SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

19 Februari 2013

PEMILIH MESTI BIJAK PILIH PEMIMPIN, PARTI BERINTEGRITI

Bernama
19/2/2013
 Fokus Berita Oleh Harlina Samsun


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Bahang pilihan raya umum yang sudah lama dirasakan dan semakin hangat, kerana dijangkakan PRU-13 sudah hampir, tidak dapat mengelak daripada membicarakan tentang integriti calon yang bakal menjadi pemimpin, mahupun parti politik, dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah kerajaan.

Pelbagai hujah politik sama ada daripada anggota parti Barisan Nasional, pakatan pembangkang DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS bahkan parti kecil seperti Parti Sosialis Malaysia, Parti Cinta Malaysia, Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) sudah didengar dan kini rakyat diserahkan untuk membuat keputusan serta bijak membuat penilaian terhadap integriti individu dan parti terbabit.

Berbicara mengenai bidang politik, yang akan dikaitkan dengan urusan pemerintahan khususnya tadbir urus, maka integriti pastinya menjadi nilai yang mesti menjadi amalan untuk membina tamadun bangsa Malaysia yang sempurna dan utuh.

Semua orang tahu, integriti yang intipatinya berkisar mengenai kejujuran dan ketulusan, sangat penting dalam seluruh urusan kehidupan.

Persoalannya, adakah integriti politik ini difahami dan diamalkan dengan begitu penuh kebertanggungjawaban oleh pendukungnya iaitu pemimpin politik dan organisasinya?

Rakyat Malaysia umumnya tahu, memberi dan menerima rasuah itu salah, bukan sahaja dari sudut perundangan tetapi juga dari segi moral. Tanpa segan silu, demi mengekalkan kuasa, habuan dan cita-cita, rasuah terus berlaku.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata IIM saban tahun mengadakan sesi perjumpaan dengan parti-parti politik di negara ini bagi menerangkan pentingnya mengamalkan integriti.

"Dari segi maklumbalasnya (parti politik) okay. Cuma kayu pengukurnya terletak di tangan pengundi untuk memilih calon yang (benar-benar) berintegriti, berwibawa, mempunyai kredibiliti dan mengamalkan nilai-nilai murni.

"Kuasa memilih di tangan pengundi, dan kalau sudah salah pilih, jangan salahkan orang lain pula. Ini mempamerkan sikap yang tiada integriti," katanya kepada Bernama.

Jelas sekali bahawa rakyat Malaysia, yang menjadi pemilih berdaftar, mestilah menggunakan kuasa membentuk pemerintahan daripada rakyat untuk rakyat dari kalangan mereka yang berintegriti dengan akal fikiran dan bukannya dipengaruhi emosi.

Pemilih berdaftar sendiri mesti ada integriti. Ini kerana integriti adalah satu sifat jati diri yang perlu ada dalam diri setiap individu yang merangkumi aspek keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi dan boleh dipercayai.

Jika begitu, bagaimana hendak membudayakan integriti di Malaysia?

Beliau berkata pada masa ini, tahap pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat adalah baik tetapi ada sebahagian sasaran yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan lagi kerana jika tidak, ia akan mendatangkan masalah di masa hadapan.

"Contohnya, institusi keluarga. Di Malaysia banyak kes melibatkan institusi keluarga yang berlaku dan kes seperti pembuangan bayi, khalwat dan jenayah tidak sepatutnya berlaku andainya ada pembudayaan integriti.

"(Bagaimanapun) saya tak setuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa pembudayaan integriti dalam kalangan masyarakat di negara ini semakin menurun. Kalau dibandingkan dengan negara-negara lain, kita di tahap yang baik," katanya.

Dari segi pembanterasan rasuah, Mohd Tap berkata Malaysia serius memeranginya apabila tangkapan demi tangkapan serta pendakwaan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihebahkan kepada masyarakat.

"Ini bukan bermakna bahawa jumlah kes itu meningkat tetapi kini semakin ramai yang berani tampil memberi maklumat tentang perlakuan rasuah yang dijamin di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010," katanya.

Beliau juga memuji langkah SPRM yang giat menangkap dan mendakwa pihak yang memberi rasuah berbanding suatu ketika dahulu, hanya penerima sahaja yang didakwa di mahkamah.

Penurunan perlakuan rasuah di Malaysia adalah satu realiti yang seharusnya diterima baik banyak pihak. Dalam kalangan penjawat awam, misalnya, aduan dan tindakan disiplin kerana meminta dan menerima sogokan semakin berkurangan.

"Tindakan tatatertib dalam tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 sudah berkurangan. Penjawat awam sedang melakukan transformasi mengikut keadaan semasa dan lebih bertanggungjawab. Tidak banyak Cuepacs terima panggilan disebabkan tatatertib dan rasuah," kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Melihat kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kedudukan negara bertambah baik sejak tiga tahun kebelakangan ini. Pada tahun lepas, Malaysia tersenarai pada kedudukan ke-54 berbanding 2011 dengan kedudukan ke-60.

Malaysia memerlukan masa untuk memperbaiki kedudukan CPI, kata Mohd Tap.

"Memang kita hendak jadi seperti Singapura, tetapi kita mesti realistik. Kalau meningkat ia satu kejayaan dan kalau boleh kita hendak Malaysia menjadi 10 teratas dalam CPI," katanya.

-- BERNAMA

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SETUJU DENGAN TAJUK NI...

RAKYAT KENA BIJAK PILIH PEMIMPIN...

INGATAN INI SNGT BAGUS SEBAB SUDAH LAMA
RAKYAT DIANGGAP TIDAK BIJAK PILIH PEMIMPIN.
PRU13 PILIH LAH PEMIMPIN YG BETUL PULAK...

mat kerja berkata...

SAYA TAK NAMPAK PEMINPIN YG BIJAK DLM BN.
YANG ADA PEMINPIN YG BIJAK GUNA RM UTK DAPAT SOKONGAN SAJA.SEMUA MENTERI JAGA PERIUK NASI MASING-MASING.KATA-KATA GALAKAN SUPAYA RAKYAT BEKERJA RAJIN TIADA KEDENGARAN DAH SPT ZAMAN TUN.
PEMINPIN CUEPACS PULAK BELUM SELESAI YG LAMA DAH TIMBUL PERMINTAAN BARU.

Tanpa Nama berkata...

nanti pru13 ramai2 kuar pergi mengundi tekad dalam hati mesti pangkah PAS.xada parti di Malaysia seperti parti PAS,sebabnya PAS diterajui golongan ulama,isu BR1M,anda semua hendak kebenarn pergilah laman web youtube,tv kelantn,tiada langsung tuan guru nik aziz kata penerima BR1M binatang.INI ADALAH FITNAH.kalu dengar sesuatu berita jgn terus percaya,tetapi selidik dahulu adakah?bila tidak tahu sesuatu tanya ornag yg mahir ilmu tertentu.
BR1M duit rakyat.hak rakyat bkn duit pemimpin.
kesimpulan tumbangkan kerjaan barisan nasional.