Utusan Malaysia
27/2/2013
WAKTU ini barangkali, ada yang sudah bermasam-masam muka dan ramai
yang jenuh bertegang urat leher dengan kawan-kawan sekerja kerana
bercakap pasal isu-isu politik yang tak habis-habis.
Kata seorang teman, cepatlah diumumkan tarikh pilihan raya dan
cepatlah habis semua ini. Ini kerana sudah bosan dengan bermacam-macam
pertikaian dan perkara-perkara yang entah apa-apa dibangkitkan yang
boleh saja dijadikan isu politik ketika ini, yang bertujuan mengangkat
mana-mana parti politik.
Tapi percayalah, sembang-sembang dan perang politik terutamanya di
laman-laman sosial ini tidak tentu berakhir selepas pilihan raya ini.
Isu-isu politik memang menjadi topik kegemaran sepanjang zaman.
Sudah menjadi satu kebiasaan rakyat di negara ini memang gemar
bercakap pasal politik dan amat minat dengan politik menghentam tanpa
minat mengambil tahu mengenai fakta-fakta sebenar.
Selepas keputusan pilihan raya nanti, ada pula cakap-cakap kenapa
parti yang disokong boleh kalah. Maka timbul isu tidak telus, hal-hal
sabotaj dan sebagainya. Memang tidak akan habis.
Yang peliknya, penjawat-penjawat awam pun sama naik juga. Ada dalam
kalangan mereka sepanjang waktu lapan jam bekerja di pejabat, menghentam
majikan mereka itu dan ini. Mereka ini tidak segan-segan mengaku diri
mereka penyokong tegar parti pembangkang.
Maka semua dasar dan apa saja yang dilakukan kerajaan untuk rakyat
dipertikaikan, tapi bab-bab gaji, elaun, bonus serta kemudahan-kemudahan
lain yang kerajaan beri kepada mereka, tidak pula dipersoalkan.
Dan apabila parti pembangkang yang mereka puja-puja itu mencadangkan
bilangan penjawat awam ini dikurangkan kononnya sudah terlalu ramai dan
tidak menyumbang apa-apa kepada pembangunan ekonomi negara, hanya
pembaziran semata-mata, mereka tidak pula bangkit lantang menghentam.
Semuanya pakat diam membisu.
Jadi, apabila baru-baru ini, Presiden Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman
menyarankan supaya lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian
terhadap tugas mereka, itu sewajarnya dilihat sebagai satu saranan yang
tidak memihak kepada mana-mana parti.
"Kita sudah tandatangan akujanji, jadi lebih baik tumpu agenda
penjawat awam, kalau nak berpolitik juga, minta kebenaran, jangan
berpolitik pada waktu kerja," tegas beliau.
Jabatan Perkhidmatan Awam juga sudah lama mengeluarkan pekeliling
mengenai syarat-syarat sekiranya mahu berpolitik. Antaranya, tidak
menganggu tugas-tugas rasmi dan dilakukan di luar pejabat.
Memang ada ramai penjawat awam yang terlibat dalam politik, tetapi
mereka ini bukan terlibat secara langsung. Sekadar cakap berapi-api yang
boleh diumpamakan sebagai ejen propaganda parti politik tertentu yang
berperanan menghasut.
Memang betullah, masa bekerja tidak sepatutnya dihabiskan dengan
bercerita pasal politik. Masa bekerja juga tidak sepatutnya ditumpukan
kepada memberi komen-komen di laman-laman sosial facebook, twitter atau
youtube untuk menghentam mana-mana parti.
Lebih-lebih lagi yang membayar gaji ketika bekerja itu adalah
kerajaan juga. Tidak cukupkah bersembang pasal politik di luar pejabat,
ketika 'mengeteh' di kedai-kedai kopi, hingga perlu di bawa ke tempat
kerja. Akibatnya dek terlalu suka bercakap pasal politik ini, wujud
suasana tidak harmoni di tempat kerja.
Bukan sahaja sektor awam, sektor swasta pun begitu. Apabila terlebih
fokus kepada perkara lain, mengumpat sana sini pasal parti politik atau
pasal siapa-siapa dan apa-apa saja, ia sekali gus menjejaskan kualiti
dan produktiviti kerja kerana kelekaan itu.
Nanti timbullah kerja yang tidak disiapkan tepat pada waktunya,
menjawab telefon dengan marah-marah, tergesa-gesa atau paling teruk
tidak berjawab-jawab kerana tumpuan lebih kepada hal yang tiada kaitan
dengan kerja. Itu belum masuk, membuat 'muka ketat' dan payah sangat
untuk tersenyum ketika melayani orang awam yang beratur panjang untuk
mendapatkan perkhidmatan.
Bagi saya, buat sajalah kerja hakiki kita itu. Kita diberi gaji untuk
membuat kerja. Apabila tiba waktu untuk memangkah memilih kerajaan
nanti, kita pilih mana yang layak, mana yang banyak memberi manfaat
kepada kita, anak-anak kita dan juga negara bertuah ini.
Tidak perlu gaduh-gaduh, tidak perlu bising-bising dan tidak perlu bermasam-masam muka. Habis cerita.