut skim atau 'kontrak perkhidmatan' yang mempunyai skim perkhidmatan tersendiri.

"Selain itu ada kontrak yang mengikut musim atau projek, ada yang gaji hari, ada yang (kontrak) (setiap) tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi dengan pegawai lantikan secara kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat perlu diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin tanpa perlu diadakan sebarang kajian.

Kenyataan itu dibuat susulan penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan SPA baru-baru ini dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Mahmood berkata SPA dengan kerjasama pelbagai pihak tidak bermaksud untuk membuat kajian, sebaliknya cuba membantu menyelesaikan masalah melibatkan pegawai-pegawai kontrak.

"Kita akan lihat dan bantu apa yang dibolehkan peraturan undang-undang kita, misalanya isu gaji permulaan, peluang kenaikan gred dan bagaimana lanjutan kontrak boleh dibuat serta merta," katanya.



-- BERNAMA

KSN MAHU PENJAWAT AWAM AMAL BUDAYA TURUN PADANG

Bernama
8/2/2013


LABUAN, 8 Feb (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mahu penjawat awam mengamalkan budaya turun padang melalui pendekatan "pasang telinga dan buka mata" bagi mengetahui masalah dan keperluan rakyat.
Beliau berkata penjawat awam perlu peka dan memahami perkara yang berlaku di samping perlu ada "sikap segera" dalam tindakan mengatasi sebarang permasalahan ataupun isu awam sebelum ianya menjadi lebih serius.

Katanya penjawat awam perlu lebih sensitif kepada persekitaran dan cabaran-cabaran baharu khususnya daripada kalangan pelanggan yang mempunyai harapan lebih tinggi terhadap kualiti, kecekapan dan keberkesanan khidmat diberikan.

"Mereka (pelanggan) kini sedar akan hak mereka untuk mendapat layanan yang lebih adil dan munasabah daripada agensi-agensi kerajaan," katanya di majlis bertemu penjawat awam Labuan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, Kompleks Ujana Kewangan di sini, Jumaat.

Ketua Setiausaha Negara yang berada di Labuan untuk lawatan kerja sehari, antara lain melawat projek pembinaan stesen teksi dan bas bersepadu berharga RM37 juta, Kedai Rakyat 1Malaysia Tanjung Aru, tapak cadangan Rumah Mampu Milik, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menerima maklum balas daripada pengguna feri.

Oleh itu, Ali berkata adalah penting janji yang ditetapkan oleh agensi dan jabatan ditunaikan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada orang ramai dan perlu sentiasa berusaha ke arah pemberian perkhidmatan melebihi jangkaan pelanggan.

Katanya adalah menjadi harapan kerajaan melihat lebih ramai golongan bijak pandai di kalangan penjawat awam dengan memiliki daya inovasi dan kreativiti yang tinggi seterusnya mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah yang dinamik dan bertunjangkan profesionalisme.

"Penjawat awam harus melaksanakan pemikiran berbentuk kreatif dan inovatif secara lebih proaktif dengan disertai dengan sikap positif, peribadi yang mulia dan nilai-nilai yang unggul," katanya.

Ali juga mengingatkan penjawat awam agar terus memberi fokus kepada cabaran dan usaha merealisasikan hala tuju yang telah digariskan iaitu memastikan perpaduan nasional dan jati diri terus diperkukuhkan dengan berpaksikan Gagasan 1Malaysia.

Beliau juga mahu penjawat awam memberi perhatian pada elemen "Ketinggian Peribadi", satu daripada elemen dalam Tonggak 12 yang menjadi dasar dan panduan perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

LEBIH 500 AHLI FOTOGRAFI, JURUVIDEO BAKAL NIKMATI MANFAAT SKIM GRED DINAIK TARAF

Bernama
7/2/2013



KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Lebih 500 ahli fotografi dan juruvideo di bawah Skim Saraan Malaysia bakal menikmati manfaat selepas tuntutan menaiktaraf skim gred jawatan mereka diluluskan kelak.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata satu kertas kerja akan dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa pada pertemuan 13 Feb ini untuk tindakan secepat mungkin.

Menurut Omar, tuntutan itu melibatkan ahli fotografi dan juruvideo yang berkhidmat dalam badan berkanun persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

"Sudah sampai masanya skim gred jawatan ahli fotografi dan videografi dinaik taraf, dinaikkan ke satu gred yang baik berdasarkan beban tugas dan cabaran, risiko dan peranan jurufoto dan juruvideo hari ini.

"Rintihan mereka ini sudah hampir lima tahun dan sudah ada pihak-pihak yang menyarankan supaya perkara berkaitan diberi tindakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada kira-kira 200 ahli fotografi dan juruvideo di Wisma Bernama Khamis.

Dengan adanyanya penambahbaikan itu, ahli fotografi dan juruvideo juga boleh menjadi pakar rujuk memandangkan kelayakan akademik, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki mereka boleh diperluaskan, katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar ahli fotografi dan juruvideo menubuhkan kesatuan untuk memastikan kebajikan dan nasib mereka diperjuangkan dan terbela.

Omar turut menyarankan satu insentif khas dan insurans kepada ahli fotografi dan juruvideo memandangkan mereka perlu membawa serta menjaga aset yang mahal ketika bertugas.

-- BERNAMA

07 Februari 2013

MORE THAN 500 PHOTOGRAPHERS, VIDEOGRAPHERS TO GAIN BENEFITS AFTER UPGRADING

Bernama
7/2/2013

KUALA LUMPUR, Feb 7 (Bernama) -- More than 500 photographers and videographers under the Malaysia Remuneration Scheme (SSM) are expected to gain benefits after their request for upgrading of their grade scheme is approved.

Cuepacs president Datuk Omar Osman said the paperwork would be presented to Chief Secretary to the Government Datuk Seri Dr Ali Hamsa during a meeting this Feb 13, appealing for immediate action.

"The photographers and videographers involved serve in the federal and state statutory bodies as well as in the local authorities throughout the country.

"It is time that the photographers and videographers' post grade scheme be upgraded based on their current workload and challenges, risks and roles played by them.

"Their pleas have been around for almost five years and there are parties who want immediate action now," he told reporters after a briefing session with 200 photographers and videographers at Wisma Bernama, here, Thursday.

Omar said this was not intended to provoke the government but fast action was crucial, as the group had contributed a lot to promoting the country's good image as well as to their respective agencies.

"Many similar schemes had preceded this scheme. With upgrading, photographers and videographers too can become consultants as their academic qualifications, skills and expertise can be extended," he said.

Omar said grade B11 should be abolished and upgraded to B17, and henceforth advance until integrated into grade B42 due to their skills.

Meanwhile, Omar suggested that photographers and videographers form a union to better fight for their rights.

He also suggested a special incentive and insurance for photographers and videographers, as they have to bring along and look after expensive assets while on duty.

-- BERNAMA

05 Februari 2013

100,824 PENCARI KERJA DI SABAH DAFTAR SPA TAHUN LEPAS

Bernama
5/2/2013


SANDAKAN, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 100,824 pencari kerja di Sabah mendaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tahun lepas bagi menyertai sektor perkhidmatan awam.
Timbalan Pengerusi SPA Datuk Segarajah Ratnalingam berkata jumlah itu termasuk 9,567 pemohon dari Sandakan.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 4,595 mendapat lantikan termasuk 379 pemohon dari daerah ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Interaksi dan Karnival Kerjaya anjuran SPA, di sini Selasa.

Menurut beliau lantikan itu meliputi pelbagai jawatan yang ditawarkan SPA membabitkan beberapa kementerian dan jabatan kerajaan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Segarajah berkata selari dengan pelaksanaan transformasi kerajaan, suruhanjaya itu melaksanakan Transformasi SPA tanpa melibatkan pertambahan peruntukan kewangan, perjawatan dan pindaan undang-undang.

-- BERNAMA

01 Februari 2013

MASALAH 50,000 KAKITANGAN KONTRAK DITANGANI

Utusan Malaysia
1/2/2013



PUTRAJAYA 30 Jan. - Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani masalah kira-kira 50,000 penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan kerajaan mulai bulan depan.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, usaha itu perlu kerana hanya tiga jabatan itu mempunyai pegawai dan kakitangan kontrak bagi tempoh perkhidmatan sehingga tiga tahun berbanding jabatan lain yang berstatus sambilan atau sementara.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Tiga jabatan tersebut, katanya, adalah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Penerangan.
"Ada dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun, gaji permulaan yang rendah, tidak memahami skop tugas dan lain-lain berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 120 wakil penjawat awam berstatus kontrak di bawah JPNIN di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan.
Mahmood berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penjawat awam terbabit sebelum dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.
Malah, beliau menambah, jawatankuasa itu juga berperanan mengumpul data berkenaan jumlah sebenar penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan itu.
"Maklumat sedemikian perlu bagi memudahkan perancangan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh penjawat awam tersebut," katanya.

SERAP 50,00 KAKITANGAN KONTRAK

PUTRAJAYA 31 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji kedudukan kira-kira 50,000 kakitangan awam kontrak sebaliknya menggesa kumpulan tersebut diserap terus ke jawatan tetap di pelbagai jabatan kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu merupakan jalan penyelesaian yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi bagi menyelesaikan masalah kakitangan kontrak.
Katanya, penubuhan jawatankuasa khas tidak akan dapat dapat menyelesaikan dilema kakitangan kontrak yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
"Menjelang 2020 ini sepatutnya sudah tidak ada lagi perkataan kajian, apa yang penting adalah membuat lantikan tetap terhadap pekerja kontrak sedia ada.
"Ada di antaranya merupakan lantikan SPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak berkuasa tempatan tempatan (PBT) dan pelbagai jabatan lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Bersama Wakil Jabatan dan CUEPACS negeri-negeri Kesatuan Pembantu Am Pejabat Semenanjung Malaysia (KPAP), di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan SPA untuk mewujudkan jawatankuasa khas menangani masalah hampir 50,000 kakitangan kontrak dalam perkhidmatan awam.
Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk JPA dan Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut Omar berkata, kakitangan kontrak perlu diberi peluang ke jawatan tetap kerana ada di antara mereka sudah berkhidmat lebih 50 tahun.
"Mereka perlu diberikan peluang yang sama seperti kakitangan tetap.
"Apa yang nak dikaji lagi, apa yang penting sekarang ini wujudkan jawatan dan tetapkan jawatan mereka," katanya.

AKAN ADA LAGI BERITA GEMBIRA BUAT PENJAWAT AWAM - MUHYIDDIN

Bernama
1/2/2013

KOTA BAHARU, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini.

"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.

"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, Khamis.

Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan.

Beliau berkata melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka yang memerlukan pembelaan.

Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi.

"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara.

Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza sama sekali.

Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara.

"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya.

Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang baik ketika ini dapat diteruskan lagi.

-- BERNAMA

PENJAWAT AWAM JANGAN ASYIK TAK PUAS HATI - OMAR OSMAN

Bernama
1/2/2013

KOTA BAHARU, 31 Jan (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman mengingatkan penjawat awam supaya tidak hanya tahu meluahkan rasa tidak puas hati dengan dasar kerajaan sebaliknya mereka perlu menggalas tanggungjawab yang diberi dengan ikhlas.

Omar berkata penjawat awam perlu sentiasa bersiap sedia memikul tanggungjawab yang diberi dan mereka sepatutnya bersyukur dengan apa yang telah dicapai kerajaan hari ini.

"Penjawat awam jangan asyik tak puas hati sahaja. Tak ada kerajaan yang dapat puaskan hati 100 peratus hati rakyatnya.

"Kerajaan cepat ambil tindakan kalau Cuepacs buat aduan. Setakat ini sudah 20 perkara telah dapat diselesaikan dalam masa enam tahun ini," katanya ketika berucap pada Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri bagi Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan Univesiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini Khamis.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin.



-- BERNAMA

31 Januari 2013

CUEPACS MAHU PEGAWAI KONTRAK DISERAP SEGERA

Sinar Harian
31 Januari 2013
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin.Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata tidak perlu sebarang kajian dibuat terhadap masalah yang mereka hadapi kerana pekerja terbabit telah lama berkhidmat sehingga ada yang melebihi 10 tahun.

"Ini bukan lagi zaman kajian kerana isu itu telah diperjuangkan sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel bersama Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini hari ini.Semalam, Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), mula mengadakan perbincangan dengan wakil pegawai berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.
Jawatankuasa itu akan mengemukakan pandangan dan membuat syor tertentu kepada kerajaan sekiranya ia dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah pegawai kontrak. Menurut Omar, nasib kira-kira 50,000 pegawai lantikan kontrak ini perlu diberi perhatian kerana mereka berhak mendapat keistimewaan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam lain."Berikan mereka keceriaan, lantik mereka ke jawatan tetap kerana mereka ada tanggungjawab, ada keluarga," katanya.

Selain itu Omar berkata Cuepacs turut menerima laporan berhubung kekosongan jawatan di sesuatu jabatan, namun ia akhirnya diisi oleh 'orang luar' sama ada graduan atau calon yang mempunyai 'orang dalam', sekali gus menafikan hak pekerja berstatus kontrak. Tegas beliau pekerja berstatus kontrak perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf tetap. Sementara itu, Cuepacs katanya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diadakan satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu.

Antara isu yang akan dibangkitkan termasuklah gaji maksimum, imbuhan tetap perumahan, skim bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menaikkan taraf gred.Dalam pada itu Cuepacs akan mengadakan perjumpaan bersama jurufoto dan jurukamera dalam perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pada 5 Feb depan bagi membincangkan masalah berbangkit, katanya."Sebelum ini banyak janji nak naik taraf gred mereka. Tetapi sehingga ke hari ini tidak tahu (keputusannya). Akhirnya mereka berbalik kepada Cuepacs."Mereka memerlukan skim yang lebih baik dan diberi insentif khas kerana cabaran jurufoto, jurukamera dan juruteknik bukan seperti dahulu," kata Omar. - Bernama

CUEPACS MAHU PEGAWAI KONTRAK DISERAP, TIDAK PERLU KAJIAN - OMAR OSMAN

Bernama
31/1/2013

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata tidak perlu sebarang kajian dibuat terhadap masalah yang mereka hadapi kerana pekerja terbabit telah lama berkhidmat sehingga ada yang melebihi 10 tahun.

"Ini bukan lagi zaman kajian kerana isu itu telah diperjuangkan sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri bengkel bersama Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di Khamis.

Semalam, Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), mula mengadakan perbincangan dengan wakil pegawai berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan pandangan dan membuat syor tertentu kepada kerajaan sekiranya ia dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah pegawai kontrak.

Menurut Omar, nasib kira-kira 50,000 pegawai lantikan kontrak ini perlu diberi perhatian kerana mereka berhak mendapat keistimewaan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam lain.

"Berikan mereka keceriaan, lantik mereka ke jawatan tetap kerana mereka ada tanggungjawab, ada keluarga," katanya.

Selain itu Omar berkata Cuepacs turut menerima laporan berhubung kekosongan jawatan di sesuatu jabatan, namun ia akhirnya diisi oleh 'orang luar' sama ada graduan atau calon yang mempunyai 'orang dalam', sekali gus menafikan hak pekerja berstatus kontrak.

Tegas beliau pekerja berstatus kontrak perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf tetap.

Sementara itu, Cuepacs katanya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diadakan satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu.

Antara isu yang akan dibangkitkan termasuklah gaji maksimum, imbuhan tetap perumahan, skim bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menaikkan taraf gred.

Dalam pada itu Cuepacs akan mengadakan perjumpaan bersama jurufoto dan jurukamera dalam perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pada 5 Feb depan bagi membincangkan masalah berbangkit, katanya.

"Sebelum ini banyak janji nak naik taraf gred mereka. Tetapi sehingga ke hari ini tidak tahu (keputusannya). Akhirnya mereka berbalik kepada Cuepacs.

"Mereka memerlukan skim yang lebih baik dan diberi insentif khas kerana cabaran jurufoto, jurukamera dan juruteknik bukan seperti dahulu," kata Omar.

-- BERNAMA

SPA kaji masalah 50,000 pekerja kontrak

Berita Harian
31/1/2013


Putrajaya: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menubuhkan tiga jawatankuasa khas bagi mengkaji masalah hampir 50,000 kakitangan kontrak dalam perkhidmatan awam seluruh negara.

Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam, berkata jawatankuasa berkenaan masing-masing dianggotai wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM); Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
SPA turut diwakili dalam setiap jawatankuasa berkenaan selain Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan dan kesatuan sekerja berkaitan.


Mahmood memaklumkan, tiga jawatankuasa itu akan mengadakan siri dialog dengan kakitangan kontrak terbabit dan berbincang dulu pada peringkat jawatankuasa sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ketika ini, seramai 3,900 kakitangan kontrak berkhidmat dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah JPM antara satu hingga tiga tahun, manakala selebihnya di bawah KPKK dan KKLW.

“Masalah setiap kakitangan berlainan, jadi kita nak tahu, termasuk isu terpencil. Antara yang kerap dibangkitkan termasuk mengapa mereka tidak diserap menjadi kakitangan tetap walaupun sudah lama berkhidmat dan mempunyai diploma selain gaji yang rendah selepas diserap berbanding ketika dalam kontrak.

“Masalah seperti ini boleh dibincangkan dengan SPA kerana kita berkuasa membuat lantikan selepas menerima syor kementerian atau jabatan selain menetapkan gaji dan turut mengambil kira pengalaman kakitangan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan 210 kakitangan kontrak JPNIN, disini semalam.

30 Januari 2013

TUNTUTAN PELARASAN ELAUN SARA HIDUP ATM SEDANG DIKAJI

Bernama
30/1/2013

KOTA KINABALU, 30 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Tribunal Khas sedang mengkaji tuntutan pelarasan elaun sara hidup (COLA) anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Sabah dan Sarawak dalam usaha kerajaan menambah baik kualiti perkhidmatan awam.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata jawatankuasa yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam dijangka dapat menyelesaikan perkara berkaitan termasuk soal gaji dan pelbagai elaun lain yang diberikan kepada ATM selepas pembatalan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

"Tuntutan itu tidak melibatkan pihak kementerian dan pemberian COLA juga mengikut kemampuan kerajaan dan bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pemberian COLA dan pelbagai elaun lain bukan satu hak penjawat awam, sebaliknya ia adalah keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan berdasarkan sifat keprihatinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen kesihatan dan derma darah siri 1/2013 sempena hari ulang tahun 5 Briged Infantri Malaysia ke-49 di Kem Lok Kawi, Kinarut di sini, Rabu.

Bagaimanapun, katanya, tiga cabang tentera negara iaitu ATM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 15 peratus menerusi Sistem Saraan Malaysia (SSM) Plus pada Belanjawan 2012.

Abdul Latiff berkata ATM turut menerima kenaikan elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan mulai Januari lepas bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota ATM.

-- BERNAMA

25 Januari 2013

CUPACS AKAN SERAH CADANGAN KENAIKAN GAJI

Utusan Malaysia
24/1/2013


KUALA LUMPUR 24 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan menyerahkan cadangan kepada kerajaan berhubung pemberian kenaikan gaji penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksimum bagi memastikan ketelusannya.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, disebabkan kenaikan itu melibatkan semua peringkat, keadilan diperlukan khususnya dalam merungkai persoalan pihak mana yang layak mendapat kenaikan tinggi atau sebaliknya."Dijangkakan kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus tetapi jangan pula nanti pegawai atasan sahaja dapat lima peratus sedangkan pekerja bawahan hanya dua peratus. Kalau sudah berkhidmat 10 tahun, berilah lima peratus.

"Ahli Majlis Kongres CUEPACS akan membincangkan mekanisme bagi menentukan kriteria dalam menentukan jumlah kenaikan gaji pada 29 hingga 31 Januari ini dan cadangan hasil perbincangan itu bakal diserahkan kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

23 Januari 2013

GAJI PENJAWAT AWAM NAIK HINGGA 5 PERATUS

Berita Harian
22/1/2012

Ali menyampaikan ucapan pada Program Amanat KSN bersama Penjawat Awam 2013 di PICC, Putrajaya, semalam. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ali menyampaikan ucapan pada Program Amanat KSN bersama Penjawat Awam 2013 di PICC, Putrajaya, semalam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kadar ikut prestasi, implikasi kewangan kerajaan

Putrajaya: Penjawat awam yang mencapai tangga gaji maksimum mungkin menerima kadar kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus yang dijangka diumumkan pada bulan depan.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata kajian mengenainya sudah selesai dilaksanakan tetapi kadarnya akan bergantung kepada prestasi dan implikasi kewangan kerajaan.

Saya tidak mahu lihat penjawat awam melakukan tugas dengan baik tetapi menerima gaji yang statik...ini yang ingin saya ketengahkan," Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara
Markah 80 dan ke atas

Bagaimanapun, katanya, kenaikan gaji itu hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi perkhidmatan cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

CUEPACS sebelum ini menganggarkan kira-kira 20 peratus atau sekitar 280,000 daripada 1.4 juta kakitangan awam berdepan tangga gaji yang sudah mencapai tahap maksimum tahun lalu.

“Saya sudah minta Jabatan Perkhidmatan Awam (kaji perkara itu). Mereka yang sudah sampai ke tahap gaji maksimum dan jika prestasi orang itu 80 peratus, akan menerima kenaikan.
“Saya tidak mahu lihat penjawat awam melakukan tugas dengan baik tetapi menerima gaji yang statik...ini yang ingin saya ketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Amanat KSN bersama Penjawat Awam 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Lebih kreatif, inovatif

Justeru, katanya, kakitangan awam perlu meningkatkan produktiviti kerja supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Jika mereka lebih kreatif dan inovatif, hasil kerja akan menjadi lebih produktif. Untuk itu, kerajaan tidak teragak-agak memberi emolumen dan sebagainya bagi mengiktiraf usaha mereka,” katanya.

Ali berkata pelaksanaannya perlu mendapat kelulusan kerajaan terlebih dulu tetapi setakat ini, kerajaan positif dengan perkara terbabit kerana faham gaji yang statik bukan penyelesaian terhadap prestasi kerja kakitangan awam khususnya yang cemerlang.